Saturday, November 20, 2010

NGO persoal apa keistimewaan Namewee?

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoalkan keistimewaan Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee sehingga Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, sudah sampai masanya KDN bertindak tegas terhadap Namewee supaya dapat dijadikan pengajaran agar perkara sama tidak berulang.

"Apa gunanya mempunyai peraturan dan kuasa jika tidak ada keberanian untuk menguatkuasakan peraturan itu demi kepentingan negara?

"Pihak berwajib tidak harus berkompromi apabila wujudnya individu yang cuba menyentuh sensitiviti kaum sehingga boleh menggugat perpaduan sedia ada,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang tiada tindakan diambil oleh kerajaan terhadap Namewee walaupun pemuda dari Muar, Johor itu berulang kali menerbitkan klip video yang mencerca kaum tertentu, mempersendakan lagu Negaraku dan penggunaan bahasa lucah.

Pada 2007, Namewee yang ketika itu menuntut dalam jurusan komunikasi di Universiti Ming Chuan, Taiwan menghasilkan klip video yang mempersendakan lagu kebangsaan apabila mengubah lirik asal dengan Negaraku ditukar kepada Negarakuku selain mencerca orang Melayu.

Tindakan biadab pemuda itu berterusan apabila menghasilkan klip video memaki-hamun Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut dimuatkan dalam laman web Youtube.

Tahun ini, beliau menghasilkan satu lagi klip video yang mencerca seorang pengetua di Kulaijaya, Johor dan menuduh Kementerian Pelajaran sebagai kurang ajar.

Sehubungan itu, Maliki menggesa agar KDN bertindak tegas bagi menjaga kredibiliti pihak berkuasa berkenaan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Mustaffa Mat Arop turut mempersoalkan cara KDN menangani isu Namewee jika dibandingkan dengan isu lain.

"Kalau sekitar tahun 1990-an, KDN boleh bertindak tegas terhadap pertubuhan Al-Arqam yang didapati menyeleweng umat Islam, kenapa pemuda ini yang menyeleweng dan mencetuskan karya biadab yang berbahaya untuk keharmonian negara ini diberi keistimewaan?

"Apakah kita mahu generasi muda negara ini dibiarkan terdedah kepada unsur-unsur berbahaya seperti ini?" katanya.

Mustaffa menegaskan, KDN seharusnya tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam menangani kes Namewee kerana seorang pegawai kerajaan daripada Biro Tata Negara (BTN) yang didapati bercakap tentang perkauman dalam sebuah forum tertutup telah dikenakan tindakan tetapi Namewee terlepas begitu sahaja.
Katanya, MAYC bimbang 'keistimewaan' yang diberikan oleh KDN kepada Namewee itu akan memberi persepsi yang salah dalam kalangan anggota masyarakat bahawa mereka bebas menyuarakan kritikan dengan apa cara sekalipun.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Anak-Anak Merdeka, Prof. Datuk Dr. Ir. Badaruddin Nordin menggesa agar Namewee segera didakwa di mahkamah kerana jelas perbuatannya itu satu kesalahan yang boleh menggugat keharmonian kaum.

"Jangan tunggu lagi dan saya berharap agar pihak berwajib dapat bertindak segera kerana jelas sekali penghinaan terhadap lagu Negaraku itu merupakan kesalahan serius.

"Tak perlu KDN berlengah lagi dan jika tindakan tegas dikenakan terhadap beliau, ia dapat dijadikan pengajaran kepada individu lain yang mempunyai niat yang sama," katanya.

...utusan

No comments:

Post a Comment