Tuesday, June 8, 2010

Usul tergempar kekejaman Zionis dibawa ke PBB


KUALA LUMPUR 2010/06/08: Usul tergempar berhubung kekejaman rejim Zionis yang diluluskan sebulat suara dalam persidangan Dewan Rakyat semalam akan dibawa ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam masa terdekat.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata ia akan disampaikan menerusi surat rasmi daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Kesepakatan Ahli Parlimen mengutuk serangan ke atas sukarelawan misi bantuan kemanusiaan dihargai dan yakin wakil rakyat yang tidak berpeluang menyatakan pendirian mereka juga menyokong usul ini, terutama berkaitan kegagalan Majlis Keselamatan PBB menangani isu ini. Bagaimanapun, Malaysia akan tetap meneruskan usaha membantu rakyat Palestin hingga tertubuhnya negara berdaulat," katanya ketika menggulung perbahasan usul mengutuk kekejaman rejim Zionis itu.

Anifah berkata, selain itu, pihaknya akan mengambil langkah awal untuk memanggil wakil kuasa besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur bagi merakamkan rasa tidak puas hati berikutan sokongan negara itu kepada Israel selama ini.

"Saya juga memutuskan untuk mengutus surat kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton mengenai sokongan tanpa batasan negara itu kepada Israel," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia akan mendesak PBB mengeluarkan resolusi mengutuk Israel dan membawa negara itu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan jika gagal, Malaysia akan bekerjasama dengan negara sependapat untuk mengusu-kan himpunan bagi mendapatkan pandangan undang-undang berhubung perkara itu.
Anifah juga memaklumkan akan meminta Mesir membuka pintu sempadannya di Rafah sepanjang masa sebagai laluan alternatif membolehkan bekalan bantuan kemanusiaan sampai kepada penduduk Gaza.

"Kita juga akan meminta negara OIC supaya meneliti hubungan dengan Israel, selain menyelaraskan kempen menamatkan keganasan rejim Zionis itu," katanya.

No comments:

Post a Comment