Thursday, June 24, 2010

Banyak hantu berkeliaran di Penjara Pudu....


KUALA LUMPUR 23 Jun - Penjara Pudu yang dirobohkan untuk dibangunkan dengan projek kediaman dan perniagaan, terus menarik perhatian ahli-ahli Parlimen yang kebanyakannya mempertikaikan tindakan kerajaan itu.

Antara yang lantang bersuara pada sidang Dewan Rakyat hari ini ialah Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) yang menarik perhatian dengan menjangkakan projek itu bakal mengalami kerugian.

"Penjara Pudu itu banyak hantu, siapa yang hendak beli. Beribu-ribu hantu berkeliaran kerana ramai banduan digantung di situ sejak lebih 100 tahun lalu.

"Hantu memang ada dan mereka melihat ia dirobohkan dan sudah pasti akan kata siaplah semua yang merobohkannya, bodohlah siapa yang akan belinya nanti, sanggupkah berjiran dan duduk bersama dengan hantu," katanya yang amat tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan itu.

Tambah Mohamad: "Apabila Kuala Lumpur dipilih sebagai ibu negara maka kita kena terima segala sejarahnya, jangan terlalu ghairah memusnahkan warisan sejarah, sepatutnya ia dipelihara.

"Di Vietnam, lubang Vietcong disimpan sebagai tarikan pelancongan, kita pula asyik nak roboh sejarah, minta maaflah jika saya bercanggah dengan orang lain. Yang peliknya Kota Melaka kita kekalkan sedangkan ia adalah warisan penjajah."

Sementara itu, Lo' Lo' Mohamad Ghazali (Pas-Titiwangsa) sependapat dengan Mohamad dan mengatakan, walaupun Penjara Pudu menyimpan sejarah hitam negara, ia tetap merupakan warisan sejarah yang tinggi nilainya.

"Memang saya bersetuju dengan Datuk Dr. Awang Adek Hussin (Timbalan Menteri Kewangan) bahawa penjara bukannya kebanggaan negara, tetapi perlu diingat sejarah hitam tetap sejarah dan ia juga simbol kita mengajar banduan menjadi manusia baik," katanya.

Semalam, Awang Adek dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat mengatakan bahawa kerajaan telah membuat keputusan bahawa tapak penjara itu bukannya tapak warisan sejarah dan ia akan tetap dirobohkan, sambil menyatakan ia bukannya sebahagian daripada kebanggaan negara.

Mengulas isu sama, Er Teck Hwa (DAP-Bakri) menarik perhatian Dewan Rakyat dengan membangkitkan satu petikan kata-kata hikmat, iaitu 'Bangsa yang tidak menghargai sejarah sendiri, ia tidak akan menjadi bangsa yang berjaya'.

...utusan malaysia

No comments:

Post a Comment