Monday, November 8, 2010

Nafsu Amarah Gagal Dikawal Membinasa Diri


Amal ibadat boleh jadi ‘penawar’ untuk hati daripada dikuasai perasaan benci, dendam

PERASAAN dendam, benci dan amarah boleh menimbulkan pergolakan serta kekacauan dalam masyarakat kerana sikap mazmumah ini jika dibiarkan berakar umbi dalam jiwa akan menanamkan bibit perselisihan.
Islam agama yang berpaksikan kesejahteraan mendidik umatnya supaya menjauhi sifat tercela ini yang boleh menggugat hubungan ukhuwah. Benci diibaratkan api yang diam-diam menyala dalam sanubari apabila tidak mampu dikawal, maka lahirlah tindakan dan perlakuan beremosi.
Seorang sahabat pernah datang menemui Rasulullah SAW memohon supaya Baginda dapat memberi pesan serta wasiat ringkas. Jawab Baginda: “Janganlah kamu marah.” Diulang sekali lagi pertanyaan itu dan Rasulullah SAW tetap menyebut: “Jangan marah.”

Dalam menghadapi situasi kehidupan hari ini yang serba-serbinya mencabar, sifat marah jika sudah berada pada tahap melampau dan tidak mampu dikawal oleh pertimbangan akal serta agama, akan hanya membinasakan diri sendiri.

Sudah ramai yang dapat kita saksikan hari ini bagaimana sifat marah serta benci yang tumbuh dalam hati bertukar menjadi dendam kesumat yang diakhiri dengan tindakan kejam hingga memusnahkan kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.
Justeru, tidak hairanlah mutakhir ini jenayah kejam seperti buli, mencederakan orang hatta membunuh semakin meningkat. Semuanya berpunca daripada gejolak hati yang marak mendidih tanpa dapat dikawal lagi.

Allah sentiasa mengingatkan hamba-Nya sentiasa menjaga hati supaya tidak termakan hasutan syaitan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya perbuatan berbisik (untuk kejahatan) itu datangnya daripada hasutan syaitan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 58)

Umat Islam terbaik adalah mereka yang menjaga perlakuan, lidah dan kalbunya daripada sifat tercela. Hati yang jernih dan bersih akan menampilkan akhlak indah serta terpuji. Masyarakat yang berhati luhur, bersopan santun serta mudah memaafkan akan melahirkan modal insan contoh.

Banyak cara yang boleh kita lakukan bagi menghindari sikap marah, dendam dan benci daripada terus bermaharajalela dalam hati dan nurani. Antara diajar Rasulullah SAW ialah melunakkan lidah dengan selawat, banyakkan berpuasa sunat, mengamalkan bacaan al-Quran supaya hati tenang dan tidak keluh kesah.

Selain itu, bagi meredakan kemarahan dan kebencian daripada terus bernyala, kita sepatutnya melihat daripada sudut positif seperti mengenang kembali kebaikan yang ada pada dirinya supaya berkurangan rasa marah dan benci dalam hati.

Kemampuan kita mengawal rasa dendam, marah dan benci yang bergelodak dalam jiwa menjadikan kita sebaik-baik manusia kerana Nabi Muhammad SAW selalu mengingatkan supaya bersedia untuk berjihad menentang hawa nafsu.

Ketika jenayah dan gejala sosial berleluasa dalam masyarakat di mana ramai menjadi mangsa perlakuan kejam serta ganas, masyarakat perlu menilai apa yang berlaku supaya dapat dijadikan iktibar.

Rasulullah SAW pernah berhadapan dengan kemarahan tatkala menyaksikan bagaimana bapa saudaranya, Saidina Hamzah Abu Talib dibunuh dengan kejam dan di luar batas kemanusiaan dalam perang Uhud.

Kemarahan dan perasaan dendam Baginda akhirnya dilembutkan Allah apabila turunnya ayat Al-Quran yang meminta Nabi tabah serta bersabar dengan ujian besar yang diterimanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kalaulah engkau bersikap kasar dan keras hati terhadap mereka tentulah mereka akan lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah kesalahan mereka.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Marilah kita mendidik diri supaya sentiasa berlembut hati, pemurah serta mudah memaafkan orang lain kerana itulah sifat Rasulullah SAW yang berjaya menarik ramai golongan Musyrikin yang keras, sombong dan degil hingga akhirnya mampu dijinakkan dengan kebenaran Islam.

...Nazri Hussein-Bharian

Friday, November 5, 2010

Surat Terbuka Khas Kepada UMNO Dan Pas


Almukarram UMNO dan Pas
Dua wadah perjuangan Melayu
Sudilah berhenti anda bertengkar
Ambil yang jernih buang yang keruh
Jika rumah sedang terbakar
Jangan ditanya punca apinya
Panggillah bomba padamkan segera
Bukanlah masa untuk bertengkar
Jika kita menghadapi bahaya
Bahaya Melayu kehilangan kuasa

SURAT terbuka ini ditujukan bukan khas kepada Dato Seri Najib Tun Razak dan juga bukan khas kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sebaliknya, sasaran utama surat ini ialah UMNO dan Pas, sebagai dua wadah perjuangan bangsa Melayu yang sepatutnya wujud untuk saling lengkap melengkapi dan tidak saling musuh memusuhi.
Namun begitu, walau pun surat ini bukan ditujukan khas kepada mereka berdua, diharap sangat agar kedua-dua pemimpin tertinggi dua parti politik tersebut akan mendapat input atau laporan daripada para pembantu masing-masing mengenai kandungan surat ini.
Ilham untuk menulis surat terbuka ini berpunca daripada beberapa komen atau reaksi terhadap tulisan saya bertajuk "Hala tuju dan tindak laku politik Melayu" yang tersiar di ruangan ini dua minggu lalu.
Dalam tulisan tersebut saya merumuskan keadaan politik Melayu sekarang dengan menggunakan tiga ungkapan: "tragis dan ironis", "suram dan sugul", "defensive and explosive".
Jika keadaan politik yang sedemikian dilihat serentak dengan keadaan ekonomi, maka kesugulan itu menjadi bertambah suram dengan kadar pengangguran yang semakin meningkat dan purata pendapatan isi rumah masih jauh lebih rendah berbanding dengan kaum-kaum lain. Begitu juga kesempatan berniaga yang semakin sempit.
Ertinya ketika kekuasaan politik bangsa Melayu semakin terancam dan merudum kerana ancaman dari luar akibat perpecahan dalaman (sesama sendiri), keadaan ekonominya pula tidak banyak berubah malah ada yang semakin bertambah susah.
Maka tidak salah untuk mengatakan bahawa bangsa Melayu sekarang hampir mendekati keadaan seperti diibaratkan oleh ungkapan silam: yang dikejar tak dapat, yang digendong berciciran.
Saya teringat lebih empat puluh tahun yang lalu, Allyarham Aminuddin Baki (seorang tokoh pendidikan yang sekarang namanya diabadikan di beberapa institusi) berkeluh kesah dan memberi amaran tentang kemungkinan "itik di air mati kehausan, ayam di kepuk mati kebuluran."
Seterusnya bila gambaran politik yang kacau-bilau dan gambaran ekonomi yang sugul suram itu ditambah lagi dengan gambaran sosial yang menyeramkan (menggerunkan?) maka imej-imej yang terhampar di hadapan mata kita ialah remaja-remaja lelaki menjadi "mat rempit" berlagak berani, remaja-remaja perempuan hamil tanpa suami dan tanpa hati nurani membuang bayi, kisah-kisah ragut di sana sini dan penagih-penagih dadah di pusat serenti.
Demikianlah gambaran kasar keadaan politik, ekonomi dan sosial bangsa Melayu yang ingin saya nukilkan dalam surat ini untuk diberi perhatian oleh UMNO dan Pas sebagai dua wadah perjuangan yang mengaku hendak meninggikan maruah dan martabat bangsa Melayu dari segala segi.
Memang benar, di sebalik gambaran suram seperti yang dilakarkan di atas terdapat juga sisi-sisi ceria dan aspek-aspek positif bangsa Melayu. Saya tidak bermaksud untuk memejamkan mata terhadap pelbagai kemajuan yang telah dicapai dan kesejahteraan yang dinikmati bangsa Melayu semenjak negara ini mencapai kemerdekaan. Tetapi semuanya sekarang itu berada dalam "zon bahaya".
Mesej utama yang hendak saya sampaikan ialah pada masa ini bangsa Melayu berada dalam keadaan yang sangat kritikal dari pelbagai segi (politik, ekonomi dan sosial).
Jika keadaan kritikal ini tidak di atasi, tidak mustahil sekiranya kemajuan yang telah dicapai dan kesejahteraan yang dinikmati sekarang akan pupus dan sirna begitu sahaja. Dan tidak mustahil seperti dibayangkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa bangsa Melayu akan kehilangan kuasa politik yang dimilikinya selama ini. Dan kalau itu berlaku, amatlah sukar, malah mungkin mustahil untuk menebus atau memperoleh kembali kuasa politik itu .
Kerana itulah "isyarat bahaya" perlu dibunyikan dan perlu disahut oleh UMNO dan Pas. Setakat ini UMNO dan Pas masih gagal mencapai kata sepakat untuk bekerjasama. Kegagalan ini berarti kegagalan usaha untuk menggembleng tenaga politik Melayu yang utuh, berkesan dan berwibawa.
Satu hakikat yang wajib diterima bahawa hanya bangsa (kepimpinan) Melayu yang benar-benar jujur dan ikhlas yang sedia (boleh diharapkan) untuk membela nasib dan memperjuangkan kepentingan Melayu. Dan hanya kepimpinan Melayu yang utuh, berkesan dan berwibawa yang akan berjaya melakukan itu semua dengan berkesan.
Gabungan tenaga politik Melayu yang diwakili Pas dengan tenaga politik Melayu yang diwakili UMNO akan disegani oleh semua pihak (termasuk oleh petualang-petualang politik setiap kaum) seperti terbukti dalam zaman pemerintahan Allahyarham Tun Abdul Razak dalam separuh pertama dekad 1970-an dahulu.
Semoga UMNO sekarang sedia melakukan "introspeksi" (melihat ke dalam diri) secara jujur menginsafi kesilapan sendiri. Dan semoga Pas bersedia pula melakukan "muhasabah" secara jujur, dan kembali ke pangkalan jalan. Semoga UMNO dan Pas sedia mengambil yang jernih dan membuang yang keruh. Amin.

SENATOR DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah pakar rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

Thursday, November 4, 2010

5 Kriteria Wanita Ideal di Mata Lelaki


Dalam urusan cinta, wanita kerap bingung dengan sikap lelaki hingga dinilainya sebagai makhluk misteri, kerana membiarkan wanita meneka-neka isi hati mereka. Meski telah cuba menyenangkan hatinya, ramai wanita merasa gagal.

Kaum hawa menilai diri belum sepenuhnya memahami apa yang diperlukan pasangan. Tak heran bila sebuah pertanyaan besar selalu menyelimuti hati wanita, "Apa yang dicari pasangan dalam diri saya?".

Mengupas lebih dalam apa yang dicari lelaki dalam diri wanita, berikut beberapa di antaranya seperti:-

***Lelaki mencari cinta
Perlu diketahui, selain ingin memberikan cinta pada wanita yang dikasihi, lelaki juga ingin diberi cinta oleh pasangan. Masalahnya, banyak wanita suka bersikap dingin. Dan menurut kacamata lelaki, tidaklah mudah untuk mencari seorang wanita yang penuh kasih dan memiliki sikap keibuan, meskipun beberapa lelaki telah menggantung harapan dan berfikir bahawa mereka telah menemui seorang Wanita Tulen.

***Lelaki mencari seorang wanita menarik
Kecantikan hati bagi para lelaki adalah penting, tapi lelaki juga tak menolak keinginan mencari wanita menarik dari segi penampilan. Tidak harus mencari model catwalk dengan tubuh ramping, tetapi satu yang pasti, kaum adam menginginkan pasangan mereka percaya diri dengan penampilannya. Dengan itu, mereka turut bangga memiliki kekasih yang menarik, terlebih bila setiap orang mengatakan kekasihnya benar-benar menarik.

***Lelaki mencari seorang wanita yang boleh dipercayai
Jika anda ingin memenangi hatinya, maka jadilah orang yang bisa ia percaya. Lelaki mencari pasangan yang boleh dipercayai dan boleh dipercayai. Sebahagian wanita bukanlah sosok yang boleh dipercayai dan setia. Hal ini jelas membuat lelaki semakin waspada. Penting untuk diingat, bahawa tidak semua lelaki boleh memaafkan wanita tidak setia.

***Lelaki mencari pendamping hidup juga wanita humoris
Hingga pada saatnya ingin berumah tangga, lelaki akan mencari seorang wanita yang bersedia menjadi pendamping hidupnya. Wanita yang gemar bersosial, dan boleh dipercayai untuk mengikatnya dalam hubungan jangka panjang hingga berlanjut ke tahap keluarga.

Di samping itu, lelaki juga menginginkan wanita yang memiliki selera humor. Apalagi menurut lelaki, tak sedikit wanita sering tampil kaku dan tegang di hadapan pasangan, bahkan sering merasa terganggu dengan lelucon lelaki. Wanita dengan selera humor tinggi dianggap sangat menarik bagi banyak lelaki.
***Lelaki mencari wanita feminin, lembut, dan baik
Dalam mencari pasangan, lelaki juga mencari wanita yang lemah lembut dan tidak egois. Sebab itulah, banyak lelaki tergoda pada sikap lemah lembut wanita. Kehadiran seorang wanita yang feminin, lembut, dan baik sangat penting dalam kehidupan mereka, pasalnya wanita seperti inilah yang nantinya akan berperanan penting untuk membesarkan buah hati mereka.

...okezone