Saturday, June 11, 2022

China Akan Tulis Semula Al-Quran Dan Bible Untuk Seiring Nilai Sosialis?

CHINA – Jawatankuasa Etnik dan Hal Ehwal Agama China dikatakan mengeluarkan arahan supaya kitab-kitab suci bagi agama-agama yang terdapat di China ditulis semula supaya seiring dengan nilai-nilai dan prinsip sosialis yang diamalkan di negara China, lapor Daily Mail.

Menurut seorang pegawai tertinggi Parti Komunis China, versi baharu bagi kitab-kitab suci ini mestilah tidak mempunyai sebarang surah atau ayat yang tidak selari dengan kepercayaan yang dipegang oleh parti tersebut. Mana-mana ayat yang dianggap bertentangan dengan prinsip tersebut akan disunting atau diberikan terjemahan semula yang lebih sesuai dengan dasar yang diamalkan negara tersebut.

Walaupun Al-Quran dan Bible tidak disebutkan secara spesifik di dalam pekeliling itu, namun Parti Komunis menekankan secara langsung bahawa semua kitab-kitab agama yang tidak selari dengan perkembangan semasa perlu dibuat penilaian komprehensif.

Arahan tersebut telah dikeluarkan semasa mesyuarat yang dianjurkan Jawatankuasa Hal Ehwal Etnik dan Agama daripada Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik Rakyat China yang ditugaskan untuk menyelia hal ehwal etnik dan agama di China.

Menurut Agensi Berita Xinhua, seramai 16 pakar, penganut dan wakil agama berbeza daripada Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China telah menghadiri mesyuarat persidangan yang diselia oleh Pengerusi Persidangan Perundingan Politik Rakyat China, Wang Yang.

Berdasarkan laporan berita tersebut, Wang Yang menggesa pegawai-pegawai pihak berkuasa agama di negara itu untuk membina ‘sistem agama bercirikan Cina.’

“Mereka juga mendakwa bahawa dengan ‘menilai semula’ buku agama, mereka akan menghalang ‘pemikiran melampau’ dan ‘idea sesat’ daripada menghakis negara,” lapor Daily Mail.

Dalam pada itu, Penyelidik China di Amnesty International, Patrick Poon turut memberi maklumat kepada MailOnline mengenai “Rancangan penapisan” yang menunjukkan betapa manipulatifnya kerajaan China yang secara hipokrit membenarkan agama tertentu beroperasi tetapi hanya dengan kandungan yang dibenarkan oleh kerajaan China.

“Dalam banyak cara, kawalan kerajaan China, termasuk penapisan Al-Quran dan Bible, ia telah memutarbelitkan doktrin teks agama ini dan dengan agama itu. Tiada kebebasan beragama yang tulen.”

“Tembolok dokumen yang bocor telah menunjukkan bagaimana kerajaan China menjalankan sistem pusat pendidikan semula untuk mengindoktrinasi orang Islam di wilayah barat jauh Xinjiang.”

Susulan itu, Daily Mail turut memaklumkan bahawa, pakar dan aktivis PBB mendakwa sekurang-kurangnya satu juta etnik Uyghur dan Muslim lain ditahan di pusat tahanan di Xinjiang.

“Bekas tahanan mendakwa bahawa orang Islam dipaksa makan daging babi dan berbahasa Mandarin di kem tahanan tersebut.”

Walau bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuan menafikan serta menuduh dokumen yang ditularkan itu merupakan satu kempen bagi memburukkan China dalam usaha penentangan keganasan dan ekstrimisme di Xinjiang China.

Pejabat Kedutaan China di London turut menafikan kewujudan dokumen tersebut dan memaklumkan bahawa apa yang ditularkan serta diberitakan oleh agensi-agensi berita luar negara merupakan berita palsu yang diada-adakan. - samudera.my

No comments:

Post a Comment