Tuesday, March 15, 2022

Sakit Hati Bahasa Melayu Masih Terpinggir

AMAT sedih apabila promosi iklan Sukan Komanwel, Sukan Paralimpik dan Sukan Asia yang disiarkan di televisyen swasta sebelum ini berbaur perkauman. Sungguh menyakitkan hati. Adakah mereka tak pandai berbahasa Melayu walaupun sepatah dua? Adakah promosi tersebut untuk negara lain, bukan Malaysia?

Begitu juga jika ke Genting Highlands, Pahang, papan-papan media dan bahasa informasi yang digunakan tidak mengutamakan bahasa Melayu seolah-olah menjadi bahasa ketiga di situ.

Tokoh politik bertaraf menteri yang memberi ulasan dan ucapan tentang isu ekonomi juga menggunakan bahasa Inggeris. Ini menyebabkan rakyat di kampung tidak memahami apa disampaikan sehingga dasar-dasar kerajaan yang memberi peluang kepada rakyat tidak dapat dikecapi terutama oleh orang Melayu dan bumiputera. Hal sama melibatkan tokoh-tokoh perniagaan baik yang korporat ataupun orang kenamaan.

Justeru, saya mencadangkan kepada pemimpin masyarakat, ahli korporat, peniaga, media, ahli sukan dan orang ramai agar memainkan peranan proaktif demi merealisasikan matlamat memartabatkan bahasa Melayu.

Tokoh-tokoh seperti Tan Sri Hussein Ahmad dan Datuk Dr. Firdaus Abdullah mengaku dan sedih dengan sikap orang ramai yang jelas meminggirkan dan mengabaikan bahasa kebangsaan.

Di sinilah peranan RTM, pihak berkuasa tempatan (PBT), swasta menanamkan semangat cintakan bahasa kebangsaan memandangkan banyak papan tanda, iklan dan pelbagai dokumen seperti memo, risalah serta dokumen perjanjian masih dalam bahasa Inggeris.

Jangan undur ke belakang sehingga sanggup menjadikan bahasa Inggeris untuk bahasa sains dan teknologi. Mengapa tidak sanggup meneruskan usaha murni pemimpin dahulu yang mendaulatkan bahasa kebangsaan dengan cara memperkenalkan istilah dan terjemahan dalam pelbagai bidang ilmu sehingga tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain menggunakan bahasa Melayu dalam semua kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi awam?

Lihatlah usaha Dr. Ridhuan Tee Abdullah, mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong dan Dr. Lim Swee Tin yang tidak pernah berhenti memperjuangkan bahasa Melayu.

Dengarlah rintihan mereka dan jangan rosakkan generasi akan datang dengan momokan bahasa Melayu bukan bahasa sains dan teknologi dan tidak global. Indonesia, Thailand, Jepun bahkan Brunei menjadi contoh terbaik untuk diikuti.

Untuk menjadi satu bangsa yang dikatakan Malaysia, bahasa akan menunjukkan bangsanya.

GURU KAMPUNGAN
Kampung Selandar, Melaka

No comments:

Post a Comment