Tuesday, September 25, 2018

Politik Malaysia Semuanya Ada?

POLITIK Malaysia macam-macam ada! Realitinya begitulah politik di negara kita sekarang. Kleptokrasi, nepotisma, kronisma, korupsi dan pelbagai lagi terma sentiasa berlegar sebagai isu negara dalam kalangan pemimpin politik.

Isu-isu ini menjadi bahan untuk saling serang menyerang dan tuduh menuduh di antara ahli politik. Yang menyerang atau menuduh tampil dengan pelbagai bukti dan fakta, manakala yang diserang dan dituduh pula berhempas pulas menepis atau mengelak dengan pelbagai cara.

Pelbagai kaedah dan saluran digunakan untuk menegakkan kebenaran di pihak masing-masing. Ada yang berbentuk tohmahan, manipulasi, putar-belit fakta dan sebagainya boleh diakses terutamanya melalui media sosial.

Penulis, penganalisis dan yang melontar pendapat atau komen datang daripada pelbagai bidang bukan sahaja ahli politik tetapi pelbagai latar belakang yang kadangkala tidak dapat dikenal pasti kesahihannya.

Semua ini mewujudkan suasana keliru dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai tahap pendidikan, umur dan topografi kediaman yang berbeza; bandar dan juga kampung.

Kleptokrasi yang belum dibuktikan melalui sistem perundangan telah menjatuhkan barisan kepemimpinan kerajaan terdahulu. Begitu juga isu korupsi yang membantu menjadi faktor penyumbang.

Kronisma dan nepotisma pun menjadi isu yang sangat popular dalam pertikaian ahli-ahli politik negara ini. Saya berpendapat ini bukanlah satu amalan baik yang patut diamalkan dalam politik negara untuk mengelakkan persepsi negatif rakyat.

Demi menjaga kepentingan ‘kebersamaan’ sesuatu keluarga, kecenderungan untuk tidak menjadi adil dan berat sebelah tentulah tinggi sekali. Jadi lebih baik kiranya tidak ada lebih daripada seorang ahli keluarga terlibat dalam pentadbiran kerajaan.

Trend semasa dalam kerajaan Pakatan Harapan begitu ketara berbanding kerajaan dahulu. Untuk ‘membenarkan’ pegangan jawatan dalam politik negara, tidak kiralah dalam parti atau pentadbiran negara, tidak boleh memberi alasan ‘dipilih oleh rakyat’ semata-mata.

Berilah peluang kepada orang lain juga, sama-sama boleh kongsi kepemimpinan dari rumpun berlainan dan secara tidak langsung boleh juga kongsi rezeki. Bayangkan dalam satu keluarga ada tiga orang ahli Parlimen, berapa banyak gaji dan elaun untuk keluarga itu sahaja.

Kehadiran pemimpin dari rumpun keluarga yang berlainan boleh menghindarkan trend stereotaip kepemimpinan. Berbeza acuan tentu berbeza kuihnya, baru ada kepelbagaian untuk dipilih.

Adalah diharapkan supaya amalan kronisma dan nepotisma dalam kepemimpinan parti politik dihentikan untuk mengelakkan kesan buruk jangka panjang.

Para pemimpin juga kena ingat, rakyat di negara ini amat mengharapkan kepemimpinan yang terbaik dan telus untuk berkhidmat untuk negara dan rakyat.

Oleh : Zulkifli Z. Abidin

No comments:

Post a Comment