Saturday, August 11, 2018

PDRM lepaskan forum komunis?

SAYA amat terkejut apabila membaca anjuran forum mahu mengubah sejarah dan mengiktiraf komunis di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur Selangor baru-baru ini.

Berselindung di sebalik anak-anak muda Melayu yang buta sejarah dan tidak pernah merasai keperitan peperangan, forum itu cuba mengembalikan ideologi komunis atas dasar hak asasi dan kebebasan bersuara.

Apa kelayakan orang-orang ini untuk diangkat sebagai panel membincangkan soal sejarah?

Biasanya pakar sejarah orang tua dan berpengalaman, bukan budak-budak yang mengaku sebagai ‘aktivis’.

Di manakah semua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM)?

Bukankah perkara sebegini perlu disekat dari awal lagi bukannya sudah menjadi isu baru semua menggelupur.

PDRM perlu prihatin memikirkan sejarah Balai Polis Bukit Kepong yang diserang komunis, tapi kini mahu diangkat pula kumpulan pengganas itu sebagai pejuang kemerdekaan.

Saya tidak hairan jika ahli politik Melayu dalam kerajaan tidak berani membantah tetapi pasukan beruniform khususnya polis dan tentera tidak sepatutnya membenarkan perkara sebegini berlaku.

Adakah ketua-ketua dalam PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) takut disuruh bersara atau dipecat seperti yang berlaku dalam syarikat milik kerajaan (GLC)?

Itu belum mengambil kira sikap biadab dalam media sosial yang langsung tidak diambil tindakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Jika forum komunis boleh mendapat permit, adakah orang lain bebas menganjurkan perbahasan mempertikai sekolah vernakular, rumah ibadat haram mahupun menolak taraf kerakyatan?

Jangan dibiarkan api kecil ini marak. Setiap tindakan ada tindak balasnya dan dikhuatiri akan membawa kepada ketegangan antara kaum dan agama pula.

Oleh : Darah Satria

No comments:

Post a Comment