Monday, January 2, 2017

Perundangan Malaysia Semakin Lemah?

BEBERAPA hari lalu saya dihujani pelbagai soalan daripada ibu bapa dan saudara-mara di kampung berkaitan bermacam-macam dakwaan terhadap kerajaan khususnya tentang negara akan muflis dalam masa terdekat.

Khabar angin dan berita palsu disebar pantas melalui mesej WhatsApp kalangan penduduk kampung yang tidak pandai menggunakan media sosial lain seperti Facebook dan Twitter.

Nampaknya pihak berkuasa khususnya jabatan dan agensi kerajaan berwajib terlalu mengambil mudah kesan penyebaran berita palsu dan fitnah dengan tanggapan penduduk kampung tidak mungkin dipengaruhi.

Saya sendiri sudah letih menjelaskan fakta sebenar kepada saudara-mara di kampung kerana mereka akan terus dikelirukan dengan kebanjiran tanpa henti pelbagai berita dan fakta palsu.

Walaupun ada tindakan diambil untuk mengekang penyebaran berita palsu dan fakta salah kepada orang ramai, keadaan dilihat semakin teruk.

Berbeza dengan negara lain khususnya negara maju, penggunaan media sosial di Malaysia sudah terlalu tepu ke arah menyebar dakyah politik termasuk menghasut orang ramai membenci kerajaan menggunakan maklumat palsu dan fakta yang diputar belit.

Itu belum mengambil kira tindakan tanpa segan silu memainkan isu kaum dan agama demi laba politik.

Dalam kebanyakan kes, hanya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak menahan individu atau kumpulan yang mencipta atau menyebar berita palsu tersebut.

Namun, individu mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit seolah-olah terlindung daripada sebarang tindakan perundangan sama ada melalui penangguhan perbicaraan atau sekadar denda ringan sahaja.

Dalam kes penyebaran berita palsu, fitnah dan fakta songsang, jarang sekali kita mendengar individu yang mencipta atau menyebarkannya dikenakan tindakan tegas khususnya melarang mereka menggunakan media sosial untuk satu tempoh panjang.

Adakah ini menunjukkan sistem perundangan negara khususnya pendakwa raya sudah terlalu lemah dan tidak dapat mengambil tindakan terhadap pelaku tersebut?

Mungkinkah kita sudah kekurangan peruntukan undang-undang untuk bertindak selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan atau pasukan pendakwa raya tidak sehebat barisan peguam yang melindungi penjenayah?

Atau mungkin kerana pasukan pendakwa raya lebih takut dilabel sebagai menindas penentang kerajaan daripada mengekang perbuatan menghasut dan menggugat keharmonian masyarakat?

Kerajaan kita bukan seperti di negara jiran yang sanggup menyaman seteru mereka sehingga muflis! Maka, tidak sepatutnya mana-mana pihak dalam kerajaan khuatir dilabel sedemikian rupa.

Kita juga tahu ada sesetengah parti politik yang menggunakan khidmat pasukan ‘penghasut profesional’ untuk memainkan isu-isu bagi memburukkan kerajaan dengan memutar belit fakta sedia ada.

Mereka tidak peduli jika fakta sebenar akhirnya didedahkan kerana tujuan utama adalah mengubah persepsi umum supaya melihat semua dilakukan kerajaan tidak betul atau memudaratkan kepentingan rakyat dan negara.

Di manakah ‘pasukan profesional’ kerajaan dalam menangani pasukan penghasut tersebut? Adakah agensi dan jabatan terbabit tidak mempunyai tenaga pakar secukupnya untuk menangani gerakan memfitnah dan memutar belit fakta secara berterusan?

Saya sebenarnya kasihan kepada PDRM yang tidak henti-henti dicemuh sedangkan kekhilafan dan kelemahan utama berlaku di bahagian pendakwaan di mahkamah.

Bukan sahaja golongan penghasut, nasib Namewee juga kini menjadi tanda tanya. Apa pula tindakan terhadap doktor pelatih yang menghina Yang di-Pertuan Agong Ke-15 baru-baru ini?

Apa tindakan diambil terhadap manusia-manusia yang menghina Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din dan NGO yang menghina Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria?

Adakah ‘sekadar bergurau’ boleh dijadikan alasan melepaskan diri daripada menyebar fitnah dan berita palsu?

Selagi pasukan pendakwa raya tidak sehebat ‘peguam politik’ dalam menegakkan undang-undang, pasukan ‘penghasut profesional’ mahupun mana-mana individu atau NGO yang memfitnah dan memutar belit fakta tidak akan berasa gentar berdepan hukuman mahupun denda.

Jika tiada perubahan segera, saya dan ramai lagi rakyat Malaysia akan hilang kepercayaan terhadap keberkesanan sistem perundangan di negara ini.

No comments:

Post a Comment