Saturday, December 31, 2016

Terus Martabatkan Syariah Pada 2017

2016 bakal ditinggalkan dan beranjak memasuki 2017. Masa berlalu sangat pantas, sama ada berjaya mengisinya dengan baik atau sebaliknya, ia tetap meninggalkan kita. Mustahil masa yang berlalu akan dapat dikembalikan. Kita hanya dapat merenung kembali apa yang berlaku sebagai sejarah. Sejarah mengajar kita lebih bertamadun, sekali gus bersedia menghadapi segala kemungkinan mendatang.

Terdapat banyak perkara berlaku sepanjang 2016 yang memberi kesan kepada masyarakat. Dari aspek perundangan, seperti tahun–tahun sebelumnya, 2016 menyaksikan beberapa perkara melibatkan perbincangan hebat kedudukan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutama melibatkan perkara 121 (1A) masih hangat diperbahas. Ia disulami dengan Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU)Persendirian Akta 355 dibentang oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah. Beberapa kes yang berlaku menyentuh isu ini sehingga membawa kepada perbincangan sama ada Malaysia negara Islam atau sebaliknya. Semua ini turut mewarnai tahun 2016.

Landskap politik yang berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya turut mewarnai dan memberi kesan kepada perundangan negara. Kemunculan beberapa parti politik baharu dan kemelut politik yang masih belum selesai menyebabkan rakyat meneliti setiap isu daripada lensa politik.

TERUS DIPERSOAL
Sebagaimana sebelum ini, peruntukan undang-undang yang memberi kelebihan kepada agama Islam dan orang Melayu masih dipersoal walaupun ia jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dokumen tolak ansur antara kaum sering dilupakan apabila sesuatu kaum menuntut bagi pihak kaumnya.

Digambarkan seolah-olah kaum minoriti ditindas walaupun hakikatnya mereka mendapat banyak kelebihan berbanding kaum minoriti negara lain.

Isu melibatkan Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 masih menjadi tajuk penting dalam perbahasan semasa. Ia memperuntuk bahawa di mana satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu telah memeluk Islam, pihak satu lagi yang tidak memeluk Islam boleh memfailkan petisyen perceraian dengan syarat ia tidak boleh difailkan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pihak itu memeluk Islam.

Apabila membubarkan perkahwinan tersebut, mahkamah boleh membuat perintah kepada isteri atau suami tersebut untuk kepentingan anak-anak kepada perkahwinan itu, jika ada, atau meletakkan syarat-syarat apabila membubarkan perkahwinan itu. Mahkamah yang dimaksudkan di sini adalah Mahkamah Sivil.

Seksyen 51 ini hanya memberi hak kepada pihak yang tidak memeluk Islam itu memfailkan petisyen pembubaran perkahwinannya di mahkamah. Manakala pihak yang memeluk Islam tidak langsung mempunyai hak untuk membubarkannya. Sekiranya pihak yang tidak memeluk Islam itu enggan memfailkan petisyen atas 
alasan-alasan tertentu maka tiada sebarang remedi dan jalan keluar bagi pihak yang memeluk Islam.

Namun yang mengejutkan, pihak kerajaan dilaporkan mahu mengekalkan agama anak jika seorang pasangan memeluk Islam tanpa persetujuan kedua-dua pihak. Ia jelas bertentangan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan dan kes-kes yang diputuskan sebelum ini.

NAFIKAN KEWUJUDAN MAHKAMAH SYARIAH
Persoalan murtad pula telah dituntaskan berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Namun masih terdapat segelintir yang enggan menerima hakikat kewujudan Mahkamah Syariah dan bidang kuasanya. Malah sesetengah golongan cuba mengaburi bidang kuasa mahkamah ini dengan mencampurkan bidang-bidang lain yang bukan terletak bawah bidang kuasa mahkamah berkenaan.

Pernikahan bawah umur juga dijadikan polemik pada tahun ini walaupun Islam membenarkan seorang yang telah mencapai umur baligh bernikah. Perspektif daripada lensa dan norma hidup Barat yang menghadkan pernikahan setelah mencapai umur 18 tahun dipegang erat oleh sesetengah golongan walaupun agama membenarkannya.

CAMBAH KEBENCIAN
Ketuanan, hak istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak juga tidak terlepas menjadi perbahasan utama sesetengah pihak. Begitu juga kedudukan raja-raja Melayu juga adakala dicabar. Politik pula sering kali mendapat tempat teratas semasa perbualan harian masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu. Benih-benih kebencian antara orang Melayu yang berbeza fahaman politik juga terzahir dalam kalangan sesetengah orang Melayu.

Kemunculan Kumpulan G25 yang dikatakan kumpulan Melayu berwibawa pada penghujung tahun 2014 dan sepanjang 2015 diteruskan pada 2016. Hujahan mereka yang berpaksikan kepada hak asasi manusia daripada lensa konvensyen antarabangsa perlu ditangani dengan penuh hikmah. Perlu diperbanyak dialog dengan kumpulan ini dan golongan berfikiran seperti mereka.

Kita wajar menoleh ke belakang melihat kesilapan 
yang telah berlaku dan mencari jalan serta membuat perancangan demi kebaikan tahun mendatang.

Berpindah ke tahun baharu sebenarnya membawa tanggungjawab lebih besar. Kita ingin melihat negara berjaya mencapai status negara maju dengan nilai-nilai murni yang dipertahan. Semoga 2017 membuka lembaran lebih baik dan membawa kebaikan untuk semua khususnya perundangan Islam.

Terlalu banyak perkara yang menanti kita pada 2017 nanti. Sekiranya kita masih tidak mengadakan anjakan paradigma sudah pasti 2017 juga akan meninggalkan kita tanpa sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan.

Ke mana hala tuju kita di 2017 nanti? Semoga ia menjadi tanda aras kejayaan umat Islam.

No comments:

Post a Comment