Tuesday, October 27, 2015

Lebuhraya Di Semenanjung Boleh Bebas Tol...!

Saksikan Ucapan Najib Jerat Leher Sendiri
Pengumuman kerajaan bahawa Lebuhraya Pan-Borneo akan bebas tol, bermakna lebuh raya boleh dibina tanpa mengutip tol, kata MP Pandan, Rafizi Ramli.

Katanya, beliau tidak fikir yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak faham bahawa apabila beliau mengumumkan Lebuhraya Pan-Borneo akan bebas tol, rakyat akan membuka mata mereka, sedar dan faham bahawa lebuhraya boleh dibina di negara ini tanpa kutipan tol.

Oleh itu, katanya, kenyataan sebelum ini bahawa kerajaan perlu syarikat konsesi swasta untuk membina lebuh raya, tidak lagi boleh dipakai kerana kerajaan sendiri mengumumkannya.

Rafizi berkata demikian dalam satu forum di Kuala Lumpur mengenai bajet alternatif Pakatan Harapan malam tadi.

Katanya, jika boleh dibina Lebuhraya Pan-Borneo yang lebih panjang daripada Lebuhraya Utara-Selatan tanpa tol, maka lebuh raya bebas tol boleh diwujudkan jika kerajaan mahu berbuat demikian.

Malangnya, dakwa Rafizi, beliau merasakan bahawa Najib tidak merasakan yang undi di Semenanjung adalah cukup penting, berbanding dengan undi di Borneo.

Pendahulu Pakatan Harapan - Pakatan Rakyat - dalam kempen pilihan raya umum tahun 2013, berjanji untuk memansuhkan tol lebuh raya secara berperingkat jika ia dipilih menerajui kerajaan.

Dalam ucapan bajetnya Jumaat lepas, Najib mengumumkan bahawa Lebuhraya Pan-Borneo sepanjang 1,090 kilometer akan siap pada 2021 dengan kos sebanyak RM16.1 bilion dan ia akan bebas tol.

Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof dilaporkan berkata Lebuhraya Pan Borneo akan sama dengan jalan persekutuan di Semenanjung Malaysia, di mana jalan-jalan persekutuan adalah bebas tol.

Pengumuman itu dibuat selepas kenaikan kadar tol di 18 lebuhraya pada 12 Oktober lalu, terutama di Kuala Lumpur dan Selangor.

Seorang lagi ahli panel di forum itu, Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming mendakwa walaupun ada kenaikan kadar tol, kerajaan sebenarnya akan membayar lebih pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya di bawah bajet tahun depan.

Katanya, selepas melihat Bajet 2016, didapati pampasan yang akan dibayar kepada syarikat tol juga telah meningkat.

"Pada 2015, pampasan kepada syarikat konsesi tol berjumlah RM458 juta. Bagi tahun 2016, ia naik kepada lebih RM500 juta," katanya.

Pada bulan Oktober, katanya, kadar tol baru sahaja meningkat, dari 30 sen hingga RM1.

Beliau bertanya mengapa pada masa di mana kadar tol telah meningkat, pampasan kepada syarikat konsesi juga dinaikkan.

Sumber : penburukonline

No comments:

Post a Comment