Sunday, August 2, 2015

TPPA: Perdagangan Bebas Yang Tidak Bebas

Pada Disember 2014,Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat telah menaikkan tarif bagi panel solar yang diimport dari China daripada 26 peratus kepada 78 peratus, bagi melindungi firma yang mengeluarkan panel solar di negara tersebut.

Ini merupakan sebahagian daripada kenaikan cukai import yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap barangan yang dihasilkan oleh gergasi ekonomi Asia terbabit.

Sehingga kini, Amerika Syarikat mempunyai perjanjian dagangan bebas dengan 20 negara. Dan China – yang mengambil alih kedudukan Amerika Syarikat sebagai kuasa ekonomi terbesar dunia sejak tahun 2012 – tidak termasuk dalam senarai 20 negara itu.

TPPA
Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) – Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik – merupakan perjanjian dagangan antara 12 negara rantau Pasifik iaitu Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Kanada, Jepun, Chile, Mexico, Peru, Singapura, Brunei, Vietnam dan Malaysia.

TPPA dikatakan bakal meningkatkan perdagangan dan pelaburan di kalangan negara anggota seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Namun rundingan TPPA sehingga kini dijalankan secara rahsia antara pemimpin negara. Sepatutnya di negara yang mengamalkan sistem demokrasi, rakyat perlu dimaklumkan tentang apa yang akan dicampakkan ke atas mereka.

Walau bagaimanapun, melalui dokumen yang dibocorkan dan juga hasil butiran rundingan yang sudah pun ditandatangani, kita mempelajari serba sedikit tentang beberapa isu yang berbangkit.

Penurunan tarif
Secara umumnya, TPPA akan menurunkan kadar tarif bagi barangan import, di samping memudahkan syarikat multinasional untuk bertapak di negara anggota.

Hal ini bermakna, barangan dan firma dari Amerika Syarikat lebih mudah untuk masuk serta bertapak di negara ini.

Benar, perkara yang sama turut berlaku terhadap mereka; produk dan syarikat dari Malaysia juga lebih mudah untuk masuk ke pasaran Amerika Syarikat.

Namun bandingkan pula taraf ekonomi kedua-dua pihak – kita negara membangun, sementara mereka pula negara maju merangkap kuasa ekonomi dunia. Tentulah tidak adil untuk meletakkan kedua-dua negara di platform yang sama. Ibarat mentimun dengan durian.

Akhirnya, dibimbangi yang untung hanyalah sebelah pihak. Barangan dan firma dari Amerika Syarikat akan mula menguasai ekonomi negara kita, sekaligus menggugat perniagaan rakyat tempatan.

TPPA: perdagangan bebas?
Dari sini kita dapat lihat Amerika Syarikat hanya gemar mengadakan dagangan bebas dengan negara-negara yang lebih kecil ekonominya. Dengan cara ini, mereka mampu mengeksploitasi negara-negara ini bagi mengaut keuntungan yang lebih besar.

Oleh sebab itu mereka enggan mengadakan dagangan bebas dengan China, negara yang ekonominya setaraf jika tidak lebih besar daripada mereka. Malah mereka menaikkan lagi tarif barangan yang diimport dari China.

Sebab itu juga, isi kandungan TPPA antara Amerika Syarikat dengan Jepun berbeza sedikit berbanding negara lain. Amerika Syarikat masih dibenar mengekalkan tarif terhadap kenderaan yang diimport dari Jepun bagi melindungi industri automotif di Amerika Syarikat. Jika dagangan antara dua negara tersebut benar-benar bebas, dijangka Amerika Syarikat habis dibanjiri oleh kenderaan buatan Jepun.

Kedaulatan negara tergugat
Yang dibimbangi tentang TPPA ialah kebarangkalian undang-undang luar, terutamanya berkaitan perniagaan, akan dipaksakan ke atas negara kita.

Misalnya undang-undang hak cipta Amerika Syarikat yang amat ketat. Sekiranya peraturan paten yang diguna pakai oleh firma-firma farmaseutikal dari Amerika Syarikat turut dikuatkuasakan di negara kita, dijangka harga ubat-ubatan akan meningkat secara drastik.

Secara tidak langsung ia bakal menaikkan kos kesihatan di Malaysia.

Untuk makluman, statistik pada tahun 2012 menunjukkan Amerika Syarikat sebagai negara yang memiliki kos kesihatan paling mahal di dunia, tetapi dalam masa yang sama, dari sudut tahap kesihatan, berada di tempat paling belakang di kalangan negara maju. Ini antara lain disebabkan harga ubat-ubatan di sana yang amat tinggi.

Syarikat asing menyaman kerajaan
Sejak awal lagi, tujuan TPPA digubal adalah untuk meluaskan pengaruh syarikat multinasional. Sehingga satu situasi di mana firma asing boleh menyaman kerajaan menerusi tribunal yang memiliki kuasa lebih tinggi berbanding mahkamah tempatan.

Perkara ini sudah pun berlaku. Firma tembakau Amerika Syarikat, Phillip Morris telah menyaman kerajaan Australia kerana mengenakan peraturan plain packaging (di mana kotak rokok yang dijual di negara itu mestilah tidak diletakkan sebarang gambar dan logo syarikat; hanya mengandungi jenama dalam tulisan kecil bersama amaran kesihatan) yang dilaksanakan demi kesihatan awam.

Syarikat minyak Chevron telah menggunakan tribunal yang sama bagi mengelak membayar pampasan berbilion dollar kerana mencemarkan alam sekitar di Ecuador.

Tentangan terhadap TPPA
Pada tahun 2012, protes telah dianjurkan di Melbourne, Australia dan Auckland, New Zealand bagi membantah TPPA. Tunjuk perasaan yang serupa turut berlaku di Tokyo, Jepun pada 2013.

Rakyat Malaysia turut berkongsi sentimen ini melalui protes yang diadakan pada 11 Oktober 2013 dan 21 Februari 2014.

Malah bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad juga telah meluahkan kebimbangan terhadap kesan yang bakal menimpa Malaysia akibat termeterainya TPPA.

Tindakan Malaysia
TPPA sebenarnya merupakan perjanjian dagangan bebas yang tidak bebas. Ia mengancam ekonomi kita dan mengikat kita dengan undang-undang serta peraturan asing.

Kerajaan Malaysia sepatutnya menarik diri daripada rundingan TPPA demi melindungi ekonomi dan kedaulatan negara daripada dijajah kuasa luar. Rakyat pula perlulah peka terhadap bahaya yang akan melanda hasil perjanjian berat sebelah ini.

Jika pun kerajaan enggan berundur dari meja rundingan, setidaknya isi kandungan perjanjian mesti didedahkan kepada umum. Biarlah rakyat dan golongan bijak pandai menilai sendiri baik atau buruknya TPPA.

Sumber : harakahdaily

No comments:

Post a Comment