Friday, November 14, 2014

Aduhhh...Makmurnya Malaysia ! ! !

Malaysia Didakwa Kuasai Tiga Perkampungan Indonesia
JAKARTA – Seorang anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Nunukan, Kalimantan Utara, Ramli mendakwa, tiga kampung warga Indonesia di daerah berkenaan sudah menjadi milik Malaysia.

Ketiga-tiga kampung penempatan itu ialah Sumantipal, Sinapad, dan Desa Kinokod yang terletak di daerah Lumbis Ogong iaitu di perbatasan Malaysia-Indonesia.(baca juga disini)

“Keluasan ketiga-tiga desa itu mencapai 54,000 hektar dan berada di perbatasan dengan Malaysia. Berdasarkan informasi dari masyarakat, desa-desa yang dimiliki Malaysia itu berpotensi menjangkau kawasan yang lebih luas jika pemerintah (kerajaan) Pusat membiarkan.

“Ini adalah kerana perpindahan penduduk secara beramai-ramai di daerah Lumbis Ogong ke Malaysia terus berlaku sehingga kini,” kata Ramli seperti dilaporkan akhbar Media Indonesia hari ini.

Beliau turut mendakwa, ratusan ketua keluarga yang tinggal di Desa Sumantipal, Sinapad, dan Kinokod pada ketika ini sangat bimbang kerana hasil hutan di ketiga-tiga desa itu telah dikuasai oleh sebuah syarikat Malaysia sejak 1984 lagi.

Sementara itu, seorang lagi anggota DPRD Nunukan, Lewi pula mendakwa perpindahan rakyat secara beramai-ramai di daerah Lumbis Ogong mula berlaku sejak 1985.

Katanya, berdasarkan laporan yang beliau terima, sekitar 60 peratus penduduk di daerah itu khususnya di Labang, Panas dan Tau Lumbis telah berpindah ke daerah Tenom, Kota Kinabalu, Sabah.

Berikutan perpindahan beramai-ramai rakyat Indonesia ke Sabah menyebabkan Malaysia didakwa anggota DPRD itu sebagai menguasai ketiga-tiga kampung penempatan penempatan rakyat Indonesia itu.

Akhbar itu turut melaporkan, Ramli dan Lewi mendakwa, kerajaan Malaysia menjanjikan pelbagai pembangunan prasarana dan keperluan rakyat termasuk bekalan elektrik kepada masyarakat Desa Sumantipal dan Sinapad. (baca juga disini)

Pada masa sama, Lewi mendakwa, Desa Kinokod kini sudah kosong kerana seluruh penduduk di situ sudah berpindah ke Malaysia terma­suk ketua kampungnya.

Seorang lagi anggota DPRD Nunukan, Niko Hartono berkata, sekalipun perpindahan warganegara Indonesia ke Malaysia di perbatasan sudah lama berlaku, namun baru kini hal itu disedari.

Menurut Niko, masyarakat di daerah Lumbis Ogong memilih untuk menukar kewarganegaraan ke­rana keadaan ekonomi di kampung halaman yang kurang memberangsangkan.

Apa lagi akses jalan masuk ke wilayah Indonesia tegas beliau, sa­ngat sukar jika dibandingkan de­ngan kemudahan yang disediakan kerajaan Malaysia.

Berdasarkan laporan akhbar itu, kerajaan Malaysia sejak dahulu lagi sudah menyediakan jalan raya yang baik di wilayah perbatasan itu sehingga menyebabkan warga Indonesia lebih mudah berhubung di Malaysia berbanding negara sendiri.

“Desakan ekonomi menjadi alasan kenapa warganegara Indonesia di daerah Lumbis Ogong memilih untuk bertukar kewarganegaraan ditambah tiada usaha untuk membangunkan infrastruktur jalan, telekomunikasi dan lain-lain oleh pemerintah Indonesia,” kata Niko. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment