Saturday, May 31, 2014

Kenduri Seks - Malaysia Book of Records...

Memagar Serambi Mekah Daripada Pil kuda, Kenduri Seks
SEBAIK sahaja media melaporkan mengenai 'kenduri seks' yang membabitkan gadis sunti berusia 15 tahun dirogol lebih 30 lelaki di Ketereh, Kota Bharu pada 28 Mei lalu, ada yang bertanya adakah ia benar-benar berlaku.

Malah ada yang menyatakan jika betul ia berlaku sudah pasti kes ini adalah rekod baharu yang boleh dimuatkan dalam Malaysia Book of Records.

Ya, memang benar ada kewajaran untuk mempertikaikan perkara tersebut kerana ia adalah suatu perkara yang tidak normal dan tidak dapat dijangkau oleh akal fikiran.

Namun jika direnung kembali isu tersebut bukan sahaja membabitkan jumlah perogolnya tetapi ia membawa persoalan yang lebih besar dalam kehidupan sosial masyarakat di negara ini khususnya di Kelantan.

Secara jujur, penulis merasa amat malu untuk melaporkan tentang tragedi ini kerana ia berlaku dalam negeri Serambi Mekah tetapi biar sepahit mana sekali pun kebenaran ini harus didedahkan kepada khalayak sebagai pengajaran dan sempadan hidup.

Justeru itu, perkara pertama yang perlu ditelaah semua pihak terutama kerajaan dan masyarakat ialah punca kejadian itu.

Jangan lupa, statistik menunjukkan kes rogol di bawah umur di Kota Bharu amat membimbangkan, 21 kes dalam tempoh lima bulan. Ini baru satu daerah tidak dicampur dengan daerah-daerah lain di negeri ini. Satu angka yang amat menakutkan!

Daripada pemikiran yang mudah, hanya ada dua punca kejadian itu berlaku. Pertama, dadah dan kedua, sikap ibu bapa.

Namun tidak dapat dinafikan masih ada punca-punca kecil lain yang boleh menyebabkan ia berkembang menjadi besar.

Penduduk di negeri ini amnya mengetahui masalah dadah terutama pil kuda telah menjadi barah utama dalam masyarakat terutama generasi muda.

Biar sekuat mana operasi membanteras musuh nombor satu negara ini diadakan, ia tetap mara ke hadapan seolah-olah tiada siapa yang mampu menghalangnya.

Dadah jenis sintetik ini menjadikan seseorang itu seperti mayat hidup, hanya jasad yang bergerak tetapi otak entah ke mana. Pengambilnya sanggup melakukan apa sahaja hatta perkara yang dianggap tidak normal oleh manusia biasa - mungkin lebih dahsyat daripada ‘zombie’.

Justeru tidak pelik sekiranya ‘mayat-mayat hidup’ ini sanggup 'memperkudakan’ seorang gadis berusia 15 tahun beramai-ramai tanpa merasa jijik dan bersalah kerana akal sudah hilang daripada jasad.
Punca kedua, ialah ibu bapa. Soalan asas, ke mana, di mana dan dengan siapa anak kita berada? Ia harus sentiasa berada dalam pemikiran setiap ibu bapa bagi mewujudkan rasa 'curiga' demi kebaikan zuriat kita.

Benar, dunia hari ini menuntut ibu bapa bekerja kuat demi survival hidup namun anak-anak adalah harta yang tiada tolak bandingnya yang harus ditatang sehingga mereka benar-benar dewasa untuk mengenal erti dunia.

Bagaimanapun dua punca ini ada penawarnya.

Pertama, Kelantan terletak di sempadan dengan Thailand. Jarak yang memisahkan di antara kedua-dua negara hanya sekangkang kera.

Statistik juga menunjukkan Kelantan antara negeri tertinggi mencatatkan jumlah penagih dadah baru dan jumlah penghidap HIV.

Di sini pintu dadah dibawa masuk. Pintu ini harus ditutup dengan rapat. Justeru itu, cadangan kerajaan untuk membina tembok mahupun pagar di kawasan sempadan harus disegerakan sekiranya mahu melihat anak bangsa terutama Melayu Islam tidak terus rosak.

Tidak dapat dinafikan banyak perkiraan harus dibuat untuk menutup pintu ini. Kerajaan Pas Kelantan memikirkan undi yang akan hilang disebabkan penduduk di sempadan marah kerana pintu rezeki mereka ditutup. Kerajaan Pusat pula memikirkan kos ratusan juta yang perlu dilaburkan.

Tetapi kebaikannya amat besar demi generasi akan datang. Pagar atau tembok harus dibina secepat mungkin.

Kedua, adalah ibu bapa dan masyarakat. Ini kunci azimat untuk menutup segala jendela kemaksiatan. Semuanya bermula di rumah.

Masyarakat juga harus cakna dengan persekitaran mereka dan bukan hanya menyerahkan kepada polis atau kerajaan untuk menyelesaikan setiap isu sosial.

Pihak berkuasa khususnya Polis Kelantan telah melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang, statistik jenayah semakin menurun. Cuma ada satu dua kes yang menyakitkan hati.

Kini menjadi tugas semua anggota masyarakat bermula daripada keluarga sehingga ke pemimpin tertinggi untuk memasang 'pagar' mengelakkan anak-anak muda terjebak dengan masalah sosial.

Terakhir, mungkin sudah sampai masanya hukum hudud dilaksanakan secepat mungkin di negeri ini bagi mewujudkan rasa gerun kepada pelaku jenayah.

Harap-harap tiada lagi berita kenduri seks atau rogol yang terpaksa dilaporkan di dada akhbar selepas ini.

Oleh : Azran Fitri Rahim

No comments:

Post a Comment