Thursday, February 27, 2014

Bosan Dengan Perkahwinan

Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengharapkan rumah tangga mereka kekal hingga ke hujung nyawa. Namun, berharap sahaja tidak memadai tanpa disertakan usaha, apatah lagi tempoh yang akan dilalui bukan sekejap malah jika dipanjangkan umur dan jodoh mungkin mencecah puluhan tahun.

Sepanjang tempoh itu, cinta dan kasih sayang sahaja belum cukup untuk menongkat rumah tangga daripada rebah, sebaliknya banyak lagi elemen penting bagi memastikan kebosanan tidak bertandang.

Jadikan hubungan suami isteri sentiasa segar dan hangat seperti ketika baru berkasih dahulu.

Berikut beberapa tip yang mungkin boleh membantu pasangan suami isteri menyemarakkan lagi hubungan dan mengelak daripada kebosanan.

Jangan asyik mengeluh
Sebagai pasangan suami isteri, anda bukan budak-budak lagi yang asyik mengeluh itu dan ini. Terlalu banyak mengeluh dan bersungut pada pasangan seperti budak-budak akan membuatkan rasa tidak selesa yang lama-kelamaan menimbulkan kebosanan. Seeloknya, ajak suami atau isteri duduk berbincang masalah yang dihadapi dan cari penyelesaian bersama-sama.

Lebih banyak mendengar
Jangan gemar memotong ketika pasangan anda sedang bercakap. Salah satu rahsia mengekalkan keharmonian dalam rumah tangga ialah mendengar dan memberi perhatian ketika pasangan anda sedang bercakap. Tidak ada salahnya jika anda di pihak yang lebih banyak mendengar. Biarkan pasangan selesai apa yang ingin disampaikan, dengar dengan hati terbuka dan kemudian baru beri pandangan atau apa yang anda fikirkan tentang perkara yang dibincangkan. Melalui cara ini, secara tidak langsung anda sebenarnya membina persefahaman dan ego masing-masing mampu diurus dengan baik.

Luahkan sahaja apa yang anda inginkan
Sebagai pasangan yang telah dewasa dan matang anda tidak perlu bermain teka-teki sebab ia hanya kelakar ketika bercinta di bangku sekolah. Pada usia sekarang dengan rumah tangga yang sudah berusia bertahun-tahun, lebih elok luahkan saja apa yang anda inginkan daripada pasangan. Keadaan ini akan membuat semuanya jadi lebih mudah dan menjauhkan kemungkinan saling berbohong satu sama lain.

Beri ruang pada pasangan
Ketika sedang menghadapi masalah yang jalan penyelesaiannya sukar untuk dicari, anda mungkin boleh beri ruang dengan berjauhan seketika supaya masing-masing boleh berfikir dengan lebih tenang dan jelas. Siapa tahu dengan menjauhkan diri sementara, semua masalah jadi lebih mudah diselesaikan dan tidak bertambah kusut. Jika idea berjauhan itu datang dari pasangan, anda tidak harus marah atau terus berfikiran negatif. Tidak salah untuk anda mencuba idea tersebut jika ia boleh menjernihkan keadaan.

Jangan bercerita dengan teman rapat
Memang tidak dinafikan teman rapat boleh jadi penghibur tatkala berduka atau anda sedang menghadapi konflik kecil dengan pasangan. Namun, anda harus bersedia untuk membatasi cerita-cerita yang boleh dikongsi. Ada masalah rumah tangga yang tidak boleh dikongsi dengan dengan orang lain, selain suami isteri itu sendiri. Jadi jagalah privasi rumah tangga anda itu sebaiknya.
Peruntukan masa untuk berdua
Walaupun perkahwinan anda sudah berusia bertahun-tahun, tidak semestinya anda meremehkan masa waktu untuk anda berdua-duaan sahaja. Cari waktu khusus agar anda dapat berdua seperti pergi menonton wayang, ke kedai kegemaran anda berdua dan sebagainya. Jika anda berdua sentiasa sibuk dan tidak sempat untuk merancang sesuatu yang boleh membuatkan anda berdua terhibur, boleh mencuri waktu di rumah seperti menonton video dan sebagainya. Buat sementara, pisahkan diri daripada anak-anak atau pekerjaan, agar waktu ini boleh betul-betul memperbaiki ikatan hubungan kemesraan anda berdua.

Ungkapkan cinta setiap hari
Mengungkapkan cinta tidak harus dilakukan dengan berkata "I love you" secara langsung. Anda boleh membawakan hadiah kecil seperti bunga cantik yang di petik di tengah jalan ketika balik dari pejabat atau dengan cara membelikan coklat murah kesukaan suami atau isteri. Hal-hal kecil yang dianggap remeh seperti ini, kadangkala boleh menguatkan cinta anda berdua, daripada merancang makan malam mewah yang menghabiskan banyak wang di restoran lima bintang.

Sumber: utusan@Keluarga

No comments:

Post a Comment