Saturday, March 16, 2013

Melayu Perlu Ambil Iktibar


SUASANA politik negara dalam tempoh hampir lima tahun ini dilihat begitu banyak menduga orang Melayu.

Ini apabila timbulnya pelbagai tuntutan serta tindakan pihak-pihak tertentu yang seolah-olah cuba menafikan hak serta kedudukan kaum itu yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

Daripada soal sosial, ekonomi sehinggalah kepada soal agama Islam itu sendiri. Orang Melayu khususnya di negeri-negeri bawah pakatan pembangkang dikatakan semakin hari semakin terhimpit akibar dasar pentadbiran yang didakwa menindas kaum itu.

Mengambil contoh apa yang berlaku di Pulau Pinang, kerajaan negeri itu yang dipimpin DAP sebelum ini didakwa melaksanakan taktik 'halus' untuk menghalau orang Melayu dari negeri itu dengan mengenakan syarat yang tidak munasabah kepada syarikat pemaju yang mahu membina perumahan kos rendah di negeri itu.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh bekas ahli DAP, Razali Abdul Rahman menerusi laporan media pada 17 Februari lalu yang menyatakan kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin DAP hanya berminat membina rumah kos mewah yang mana ia tidak mampu untuk dibeli oleh kebanyakan orang Melayu.

Pada masa sama di Selangor turut mengalami situasi yang sama. Ini apabila kerajaan negeri yang dipimpin PKR turut memberi tumpuan kepada projek mewah sehingga mengabaikan rakyat berpendapatan rendah yang majoritinya adalah orang Melayu di negeri ini.

Seperti mana projek Datum Jelatek di Kampung Dato' Keramat, kerajaan negeri melalui agensinya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai contoh, ia memperlihatkan bagaimana dasar kerajaan negeri yang tidak sensitif dengan permasalahan perumahan rakyat yang terhimpit dengan harga perumahan yang terlalu tinggi melebihi kemampuan mereka.

Cuba kita bayangkan bahawa kos bagi sebuah unit rumah bagi projek Datum Jelatek difahamkan berharga di antara RM956,000 sehingga RM11.5 juta mengikut jenis. Jika sedemikian harganya, apakah nasib orang Melayu yang berpendapatan rendah di negeri ini untuk memiliki kediaman sendiri khususnya di kawasan bandar.

Keadaan itu sudah tentu akan menyebabkan sebilangan besar orang Melayu terpaksa berhijrah ke kawasan pinggir bandar dan di kampung-kampung kerana dihambat oleh kos perumahan yang terlalu tinggi.
Namun, lebih memburukkan lagi keadaan ialah kerajaan negeri melalui PKNS dilihat sepanjang mentadbir Selangor sejak 2008 hingga kini dikatakan langsung tidak membina projek perumahan kos rendah di bawah RM42,000.

Hal ini penting untuk memastikan golongan tersebut menikmati peluang memiliki kediaman sendiri seperti mana yang dijanjikan pakatan pembangkang dalam manifesto mereka pada pilihan raya umum lalu.

Namun, persoalan paling besar timbul ialah mengapa pakatan pembangkang melaksanakan dasar mengutamakan perumahan mewah dalam pentadbiran mereka di Selangor dan Pulau Pinang. Walhal, mereka sebelum ini menjanjikan kebajikan untuk rakyat. Apakah janji itu dibuat mungkin sebahagian daripada helah mereka semata-mata mahu memancing undi orang Melayu?

Itu dari sudut perumahan, dugaan paling besar yang turut dihadapi oleh orang Melayu dalam tempoh hampir lima tahun ini ialah apabila Islam itu sendiri cuba dipolitikkan serta dicabar oleh pihak tidak bertanggungawab kononnya atas nama kebebasan dan hak asasi manusia.

Cabaran ke atas orang Melayu dan agama Islam itu jelas dilihat apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bercakap mengenai penggunaan kalimah Allah untuk Bible dalam perutusannya sempena Hari Krismas tahun lalu.

Dalam perutusan tersebut, Guan Eng antara lain mendesak kerajaan supaya membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu seperti mana diamalkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Abu Bakar Yahya tidak menolak kemungkinan dugaan-dugaan yang dihadapi oleh orang Melayu ketika ini 'bibit-bibit awal' usaha untuk melemahkan orang Melayu di negara ini.

Tegas beliau, walaupun orang Melayu dari segi populasinya merupakan penduduk majoriti di negara ini, namun ia bukanlah satu jaminan bahawa kedudukan orang Melayu itu sebagai tunjang kepada kekuatan negara ini dapat dipertahankan pada masa depan.

Malah beliau percaya bahawa orang Melayu selain dihimpit dengan hambatan ekonomi, kewangan dan kesucian Islam dicabar, mereka turut dipecah-belahkan menerusi pelaksanaan 'dasar halus' yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk melemahkan orang Melayu itu sendiri.

Barangkali ada benarnya apa yang dinyatakan oleh Abu Bakar itu sekiranya kita meneliti dasar kerajaan negeri pakatan pembangkang di Selangor yang melaksanakan pilihan raya Ahli Jawatan Kuasa (AJK) masjid di Selangor sebelum ini. Ia sebenarnya sedikit sebanyak menjadi penyumbang kepada perpecahan kalangan orang Melayu khususnya diperingkat akar umbi.

Buktinya perpecahan itu boleh dilihat menerusi kejadian kekecohan yang berlaku di Masjid Fastabiqul Khairat, Shah Alam; Masjid Nurul Iman, Kuala Selangor; Masjid al-Husna, Petaling Jaya dan Masjid al-Ansar serta Masjid Darul Muttaqin masing-masing di Klang seperti mana yang dilaporkan menerusi media pada tahun lalu.

Kekecohan tersebut berlaku semuanya kerana gara-gara tidak berpuas hati sistem pemilihan itu selain mendakwa wujudnya campur tangan politik dalam keputusan pemilihan itu.

Justeru, berdasarkan kejadian kekecohan yang berlaku di masjid-masjid berkenaan, persoalan seharusnya ditujukan kepada Kerajaan Negeri Selangor ialah mengapa mereka mahu melaksanakan sistem pemilihan AJK masjid itu dan apakah tujuan yang sebenarnya.

Apakah sistem itu sengaja dilaksanakan sebagai satu jalan untuk memecah-belahkan ikatan dan perpaduan orang Melayu? Sebelum sistem pemilihan itu diperkenalkan, tidak pernah kita dengar berlaku kekecohan membabitkan soal pengurusan masjid di Selangor.

Melihat daripada contoh dugaan-dugaan yang dihadapi orang Melayu sejak kebelakangan ini, maka sudah sampai masanya orang Melayu mengetepikan segala perbezaan pendapat, ideologi, kepentingan diri apatah lagi bercakaran sesama sendiri dengan menyalahkan antara satu sama lain.

Orang Melayu perlu bangkit, merapatkan semula ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan mereka. Orang Melayu tidak boleh mengharapkan atau meminta bantuan daripada orang lain untuk menjamin nasib serta kedudukan mereka pada masa depan kecuali melalui usaha dan komitmen orang Melayu itu sendiri.

Allah SWT telah mengingatkan manusia menerusi firman-Nya yang bermaksud: "...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang pada diri mereka.".(ar-Ra'd: 11).

Oleh : Abdul Yazid Alias

No comments:

Post a Comment