Sunday, April 22, 2012

Ghairah Berpolitik Pinggir Adab Islam

SETELAH musim pilihan raya kecil terhenti kerana Parlimen dan Dewan Undangan Negeri telah pun melampaui tempoh tiga tahun, cakap-cakap politik kembali rancak kerana pelbagai spekulasi timbul tentang pilihan raya umum yang mesti dilakukan selewat-lewatnya pada tahun hadapan.

Pilihan raya umum kali ini seperti pilihan raya-pilihan raya terdahulu, sudah pasti akan mencetuskan persaingan sengit antara parti bertanding bagi tujuan merebut kerusi itu.

Kebiasaannya, tidak akan ketinggalan kempen mencemuh pihak lawan sebagai cara meraih undi parti yang bertanding.

Acap kali persoalan akhlak, peribadi dan sebagainya mendapat perhatian istimewa di kalangan orang yang bertanding.

Tidak dapat dinafikan politik adalah sebahagian daripada Islam. Islam tidak menyisih politik daripada pemantauan agama. Rasulullah sendiri sangat mahir berpolitik sehingga dapat menyatukan umat Arab yang bertelingkah antara satu sama lain selama beberapa kurun.

Walaupun politik sebahagian daripada Islam, umat Islam kini seolah-olah menganggap politik adalah segala-galanya. Malah tidak keterlaluan jika kita katakan terdapat segelintir yang berpandangan bahawa saluran politik saja yang dapat menegakkan agama Islam di Malaysia.

Pada pandangan saya, arena politik hendaklah bersama-sama saluran lain seperti dakwah, kemasyarakatan, perundangan, pendidikan, ekonomi dan moral memartabatkan Islam.

Politik sahaja mungkin tidak akan dapat mencapai standard negara Islam yang diacu oleh Rasulullah. Apa yang menyedihkan, hari ini umat Islam terlalu banyak berpolitik. Apa saja yang berlaku, neraca digunakan bagi memberi justifikasi adalah neraca politik. Hatta dalam warna berpakaian pun neraca politik digunakan melihat kepada warna serta gaya pemakaian.

Inilah yang menyebabkan apabila satu pihak mengambil sesuatu pendekatan, pihak satu lagi pasti tidak bersetuju dan mengambil pendekatan berlainan. Ia dilakukan semata-mata kerana ingin berbeza dengan parti lawan.

Natijahnya, pembangunan Islam itu sendiri akan dikesampingkan, malah pembangunan negara juga tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana pemimpin lebih sibuk memikirkan hal politik berbanding pembangunan negara.

Amat sedih juga apabila diperhatikan dalam hal ehwal Islam seperti isu-isu yang berkaitan akidah, pemimpin Islam bertelagah serta berbeza pendapat.

Bukan setakat berbeza pandangan tetapi memburukkan pihak lain yang tidak sependapat dengan mereka. Masing-masing mengatakan mereka yang benar dan pihak lain itu salah.

Isu penggunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam umpamanya adalah tamsilan yang nyata pemimpin politik meletakkan politik mengatasi kepentingan Islam.

Begitu juga dalam hal orang bukan Islam memasuki dan berceramah di surau yang menimbulkan perbahasan sehingga orang yang tidak mempunyai pengetahuan agama pun memberi pandangan akal mereka.

Seharusnya para ulama perlu menzahirkan teladan permuafakatan di dalam sesuatu isu agama dan berpegang kepada prinsip selagi isu tersebut bukan merupakan suatu isu yang asas maka perbezaan pandangan adalah diraikan.

Malah, dalam isu penggunaan wang hasil judi diberikan kepada warga emas Islam juga menjadi pertikaian antara parti politik. Hasilnya, Islam dilihat sebagai tidak seragam dan mengelirukan.

Perbezaan tersebut sepatutnya diraikan dengan hikmah berdasarkan adab ikhtilaf yang digariskan ulama terdahulu.

Apa yang berlaku hari ini, kelapangan dada menerima pandangan berbeza itu sudah hilang dan adab berbeza pandangan sudah terlalu nadir.

Apabila seseorang itu berbeza pandangan, khususnya membabitkan persoalan politik, orang itu dicemuh dan dikritik secara melulu seolah-olah tiada sebarang manfaatnya. Perkara sedemikian berlaku kerana umat Islam meletakkan persoalan politik mengatasi ajaran Islam itu sendiri.

Prinsip hukum syarak yang mengajak kepada kehalusan budi dalam berbeza pandangan diketepikan dan objektif utama ialah untuk berada di puncak kekuasaan.

Pendekatan sebegini hanya merugikan orang Islam. Sebagai orang Islam, walau apapun pegangan politik, Islam hendaklah diutamakan. Jika sesuatu itu dilakukan memberi kebaikan kepada agama dan negara, ia hendaklah disokong tanpa mengira siapa yang menzahirkan idea itu.
 
Oleh : Zainul Rijal Abu Bakar

No comments:

Post a Comment