Saturday, October 29, 2011

Wujudkan Bahagian Audit Dalaman

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Setiap kementerian dan agensi kerajaan perlu mewujudkan bahagian audit dalaman dan kumpulan pemantau bagi memastikan tiada unsur penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berlaku dalam menguruskan kewangan negara.

Setiausaha Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, bahagian itu akan bertindak lebih awal sekiranya berlaku perbuatan tidak bertanggungjawab oleh mana-mana kakitangan sebelum kegiatan itu dikesan Jabatan Audit Negara.

"Kes seumpama ini sentiasa berulang setiap tahun seolah-olah tidak ada tindakan serius diambil.

"Justeru, satu bentuk mekanisme terbaik perlu difikirkan untuk menangani masalah ini supaya kita dapat mengenal pasti kegiatan tidak beramanah itu di peringkat awal sebelum ia menjadi lebih parah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini

Beliau mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya semua pihak yang berkenaan memandang serius teguran yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 dengan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah yang timbul.

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, setiap pegawai tertinggi termasuk kakitangan peringkat bawahan perlu dikenakan tindakan sewajarnya jika terbukti mereka bersalah menyalahguna kuasa melibatkan lebihan perbelanjaan di kementerian masing-masing.

Katanya, langkah itu bagi memastikan tiada unsur berat sebelah sebagaimana yang diamalkan sebelum ini apabila kakitangan bawahan sahaja dikenakan tindakan disiplin, manakala pegawai tertinggi terlepas daripada hukuman.

"Perkara seperti ini (lebihan perbelanjaan) tidak boleh sama sekali berlaku kerana pihak kami selalu mendapat aduan bahawa beberapa kementerian tidak ada peruntukan untuk membelanjakan soal kebajikan pekerja.

"Tetapi apabila berlaku lebihan perbelanjaan, timbul pula tanda tanya ke mana sebenarnya wang dibelanjakan? Perkara ini sangat serius kerana ia menjejaskan nama baik semua warga kementerian biarpun segelintir mereka di peringkat tertinggi melakukan perkara itu," katanya.

No comments:

Post a Comment