Sunday, February 27, 2022

Batal Pengharaman Buku ‘Gay Is Okay!’ Canggah Nilai Moral, Ketimuran

BANGI – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyifatkan keputusan mahkamah membatalkan pengharaman buku ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’ sebagai bercanggah dengan nilai-nilai moral dan ketimuran di Malaysia, sebagaimana yang difahami melalui Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan, PEMBELA turut melihat kes itu sebagai sebahagian daripada rentetan pelbagai kes lain yang menjadi kegagalan kerajaan menjaga kedaulatan Islam sebagai agama Persekutuan seperti mana termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan.

Sehubungan itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya mendesak kuasa eksekutif dan legislatif menggunakan segala ruang yang ada bagi memperbetulkan kelompongan serta kelemahan pada sistem kehakiman negara.

“PEMBELA akan memobilasi jentera melalui rangkaian NGO Islam di seluruh Malaysia untuk menjalankan langkah-langkah strategik termasuk menyerahkan memorandum kepada pejabat Perdana Menteri dalam masa terdekat.

“Akhir sekali, PEMBELA mengajak seluruh rakyat Malaysia terutamanya umat Islam untuk menyatakan ketidaksetujuan terhadap segala yang berlaku sejak akhir-akhir ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan penulis dan penerbit buku berkenaan untuk membatalkan perintah pengharaman Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Hakim Datuk Noorin Badaruddin ketika membaca keputusannya dilaporkan berkata, kandungan buku itu tidak membuktikan fakta atau asas undang-undang yang menyebabkan KDN mengharamkannya.

Jelasnya, KDN ketika itu telah mengeluarkan arahan pengharaman mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dengan alasan kandungannya memudaratkan ketenteraman, moral dan kepentingan awam.

Bagaimanapun, Noorin berkata, setelah meneliti keseluruhan buku itu, kandungan berkaitan homoseksual buku berkenaan hanya daripada sudut perspektif agama Kristian.

Sebelum ini, KDN mengeluarkan perintah pengharaman pada 27 November 2020 terhadap buku yang ditulis Ngeo Boon Lin dan penerbitnya, Chong Ton Sin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, walaupun tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tempoh tujuh tahun sejak buku itu diterbitkan, ia masih dianggap sebagai promosi homoseksual yang masih boleh menjejaskan umum. - ismaweb.net

Beli Rumah AS$10 Juta Kepada Kekasih Malaysia Guna Wang 1MDB

Perbicaraan kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, New York mendedahkan sejauh mana wang yang diselewengkan itu mengalir keluar daripada firma berdaulat Malaysia.

Dalam perbicaraan semalam, saksi utama pendakwaan Tim Leissner mengakui telah menggunakan wang yang diterima daripada 1MDB untuk membeli rumah bernilai AS$10 juta (RM41.8 juta) di London untuk kekasihnya dari Malaysia ketika itu, Datuk Rohana Rozhan yang ketika itu merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, lapor Bloomberg.

Leissner, bekas ketua operasi Asia Tenggara Goldman Sachs, memberitahu pendakwa raya Amerika Syarikat (AS), Drew Rolle bahawa Rohana telah mengancam untuk mendedahkan penglibatannya dengan 1MDB.

“Cik Rozhan sangat kecewa kerana saya memutuskan hubungan kami untuk bersama bakal isteri saya, dengan Kimora.

“Jika saya tidak membelikan dia rumah, dia akan memberitahu pihak berkuasa tentang penglibatan saya dalam skandal 1MDB. Dia mengancam untuk mendedahkan saya.

“Pada masa itu, 2013, saya sangat takut akan perkara itu,” Leissner dipetik sebagai berkata ketika disoal sama ada dia telah memberi Rozana sebarang wang daripada dana pelaburan Malaysia.

Leissner berkahwin dengan personaliti TV AS Kimora Lee Simmons pada 2013.

Menurut laporan berita Bloomberg, Leissner menjalinkan hubungan romantis dengan Rozana dari 2003 hingga 2013.

“Hampir semua orang di wilayah Asia Tenggara mengetahuinya,” Leissner dipetik berkata.

Leissner juga dilaporkan memberitahu mahkamah AS bahawa pada satu ketika, dia telah berunding dengan bosnya ketika itu di Goldman, Richard Gnodde, mengenai Rohana.

Gnodde dilaporkan memberitahu Leissner supaya berhati-hati kerana bank pelaburan AS itu mempunyai urusan perniagaan dengan Astro.

Walaupun nasihat Gnodde, Leissner memberitahu mahkamah bahawa dia meneruskan hubungannya dengan Rohana selama 10 tahun lagi.

Rohana meletak jawatan daripada Astro pada 2019.

Bloomberg berkata ia telah menghubungi Rohana dan Gnodde melalui e-mel tetapi tidak menerima maklum balas segera.

Leissner dilaporkan sebelum ini memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 14 Februari bahawa dia dan Ng adalah “kawan baik” dan telah bekerjasama untuk menipu bos mereka di Goldman tentang rasuah yang sepatutnya diterima untuk perjanjian 1MDB.

Ng adalah ketua perbankan pelaburan Goldman Malaysia dan didakwa bersubahat dengan Leissner untuk mencuci wang yang melanggar undang-undang antirasuah AS.

Sehingga kini, Ng adalah satu-satunya bekas bank Goldman yang menuntut perbicaraan dalam skandal itu.

Pendakwa raya menuduh Ng, 49, menerima sogokan berjuta-juta dolar kerana membantu menggelapkan dana 1MDB.

Ng mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

Pada tahun 2018, Leissner, 52, mengaku bersalah atas tuduhan serupa dan bersetuju untuk bekerjasama dengan siasatan kerajaan.

Leissner dan anak syarikat Goldman Sachs telah pun mengaku bersalah dalam kes itu, manakala Jho Low, seorang pembiaya bebas yang suka menganjurkan parti mewah di Las Vegas dan Los Angeles, kekal sebagai pelarian. - Agendadaily

Saturday, February 26, 2022

‘Premier’ Tu Apa Ye Dalam Bahasa Melayu?

Kawan-kawan kita dari Sarawak dan Sabah sudah lama terguris perasaan. Mereka rasa Sarawak dan Sabah dianaktirikan orang Malaya, khususnya kerajaan pusat yang dikuasai orang Malaya, nama yang diberi kepada penghuni Semenanjung.

Bagi kebanyakan mereka, Semenanjung Tanah Melayu masih Malaya – lantas penghuninya atau lebih tepat rakyatnya ialah orang Malaya.

Kawan-kawan kita dari Borneo berkecil hati apabila kita “orang Malaya” berkata Sabah dan Sarawak “masuk” atau “menyertai” Malaysia, dan lebih berkecil hati apabila Sarawak dan Sabah dikelaskan sebagai antara negeri dalam Persekutuan Malaysia, nalah “fakta” ini diajar di sekolah. Ertinya sejak dibangku sekolah lagi anak-anak orang Malaya “ditanam” dengan kepercayaan Sarawak dan Sabah ialah negeri – sama seperti Selangor, Johor, Kelantan, dan lain-lain.

Sedikit sebanyak saya setuju dengan pendapat kawan-kawan Borneo kita mengenai dianaktirikan. Antara yang ketara perbezaan tahap pembangunan antara negeri-negeri di Sememanjung dengan Sarawak juga Sabah.

Mengenai “kemasukan” Sarawak dan Sabah “ke dalam” Malaysia memang benar ia tidak benar. Kedua-duanya tidak “masuk” Malaysia. Hakikat Sarawak dan Sabah bergabung dengan Malaya dan Singapura untuk membolehkan Malaysia ditubuhkan pada 16 Sept 1963.

Apabila Sarawak dan Sabah dianggap “negeri”, itu bagi orang Borneo menurunkan status wilayah yang sebelum tertubuhnya Malaysia mempunyai “kuasa memerintah sendiri” atau satu bentuk “autonomi” walaupun kedua-dua jajahan Inggeris.

Oleh itu apabila Dewan Rakyat meluluskan dengan majoriti dua pertiga pindaan Perlembagaan berkaitan MA63 pada 14 Dis 2021, ia dialu-alukan dan disambut baik semua pihak. Apa tidaknya kerana itu dilihat satu langkah merapatkan jurang dan menguatkan negara.

Ini kerana pindaan Perlembagaan 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 bertujuan mengukuhkan Sarawak dan Sabah dalam Persekutuan. Ringkasnya untuk betulkan apa yang tak betul selama ini.

Dengan pindaan itu (antara lain) Malaysia terdiri daripada negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu,dan Kelantan; dan “negeri” Borneo iaitu Sarawak dan Sabah.

Maka Sarawak dan Sabah tidak lagi dianggap seperti negeri Tanah Melayu. Dalam erti kata lain mereka “lebih besar” kerana sudah dinaikkan status, atau diberi semula status lama.

Dengan terpindanya Perlembanggan berhubung MA63 tentunya bermacam perkara yang mesti ditangani yang pastinya akan ambil masa. Hatta apabila tidak ada perkembangan yang diumum berikutan lulusnya pindaan berkenaan oleh Dewan Rakyat, saya faham.

Cuma saya menjangkakan perkara yang “mudah” ditangani akan ditangani cepat. Umpamanya rupa bentuk bendera kebangsaan. Jalur Gemilang ada 14 jalur merah putih. Ini melambang atau mewakili 14 negeri dalam Malaysia termasuk Singapura. Apabila Singapura meninggalkan Malaysia (ada pihak kata diusir) 14 jalur dikekalkan, bermakna jalur itu turut mewakili Sarawak dan Sabah.

Sekarang dengan naiknya status Sarawak dan Sabah dimana kedua-dua bukan lagi dikelaskan sebagai negeri, adakah jalur yang mewakili dua wilayah Borneo itu dikekalkan? Atau akan ada sedikit pembaharuan mahupun perubahan dibuat ke atas bendera kebangsaan?

Mungkin anda menganggap ini perkara kecil dan remah. Namun bagi saya ini penting kerana ia senada dengan semangat pindaan yang dibuat ke atas Perlembagaan dan ia membabitkan lambang negara serta memberi gambaran negara. Juga ini membabitkan lakaran lipatan sejarah tanah air untuk dihayati warga masa kini dan akan datang.

Apa pun semua itu tidak atau belum disuarakan apa lagi dilaksanakan.

Yang terjadi ialah pada Selasa 15 Februari lalu Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang mengandungi klausa untuk menukar gelaran jawatan Ketua Menteri kepada “Premier”, diluluskan Dewan Undangan Negeri.

Menurut Abdul Karim Rahman Hamzah, menteri kerajaan Sarawak yang membentangkan RUU berkenaan (tentulah bagi pihak kerajaan pimpinan Abang Abdul Rahman Johari Abang Openg atau Abang Jo) pindaan itu seiring pindaan Perlembagaan yang berkuatkuasa minggu lalu. (Oh, itulah sebabnya tiada perkembangan yang kita dengar sejak ia diluluskan Dewan Rakyat Disember lalu. Ia baharu berkuat kuasa minggu lalu).

Kata Karim ketika menjelaskan penggunaan “Premier” bagi menggantikan Ketua Menteri: “Ketua Persekutuan digelar sebagai Perdana Menteri dan Ketua Wilayah membentuk Persekutuan digelar Premier manakala subwilayah atau negeri lain diketuai oleh Ketua Menteri”.

Hakikatnya sekarang Abang Jo ialah Premier Sarawak.

Kata wartawan veteran A Kadir Jasin, menerusi hantaran di Facebook, di Malaysia Ketua Kerajaan negeri-negeri Melayu dipanggil Menteri Besar. Tidak ada gelaran dalam Bahasa Inggeris untuk gelaran itu.

Ketua Kerajaan negeri-negeri Selat pula (yakni Pulau Pinang dan Melaka) digelar Ketua Menteri atau dalam bahasa Inggeris “Chief Minister”. Sekarang Sarawak nak ‘stylized’ kan Ketua Menteri/Chief Minister menjadi Premier. Tapi Premier bahasa Inggeris. Adakah dalam bahasa Melayu pun mereka hendak guna Premier juga?

Tanya Kadir.

Tepat pertanyaan Kadir. Sehingga saya menulis artikel ini belum ada penjelasan daripada kerajaan Sarawak mengenai Premier dalam bahasa Melayu. “Premier” jika diterjemah ke bahasa Melayu jadi “Perdana”. Jawatan Premier lazimnya diterjemah ke “Perdana Menteri”. Jika bercakap dalam konteks jawatan Sarawak takkan hendak digelar Perdana Sarawak?

Tetapi adakah bila bercakap mengenai Premier Sarawak istilah yang mesti digunakan ialah “Perdana Menteri” Sarawak? Ini penting bagi kolumnis seperti saya untuk tahu istilah yang betul yang mesti digunakan. Lagi pun ada juga bos saya yang kurang gemar kerana saya gemar guna istilah atau perkataan Inggeris untuk artikel saya yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Apa pun Kadir mengingatkan: “Jangan pula kita keliru antara Ketua Negara dengan Ketua Kerajaan. Ketua Negara Malaysia adalah Yang di-Pertuan Agong. Ketua Kerajaan adalah Perdana Menteri”.

Seorang lagi wartawan veteran Zin Mahmud menambah: “Jadi kedudukan Premier Sarawak ini adalah lebih rendah daripada ‘Prime Minister’ tetapi lebih tinggi daripada ‘Chief Minister’. Betul dan jelas.

Cuma teringat sejarah. Masa Singapura dalam Malaysia dulu. Jawatan Lee Kuan Yew ialah “Prime Minister of Singapore”, bukan “Chief Minister of Singapore”. Perdana Menteri Malaysia waktu itu ialah Tunku Abdul Rahman.

Ramai kalangan pemimpin Umno yang tidak senang dengan gelaran yang dipakai Lee. Malah mereka berang dan marah. Ya, bukan itu yang menyebabkan Singapura keluar (atau disingkir?) Malaysia. Tetapi tidak dinafikan itu antara duri yang menusuk hubungan Umno pimpinan Tunku dan PAP pimpinan Lee. Apa yang berlaku seterusnya sudah kita maklum.

Oh ya sebelum menutup tirai kali ini. Sabah belum bercadang ikut langkah Sarawak untuk tukar gelaran Ketua Menterinya. Beberapa pemimpin politik Sabah dilapor berkata memang Premier gelaran cantik dan glamor “tetapi apa guna jika rakyat tidak dapat faedah?”.

Tatap betul sekali itu bah.