Monday, March 31, 2014

Suami Tidak Perasan Kehadiran Anda

ADALAH satu perkara lumrah, setelah beberapa tahun mendirikan rumah tangga ada isteri-isteri yang memberitahu mereka seolah-olah terasa ‘diketepikan’ oleh suami masing-masing. Ada yang mengatakan suami seolah-olah tidak perasaan dengan kehadiran mereka dan melayan mereka seolah-olah orang asing dalam rumah dan suami pula hilang dalam dunia sendiri.

Setiap hubungan biasanya akan berhadapan dengan ujian yang melibatkan keseimbangan emosi, kesabaran dan kapasiti empati. Apatah lagi sekiranya hubungan berkenaan adalah hubungan suami isteri yang telah berpanjangan dan sudah tentu sesuatu perlu dilakukan dalam usaha menyelamatkan keadaan.

Situasi tidak sedar atau kurang ‘perasan’ ini akan menyebabkan sesuatu yang mengecewakan dan menyakitkan kerana merasakan hubungan yang dibina semakin tawar dan hambar. Namun, sebelum itu pasti ada beberapa perkara yang menyebabkan mengapa suami seolah-olah sudah tidak perasan atau menyedari keadaan isteri sendiri. Ini juga adalah permulaan bagaimana suami anda akan berubah arah atau cuba membina satu cinta baru di luar. Jika ini berlaku anda perlu cepat menarik kembali perhatian suami anda.

*Dia adalah seorang yang sibuk dalam bidang profesional.
*Dia sudah tidak lagi tertarik dengan keadaan anda secara fizikal kerana sudah terbiasa dengan kehadiran anda sepanjang masa.
*Dia sudah tidak mahu berkongsi ikatan emosi dengan anda.
*Dia telah mula merasakan bosan dengan anda.
*Dia mungkin sedang menjeruk rasa atas satu faktor isu yang tidak pernah selesai.
*Dia sudah tidak mencintai anda sebagaimana perasaan itu bertandang mula-mula dahulu.
*Dia hanya mula mengambil mudah sahaja perhubungan anda berdua.
*Dia sudah mula hilang minat terhadap anda.

Sekiranya keadaan ini terjadi, jangan menunggu terlalu lama. Lakukan sesuatu untuk mendapatkan perhatian suami anda semula dengan ‘daya penarik’ diri anda.

Anda boleh mula dengan memotong rambut dengan gaya terbaharu agar dia terperasan dengan apa yang anda lakukan kepada rambut. Kadangkala dengan memotong rambut, wanita itu akan akan kelihatan seksi.
Kemudian dapatkan baju-baju rekaan terbaharu untuk anda dan pakainya sewaktu duduk berdua dengannya ketika sedang makan di rumah. Selalunya, suami anda akan mengerling sedikit kepada anda melihat gaya terbaharu anda itu.

Sapukan sedikit minyak wangi yang baunya mampu menawan suami anda.

Bauan minyak wangi ini sedikit sebanyak akan mendekatkan anda dengan dirinya ketika anda lalu lalang di depan suami. Jadikan wajah anda jelas kelihatan segar dan ceria ketika menguntum senyuman buatnya, terutama ketika dia berada di rumah.

Goda suami anda, ingatkan caranya ketika di usia awal perkahwinan dahulu, cubalah caranya sekarang, tentu suami anda terperanjat. Seterusnya ucapkan pujian untuknya dengan menyatakan hari ini keadaan dirinya cukup menawan, menggoda dan tampan sebagaimana reaksi anda beberapa tahun lalu.

Mula menyatakan perasaan anda dan hormati dirinya. Berhenti daripada terus menyalahkan diri sendiri terus menerus menyebabkan suami anda semakin menjauhkan diri akibat faktor-faktor daripada diri anda.

Dapatkan satu tenaga baharu untuk melayan suami anda penuh dengan rasa kecintaan dan humor.

Kemudian apabila semuanya tidak berjalan lancar, anda sepatutnya bercakap dengan suami anda mengenai perasaan anda sekarang.

Tetapi perlu dijauhkan adalah pertengkaran demi pertengkaran.

Perkara mudah yang boleh anda lakukan adalah fokus mendengar pandangan suami anda tentang anda dan kemudian jangan marah apabila dia mungkin bercerita mengenai sikap anda yang membuatnya mula hilang perasaan.

Apabila ini sudah berlaku, anda kini sudah ada perkara yang perlu anda selesaikan atau sama-sama berganding bahu cuba memberikan yang terbaik untuk hubungan anda seterusnya.

Sumber : utusan@Keluarga

Sunday, March 30, 2014

Maafkan Kesilapan Saya - Nik Aziz

KOTA BHARU  - Bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan bergenang air mata hari ini memohon maaf di atas segala kesilapannya sepanjang 23 tahun mentadbir negeri ini.

Malah beliau yang juga Mursyidul Am Pas menganggap sakit yang dialaminya sekarang adalah 'kifarat' atas dosa yang dilakukan selama memimpin negeri ini.

Permohonan maaf itu dibuat ketika beliau menyampaikan kuliah subuh di Masjid Pulau Melaka di sebelah rumahnya di sini pagi ini.

"Maafkan segala kesilapan saya selama saya pimpin Kelantan.

"Ini sakit saya mungkin Allah nak kifarat dosa saya atas apa kesalahan saya buat selama saya pimpin Kelantan," katanya yang dipetik daripada akaun laman sosial, Facebooknya di sini hari ini.

Turut hadir di kuliah itu ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nik Abdul Aziz, 83, merupakan Menteri Besar paling lama dalam sejarah memerintah negeri ini.

Tokoh yang dikenali dengan pelbagai kenyataan kontroversi itu menerajui pemerintahan negeri ini selama lima penggal bermula pada tahun 1990 sehingga 2013.

Beliau melepaskan teraju pemerintahan kepada timbalannya, Datuk Ahmad Yakob selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu kerana masalah kesihatan.

Dalam wawancara eksklusif bersama Mingguan Malaysia pada 12 Januari lalu, beliau buat pertama kalinya mendedahkan mengenai keadaan kesihatannya seperti masalah prostat sehingga terpaksa membawa beg plastik untuk menyalurkan air kencing dan bateri bagi menguatkan jantungnya.

Difahamkan pada masa kini, Nik Abdul Aziz yang lebih dikenali dengan panggilan 'tok guru' terpaksa lebih kerap berulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk menerima rawatan.
Beliau juga tidak hadir pada himpunan Reformasi 2.0 di Kota Bharu yang disertai Anwar kerana tidak sihat.

Bagaimanapun sebaik sahaja beliau melepaskan jawatan tersebut, keadaan dalaman Pas negeri ini agak berkecamuk dengan pergeseran di antara pemimpin.

Malah ada di antara pemimpin Pas mula mengkritik kepemimpinan Ahmad dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan atas pentas ceramah secara terbuka.

Sumber : utusan malaysia

Saturday, March 22, 2014

Bahasa Melayu Terpinggir Di Tanah Melayu

Khutbah Jumaat Diterjemah Ke Bahasa Melayu
MEKAH  - Jemaah solat Jumaat di Masjidilharam di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah, hari ini berpeluang mendengar khutbah yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu, Urdu dan Perancis.

Imam Besar bagi kedua-dua masjid suci itu, Sheikh Abdul Rahman al-Sudais berkata, beberapa minggu lalu, pihaknya telah memulakan usaha menterjemah khutbah Jumaat di kedua-dua masjid itu ke dalam bahasa Melayu, Urdu dan Inggeris.

Jelas beliau, di Masjidilharam, khidmat penterjemahan itu disediakan berhampiran pintu Raja Fahd, yang ditetapkan untuk jemaah bukan Arab.

Untuk mendengar khutbah dalam bahasa pilihan mereka, jemaah hanya perlu memakai fon kepala dan peranti audio yang disediakan, lapor Arab News.

Peranti tersebut disambung kepada frekuensi FM yang menyiarkan terjemahan khutbah Jumaat yang
disampaikan dalam bahasa Arab oleh imam bertugas.

Bahasa Melayu digunakan oleh penduduk Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei, manakala bahasa Perancis digunakan meluas di benua Afrika.

Sumber :utusan@luar-negara