Monday, May 6, 2019

Apabila Gerombolan Chauvanist Yang Merencanakan.....

Malaysia baharu atau lain?
PADA pagi 10 Mei, 2018, sekelompok rakyat Malaysia dengan gembiranya mengisytiharkan yang negara ini sudah menjadi “Malaysia baharu,” meletakkan makna-makna yang ditentukan oleh naratif politik yang mereka bawa.

Bagi mereka, Malaysia baharu ialah slogan kemenangan ke atas apa yang didakwa sebagai Malaysia lama dikuasai “kleptokrat” dan segala dasar dan budaya lama merosakkan.

Tetapi kini, menjelang setahun selepas hari bersejarah itu, makna besar yang diletakkan pada slogan politik Malaysia baharu itu semakin kabur, malah terdedah kelemahannya.

Dari sudut politik, dapat diperhatikan gerakan populis meneruskan naratif anti elit yang ditujukan pada kerajaan sebelum ini, apabila cukai GST dan program-program pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksanakan dirombak dan dibatalkan.

Pada masa sama, cerita lebih berbentuk sensasi dan mencetus emosi dibina dan disebar, melibat rampasan barangan mewah dan wang tunai dalam jumlah besar.

Walaupun kelihatan bersifat politik kepartian atau kelompok, permainan imej korupsi elit pemerintah lama ini menjadi satu asas membina naratif untuk menolak segala yang berkait dengan “Malaysia lama.”

Mesej ini mungkin belum jelas terutama bagi orang awam, tetapi menjelang setahun selepas PRU-14, ia sudah makin jelas.

Kedudukan agama Islam, Raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan keistimewaan Melayu dan Islam yang diinstitusikan semakin digugat, sama ada terang atau tersirat melalui sikap dan tindakan kerajaan baharu.

Pada peringkat awal, mungkin ada yang boleh mendakwa keterlanjuran ini disebabkan oleh kelemahan akibat kekurangan sensitiviti, tetapi selepas setahun, amat naif sekira masih berpegang pada pandangan ini.

Sikap bertentangan dengan asas dan identiti negara ini yang ditunjukkan bukan sesuatu yang baru muncul dan menzahirkan diri selepas PRU ke-14, tetapi sudah muncul dalam pelbagai bentuk sejak lama dulu.

Tetapi sebagai sebahagian strategi politik, tentulah pendirian tidak popular ini tidak dikempen sehebat kempen “Selamatkan Malaysia,” “Tolak rejim kleptokrasi,” dan “Tentang GST yang miskinkan rakyat.”

Di sinilah terletaknya satu kelemahan besar demokrasi liberal, yang perlu kempen kepada rakyat dilaksanakan dalam usaha memperolehi mandat mentadbir negara.

Kempen dan mesej semasa pilihan raya hanya satu daripada bahagian yang disampai parti politik, tetapi keseluruhan kempen ini tidak memberi gambaran sebenar dasar yang akan dilaksana.

Secara mudahnya, dapat difahami bahawa sokongan rakyat diperlukan untuk menang undi yang cukup bagi membentuk kerajaan, tetapi dasar akan dilaksana selepas menang itu tidak lagi memerlukan maklum balas rakyat, termasuk rakyat memberi undi.

Malah, naratif Malaysia baharu di bawa sejak setahun, terbukti menyembunyi satu realiti imperatif kekuasaan malah permusuhan politik.

Sebagai mana mudahnya satu agenda politik ditakrifkan sebagai sebahagian agenda Malaysia baharu, semudah itu juga sebarang kritikan disudutkan sebagai elemen jahat yang menentang agenda disifatkan sebagai murni dan progresif.

Realitinya, satu bahagian besar rakyat Malaysia berpegang nilai konservatif berlandaskan agama Islam, bertentangan sama sekali agenda di bawa pendukung agenda liberal disifat sebagai “Malaysia baharu.”

Pendukung kerajaan mungkin boleh mengemukan senarai perkara dilaksanakan didakwa sebagai sebahagian agenda memartabatkan Islam, membela kepentingan Melayu, dan mempertahankan Perlembagaan, tetapi suasana sejak setahun lalu membuktikan sebaliknya.

Pada 8 Disember, 2018, perhimpunan melibatkan orang Islam terbesar, yang menolak ICERD, berjaya diadakan menggabungkan parti dan kumpulan Melayu dari seluruh negara.

Hakikatnya perhimpunan besar dilakukan sebagai respons sikap PH menunjuk kewujudan sentimen berleluasa, bertentangan aspirasi kerajaan.

Sokongan pihak yang dominan dalam kerajaan yang mahu Statut Rom segera diterima dan diratifikasi juga telah mendedahkan satu pendirian yang bertentangan dengan kepentingan negara.

Dalam kalangan pendukung kerajaan PH, semakin terserlah agenda liberal termasuk perjuangan normalisasi LGBT yang bertentangan dengan norma masyarakat negara ini.

Terkini, wakil rakyat DAP bersuara menggesa normalisasi dengan Israel, menunjukkan pendirian mereka yang sama sekali terasing daripada masyarakat.

Jelas sekali satu agenda utama apa yang diletakkan sebagai “Malaysia baharu” ini berpotensi mengubah keseluruhan asas negara Malaysia, sekali gus menafikan kedudukan Islam dan Melayu yang juga sumber asas dan identiti negara.

Perjuangan membawa Malaysia ke arah perubahan lebih baik, yang membawa kesejahteraan dan menolak elemen-elemen korup pasti mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia, tetapi perjuangan ini bukan yang didasari kepentingan kuasa kelompok tertentu yang membelakangi kepentingan terbanyak.

Rakyat Malaysia pasti mahukan Malaysia baharu yang lebih baik untuk semua, tetapi bukan Malaysia yang lain yang menjadi matlamat kelompok tertentu.

Sejurus menang dan menguasai pentadbiran negara di Putrajaya, kelihatan dengan jelas satu agenda bertentangan dengan asas dan identiti Malaysia ini, apabila dasar, kecenderungan, dan budaya berpolitik baharu memunculkan diri.

Oleh : Haris Zalkapli

Sunday, May 5, 2019

Persoalan Di Sebalik Surat 'Dari Meja PTD'

Nukilan berbentuk nasihat dan puisi dipercayai hasil tulisan pemerintahan tertinggi Tentera Darat kini tular selepas dikatakan menyentuh beberapa perkara berkaitan Syiah.


Nukilan ‘Dari Meja Panglima Tentera Darat (PTD)’ ditulis Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi selepas menyertai lawatan rasmi bersama Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ke Iran baru-baru ini untuk disebarkan dalam kalangan anggota perkhidmatan itu sebagai nasihat dan renungan.


Apa yang menimbulkan persoalan adalah isi kandungan puisi bertarikh 3 Mei menyentuh Syiah yang sebelum ini telah difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Apatah lagi penggunaan ‘Aku’ yang merujuk kepada Allah SWT dalam nukilan itu boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.



Antara isi kandungan puisi tersebut adalah:

“Janganlah kamu sombong dengan Aku yang Maha Berkuasa. Jangan kamu khilaf untuk menilai yang Aku suka dan yang Aku murka. Berbalah sesama kamu bermakna kamu semua gagal dari Aku yang Esa. Aku tetap hidupkan kamu dengan nyawa agar kamu insaf dan balik kepada Aku semata-mata.

“Yang mengamalkan Syiah, cara mereka biarkan mereka, jangan pula kamu menghina, kerana jika kamu menghina mereka, bermakna kamu menghina Aku jua.

“Biarkan mereka hidup dalam Syiah sebagai amalan mereka, Kamu hidup dalam ASWJ tanpa berbalah sesama, bersatu dan berkasih sayang. Itulah tuntutan fitrah makhluk-makhluk yang ada.

Di samping itu, puisi yang mempunyai lambang Tentera Darat itu juga turut membuat perbandingan antara negara Iran dengan negara yang mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

“Jika kita amati realitinya, negara Iran yang dikatakan Syiah ini tak dengar ada huru-hara sini sana. Sebaliknya negara Islam yang amalkan ASWJ kucar-kacir sini dan sana. Mudah sangat di kucar-kacir oleh orang lainnya.



Walaupun surat itu dilihat berbentuk nasihat supaya umat Islam tidak berpecah disebabkan perbezaan mazhab namun warganet menganggap tidak wajar berdasarkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung fahaman Syiah.

Dalam pada itu, Sel Perhubungan Raya Tentera Darat hari ini mengesahkan surat tersebut namun tidak ada sebarang kenyataan dibuat masa ini. - utusan online

Wednesday, May 1, 2019

Hari ini forum buka tudung, esok lusa?

Nampaknya gerakan liberalisme di negara ini semakin berani. Mereka semakin berani menonjolkan diri secara terbuka. Tidak lagi bersembunyi seperti dahulu. Mungkin kerajaan sekarang lebih `lunak’ dengan golongan ini. Yalah, semuanya mungkin.

Dahulu mungkin mereka tidak berapa berani seperti sekarang. Mungkin pada masa itu pihak berkuasa lebih tegas baik Kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri. Namun segala-galanya kini sudah berubah. Seolah-olah semuanya boleh.

Dibiarkan sahaja golongan ini mencetuskan kontroversi yang jelas menyentuh sensitiviti agama. Secara spesifiknya agama Islam. Apa yang mereka lakukan dilihat cuba mencabar hukum dalam Islam. Mencabar ketetapan yang jelas termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Persoalannya, siapakah yang melakukannya? Mereka ini ialah orang Islam yang secara umumnya tahu akan hukum asas dalam Islam. Namun corak pemikiran mereka cukup berbeza. Mereka telah didoktrinkan dengan pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan Islam.

Dari segi definisi, liberalisme adalah satu fahaman sekularisme iaitu yang memisahkan aspek agama dan membolehkan sesuatu tindakan atau amalan bebas daripada ketentuan agama. Dengan kata lain hak kebebasan individu adalah segala-galanya.

Bagi mereka hak asasi adalah paling utama. Agama tidak boleh menghalang kebebasan seseorang untuk melakukan sesuatu asalkan tidak melanggar undang-undang negara.

Yang pasti, fahaman liberalisme adalah pemikiran asing yang kini cuba masuk ke dalam aliran pemikiran Islam. Liberalisme menafikan wujudnya hubungan antara agama dan kehidupan. Golongan liberalisme ini menganggap agama sebagai rantai yang mengikat kebebasan hingga perlu dibuang.

Begitu dahsyatnya pemikiran ini dan sekarang ia berusaha mempengaruhi umat Islam di Malaysia melalui gerakan atau pertubuhan berasaskan liberalisme. Umat Islam perlu berwaspada kerana pendukung-pendukung gerakan ini adalah dalam kalangan orang Islam sendiri. Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan profesional dan terpelajar.

Baiklah, isu yang ingin penulis sentuh minggu ini ialah berkenaan penganjuran forum Malay Woman & Dehijabbing atau maksud dalam bahasa Melayu, Wanita Melayu & Buka Tudung pada 13 April lalu di Petaling Jaya. Dalam forum tersebut ditampilkan beberapa panel yang mengisahkan bagaimana mereka membuat keputusan untuk membuka tudung selepas mengenakan hijab beberapa tahun.

Di samping itu turut dilancarkan buku bertajuk Unveiling Choice yang memuatkan kisah mereka yang membuat pilihan untuk menanggalkan hijab mereka selain mengisahkan apa yang dikatakan `penderitaan’ wanita Muslim dalam konteks pemakaian tudung sebagai salah satu busana yang wajib dipakai.

Persoalannya, apakah tujuan sebenar forum seperti ini dianjurkan? Apakah niat di sebalik penganjuran forum ini? Yang jelas, mereka sengaja menyentuh sensitiviti agama Islam memandangkan hukum menutup aurat adalah wajib. Muktamad.

Dalam Islam menutup aurat baik lelaki mahupun wanita hukumnya wajib. Tiada kompromi. Hukumnya termaktub dalam dua sumber hukum utama dalam Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Penulis percaya masyarakat Islam seluruhnya maklum tentang perkara tersebut. Kalau mereka kata tidak tahu, itu mustahil.

Mengapa pula secara tiba-tiba sahaja ada pihak yang cuba menimbulkan polemik dan kontroversi dengan mempopularkan wanita yang bertudung kemudian mengambil keputusan membuka tudungnya dalam penganjuran forum seumpama ini?

Hakikatnya, penganjuran forum tersebut tidak mendatangkan sebarang faedah dan manfaat sebaliknya boleh mengundang kemarahan dalam kalangan umat Islam negara ini kerana perkara yang disentuh dalam forum itu melibatkan hukum asas dalam agama.

Seperti mana ujar Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid:”Memilih untuk membuka tudung adalah urusan peribadi mereka. Akan tetapi untuk menganjur suatu perbahasan yang menyentuh soal agama tanpa menujuk kepada pihak berautoriti dalam agama memberi implikasi yang negatif kepada Islam.”

Apapun sudah terang lagi bersuluh bahawa penganjuran forum ini sebenarnya bukan setakat mahu mempopularkan wanita membuka tudung (aurat) malah ia adalah gerakan licik puak-puak liberalisme untuk menyebar luas fahaman itu kepada masyarakat Islam di negara ini.

Mereka cuba mengasingkan agama dalam kehidupan dengan meletakkan pilihan individu paling utama. Aurat adalah subjek yang paling mudah digunakan. Justeru, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu melakukan siasatan. Jika benar forum itu mendatangkan mudarat kepada masyarakat Islam, tindakan sewajarnya perlu diambil.

Setakat hari ini, JAIS belum membuat sebarang pengumuman tentang hasil siasatan yang dibuat. Masyarakat Islam masih menunggu akan perkembangannya. Adakah penganjur tersebut bersalah atau sebaliknya.

Bagi penulis, forum-forum seperti ini perlu disekat kerana mudaratnya lebih besar. Ini soal aurat. Mungkin esok luas tentang kebebasan lain pula. Tentang hubungan bebas antara lelaki dan wanita. Mungkin juga akan dianjurkan forum membenarkan perkahwinan sejenis. Nauzubillah. Semuanya berkemungkinan dan inilah yang perlu dibanteras.

Dalam pada itu, penulis amat bersetuju dengan kenyataan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad bahawa keputusan kerajaan mendiamkan diri berhubung penganjuran forum tersebut seolah-olah membuktikan perkara itu hanya dipandang remeh.

Tidak dinafikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, telah ambil maklum dan menyifatkannya sebagai serius namun itu sekadar kata-kata. Hingga hari ini tiada tindakan konkrit diambil terhadap pihak yang terlibat dalam forum berkenaan.

Oleh: Pahit-Pahit Peria