Friday, May 4, 2012

Sikap Pas Semakin Buruk


DALAM rakaman video yang disiarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan dengan jelas bagaimana anggota Unit Amal Pas menjadi pencetus tindakan merempuh pihak polis dalam perhimpunan Bersih, Sabtu lalu.

Tindakan ganas itu dikatakan mengejutkan banyak pihak termasuk kalangan penyokong parti itu sendiri kerana unit berkenaan dikatakan ditugaskan untuk menjaga keselamatan peserta dan bukannya melakukan perbuatan provokasi.

Bagaimanapun ternyata emosi sudah menguasai anggota unit tersebut apatah lagi sebelum itu difahamkan, ada kalangan pemimpin-pemimpin Pas menegaskan, Dataran Merdeka perlu ditawan dengan apa cara sekali pun.

Sekali lagi, kita menyaksikan bagaimana sebuah parti yang melaungkan kalimah suci Allahuakhbar semakin hilang punca dalam mencari keuntungan politik.

Perhimpunan Bersih yang ditentang oleh banyak pihak dijadikan oleh Pas sebagai 'platform' untuk menunjukkan kesetiaan parti itu kepada pakatan pembangkang.

Justeru seperti juga perhimpunan pada tahun lalu, pada tahun ini Pas sekali lagi menjadi 'pak turut setia' dengan mengarahkan ahli-ahlinya membanjiri jalan raya di sekitar ibu negara.

Kita tidak pasti berapa ramai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang menyertai perhimpunan berkenaan tetapi apa yang pasti menurut laporan keselamatan jumlah penyokong Pas lebih ramai.

Semua ini terjadi kerana penyokong-penyokong tersebut mendengar seruan Datuk Nik Abdul Nik Mat. Untuk rekod Mursyidul Am Pas itu telah menjadi Menteri Besar di Kelantan selama lebih 20 tahun melalui kemenangan Pas dalam pilihan raya.

Jika pilihan raya tidak dijalankan secara adil dan bersih mana mungkin beliau boleh berada di kerusi Menteri Besar Kelantan sehingga ke hari ini.

Tetapi Mursyidul Am Pas itu menyatakan wajib bagi penyokong parti tersebut menyertai perhimpunan Bersih bagi menuntut sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.

Lanjutan itu semangat perhimpunan Bersih bukan sahaja menyerapi penyokong parti tersebut di Malaysia tetapi juga sehingga dibawa ke Masjid Nabawi di Madinah.

'Sekalung tahniah' kepada Pas kerana menjadi penyumbang kepada segala kekecohan dan keganasan yang berlaku. Unit Amal yang diharapkan menjadi benteng untuk mengelak peserta menjadi ganas sebaliknya bertindak sebagai provokator!

Apa yang berlaku hakikatnya tidak akan menguntungkan Pas, sebaliknya memburukkan lagi imej parti itu yang sememangnya ketika ini berada di tahap yang buruk.

Pas tidak boleh berbangga apa-apa terhadap perhimpunan Bersih yang berlangsung, memandangkan perhimpunan yang dikatakan akan berjalan dengan aman berakhir dengan keganasan.

Seperti biasa Pas akan bersekongkol dengan sekutu-sekutu politiknya untuk menyalahkan polis terhadap apa yang berlaku.

Tetapi seluruh rakyat Malaysia sudah menyaksikan bagaimana ganasnya tindakan peserta demonstrasi berkenaan termasuk penyokong Pas.

Mereka merempuh sekatan polis, membelasah anggota pasukan itu dan merosakkan harta awam, apakah ini dikatakan jihad? Apakah ini hendak dikatakan syahid jika berlaku kematian?

Adalah jelas Pas semakin hilang pertimbangan politiknya apabila sanggup menjadi 'pak turut' mengerahkan penyokong-penyokong parti itu untuk menyokong perhimpunan Bersih.

Kalau Pas benar-benar berhemah berpolitik sudah pasti Pas tidak akan berbuat demikian sebaliknya akan menasihatkan pemimpin-pemimpin pembangkang lain supaya menerima tawaran pihak berkuasa untuk mengadakan perhimpunan berkenaan di stadium-stadium yang ditawarkan.

Tetapi Pas tidak berbuat demikian kerana selain tidak mempunyai apa-apa kekuatan untuk mempengaruhi PKR dan DAP, Pas juga boleh dianggap suka melihat kekecohan berlaku.

Sebab itulah, Pas bersedia menjadikan Unit Amalnya sebagai 'orang suruhan' untuk menjadi benteng pertama kepada peserta- peserta Bersih.

Apa yang lebih mengecewakan, ada kalangan pemimpin Pas sendiri yang melakukan provokasi membakar perasaan penyokong-penyokong parti itu untuk melawan pihak berkuasa.

Pas amat memahami bahawa apa yang hendak dituntut oleh Bersih sudah pun dilaksanakan oleh kerajaan. Malahan kerajaan juga khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuka ruang seluas-luasnya kepada mereka untuk berunding.

Namun Pas tidak mempertimbangkan itu semua, sebab itulah ramai yang mempertikaikan apa perlunya Pas terlibat dalam Bersih, kenapakah parti itu tidak mengkaji fakta benarkah selama ini pilihan raya di Malaysia tidak bersih dan adil.

Kalau tidak bersih dan adil, bagaimana mungkin Nik Abdul Aziz masih kekal menjadi Menteri Besar Kelantan sejak 1990? Mana mungkin terjadi Datuk Seri Azizan Abdul Razak berupaya menjadi Menteri Besar Kedah

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana Pas pernah menawan Terengganu pada tahun 1999 dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menjadi ketua pembangkang di Parlimen.

Ternyata sekali, ketaksuban berpolitik terutamanya impian menawan Putrajaya sudah menguasai kepimpinan Pas.
Atas sebab itulah segala keikhlasan dan ketelusan kerajaan dalam memperbaiki sistem pilihan raya tidak pernah dihargai oleh Pas.

Sebaliknya Pas hanya mengangguk dan menyokong sahaja terhadap segala apa yang dikatakan oleh Pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga yang kini seolah-olah menjadi idola baru kepada parti itu selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakikatnya, Pas boleh berhujah apa sahaja bagi menghalalkan penyertaan mereka dalam demonstrasi berkenaan termasuklah memberi kalungan 'pingat keberanian' kepada Unit Amal parti itu.

Tetapi hakikatnya orang Melayu terutamanya golongan atas pagar semakin memahami betapa Pas sudah kehilangan jati diri sebagai sebuah parti Islam.

Jika Pas masih lagi memperjuangkan Islam sudah pasti parti itu akan mengelak daripada terlibat dalam sebarang perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara.

Kini Pas boleh mengkaji apa sumbangan besar mereka kepada perhimpunan Bersih. Perhimpunan itu bukan sahaja tiada kaitan dengan pilihan raya sebaliknya lebih kepada agenda politik semata-mata.

Mungkin Pas boleh tersenyum bangga kerana matlamat pembangkang untuk menarik perhatian dunia melalui kekecohan dan keganasan sudah tercapai.

Namun ia sama sekali tidak akan menguntungkan politik parti itu kerana sebesar mana pun sumbangan Pas dalam demonstrasi anjuran pakatan pembangkang, percayalah mereka tidak akan dihargai.

Oleh itu adalah wajar untuk Pas membersihkan segala kekotoran politik yang semakin melumuri parti tersebut. Perhimpunan Bersih tidak memberi apa-apa manfaat politik kepada Pas.

Sebaliknya, sejarah politik negara akan mencatatkan bagaimana sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam sanggup membiarkan penyokong-penyokong bertindak ganas semata-mata demi mencapai agenda politik pihak lain. 'Tahniah Pas'!  

Oleh : Zulkiflee Bakar

Thursday, May 3, 2012

Malangnya Bahasa Melayu

TULISAN Prof Sohaimi Abdul Aziz, Berbudikah Melayu kepada bahasa? klik disini, sewajarnya dijadikan iktibar dan peringatan kepada bangsa Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Apakah kita mahu suatu hari nanti bahasa rasminya bukan lagi bahasa Melayu?

Kebimbangan Sohaimi amat jelas pada ayat berikut: Bangsa yang lupa diri adalah bangsa yang lupa kepada bahasanya. Jadi, Melayu yang lupa diri dan keperibadiannya akan lupa kepada kehebatan dan kehalusan bahasanya.

Siapakah yang ingin dipersalahkan dalam perkara ini? Menuding jari bukanlah caranya mencari jalan penyelesaian sebaliknya akan saling tuduh menuduh dan akhirnya bahasa Melayu yang menjadi mangsa terkulai layu.

Apakah benar orang Melayu tidak mencintai dan menghormati bahasa sendiri? Mungkin kenyataan ini ada benarnya. Namun begitu, jika kita mengambil Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai contoh, bahasa Melayu masih terpelihara dan dihormati. Setiap tulisan yang dipaparkan di KLIA jelas mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Tulisan bahasa Melayu lebih besar saiznya daripada bahasa asing dan tulisan bahasa Melayu diletakkan di sebelah atas tulisan bahasa asing yang secara tidak langsung menggambarkan bahasa Melayu itu didahulukan dan dihormati di negara sendiri. Justeru, di pintu masuk utama negara, awal-awal sudah diberitahu kepada warga asing bahawa bahasa rasmi negara ini ialah bahasa Melayu.

Begitu juga dengan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) yang telah memasuki edisi keenam. Kesungguhan Perdana Menteri menganjurkan setiap tahun, jelas beliau ingin memartabatkan bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa. Pada tahun ini sebanyak 69 peserta dari 64 negara menyertai PABM. Penyertaan ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah dipelajari dan dituturkan dari seluruh pelosok dunia. Malah penuturnya adalah terdiri daripada generasi muda yang begitu bersungguh-sungguh ingin menguasai bahasa Melayu dengan fasih. Hal ini begitu ketara pada setiap aksi peserta yang menunjukkan kebolehan masing-masing.

Namun begitu, kegusaran Sohaimi terhadap masa depan bahasa Melayu seolah-olah begitu tenat. Beliau menyalahkan bangsa Melayu yang telah tersasar jauh kerana mengabaikan bahasa Melayu tetapi sebaliknya mengendong bahasa asing. Malah Sohaimi merayu dengan kenyataan berikut:

Bangsa Melayu, kembalilah ke pangkal jalan untuk mencintai dan menghormati bahasa sendiri. Jika kita tidak menghormati bahasa sendiri, siapa lagi akan menghormatinya. Bahasa Melayu mempunyai sejarah yang panjang dan penutur yang cukup ramai.

Memang benar bahasa Melayu mempunyai sejarah yang panjang dan penutur yang cukup ramai. Ini diakui pada zaman kegemilangan Melaka, setiap pedagang yang datang ke Melaka, akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi ketika menguruskan perniagaan.

Bahasa ilmuIni bermakna pedagang tersebut awal-awal telah mempelajari bahasa Melayu sebelum datang ke Melaka kerana ingin menjalankan perniagaan. Keinginan untuk mempelajari bahasa Melayu jelas menunjukkan mereka menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang digunakan dalam urusan perniagaan.

Sebagai contoh yang lain, Frank Swettenham merupakan Residen British yang pertama di negeri Selangor dalam tahun 1882. Ketika beliau tiba di Singapura pada tahun 1871, Frank telah mempelajari bahasa Melayu dengan seorang Munshi bernama Mohammed Said dan lima belas bulan kemudian, beliau lulus peperiksaan akhir dan juga mendapat kelayakan sebagai Jurubahasa Mahkamah.

Kesungguhan Frank Swettenham mempelajari bahasa Melayu menunjukkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang mesti dipelajari kerana bahasa Melayu telah membantu beliau mentadbir Tanah Melayu khususnya membangunkan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbirannya. Malah Swettenham telah menulis lebih daripada 12 buah buku berkenaan Malaya, termasuk kamus Melayu-Inggeris-Melayu yang mula-mula diterbitkan pada tahun 1881.

Yang lebih menarik, bahasa Melayu juga telah lama diiktiraf sebagai bahasa diplomasi di rantau ini dengan bukti UNESCO mengiktiraf surat-surat Sultan Kedah dalam bahasa Melayu bertulisan jawi pada abad ke-19 kepada kerajaan Inggeris suatu ketika dahulu sebagai salah satu warisan dunia. Justeru, bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pengantara antara dua benua.

Sehubungan itu, rayuan Sohaimi mesti diambil serius oleh setiap orang yang berbangsa Melayu khususnya.

Apakah beban tersebut perlu dipikul kesemuanya oleh pejuang-pejuang bahasa? Sedangkan rakyat Malaysia tidak ikut serta memperjuangkannya? Rakyat Malaysia lebih rela mengendong bahasa asing dan mengorbankan bahasa sendiri semata-mata itulah kehendak global. Malah kejayaan bahasa asing menguasai di setiap sudut sama ada ekonomi, pendidikan, hiburan, media dan sebagainya adalah satu kejayaan penjajah menjajah minda rakyat supaya mengikut telunjuk mereka.

Sebagai contoh, seringkali ditemui iklan-iklan yang menggunakan bahasa asing. Tanpa rasa simpati, bahasa Melayu tidak digunakan langsung di papan-papan iklan tersebut. Malah mereka dengan rasa bangga meletakkan tulisan bahasa asing itu dengan saiz tulisan yang sebesar-besarnya seolah-olah itulah bahasa yang mesti didaulatkan dan dimartabatkan.

Dan saat melihat dan membaca tulisan tersebut, seolah-olah dirasakan sedang berada dan melancong di negara asing. Apakah gejala ini akan berterusan sehingga bangsa Melayu bahasa rasminya bukan lagi bahasa Melayu suatu hari nanti?

Kegelisahan Sohaimi dalam tulisannya perlu dihayati oleh rakyat Malaysia yang menerima Perlembagaan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara ini. Jadi, kegusaran Sohaimi ada kewajarannya sebagai seorang ahli akademik kerana beliau sudah tentu tidak mahu bahasa Melayu 'hidup segan mati tak mahu' malah akan terpinggir selama-lamanya.

Oleh : Zainal Abdul Kadir

Wednesday, May 2, 2012

Teknik Goda Suami

INGATKAH bagaimana manjanya reaksi anda pada suami di awal usia perkahwinan atau ketika berbulan madu dahulu? Ketika itu rengekan, lentukan kepala, mata bercahaya, pandangan kuyu, cumbuan dan ciuman sentiasa menghiasi suasana di samping menghangatkan kamar beradu anda dengan ritma aromatik dan erotik.

Setelah usia perkahwinan semakin panjang, apa kata sesekali anda melakukan sesuatu untuk menggoda suami agar hubungan berkasih sayang dapat dipupuk seerat mungkin.

Pastinya, setiap sentuhan, belaian manja, dan bisikan hangat adalah antara beberapa cara anda berinteraksi untuk membuatkan suami tergila-gilakan anda setiap hari.

Apa kata sekiranya pada waktu pagi ketika suami sedang berjalan keluar dari bilik untuk ke tempat kerja, pegang tangannya dengan cara anda memandang tepat ke matanya dan kemudian berdakapan dengan suami anda.

Peluklah suami anda sepenuhnya dengan rasa kasih sayang dan kemudian memberikan lambaian mesra kepadanya sebelum dia berlalu.

Sebelum itu secara sembunyi, perlahan-lahan masukkan sekeping nota pendek berbau cinta dan sulaman kasih ke dalam poket seluar atau jaketnya.

Atau mungkin juga nota mengajaknya untuk makan malam di sebuah restoran pada malam itu atau apa sahaja.

Apabila sesampainya di pejabat suami anda menyeluk sakunya dia terpegang nota anda dan membacanya. Pastinya dia akan menelefon anda sejurus selepas dia membacanya.

Juga anda boleh menelefon suami anda pada tengah hari itu untuk memastikan dia pulang pada masa yang tepat pada petang atau malam nanti.

Ketika panggilan itu dilakukan, bisikan kata-kata dengan suara yang seksi kepada suami anda dan beberapa perkataan yang anda memang tahu suami anda sukakannya ketika beraksi di ranjang.

Sudah pasti suami anda amat menghargai setiap kata-kata bisikan yang jarang-jarang kedengaran daripada mulut anda seperti itu.

Sebaik suami anda balik ke rumah, pastikan rumah anda berbau keharuman bunga-bungaan, bersih, kemas dan pasangkan lagu lembut dan romantik yang memberikan rasa ketenangan kepadanya.

Jemput dia tidur di riba anda, urut perlahan bahunya sambil melakukan belaian erotik di sekitar dada, perut dan dahinya menggunakan jari-jemari anda.
Cara godaan ini mungkin agak ekstrem. Tapi anda boleh melakukannya sesekali. Ketika mandi di dalam bilik mandi di dalam bilik tidur, anda biarkan pintunya sedikit terbuka dan biarkan suami anda yang ketika itu berada di atas ranjang melihat anda.

Lihatlah apa reaksi suami anda yang gugup menelan air liur melihatkan permainan godaan anda yang kelihatan hangat dalam bilik mandi sambil tubuh disirami air.

Sekiranya anda ingin kelihatan lebih seksi apa kata anda memakai minyak wangi yang baru atau mengubah bau minyak wangi anda.

Bau-bauan sebenarnya dapat menawan hati suami. Pilihlah bau minyak wangi yang mungkin dia suka. Letakkan sedikit di belakang leher, belakang telinga, sedikit di celah dalam paha yang pastinya memberikan rasa godaan yang bukan sedikit kepada suami anda.

Kadang-kala ada sesetengah suami yang suka melihat isterinya memakai barangan kemas atau aksesori contohnya mutiara.

Jadi goda suami anda dengan memakai mutiara ketika berada di atas ranjang tanpa pakaian di badan anda.

Atau sesekali cuba goda suami dengan memakai pakaian dalam yang berwarna erotik dan warna yang terang seperti merah atau berbintik harimau bintang.

Fabriknya pula perlulah daripada sutera yang menyerap peluh, berkilat dan lembut untuk mudah diusap oleh suami ketika berada di atas ranjang berduaan. - intim@utusan