Tuesday, May 9, 2023

Jadi Siapa Layak Cakap Nasib Melayu? DAP Kah?

INILAH yang saya katakan selama ini, orang Melayu tidak boleh lagi bercakap tentang kepentingan bangsanya sendiri. Sesiapa sahaja yang bercakap demi kepentingan Melayu, pasti akan ditohmah, dituduh dan dilabel macam-macam.

Kali ini, pemimpin DAP menempelak Tan Sri Tuan Guru Haji Hadi dan Tun Dr Mahathir yang sudi duduk bersama-sama membincangkan hal agenda dan hala tuju orang Melayu. Kononnya mereka tidak layak.

Habis tu, siapa yang layak bercakap mengenai nasib orang Melayu? Lim Kit Siang? Pemimpin-pemimpin DAP?

Sekurang-kurangnya Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Hadi adalah negarawan-negarawan yang punyai pelbagai sumbangan kepada orang Melayu dan umat Islam yang diperakui oleh orang-orang Melayu dan malah masyarakat dunia.

Tetapi, sejak dulu lagi pemimpin-pemimpin DAP hanya pandai membela sekolah-sekolah Cina milik Dong Zong sahaja. Malah, kita tidak lupa Deklarasi Setapak oleh DAP pada tahun 1967 menentang hak Istimewa Bumiputera dan orang Melayu. Begitulah hipokritnya kamu semua.

Manakala kamu Ramasamy, banyak membela pembinaan kuil-kuil haram sahaja. Dan kamulah yang bersungguh-sungguh terkehadapan dalam isu-isu pemurtadan anak-anak mualaf. Kita takkan lupa.

Hebat betul hipokrasi kamu kononnya terpaling harmoni apabila marahkan Melayu yang ingin bercakap mengenai bangsanya sendiri.

Malah, Ramasamy labelkan dan mengutuk Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Haji Hadi seolah-olah mereka telah merosakkan dan merugikan orang-orang Melayu sekian lama. Oleh itu, tak layak bercakap mengenai hal orang Melayu.

Tetapi lupa, DAP sendiri yang beriya-iya mensucikan dua tokoh ini ketika mahu mendapat sokongan orang Melayu pada PRU-13 dan PRU-14. Ketika itu, jasa-jasa Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Haji Hadi dijulang-julang oleh DAP. Lupakah?

DAP juga tiba-tiba menuduh dua tokoh ini ingin menggulingkan kerajaan apabila memperjuangkan intipati-intipati dalam Proklamasi Melayu.

Nampak sangat mereka tak kaji proklamasi itu sebelum ‘melatah’. Hanya nak menggelupur semata-mata sahaja. Lucu betul tengok gelagat mereka yang alergik dengan perpaduan orang Melayu.

Orang Melayu tidak kira siapa pun berhak berfikir, berkata-kata dan memperjuangkan hak, nasib dan masa depan bangsa dan agamanya. Jangan dilayan suara-suara sumbang yang menghasut kita agar mengabaikan bangsa dan agama kita sendiri.

Kerana akhir sekali kita juga yang akan rugi kerana puak-puak ini juga yang bersungguh-sungguh ‘push’ sini dan sana demi kepentingan bangsa mereka.

Dia boleh (banyak-banyak), kita tak boleh (walau sedikit dan dijamin Perlembagaan).

Aminuddin Yahaya
6 Mei 2023

Tuesday, March 21, 2023

Gesaan MUDA Lawat Rumah Ibadat Seolah ‘Lebih Sudu Dari Kuah’

BANGI – Gesaan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya 100,000 ahli parti itu melawat rumah ibadat agama lain, mencetuskan persoalan akan tujuan hakikinya.

Jurucakap Gagasan Bangsa, Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan tindakan itu ‘lebih sudu daripada kuah’, sedangkan untuk memahami agama dan budaya kaum lain sudah memadai melalui penganjuran dialog sahaja.

“Apa objektif lawatan ke rumah ibadat bukan Islam? Jika sekadar hendak memahami agama, dialog pun dah cukup. Tak perlu nak pergi ziarah pula. Dan dialog ini boleh dianjurkan di mana-mana dan sudah banyak dibuat pun.

“Ini hingga nak ziarah untuk memahami agama lain sebagainya, bukan perlu dibuat. Orang Islam sekarang ini masjid pun kosong lagi, sepatutnya kita buat seruan ke masjid dulu sebelum nak suruh nak ke rumah ibadat lain.

“Kenapa kita nak bersungguh sangat, menjadikan kita nampak macam pelik sikit lah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, sepatutnya pemimpin Islam di negara ini memperkasakan kefahaman, penghayatan anak-anak muda umat Islam kepada agama Islam itu sendiri.

“Bukan tiba-tiba masjid pun jarang pergi, penghayatan pun tak seberapa tiba-tiba kita nak pergi ajak ziarah tempat orang lain.

“Kita ini kan negara majoriti umat Islam, jadi kenapa kita seolah olah beria-ia sangat. Lebih sudu dari kuah untuk memahami agama orang lain. Nak memahami agama kita pun masih lintang pukang dan sebagainya.

“Bukan bermakna kita nak memusuhi agama lain tetapi tak perlu sampai nak ziarah,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq dilaporkan mahu menggesa lebih 100,000 ahli parti itu melawat rumah ibadat agama lain.

Katanya, lawatan ke rumah ibadat lain akan membantu generasi muda memahami agama dan budaya kaum lain.

“Adakah melawat tempat agama lain, melihat seni binanya dan memahami sejarahnya akan mengurangkan iman kita? Saya yakin tidak.

“Sebagai presiden Muda, saya mahu menggesa lebih 100,000 ahli Muda untuk melawat mana-mana rumah ibadat, kerana ini (Malaysia) adalah rumah kita, bersama dan selamanya,” katanya menerusi satu klip video. - ismaweb.net

Apabila Orang Melayu Tidak Berbangga Dengan Tulisan Jawi...

Kurang mahir Jawi punca ambilan calon peguam syarie Johor sedikit
ISKANDAR PUTERI – Kurang mahir membaca tulisan Jawi menjadi antara punca jumlah pengambilan calon peguam syarie di Johor sedikit pada setiap tahun, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kelemahan itu menyebabkan calon lambat membaca soalan peperiksaan bertulis kerana soalan disediakan dalam tulisan Jawi selain tidak memahami kehendak soalan.

“Punca lain, calon salah merujuk peruntukkan seksyen. Contohnya, kesalahan umum di bawah undang-undang Islam negeri lain sedangkan peperiksaan tersebut mengenai undang-undang negeri Johor,” katanya ketika menjawab soalan lisan Rashidah Ismail (BN-Pasir Raja) pada persidangan DUN Johor di Kota Iskandar, di sini.

Rashidah ingin mengetahui punca pengambilan peguam syarie di negeri ini sedikit setiap tahun sedangkan jumlah permohonan yang diterima begitu ramai.

Mohd Fared (BN-Semerah) berkata bagi menangani masalah itu sekali gus memastikan Johor dapat melahirkan lebih ramai peguam syarie berkualiti, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) melakukan penambahbaikan dengan cara membukukan soalan tahun lepas sebagai rujukan calon bagi menghadapi peperiksaan.

Katanya, bagi calon yang berminat untuk mendapatkan buku soalan tersebut, mereka boleh membelinya melalui medium yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata MAIJ turut mencadangkan agar Persatuan Peguam Syarie Negeri Johor menganjurkan kursus persediaan peperiksaan kepada calon peperiksaan peguam syarie di negeri ini.

Menurutnya, MAIJ sebelum ini telah menetapkan bahawa calon peguam syarie berkualiti haruslah melepasi markah 60 peratus bagi peperiksaan bertulis untuk melayakkan mereka masuk ke peringkat temuduga.

Bagi peringkat temuduga pula, katanya calon perlu melepasi markah 80 peratus untuk lulus dan markah penilaian itu akan dibawa ke dalam jawatankuasa peguam syarie untuk dibentangkan.

“Jika di peringkat jawatankuasa meluluskan, maka calon yang layak akan dimajukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peguam Syarie untuk dapatkan pengesahan lantikan,” katanya sambil menambah seramai 87 calon memohon menjalani peperiksaan bertulis peguam syarie pada tahun lepas, namun hanya seorang yang lulus.

Mohd Fared memaklumkan sehingga hari ini, 192 peguam syarie sudah menerima Sijil Peguam Syarie dan Sijil Amalan Guaman Syarie untuk beramal di Mahkamah Syariah Negeri Johor.

“Peguam syarie negeri Johor diterima masuk berdasarkan Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Negeri Johor 2015 dan dinilai berdasarkan tiga tahap iaitu kelayakan berdasarkan Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie, peperiksaan bertulis dan temuduga,” katanya. – Bernama