Tuesday, March 21, 2023

Gesaan MUDA Lawat Rumah Ibadat Seolah ‘Lebih Sudu Dari Kuah’

BANGI – Gesaan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya 100,000 ahli parti itu melawat rumah ibadat agama lain, mencetuskan persoalan akan tujuan hakikinya.

Jurucakap Gagasan Bangsa, Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan tindakan itu ‘lebih sudu daripada kuah’, sedangkan untuk memahami agama dan budaya kaum lain sudah memadai melalui penganjuran dialog sahaja.

“Apa objektif lawatan ke rumah ibadat bukan Islam? Jika sekadar hendak memahami agama, dialog pun dah cukup. Tak perlu nak pergi ziarah pula. Dan dialog ini boleh dianjurkan di mana-mana dan sudah banyak dibuat pun.

“Ini hingga nak ziarah untuk memahami agama lain sebagainya, bukan perlu dibuat. Orang Islam sekarang ini masjid pun kosong lagi, sepatutnya kita buat seruan ke masjid dulu sebelum nak suruh nak ke rumah ibadat lain.

“Kenapa kita nak bersungguh sangat, menjadikan kita nampak macam pelik sikit lah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, sepatutnya pemimpin Islam di negara ini memperkasakan kefahaman, penghayatan anak-anak muda umat Islam kepada agama Islam itu sendiri.

“Bukan tiba-tiba masjid pun jarang pergi, penghayatan pun tak seberapa tiba-tiba kita nak pergi ajak ziarah tempat orang lain.

“Kita ini kan negara majoriti umat Islam, jadi kenapa kita seolah olah beria-ia sangat. Lebih sudu dari kuah untuk memahami agama orang lain. Nak memahami agama kita pun masih lintang pukang dan sebagainya.

“Bukan bermakna kita nak memusuhi agama lain tetapi tak perlu sampai nak ziarah,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq dilaporkan mahu menggesa lebih 100,000 ahli parti itu melawat rumah ibadat agama lain.

Katanya, lawatan ke rumah ibadat lain akan membantu generasi muda memahami agama dan budaya kaum lain.

“Adakah melawat tempat agama lain, melihat seni binanya dan memahami sejarahnya akan mengurangkan iman kita? Saya yakin tidak.

“Sebagai presiden Muda, saya mahu menggesa lebih 100,000 ahli Muda untuk melawat mana-mana rumah ibadat, kerana ini (Malaysia) adalah rumah kita, bersama dan selamanya,” katanya menerusi satu klip video. - ismaweb.net

Apabila Orang Melayu Tidak Berbangga Dengan Tulisan Jawi...

Kurang mahir Jawi punca ambilan calon peguam syarie Johor sedikit
ISKANDAR PUTERI – Kurang mahir membaca tulisan Jawi menjadi antara punca jumlah pengambilan calon peguam syarie di Johor sedikit pada setiap tahun, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kelemahan itu menyebabkan calon lambat membaca soalan peperiksaan bertulis kerana soalan disediakan dalam tulisan Jawi selain tidak memahami kehendak soalan.

“Punca lain, calon salah merujuk peruntukkan seksyen. Contohnya, kesalahan umum di bawah undang-undang Islam negeri lain sedangkan peperiksaan tersebut mengenai undang-undang negeri Johor,” katanya ketika menjawab soalan lisan Rashidah Ismail (BN-Pasir Raja) pada persidangan DUN Johor di Kota Iskandar, di sini.

Rashidah ingin mengetahui punca pengambilan peguam syarie di negeri ini sedikit setiap tahun sedangkan jumlah permohonan yang diterima begitu ramai.

Mohd Fared (BN-Semerah) berkata bagi menangani masalah itu sekali gus memastikan Johor dapat melahirkan lebih ramai peguam syarie berkualiti, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) melakukan penambahbaikan dengan cara membukukan soalan tahun lepas sebagai rujukan calon bagi menghadapi peperiksaan.

Katanya, bagi calon yang berminat untuk mendapatkan buku soalan tersebut, mereka boleh membelinya melalui medium yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata MAIJ turut mencadangkan agar Persatuan Peguam Syarie Negeri Johor menganjurkan kursus persediaan peperiksaan kepada calon peperiksaan peguam syarie di negeri ini.

Menurutnya, MAIJ sebelum ini telah menetapkan bahawa calon peguam syarie berkualiti haruslah melepasi markah 60 peratus bagi peperiksaan bertulis untuk melayakkan mereka masuk ke peringkat temuduga.

Bagi peringkat temuduga pula, katanya calon perlu melepasi markah 80 peratus untuk lulus dan markah penilaian itu akan dibawa ke dalam jawatankuasa peguam syarie untuk dibentangkan.

“Jika di peringkat jawatankuasa meluluskan, maka calon yang layak akan dimajukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peguam Syarie untuk dapatkan pengesahan lantikan,” katanya sambil menambah seramai 87 calon memohon menjalani peperiksaan bertulis peguam syarie pada tahun lepas, namun hanya seorang yang lulus.

Mohd Fared memaklumkan sehingga hari ini, 192 peguam syarie sudah menerima Sijil Peguam Syarie dan Sijil Amalan Guaman Syarie untuk beramal di Mahkamah Syariah Negeri Johor.

“Peguam syarie negeri Johor diterima masuk berdasarkan Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Negeri Johor 2015 dan dinilai berdasarkan tiga tahap iaitu kelayakan berdasarkan Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie, peperiksaan bertulis dan temuduga,” katanya. – Bernama

Pencerobohan....Siapa Yang Melindungi Mereka

Hutan Simpan Ulu Jelai Dicerobohi Puluhan Warga China, Melombong
LIPIS – Kegiatan perlombongan haram di Hutan Simpan Ulu Jelai yang dicerobohi puluhan warga China berjaya dipatahkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).
Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, lombong tersebut dibuka seluas 0.28 hektar di kompartmen 411 bagi mendapat galian yang dipercayai unsur nadir bumi (REE).

“Hasil daripada pemeriksaan di kawasan berbukit dan tanah merah oleh anggota unit penguatkuasaan dikatakan telah menemui tujuh kolam yang dipercayai sedia digunakan sebagai penapis dan pengasingan REE.”

“Selain itu, unit penguatkuasa JPNP dan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis turut menjumpai beberapa jentera dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk melancarkan aktiviti perlombongan haram itu.”

Katanya, pihak JPNP percaya kegiatan ini didalangi orang tempatan dan warga China berdasarkan bukti-bukti yang terdapat di kawasan kejadian.

“Tiada individu yang ditahan kerana mereka dikatakan sudah mengetahui kehadiran anggota penguat kuasa.”

“Walau bagaimanapun, jabatan sudah melantik satu pasukan siasatan bertujuan mempercepatkan siasatan bagi mengesan pelombong haram ini.”

Kesemua peralatan telah dirampas dan disita bagi siasatan lanjut.

“Tindakan tegas menanti mereka termasuk mengheret mereka ke muka pengadilan. Hukuman di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 menanti pihak terbabit,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya akan terus melakukan aktiviti rondaan dan pemantauan di kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai dan beberapa hutan simpan lain di daerah tersebut bagi mengesan kegiatan menceroboh dan memindahkan bahan galian tanpa kebenaran.

Beliau turut menyeru masyarakat setempat termasuk Orang Asli supaya dapat bekerjasama memberi maklumat sekiranya terdapat kegiatan menceroboh hutan simpan dan tanah Kerajaan di daerah itu.

Sementara itu, beliau berkata usaha pemulihan akan dilaksanakan dengan menjalankan penanaman semula sebaik sahaja proses siasatan berhubung isu berkenaan selesai. - www.samudera.my