Wednesday, July 29, 2020

Logo Halal...Segerakan Pelaksanaannya

Bidas logo halal: Hua Zong takut dengan BMF?
Bantahan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) terhadap kempen tukar logo halal yang sedang tular ketika ini menunjukkan betapa gentarnya mereka akan kebangkitan gelombang baharu ekonomi umat Islam.

Sebelum ini, Presiden Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan meminta kerajaan dapat mengambil berat dan menyekat kempen mengkategorikan logo halal itu.

Katanya, ia bukan sahaja tidak sesuai dengan keadaan negara dan merosakkan suasana perniagaan, tetapi turut mewujudkan halangan dan sekatan untuk produk halal Malaysia memasuki pasaran antarabangsa.

Tian Chuan berkata, perdagangan dalam pasaran halal tidak harus menjadi berunsur perkauman dan keagamaan ekstrem.

Membidas kenyataan itu, Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari menjelaskan, untuk makluman Hua Zong, cadangan tersebut hanya jentikan idea netizen semata-mata dan bukan sesuatu yang rasmi dari pihak kempen Beli Produk Muslim (BMF).

Pun begitu, beliau mempersoalkan, mengapa Hua Zong perlu melatah sehingga mengeluarkan kenyataan di media yang mengguris hati umat Islam.

“Jelas menunjukkan Hua Zong telah menzahirkan ‘ketakutan’ mereka kepada Kempen BMF Malaysia yang sekarangnya dianjur urus oleh PEMBELA.

“Soalan PEMBELA kembali kepada Hua Zong, siapa mereka mahu masuk campur bidang kuasa Islam? Adakah Hua Zong mahu mencabar umat Islam?

“Kepada Hua Zong, awas! Jangan masuk campur urusan umat Islam di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, tular poster kempen tukar logo halal yang memaparkan logo itu diasingkan kepada tiga jenis warna iaitu hijau, jingga dan ungu.

Warna hijau dicadangkan untuk perusahaan yang dimiliki 100 peratus oleh muslim, jingga untuk perusahaan milikan bersama muslim dan bukan muslim, sementara ungu untuk perusahaan milikan penuh bukan Muslim. - ismaweb.net
Hua Zong tiada hak campur tangan isu logo halal
Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat menegaskan, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) tiada hak untuk menghalang bangsa pribumi Melayu Islam memperbaiki serta meningkatkan ekonomi mereka.

Mengulas isu kempen tukar logo halal yang dibantah Hua Zong, Ustaz Masridzi berkata, hak pemberian logo halal adalah di bawah kuasa agensi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam negeri.

“Jadi, bukan hak orang bukan Islam nak memandai. Bahkan selama ini banyak orang Melayu Islam yang tertipu dengan membeli produk bukan Islam melalui lesen halal yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, untuk meletakkan pelbagai kategori warna logo halal itu adalah satu tindakan yang sangat baik kepada keselamatan Islam dan umatnya.

“Perbuatan kilang-kilang produk bukan muslim yang mempergunakan tulisan Jawi dan lambang Islam seperti masjid dan sebagainya jelas begitu lama menipu umat Islam dalam negara kita ini.

“Justeru, sudah sampai masa kerajaan kena perbetulkan perkara ini agar tulisan Jawi, simbol Islam tidak dipermainkan lagi oleh orang bukan Islam dalam bidang perniagaan di negara kita,” katanya.

Mengulas lanjut, Ustaz Masridzi berkata, selama ini pengusaha bukan muslim tidak pun peduli soal halal haram dalam produk-produk mereka.

“Kenapa baru sekarang Hua Zong nak bising. Apakah itu petanda ekonomi kaum mereka dah nak tumbang?

“Kepada seluruh umat Islam saya menyeru, teruskan kempen BMF dan pastikan setiap sen duit yang dikeluarkan ke arah memperkasakan produk, pengusaha dan zakat di kalangan umat Islam,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan meminta kerajaan dapat mengambil berat dan menyekat kempen mengkategorikan logo halal itu.

Katanya, ia bukan sahaja tidak sesuai dengan keadaan negara dan merosakkan suasana perniagaan, tetapi turut mewujudkan halangan dan sekatan untuk produk halal Malaysia memasuki pasaran antarabangsa.

Tian Chuan berkata, perdagangan dalam pasaran halal tidak harus menjadi berunsur perkauman dan keagamaan ekstrem. - ismaweb.net

Friday, July 24, 2020

RUU355: Adakah PAS, UMNO Mahukan Restu MCA Dahulu?

Rakyat menilai jika PAS mula berhelah dalam perjuangan asal
Inilah masa yang tepat untuk PAS membawa Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau RUU355 ke Parlimen, dan bukannya berdolak-dalih.

Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim berkata, jika PAS senyap dan sentiasa berhelah, maka masyarakat sudah boleh menilai serta memberi markah kepada perjuangan PAS sama ada ia perjuangan berprinsip atau sebaliknya.

“Kita boleh bercakap bila-bila masa bahawa perjuangan kita adalah perjuangan berprinsip, tetapi kita harus sedar juga bahawa kita terus dinilai oleh setiap lapisan masyarakat.

“Apakah kata-kata kita itu sejajar dengan perbuatan atau tindakan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas jawapan Parlimen oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga Exco Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Marzuk Shaary bahawa sebarang cadangan penambahbaikan berkaitan penggubalan undang-undang perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Marzuk menjawab pertanyaan lisan Anggota Parlimen Tampin, Hasan Bahrom, berkenaan sama ada kerajaan berhasrat untuk membentangkan RUU tersebut buat kali kedua, serta bila ia akan dibuat dan bagaimana ia akan dilaksanakan.

Selain itu, Hasan juga meminta kerajaan menjelaskan sebab jika ia tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Mengulas respon timbalan menteri itu, Ustaz Zamani berkata, beliau amat berharap dengan terbentuknya Muafakat Nasional (MN) ini, ia akan menjadi lebih bertenaga, malah setiap pemimpin UMNO dan PAS lebih berwibawa untuk memperkasakan agenda ummah dan negara, termasuk RUU355.

“Saya tidak nampak halangan yang besar untuk membawa RUU355 ini sebabnya sudah menjadi kerajaan kecuali UMNO dan PAS (MN) masih nak merujuk kepada MCA dan mendapatkan restunya,” katanya.

Beliau menasihatkan, pemimpin-pemimpin di dalam MN supaya tidak membawa agenda kepartian.

“Lihat DAP walaupun diberi peluang 22 bulan menjadi kerajaan, mereka tidak teragak agak membawa agenda bangsanya, mohon pemilikan tanah sampai 999 tahun.

“Berjaya atau tidak itu bukan persoalan tetapi semangat bersungguh sungguh itu yang ditonjolkan okeh mereka kepada bangsa mereka,” katanya lagi. - ismaweb.net

Tuesday, July 21, 2020

UEC Ancaman Perpaduan Nasional

Dasar pendidikan negara berteras bahasa Melayu mesti dimartabat
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti bertegas untuk tidak sesekali mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan – sekalipun didesak oleh mana-mana pihak.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan dasar pendidikan negara yang berteraskan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama terus dimartabatkan.

“UEC juga adalah ancaman utama kepada perpaduan nasional. Mustahil untuk memupuk perpaduan nasional dengan menerima sistem pendidikan Taiwan bagi diamalkan di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kerajaan tidak pernah menyatakan akan mengiktiraf UEC dalam pertemuan beliau bersama pimpinan organisasi Cina – Hua Zong – Khamis lalu.

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa hadapan.

Sebelum ini, Sin Chew Daily melaporkan, pertemuan diketuai Tan Sri Goh Tian Chuan telah menyerahkan 15 tuntutan berkenaan ekonomi, politik dan pendidikan kepada Perdana Menteri, pada masa sama menggesa kerajaan mengiktiraf sijil UEC Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Goh Tian Chuan mendakwa, SMPC dan UEC berasal dari Malaysia dan mendapat pengiktirafan berterusan daripada banyak kerajaan serta kolej di seluruh dunia, yang memberi peluang kepada lepasannya melanjutkan pengajian ke luar negara.

Bagaimanapun selepas itu, Goh Tian Chuan didakwa bersetuju dan menyokong kenyataan Perdana Menteri yang menegaskan bahawa pendekatan penyelesaian isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) harus berlandaskan dasar pendidikan negara.

Tian Chuan berkata, Hua Zong menyokong sepenuh kenyataan Perdana Menteri bahawa akan berbincang semula untuk mencapai kesepakatan berdasarkan dasar dan keadaan negara.

UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.

Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996. - ismaweb.net