Thursday, February 27, 2020

Pemimpin Melayu Ibarat Buih Di Lautan

Sebahagian besar hanya tahu melatah, pentingkan pangkat, kedudukan
BERKAMPUNG dua tiga hari di Kuala Lumpur dan mungkin lebih hanya untuk melatah tak tentu arah.

Rupa-rupanya tiada pemuafakatan antara pemimpin Melayu.

Apatah lagi pemikiran strategik politik untuk izzah bangsa, agama dan negara.

Mereka hilang pedoman dan panduan. Merancang tanpa perancangan.

Ramai yang mengaku kononnya berpengalaman luas dalam bidang politik.

Tahu sepak terajang politik, tetapi setara dengan jaguh kampung sahaja.

Bila berdepan dengan pergelutan politik mereka hanya melatah.

Melatah kerana sebahagian besar mereka pentingkan pangkat dan kedudukan.

Tiada pendirian yang jelas dalam perjuangan politik tanah air.

Ke hulu ke hilir, ke kiri ke kanan mengintai intai peluang pangkat dan kedudukan peribadi.

Jauh sama sekali untuk membela maruah bangsa dan agama.

Melatah kerana mereka tiada perancangan politik untuk survival bangsa, agama dan negara.

Boleh diibaratkan juga mereka masuk temasya persilatan tanpa ilmu persilatan.

Kalau mereka bersepakat dan mengutamakan kepentingan maruah bangsa dan agama rasanya tidak begitu sukar untuk menerajui kepimpinan negara.

Mereka masih majoriti dalam parlimen, tapi hanya ibarat buih dilautan yang luas.

Kepimpinan bangsa Melayu perlu kepada kepimpinan baru yang lebih berwibawa dan bermaruah.

Pergelutan politik terkini menggambarkan kepincangan kepimpinan bangsa Melayu.

Kepincangan akhlak dan maruah adalah faktor utama kepimpinan Melayu tidak dapat melahirkan kepimpinan yang berwibawa walaupun kewujudan organisasi mereka telah melebihi separuh abad.

Separuh abad berlalu tetapi tidak dapat melahirkan kader kepimpinan yang berwibawa.

Ini adalah petanda kegagalan mana-mana organisasi politik atau pun sosial.

Sudah tiba masanya bangsa Melayu perlu berubah dan berusaha untuk membina peradaban yang cemerlang.

Hal ini kerana kepimpinan yang cemerlang dan berwibawa tidak akan lahir dari bangsa yang tidak berakhlak dan tidak bermaruah.

Oleh :  Ustaz Sharipudin bin Ab Kadir            

Tipu Rakyat, Tipu Tun, Beginikah Pemimpin Yang Kita Mahu Pilih?

Ini bukan 'seni politik', tetapi 'seni menipu'
BANGI – “Saya tidak kisah kalau mereka ‘gila’ sangat pada jawatan tetapi janganlah menipu dan menunjukkan sifat ‘munafik politik’. Di depan kata setuju pada Tun tetapi senyap-senyap jumpa Agong dan menamakan orang lain sebagai perdana menteri. Ini bukan ‘seni politik’, tetapi ‘seni menipu’.”

Demikian kata Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya susulan pengumuman bahawa Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebulat suara bersetuju mencalonkan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri pilihan mereka, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan itu pada Isnin.

Haji Aminuddin menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai satu penipuan, bahkan turut melabelkan mereka yang pada awalnya menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir, namun kemudian berubah kepada Anwar sebagai ‘munafik politik’.

“Orang kata politik ini boleh berubah-ubah. Itu bahasa lembut atau bahasa ‘cover’ sahaja. Tetapi kalau dalam bahasa kasarnya orang akan panggil sebagai ‘munafik politik’.

“Baru semalam ‘puak-puak’ PKR mengumumkan mereka akan menyokong Tun Mahathir untuk jadi perdana menteri tetapi kenyataan mereka hari ini melalui Setiausaha Agung PKR bahawa Ahli-ahli Parlimen mereka menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri pula. Ini memang sukar untuk difahami oleh orang yang ada prinsip dan waras,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Anwar dalam sidang media berkata, berdasarkan keputusan Majlis Presiden PH semalam, mereka telah menetapkan bahawa calon Perdana Menteri PH adalah dirinya.

Bagaimanapun, ketika ditanya jumlah Ahli Parlimen yang menyokong PH setakat ini, Anwar berkata, perkara itu tidak sesuai dan tidak sopan untuk dibincangkan ketika ini.

Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) berkata, ini adalah satu penipuan yang nyata terhadap rakyat secara amnya dan kepada Tun Dr Mahathir secara khususnya.

“Apakah pemimpin dengan akhlak sebegini wajar diangkat untuk memimpin negara? Apakah kuasa adalah segala-galanya dan bukannya kepentingan rakyat yang sepatutnya harus diutamakan?,” soalnya.

Justeru, beliau secara tekad meminta setiap Ahli Parlimen telus dalam menyatakan pendirian masing-masing dan tidak melakukan penipuan kepada rakyat.

“Pada saat-saat kritikal ini, saya minta sungguh-sungguh agar semua Ahli-ahli Parlimen bercakap benar dan ikhlas serta tegas dalam pendirian. Janganlah kelirukan rakyat yang tidak bersalah ini. Kestabilan negara harus diutamakan, bukannya kepentingan individu. Bercakap benarlah dan jangan jadikan penipuan sebagai budaya dalam berpolitik.

“Rakyat kini menyerahkan sepenuhnya pada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan. Rakyat akan menjunjung titah serta mendoakan agar Allah memberikan taufik dan keberkatan kepada Tuanku dalam membuat keputusan. InsyaAllah. Semoga semuanya selesai dengan aman. Amin,” katanya. - www.ismaweb.net

Iktiraf UEC? Tak Boleh: Teo Kok Seong

Silibus UEC tidak selari dengan kehendak pendidikan negara
Kerajaan diminta untuk tidak mendengar sebarang tuntutan dari masyarakat Cina yang mahukan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong yang sama sekali tidak pernah menyokong kehadiran UEC dalam sistem pendidikan negara.

“Saya tidak menyokong UEC diiktiraf dan kerajaan tidak boleh sesekali mengiktiraf UEC ini, justeru itu kerajaan jangan sesekali menerima tuntutan masyarakat Cina.

“Dua tuntutan lain juga tidak boleh diterima, di mana masyarakat Cina ingin menjadikan UEC sebagai syarat kemasukan ke IPTA (institusi pendidikan tinggi awam) dan kedua, kemasukan pekerjaan di sektor awam.

“Jadi, itulah dua tuntutan masyarakat Cina yang tidak pernah ada dalam sistem pendidikan kebangsaan kita,” katanya ketika di hubungi Ismaweb.net.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa telah bersetuju untuk meneruskan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan untuk Sijil Peperiksaan Bersama UEC (PISMP-UEC).

Memetik laporan portal China Press, kelulusan dari Dr Mahathir itu disahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Merujuk portal berbahasa Cina itu, Nie Ching dilaporkan berkata, PISMP-UEC adalah satu-satunya cara untuk lepasan sijil berkenaan masuk ke dalam sektor kerajaaan.

Namun katanya, KPM bukan sahaja meneruskan program ijazah perguruan untuk UEC, bahkan juga kepada lepasan persijilan agama, seperti Sijil Menengah Agama dan Sijil Menengah Ugama.

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, UEC ditolak kerana tidak menggunakan bahasa Melayu dan silibus kokurikulum kebangsaan.

Katanya, pada tahun 1992, kerajaan pernah menawarkan UEC untuk masuk dalam sistem pendidikan negara, tetapi perlu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

“Mereka (pendidikan Cina) tidak mahu kerana mereka ingin terus gunakan bahasa Mandarin serta menjalankan kokurikulum mereka sendiri.

“Jadi tidak mengapa, tetapi mereka merupakan institusi pendidikan swasta.

“Sekarang mereka tuntut supaya UEC diiktiraf untuk masuk ke IPTA dan sektor pekerjaan awam, maknanya mereka nak iktiraf UEC sebagai institusi pendidikan kerajaan. Itu tak boleh,” katanya lagi. - www.ismaweb.net