Thursday, September 19, 2019

Jual...Jual Jangan Tak Jual...Lelong....Lelong!!!

Khazanah jual Prince Court RM1.02b
KUALA LUMPUR – Kha­za­nah Nasional Berhad (Khazanah) melupuskan keseluruhan pegangannya dalam Prince Court Medical Centre Sdn. Bhd. (PCMC) kepada IHH Healthcare Berhad (IHH) dengan nilai RM1.02 bilion secara tunai.

Perjanjian tersebut dimeterai antara syarikat tidak langsung milik Khazanah, Pulau Memutik Ventures Sdn. Bhd. dengan anak syarikat tidak langsung milik penuh IHH, Pantai Holdings Sdn. Bhd.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, urus niaga itu adalah selaras dengan mandat baharu serta akan me­ningkatkan kecairan Khazanah bagi tujuan keperluan modal pelaburan masa depan.

Menurut beliau, cadangan pelupusan tersebut akan membolehkan PCMC menerima manfaat daripada kemasukannya ke dalam operasi IHH di Malaysia serta rangkaian globalnya yang lebih luas.

“Di samping itu, Khazanah yakin bahawa PCMC akan mendapat manfaat daripada peng­alaman luas IHH dalam penyediaan penjagaan kesihatan premium.

“Pada masa sama ia akan memantapkan kedudukan IHH sebagai antara pengendali penjagaan kesihatan utama di Malaysia yang mana Khazanah kekal sebagai salah satu pemegang saham utama dengan pegangan kepentingan sebanyak 26.04 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khazanah menjual 16 peratus pegangannya dalam IHH pada November tahun lepas kepada Mitsui & Co. Ltd. dengan nilai RM8.42 bilion sekali gus menjadikan syarikat Jepun itu sebagai pemegang saham terbesar IHH dengan penguasaan 32.9 peratus.

PCMC telah diambil alih secara strategik oleh Khazanah pada 2018 untuk membina sektor perkhidmatan penjaga­an kesihatan di Malaysia serta mempromosi Kuala Lumpur sebagai destinasi pilihan bagi penjagaan kesihatan berkualiti di rantau ini.

Transaksi berkenaan antara lainnya tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan serta para pemegang saham IHH yang lain.

Khazanah menjangkakan urus niaga itu akan dimuktamad­kan pada su­ku pertama 2020. - www.utusan.com.my

Wednesday, September 18, 2019

Kerajaan PH Ni Kerjanya Jual Aset Sahaja...

PM: Kerajaan akan jual hartanah tidak penting
PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulangi kebimbangannya mengenai keadaan kewangan negara sambal menyatakan Putrajaya sedang berusaha untuk menjual hartanah tidak penting di dalam dan luar negara yang mampu memperoleh harga yang baik.

Dalam temu bual dengan stesen radio BFM hari ini, perdana menteri berkata hutang yang besar yang diwarisi kerajaannya daripada pentadbiran terdahulu menjejaskan jentera dan rancangan kerajaan untuk negara.

Beliau juga bercakap mengenai pemulihan dana 1MDB dan perundingan semula projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Selain menangguhkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan membatalkan projek lain, katanya, Putrajaya juga boleh melupuskan beberapa asetnya untuk membayar hutang.

“Dari segi jualan aset, kita mempunyai beberapa hartanah yang kita tidak penting pada masa ini dan boleh mendapatkan harga yang baik. Kita akan menjual (ini) untuk apa sahaja nilai yang boleh mereka beri.

“Biasanya jumlahnya tidak terlalu besar, tetapi masih mengumpul nilai agak besar,” katanya.

Ditanya sama ada hartanah ini termasuk di wilayah Iskandar Johor, Mahathir berkata beliau tidak berfikir begitu kerana ia telah pun dijual.

“Wang itu telah dibayar, bukan kepada kita, tetapi kepada orang yang menjual tanah itu. Jadi itu bukan apa yang kita cari,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai hartanah berkenaan, mengatakan rundingan masih berjalan.

“Kita perlu mencari harga yang baik. Kita mempunyai hartanah di Hong Kong, Singapura dan negara lain, bukan sahaja di negara ini.”

Mahathir mengulas kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak, pada Sabtu yang menuduh kerajaan yang dipimpin Pakatan Harapan mempunyai mentaliti “jual, jual, jual” dan sentiasa berusaha untuk melupuskan aset negara kepada orang asing.

Mengenai perbincangan kemelesetan ekonomi, beliau berkata negara itu boleh mengelaknya jika kerajaan diurus dengan baik. Beliau juga berkata kerajaan mempunyai kepakaran yang diperlukan untuk mencegah kemelesetan ekonomi. - www.freemalaysiatoday.com

Adakah Pengkhianatan Ini Sememangnya Diaturkan...

Khazanah jual pegangan, lapangan terbang Malaysia diurus syarikat asing?
KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dilaporkan berada dalam proses akhir penjualan pegangannya dalam Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada sebuah syarikat pengurusan lapangan terbang di London iaitu Vinci & Gatwick Airports.

Jika rundingan tersebut benar berlaku dan diteruskan, MAHB dikatakan tidak lagi mengawal dan mengurus lapangan terbang seluruh negara sebaliknya akan dilakukan oleh syarikat asing.

Sekiranya ini benar ini adalah pengkhianatan kepada negara dan bangsa terutama sekali bumiputera.

Menurut bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi, beliau terkejut dengan pendedahan penganalisis politik Badrul Hisham Shaharin apabila Khazanah memutuskan untuk menjual aset bertaraf nasional itu.

“Nampaknya ada muslihat dan konspirasi beberapa pihak dalam kerajaan dan Khazanah dan dipengaruhi oleh satu pihak swasta yang ingin melihat sebuah institusi bumiputera yang agak berjaya dan terkenal seluruh dunia hancur ranap,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook miliknya hari ini.

Tambah beliau, MAHB pernah menerpa beberapa kejayaan dalam pengendalian lapangan terbang termasuklah pemilikan lapangan terbang kedua terbesar di Turki iaitu Sabiha Gochken Istanbul dan berjaya meraih keuntungan sebelum cukai RM700 juta pada 2018.

“MAHB juga diberi kepercayaan untuk mengendali fasiliti di lapangan terbang antarabangsa Hamad, Doha salah satu lapangan terbang antarabangsa terbaik dunia.

“MAHB sebagai satu syarikat yang berjaya patut diberi galakan untuk mencebur diri di persada antarabangsa kerana banyak negara di Timur Tengah dan Afrika berminat untuk belajar dari Malaysia untuk mengendali lapangan terbang dengan berjaya dan menguntungkan.” tegasnya.

Semalam, Badrul atau che’Gu Bard dalam status Facebook miliknya mendakwa, Khazanah menolak cadangan awal yang dikemukakan oleh ADP Incorporated untuk mengekalkan kerajaan Malaysia sebagai pemegang saham utama MAHB.

“Kami dimaklumkan dari sumber maklumat yang diperoleh, bahawa MAHB akan terlelong kepada GATWICK – London yang tidak mempunyai rekod kecemerlangan dalam pengurusan.

“Kita tahu mesyuarat diadakan dan cadangan dibuat untuk ADP melabur dalam MAHB dengan menetapkan kerajaan Malaysia sebagai pemegang utama saham dan perjalanan masih ditentukan oleh pihak berkuasa kerajaan. Ini berlaku pada sekitar bulan Mei 2019,” katanya.

Tambah bekas Ketua Cabang PKR Rembau itu, penjualan MAHB kepada syarikat luar menyebabkan keuntungan dan urusan pintu masuk negara dikawal oleh pihak asing. - UTUSAN ONLINE