Tuesday, April 30, 2019

Ketika Malaysia Baharu Dalam Kecelaruan....

Singapura bakal bangunkan hab halal termaju di Asia Tenggara
Singapura akan memiliki hab halal yang berdedikasi dan termaju di Asia Tenggara dalam tempoh dua tahun lagi.

Hab tersebut terletak di kawasan barat negara ini serta akan menempatkan unit pemprosesan makanan, dapur berpusat, bilik sejuk, Pusat Kecemerlangan Halal dan operasi logistik dalam sebuah kompleks bertingkat yang canggih.

“Singapura telah mencari peluang untuk membangunkan sebuah platform perniagaan halal bersepadu sejak beberapa tahun lepas. Cadangan hab halal ini adalah satu langkah yang tepat dan akan mempercepatkan serta memudahkan proses-proses perniagaan yang berkaitan dengan halal,” kata penasihat projek, Zainul Abidin Rasheed. - BERNAMA

Saturday, April 27, 2019

Gembiranya Gerombolan Chauvanist....

Tiada lagi pasukan STAGG, STING, Stafoc di PDRM
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan tiga pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dimansuhkan sebagai langkah penstrukturan semula beberapa jabatan dalam agensi keselamatan itu.

Mohamad Fuzi ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, bagaimanapun, seperti dimaklumkannya sebelum ini, proses pertukaran membabitkan pegawai dan anggota di tiga pasukan khas tersebut memasuki 60 peratus dan dijangka lengkap dalam masa terdekat.

“Ya saya sahkan. Tiada lagi tiga pasukan khas seperti Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dalam PDRM,” katanya.

Semalam akhbar melaporkan mengenai proses pertukaran dan penempatan semula pegawai dan anggota tiga pasukan tersebut giat dilakukan PDRM.

Namun, pertukaran tersebut bukan bermakna tiga pasukan khas PDRM itu akan dibubarkan kerana ia memerlukan waran pelaksanaan.

Susulan itu, tular di laman sosial sejak semalam sebuah video yang memaparkan rakaman majlis perpisahan pasukan Stafoc

Melalui video berdurasi 30 saat itu turut memaparkan sebahagian pegawai dan anggota terlibat sedih berikutan pembubaran pasukan itu. - UTUSAN ONLINE

Alahai Tun M.....!

Mengapa kepuasan pengundi terhadap pencapaian Tun M merosot?
Tahap kepuasan pengundi terhadap pencapaian Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri merosot kepada 46 peratus pada Mac lalu berbanding 71 peratus yang dicatatkan pada Ogos tahun lalu.

Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Center juga mendapati, hanya 39 peratus pengundi memberikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) rating positif pada Mac lalu.

Merdeka Center menerusi kenyataan hari ini berkata, kemerosotan sokongan awam kepada kerajaan boleh dilihat pada peningkatan jumlah peratusan yang menganggap ‘negara menuju ke arah yang salah’ iaitu daripada 24 peratus pada Ogos 2018 kepada 46 peratus pada Mac lalu.

“Kemerosotan ini boleh dikaitkan kepada tiga faktor, iaitu keadaan ekonomi seperti dilihat pengguna biasa, tanggapan tentang pencapaian pentadbiran kerajaan dan kebimbangan mengenai hak dan keistimewaan orang Melayu serta layanan adil kepada kaum-kaum lain di Malaysia.

“Hasilnya kepuasan umum terhadap pengurusan ekonomi kerajaan menurun daripada 60 peratus pada Ogos 2018 kepada 40 peratus pada Mac lalu,” katanya.

Menerusi kaji selidik itu juga mendapati, hanya 34 peratus pengundi percaya negara kini berada di landasan yang betul, berbanding 55 peratus yang dicatatkan pada Ogos 2018.

“Sentimen ini didapati lebih rendah dalam kalangan orang Melayu dengan menyaksikan hanya 24 peratus percaya negara bergerak ke arah yang betul,” katanya.

Kajian oleh Merdeka Center terhadap 1,204 responden itu juga mendapati 67 peratus pengundi percaya kerajaan PH memerlukan lebih masa untuk menunaikan janji pilihan raya mereka manakala 30 peratus pula sebaliknya.

Sementara itu, keadaan ekonomi kekal sebagai isu paling penting dalam kalangan pengundi iaitu sebanyak 67 peratus, konsisten dengan kajian sebelum ini.

“Diikuti oleh isu hubungan antara kaum seperti kontroversi penempatan semula kuil Hindu di USJ serta debat awam mengenai cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akhir tahun lalu.

“Kajian juga menunjukkan sikap awam terhadap beberapa dasar dan cadangan kerajaan dengan antaranya 69 peratus tidak bersetuju dengan rancangan menghapuskan hukuman mati mandatori, 50 peratus tidak bersetuju had usia mengundi diturunkan kepada 18 tahun dan 40 peratus bersetuju untuk menyokong rancangan mengenakan cukai ke atas minuman bergula,” katanya.- utusan online