Friday, November 11, 2016

Tolak RUU 355....

Tolak RUU 355 kerana tak mampu banteras rasuah, bukan prioriti. Begitu?
ADA seorang hamba Allah mengatakan bahawa masalah terbesar di negara kita hari ini ialah masalah rasuah dan penyelewengan dana kerajaan.

Inilah yang punca segala permasalahan rakyat sehingga ada yang terpaksa membunuh diri, tak tahan dengan kos sara hidup yang kian meningkat.

Katanya lagi, apakah keperluan mencadangkan pindaan Akta 355 yang menambah bidang kuasa Mahkamah Syariah, sedangkan pengamal rasuah masih berleluasa bebas tidak ditangkap?

Ini semua mainan politik!

Wah, sampai begitu sekali dia mendatangkan hujah menolak cadangan pindaan RUU 355.

Sekali dengar memang logik. Tapi logik berdasarkan kaca mata puak ultra kiasu dan media liberal yang tak habis-habis menolak apa-apa agenda memartabatkan kedudukan Islam di Malaysia tercinta.

Mengapa tidak?

Antara modus operandi mereka dalam menentang usaha Islamisasi ialah dengan membina persepsi bahawa rasuah adalah musuh nombor satu yang paling utama.

Ini kerana mereka mahu menggulingkan kerajaan UMNO-BN yang sememangnya kini tidak dapat diasingkan dengan gejala rasuah. Skandal penyelewengan dana 1MDB sebagai contoh pertama. Kes duit dalam kabinet pejabat anggota Jabatan Air Sabah sebagai contoh kedua.

Bahkan sebelum ini pun, banyak pemimpin UMNO-BN yang telah didakwa di mahkamah dan ada yang telah disabitkan kesalahan, umpamanya Datuk Seri Khir Toyo.

Jadi, persepsi UMNO-BN kaki rasuah memang sudah sukar dihakis.

Oleh itu, mengikut logik puak ultra kiasu dan media liberal, kerajaan UMNO-BN telah menjadi prioriti semua pihak termasuk rakyat untuk ditumbangkan.

Serentak dengan itu, rasuah digambarkan sebagai kesalahan paling utama yang paling teruk dan yang paling prioriti untuk dihapuskan.

Hakikatnya, semua sudah maklum termasuk mereka sendiri, bukan UMNO-BN sahaja yang mengamalkan rasuah, bahkan ada juga pemimpin DAP yang main rasuah.
Bila tiada iman, tiada amanah. Bila tiada amanah, rasuah pun diambil tanpa rasa bersalah.

Berbalik kepada isu rasuah sebagai musuh nombor satu yang wajib diperangi, tiada siapa menafikan perkara ini. Rasuah adalah perkara haram, pelakunya wajar dihukum di dunia dan sudah tentu dalam Islam, pemberi dan penerima rasuah sudah dijanjikan neraka! Nauzubillah min zalik!

Apa yang ingin saya bangkitkan di sini ialah, apabila kita memakai kaca mata sebagai seorang muslim, neraca pertimbangan kita sudah tentu berbeza dengan puak ultra kiasu dan media liberal.

Jika mereka memandang rasuah sebagai ancaman negara, kita juga memandang perkara yang sama terhadap rasuah. Bahkan, kita melihat masyarakat Islam di Malaysia hari ini bukan hanya bermasalah pada isu rasuah. Zina, buang anak, keruntuhan institusi keluarga, penyebaran ideologi berkiblatkan Barat, liberalisme, feminisme, ajaran sesat Syiah, budaya hedonisme, hiburan melampau-lampau, pergaulan bebas lelaki perempuan dan sebagainya.

Pandangan kita lebih luas, tidak terhad kepada isu rasuah yang matlamat akhirnya bermotifkan politik iaitu menjatuhkan kerajaan.

Pandangan kita adalah untuk membina umat Islam yang hebat dan kuat iman. Terhindar daripada maksiat. Membina lebih ramai manusia beriman dan profesional.

Semuanya demi menegakkan syiar Islam, tak kira siapa yang memerintah Malaysia sama ada parti biru, hijau atau kuning. Yang pasti, syiar dan hukum Allah diangkat selari dengan kehendak Al-Quran.

Di sinilah kepentingan memartabatkan Mahkamah Syariah seperti yang dicadangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui RUU 355.

Jika hukuman lebih berat sedia menanti pesalah jenayah syariah, kita percaya ia dapat mengurangkan kadar jenayah syariah. Berbeza dengan hukuman yang ringan yang tidak digeruni oleh pesalah yang berulang kali ditangkap melakukan kesalahan sama.

Bukan kita menafikan rasuah dan menjatuhkan kerajaan yang korup itu tidak penting, bahkan sebenarnya kita mahukan lebih daripada sekadar menjatuhkan kerajaan korup.

Tiada siapa yang mahu kerajaan korup memimpin negara. Kita mahu kerajaan yang menggantikan adalah lebih baik daripada kerajaan yang dijatuhkan. Memartabatkan Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada sekalian alam! Ini matlamat akhir kita dalam politik Islam, siyasah syar’iyyah.

Masalah pokok yang sebenarnya dihadapi oleh hamba Allah di awal tulisan saya ini ialah masalah neraca atau mizan. Apakah neraca kita dalam menilai isu-isu negara?

Neraca yang ditentukan oleh puak ultra kiasu dan media liberal atau neraca yang berpandukan ajaran Al-Quran.

Tepuk dada tanya iman!

Oleh : Mohd Firdaus Salleh Hudin

Saturday, November 5, 2016

Asal Orang Melayu dari Atlantis!

TIADA perkataan yang lebih tepat untuk kita memahami siapa dan apa itu Melayu selain memahami bait-bait puisi bertajuk "Melayu" yang dikarang oleh Sasterawan Negara tersohor, Usman Awang.

Sememangnya apa yang diungkap oleh Usman dalam puisinya itu sangat bertepatan dan sinonim dengan ciri-ciri dan sifat orang Melayu itu sendiri.

Apatah lagi apa yang cuba disampaikan beliau melalui puisinya itu begitu menggamit kebenaran selain membuktikan kehebatan bangsa ini berdiri di atas kakinya dalam menyelusuri dan mencipta sejarah bangsanya.

Antara bait puisinya yang begitu terkesan bagi mereka yang bernama Melayu;

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah 
zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara


Namun kini agak malang bagi orang Melayu itu sendiri yang sehingga kini masih terdapat mereka yang alpa malah lebih menyedihkan ada juga yang malu tentang asal usul bangsanya.

Apatah lagi terdapat beberapa teori menyatakan bahawa bangsa Melayu itu bukan bangsa teras dan berasal dari China khususnya Yunnan atau New Guinea. Dengan itu ada antara orang Melayu itu sendiri berasa malu dan terasing dengan dirinya sebagai Melayu.

Namun hakikatnya, asal usul orang Melayu memang seringkali menimbulkan polemik serta perdebatan dalam kalangan ahli akademik dunia. Ada pelbagai teori mengenai asal usul orang Melayu. Sehingga kini dikatakan ada tiga teori utama yang telah diketahui umum mengenai asal usul orang Melayu.

Teori pertama mengenai asal usul orang Melayu adalah berdasarkan teori penghijrahan beramai-ramai orang Melayu yang menggunakan sampan dari daerah Yunnan di selatan China dan keluar melalui Sungai Mekong ke Laut Cina Selatan. Ia dikenali sebagai "Teori Keluar Dari Yunnan" dan dikemukakan pada tahun 1890.

Teori kedua, yang dikemukakan pada tahun 1965, mengatakan orang Melayu seorang pelayar yang unggul, yang bekerja sebagai kelasi kapal dan buruh untuk para pedagang antarabangsa yang terdiri daripada orang Arab, China dan India selama lebih 2,000 tahun yang lalu. Teori ini yang digelar "Keluar Dari New Guinea", dikemukakan pada tahun 1965.

Akibat interaksi dan perkahwinan campur dengan bangsa India, China dan Arab, mereka selepas itu menjadi maju lalu menubuhkan sebuah bangsa baharu yang dikenali sebagai bangsa Melayu. Teori ini dilihat paling menghina orang Melayu kerana kekurangan bukti dan kajian saintifik mengenainya selain hanya sekadar mampu menjadi hamba dan buruh bagi bangsa lain.

Teori ketiga dan paling popular dalam kalangan orang ramai, ialah "Teori Keluar dari Taiwan" yang berdasarkan teori lingustik dan bukti arkeologi. Teori ini mengatakan bahawa orang Melayu-Polynesian atau Astronesian atau rumpun Melayu berasal daripada Taiwan. Teori ini yang turut dikenali "Teori Kereta Api Ekpress ke Polynesia", mengatakan orang Melayu, telah keluar daripada Taiwan sejak 6,000 tahun dahulu, dan kemudiannya mereka bertebaran ke serata dunia.

Mereka dikatakan merantau dari Pulau Madagascar di Timur sehinggakan ke Pulau Easter di Barat, dan dari Jepun di utara sehinggakan ke New Zealand di selatan. Teori ini dipelopori oleh Peter Bellwood, seorang pakar lingustik dan disokong bukti arkeologi oleh Eusibio Dizon. Teori ini dikemukakan kepada dunia pada tahun 1997, dengan terbitnya buku The Austronesian oleh Peter Bellwood dan Eusibio Dizon.

Namun terdapat satu lagi teori yang telah dikemukakan 20 tahun lalu oleh pakar antropologi Profesor Wan Hashim Wan Teh dan pakar arkeologi Profesor Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman.

Bangsa teras
Menjadikan kajian ini lebih kukuh dan diterima sebagai paling tepat tentang asal usul Melayu ialah apabila beberapa sarjana Barat turut menyokong dapatan tersebut.

Dr. Steven Oppenheimer, pakar Paleontologi Wilhelm G. Solheim dan Professor Arysio Nunes dos Santos telah mengambil bukti-bukti geologi dan mitologi, dan digabungkan dengan bukti arkeologi, genetik dan linguistik bersetuju untuk mengatakan, orang Melayu sebenarnya berasal dari sebuah tamadun yang hilang, yang dinamakan Benua Melayu Sunda atau Tamadun Sunda. Bangsa ini hakikatnya telah wujud sejak 15,000 tahun Sebelum Masihi berdasarkan kajian mereka.

Lebih membanggakan orang Melayu itu bukan sahaja bangsa teras malah dikatakan Benua Sunda Melayu itu juga adalah benua tamadun Atlantis yang hilang.

Perkara ini telah dinyatakan oleh Oppenheimer dalam bukunya bertajuk, Eden in the East, The Drowned Continent of Southeast Asia keluaran tahun 1999. Beliau yang juga tenaga pengajar di Universiti Oxford turut mengemukakan teori bahawa migrasi moyang kepada rumpun Melayu dari kabilah Negrito, Asli Semang dan Senoi adalah secara terus menerus dari benua Afrika melalui Timur Tengah ke benua Melayu Sunda.

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Prof. Wan Hashim, Prof. Nik Hassan dan Zaharah Sulaiman dalam bukunya; Sejarah Tamadun Melayu, Asal Usul Melayu, Induknya di Benua Sunda, kedudukan Asia Tenggara kuno ketika Zaman Ais bukan seperti yang ada sekarang.

Malah Asia Tenggara kuno disatukan oleh Pentas Sunda yang menghubungkan Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Jawa, Borneo dan Filipina. Asia Tenggara ketika itu bercantum sebagai satu benua dengan tanah besar Asia dan Pentas Sahul yang menghubungkan Australia.

Dengan perairannya yang cetek dan mudah dilalui telah mewujudkan beberapa laluan penghijrahan bebas untuk manusia dan haiwan di tanah besar Asia atau apa yang dikenali pada hari ini sebagai Gugusan Kepulauan Melayu Nusantara.

Keluasan gugusan ini atau Benua Sunda dihitung dua kali lebih besar daripada Benua India. Laut Champa, Teluk Siam dan Laut Jawa ketika itu kering kontang menjadi dataran pelantar bagi menghubungkan beberapa bahagian benua tersebut.

Menurut Oppenheimer, di Benua Sunda inilah bermulanya tamadun manusia yang menyuburkan budaya-budaya hebat di China, India, Mesopotamia, Mesir dan Kepulauan Crete (Greek) kira-kira lebih 6,000 tahun lampau. Malah menurut Prof. Wan Hashim yang dipetik daripada kajian Da Silva, bangsa Melayu itu sudah wujud dan terbentuk pada 15,000 tahun Sebelum Masihi.

Maka di sini jelaslah bahawa bangsa Melayu itu bukan baharu tertubuh setelah penjajahan Barat. Atau bangsa Melayu itu hanya berpusat di Selat Melaka seperti yang didakwa oleh Anthony Reid yang sekali gus menolak "Teori Keluar Dari Taiwan" dan "Teori Dari New Guinea" yang menolak sama sekali kewujudan bangsa Melayu sebagai bangsa teras dan hanya sekadar bangsa 'menempel'.

Kajian ini turut menyimpulkan bahawa Benua Sunda Melayu ini terpisah akibat fenomena kejadian banjir magnitud besar. Akibat kejadian ini maka wujudlah kedudukan yang terdapat kini di Asia Tenggara. Malah menurut kajian Oppenheimer lagi kejadian banjir besar ini mencadangkan bahawa legenda purba Bandar Atlantis yang tenggelam itu adalah tinggalan Benua Melayu Sunda.

Apatah lagi tamadun awal di benua Sunda ini diibaratkan Eden in the East. Hal ini telah pertama kali dinyatakan oleh ahli falsafah terkenal Yunani, Plato dalam bukunya Timaeus and Critias. Beliau menyebut para penduduknya dianggap sebagai dewa atau superior tetapi telah lenyap dalam masa satu hari yang malang.

Beliau menyatakan bahawa telah berlaku berbagai kejadian letupan gunung berapi, gempa, banjir besar, pencairan ais yang menyebabkan permukaan bumi tenggelam. Dan bahagian bumi yang hilang ini disebut sebagai Atlantis. Antara lokasi yang dinyatakan sebagai Atlantis adalah di Laut Champa, utara Indonesia dan Laut Jawa.

Yang menjadi permasalahan utama adalah banyak penulisan tentang sejarah dan asal usul Melayu diterbitkan oleh bangsa asing. Mereka ini hanya menjalankan kajian berdasarkan pemahaman dari jauh dan rambang. Kemudian diberi kesimpulan dan spekulasi mengkategorikan Melayu yang berbilang suku kaum ini sebagai etnik berasingan tanpa fakta kukuh dan tiada kewajaran hipotesis dalam banyak hal.

Hakikatnya, sama ada mahu menerima realiti atau tidak kesemua mereka ini adalah sebangsa dari latar belakang rumpun yang tidak jauh beza. Dalam erti kata lain, Jawa itu Melayu, Siam itu Melayu, Moro itu Melayu, Minang itu Melayu, Dusun itu Melayu, Iban itu Melayu, Filipina itu Melayu dan Dayak itu Melayu.

Suku kaum kepada etnik bangsa Melayu adalah sebaka dan serumpun. Maka kita boleh simpulkan kesemua Melayu Asli (orang asal) ini sebenarnya tidak berasal dari Yunnan atau Taiwan. Sebaliknya orang Taiwan dan Yunnan itu sebahagian besarnya adalah berasal dari Asia Tenggara.

Akhir kata orang Melayu tidak perlu lagi malu dan berasa terasing dengan sejarahnya kerana telah terbukti kita adalah teras dan serumpun. Hanya orang luar yang memutarbelitkan sejarah.

 Oleh : Hafizahril Hamid

Thursday, November 3, 2016

Rahsia Rezeki

Hakikatnya krisis kenaikan harga barang telah berlaku ke atas manusia sejak pada zaman Rasulullah SAW lagi, dan ia telah direkodkan dalam hadis sahih.

Dari Anas bin Malik ra. dia berkata, “Harga barang menjadi mahal pada zaman Nabi SAW, lalu mereka (para sahabat) berkata, ‘Wahai Rasulullah, harga telah menjadi mahal maka tetapkanlah harga untuk kami.’” (Riwayat Abu Dawud)

Peristiwa ini berlaku apabila harga barang di pasar di Madinah naik, maka para sahabat bertemu Rasulullah meminta supaya Baginda menetapkan harga supaya orang-orang miskin dapat membeli barang dengan harga yang mereka mampu. Lalu apa jawab Rasulullah?

Baginda bersabda:
“Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga itu, Dialah Allah yang melapangkan, Dialah Allah yang menyempitkan, serta Dialah Allah yang memberikan rezeki. Dan sesungguhnya aku berharap agar aku bertemu Allah SWT dalam keadaan tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntutku di dalam kezaliman terhadap darah mahupun kezaliman terhadap harta.” (Sahih. Riwayat Abu Daud)

Kenaikan harga barang tidak mengubah rezeki seseorang. Nabi menyatakan bahawa Allah-lah yang melapangkan rezeki seseorang hamba dan Dia juga yang menyempitkan rezeki mana-mana hamba yang dikehendakiNya.

Ini selari dengan firman Allah SWT, “Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki.” (Al-Ra’d: 26)

“Jika Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hambaNya tentulah mereka melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendakiNya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui hamba-hambaNya lagi Maha Melihat.” (As-Syura: 27)

Usah khuatir kerana rezeki setiap manusia pasti dicukupkan dan tidak dikurangkan sedikit pun. Kenaikan harga sama sekali tidak mempengaruhi rezeki yang ditetapkan. Ini seperti mana sabda Nabi SAW, “Wahai manusia, sesungguhnya salah seorang kamu tidak akan mati sehingga dia mendapat seluruh rezekinya secara sempurna. Maka janganlah kamu tidak sabar dalam mendapatkan rezeki. Bertakwalah kepada Allah, wahai manusia! Carilah rezeki secara baik, ambillah yang halal dan tinggalkan yang haram.” (Sahih. Riwayat Al-Hakim)

“Ajaibnya urusan orang Mukmin, seluruh urusannya adalah kebaikan dan ini tidak terdapat kecuali pada seorang Mukmin. Jika mendapat kesenangan dia bersyukur dan ini baik baginya, jika ditimpa musibah dia bersabar dan ini juga baik baginya.” (Riwayat Muslim)

Allah S.W.T yang beri rezeki bukan makhluk...