Sunday, October 30, 2016

Kebebasan Majlis Peguam Malaysia: Mitos Atau Realiti?

MAJLIS Peguam Malaysia atau dikenali sebagai Malaysian Bar Council umumnya diketahui sebagai sebuah badan yang mewakili pengamal-pengamal undang-undang di Malaysia atau lebih tepat sebuah badan yang menjaga kebajikan mereka. Persoalannya, adakah ini benar-benar berlaku? Adakah perjalanan badan ini selaras dengan objektif utama penubuhannya?

Sebagai introduksi, penulis ceritakan serba sedikit sejarah penubuhan badan peguam ini. Badan peguam ditubuhkan sejak sebelum merdeka lagi. Diterajui oleh jawatankuasa yang terdiri daripada peguam-peguam bijak pandai dan hebat-hebat belaka.

Majlis Peguam Malaysia terdiri daripada 38 ahli yang dipilih setiap tahun untuk mengendalikan urusan-urusan dan melaksanakan fungsi-fungsi badan ini, antaranya ialah Presiden, Naib Presiden, bekas Presiden yang terkini, Pengerusi bagi setiap Jawatankuasa Peguam Negeri, seorang wakil daripada setiap Jawatankuasa Peguam Negeri, dan 12 ahli yang dipilih dari seluruh Semenanjung Malaysia melalui undi pos.

Ahli-ahli jawatankuasa Majlis Peguam Malaysia yang terdiri daripada Presiden, Naib Presiden, Setiausaha dan Bendahari dipilih setiap tahun oleh Majlis Peguam dalam mesyuarat pertama yang secara tradisi diadakan sebaik saja Mesyuarat Agung Tahunan tamat. Ahli-ahli jawatankuasa adalah pengamal undang-undang sepenuh masa dan pelantikan-pelantikan kehormat ini adalah tertakluk kepada pemilihan semula setiap tahun.

Melainkan jawatan Bendahari yang tidak diperuntukkan dalam Akta Profesion Undang-Undang, setiap ahli jawatankuasa tidak boleh memegang jawatannya melebihi dua tahun berturut-turut. Ahli-ahli jawatankuasa me­me­gang jawatan ketika dipilih oleh mesyuarat pertama selepas Mesyuarat Agung Tahunan tamat sehingga Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun berikutnya. Mereka berkhidmat secara sambilan dan sukarela kerana akta tersebut melarang sebarang pembayaran gaji.

Cukup setakat itu pengenalan majlis peguam, sekarang apa yang ingin penulis tekankan dalam entri kali ini adalah fungsi badan peguam ini. Secara amnya, untuk memastikan keberkesanan dan kecekapan pengurusan tentang urusan-urusan Majlis Peguam Malaysia, badan peguam ini menugaskan kuasa dan fungsi-fungsi Jawatankuasa dari semasa ke semasa kepada jawatankuasa-jawatankuasa negeri di seluruh Malaysia atau kepada jawatankuasa-jawatankuasa yang dilantik dalam badan peguam sendiri. Persoalannya, adakah badan peguam yang dibarisi oleh jawatankuasa bijak pandai memenuhi objektif asal penubuhannya iaitu menjaga kebajikan ahli-ahlinya atau sebaliknya?

Secara amnya, jawatankuasa peguam negeri dan jawatankuasa Majlis Peguam adalah tidak bebas dan tidak mempunyai kuasa di bawah akta untuk mengemukakan sebarang pendapat bagi pihak Majlis Peguam Malaysia. Bagaimanapun, dewasa kini, sering kali kita mendengar cerita-cerita yang melibatkan badan ini yang dikatakan tidak lagi independent dan telus. Majlis Peguam lebih berminat dan mengambil peduli mengenai isu politik dan tidak lagi memberi fokus kepada objektif asal. Sebagai contoh, dalam suatu kes di Mahkamah Persekutuan yang melibatkan pe­mimpin pembangkang, Majlis Peguam telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengkritik mahkamah itu tanpa menunggu alasan penghakiman rasmi dari mahkamah tersebut.

Pada pandangan penulis, perkara ini tidak seharusnya berlaku. Seperti perkara-perkara lain, janganlah kita menghakimi sesuatu keputusan itu tanpa sebarang asas yang kukuh kerana kelak ia akan memakan diri sendiri. Ia seum­pama pergi berperang tanpa menyediakan senjata.

Daripada mengambil peduli mengenai situasi politik di Malaysia, penulis menyarankan agar badan peguam ini ambil peduli mengenai kebajikan pengamal-pengamal undang-undang di Malaysia. Antaranya, isu bayaran fi guaman yang telah sekian lama membelenggu peguam-peguam. Sudah tidak asing lagi kita mendengar rungutan peguam-peguam tidak menerima bayaran fi guaman seperti yang sepatutnya.

Lebih parah lagi bayaran tidak diterima walaupun se­suatu kes itu telah tamat dengan jayanya. Untuk isu ini, penulis ingin bertanya pernahkah badan peguam terfikir sebarang inisiatif untuk membantu pengamal-pengamal undang-undang yang terkait dalam isu seumpama ini?

Perlu diingatkan peguam-peguam juga mencari rezeki untuk kelangsungan hidup. Sekiranya masalah ini berterusan, tidak mustahil banyak firma guaman juga akan gulung tikar. Bukanlah penulis bertindak kejam, bagi yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan khidmat guaman, ­khidmat guaman percuma diberikan oleh yayasan bantuan guaman. Jadi untuk bersikap adil, kebajikan peguam-peguam juga perlu dijaga.

Sebagai contoh, penulis mencadangkan agar badan peguam mengeluarkan suatu peraturan baharu yang mana sekiranya fi guaman belum dijelaskan oleh anak guam, peguam yang baharu tidak dibenarkan untuk mengambil alih kes tersebut. Dengan cara ini, peguam yang baharu mengambil alih kes tersebut juga tidak akan mengalami masalah yang sama iaitu tidak mendapat fi guaman sewajarnya. Cara ini adalah lebih adil kepada semua pihak.

Anehnya, masalah ini hampir tidak wujud di negara ­seperti England, yang juga mempunyai majlis peguam mereka. Kesimpulannya, majlis peguam di England lebih peka terhadap kepentingan ahli mereka.

Kedua, berhubung dengan isu pengiraan undian semasa pilihan raya untuk menentukan ahli jawatankuasa. Dalam isu ini, calon yang bertanding tidak dibenarkan untuk memerhati proses kiraan undian melalui kaca matanya sendiri. Penulis sendiri mengalami situasi ini di mana penulis dibenarkan untuk memerhati pengiraan hanya melalui live streaming terhadap satu saluran pengiraan dari enam saluran kesemuanya. Sepanjang penglibatan penulis dalam bidang guaman selama lebih kurang 20 tahun, tiada mana-mana peruntukan undang-undang yang membolehkan proses ini berlaku.

Penulis berpendapat adalah lebih baik sekiranya kelemahan dalam proses kiraan undian ini diperbaiki terlebih dahulu sebelum pihak badan peguam mengkritik proses pilihan raya umum secara amnya. Ini kerana untuk memperbaiki kelemahan orang lain, adalah lebih afdal sekiranya kita memperbaiki kelemahan diri sendiri.

Penulisan di atas hanyalah luahan penulis sebagai pengamal undang-undang. Lebih elok sekiranya badan peguam memberi lebih perhatian kepada kebajikan ahli-ahlinya tanpa terikat atau berpegang pada sebarang fahaman politik. Kekalkanlah integriti serta impartiality badan ini. Tidak hairanlah mengapa kerajaan mengesyorkan pindaan drastik terhadap Akta Profesion Undang-undang baru-baru ini. Renungkan. - Datuk M Reza Hassan

Friday, October 28, 2016

Terpadamkah Legasi Tun Dr Mahathir Dengan Wawasan Baharu Najib?


SEJAK timbul isu untuk memadam legasi Tun Dr Mahathir Mohamad melalui jawapan balas seorang menteri yang tak perlulah disebut namanya kerana apa yang dikatakan itu boleh memalukan dirinya, Pedang sudah mengagak sesungguhnya apa yang dibina dan diasaskan bekas Perdana Menteri itu tak mungkin boleh dipadam di ataskanvas sejarah Malaysia.

Tidak mungkin pemerintahan Datuk Seri Najib Razak boleh merobohkan Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang terus menjadi mercu tanda utama negara. Tak mungkin Kompleks Pentadbiran Kerajaan Putrajaya, mahu dijadikan muzium, begitu juga rumah Perdana Menteri sekarang, selain Lapangan Terbang Antarabangsa KualaLumpur (KLIA) di Sepang.

Proton boleh ditukar nama, dijual kepada syarikat asing. Namun, selagi ada kereta jenis Proton di atas jalan raya di negara ini, rakyat akan kekal mengingati Tun Dr Mahathir. Kita tidak ingat lagi kepada orang yang memberi nama SAGA, tetapi orang akan tetap ingat ‘Proton ialah Tun Dr Mahathir’; ‘Putrajaya ialah Tun Dr Mahathir’; ‘Cyberjaya ialah Tun Dr Mahathir’; ‘KLCC ialah Tun Dr Mahathir’; KLIA ialah Tun Dr Mahathir’.

Semua itu didirikan menerusi ilham Tun Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri. Semua itu, adalah antara legasi ditinggalkan beliau, walau tidak diminta untuk diingati, namun seluruh rakyat Malaysia pasti tahu siapa yang membina tempat-tempat berkenaan.

Namun, ada juga apa yang diasaskan dan menjadi harapan Tun Dr Mahathir serta rakyat Malaysia yang boleh dipadamkan.

Wawasan 2020 yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir pada 1991, menjadi mangsa. Sesungguhnya, ‘perang’ Mahathir-Najib, menyebabkan Perdana Menteri sekarang bersungguh-sungguh mahu mamadam legasi Tun M. Keengganan meneruskan wawasan yang ditinggalkan dan hanya berbaki empat tahun lagi untuk dicapai, adalah buktinya.

Menurut laporan sebelum ini, Najib pada 19 Julai 2010 menjelaskan kepada Dewan Rakyat bahawa Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Tun Dr Mahathir telah diterima sebagai dasar dan wawasan negara.

Sehubungan itu, katanya, sesiapa jua yang mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas Tun M akan komited untuk menjayakan wawasan itu, sekali gus memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

“Walaupun Wawasan 2020 diilhamkan oleh Dr Mahathir tetapi ia diterima sebagai dasar wawasan negara dan siapa sahaja pemimpin selepas beliau akan komited untuk menjayakannya. Oleh itu, kerajaan pada setiap masa sedia menerima pendapat semua pihak bagi menjayakan wawasan itu termasuk daripada Dr Mahathir sendiri.”Demikian kata Najib. Namun, kita harus menerima hakikat bahawa ‘anak sungai pun berubah…

Daripada ucapan Bajet 2017 Jumaat lalu, kita sudah mengetahui hasrat Najib untuk memadam legasi Tun M.

“TN50, inilah azimat kita mulai kini. Biarlah legasi lama berlalu pergi. Harapan masa depan Malaysia kita baharui. Biarlah TN50 jadi saksi, kita adalah bapa atau nenek moyang yang bertanggungjawab mewariskan (masa depan) yang terbaik dan terhebat kepada generasi hari muka (akan datang)”. Itu kata Najib.

Pedang tidak nafikan, setiap Perdana Menteri mempunyai wawasan dan visinya sendiri. Begitu juga Najib.

Najib berkata bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan bapanya berjaya mencapai sasaran dalam tempoh 30 tahun (1970, 1980, 1990) dan TN50 juga dijangka mengambil tempoh sama untuk proses dan gerak kerja.

Ketika tamatnya DEB pada tahun 1990, Tun Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri ketika itu memperkenalkan Dasar Pembangunan Negara (DPN) pada 1991. Serentak itu, beliau memperkenalkan Wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Yang dimaksudkan dengan sepenuhnya, terangkum bukan sahaja bidang ekonomi, tetapi juga politik, sosial, kerohanian, psikologi, perpaduan nasional dan sosia. Semuanya membabitkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa, serta keyakinan.

Sembilan matlamat utama Wawasan 2020 ialah:
1.Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara;

2.Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain;

3.Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun;

4.Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.;

5.Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara;

6.Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan;

7.Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh;

8.Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi; dan

9.Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.


Tun Dr Mahathir telah menggariskan sembilan cabaran strategik yang mesti diatasi bagi mencapai Wawasan 2020.

Cabaran 1: Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu.
Cabaran 2: Membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan.
Cabaran 3: Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang.
Cabaran 4: Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika.
Cabaran 5: Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi.
Cabaran 6: Membina masyarakat yang maju dan saintifik.
Cabaran 7: Mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang.
Cabaran 8: Menjamin masyarakat yang adil dan saksama ekonominya.
Cabaran 9: Memupuk dan membina masyarakat makmur.

Yang pasti wawasan dibina Najib juga akan diingati, tetapi secara negatif. Syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sepatutnya meninggalkan legasi positif, namun sebaliknya ia dipenuhi skandal kerana ‘kehilangan’ dana berbilion-bilion ringgit. - Kata Pedang

Thursday, October 27, 2016

Mempertahankan Bahasa Melayu

“PEMIMPIN Melayu juga, jangan be­gitu cepat mencu­
rah air daripada tempayan, kerana men­dengar dentuman guruh di langit. Anak Melayu yang sudah tinggi pengajiannya, sudah tinggi ilmunya, sudah tinggi jawatannya, berhentilah daripada bersifat kacang lupakan kulit. Janganlah ilmu dan pengetahuan, status dan pangkat, yang membolehkan anak Melayu sudah pandai bersarapan keju dan sosej, menjadikan anak Melayu terlupa daratan.

“Justeru, memberikan martabat dan kemuliaan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu adalah sebahagian daripada semangat perjanjian kemerdekaan yang perlu terus dihidupkan dan obor memperjuangkannya hendaklah dinyalakan sepanjang masa”. Begitulah antara titah ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Majlis Titah Diraja di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.

Apa yang dititahkan oleh Sultan Nazrin adalah satu saranan yang perlu diberikan perhatian serius agar bahasa Melayu terus dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan yang semestinya menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Dan dalam mengejar arus pembangunan dan pemodenan, inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh seluruh masyarakat Malaysia iaitu untuk terus mempertahankan kedaulatan bahasa kebangsaan.

Pada suatu ketika dahulu, ketika Kerajaan Melayu Melaka terkenal di serata dunia, bahasa Melayu juga telah dimartabatkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa undang-undang serta ketatanegaraan, manakala elemen ke­susasteraan bahasa Melayu yang tinggi telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang ­paling unggul di rantau ini.

Namun ini adalah senario beratus-ratus tahun dahulu. Kini tidak salah jika ada pihak yang beranggapan bahawa bahasa Melayu tidak lagi berfungsi dengan sebaik-baiknya untuk dijadikan sebagai bahasa tamadun. Mungkin kenyataan ini dianggap ke­terlaluan tetapi pada masa sama kemungkinan itu boleh berlaku jika kita membiarkan bahasa Melayu terus tenggelam di bawah arus kemajuan dan pemodenan.

Lihat sahaja ibu bapa hari ini yang terus mendidik anak-anak sejak dari kecil lagi supaya pandai berbahasa Inggeris. Tidak ada salahnya usaha ini. Bahkan ia adalah usaha yang baik. Apatah lagi jika seseorang itu mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang baik, maka pastinya akan membuka peluang yang lebih luas untuk mendapatkan pekerjaan.

Namun apa yang me­nyedihkan apabila bahasa Melayu dianaktirikan oleh sebilangan masyarakat kita termasuklah mereka yang berbangsa Melayu. Mungkin ada yang beranggapan masyarakat akan lebih memandang tinggi pada mereka yang fasih dalam bahasa Inggeris.

Penulis bernasib baik kerana pernah berbual kosong dengan pakar bahasa Melayu dan Inggeris, Adibah Amin tentang isu bahasa Melayu ini. Daripada pengalaman yang Adibah lalui, beliau ada menceritakan bagaimana orang kita lebih suka menggunakan alasan “kalau gunakan bahasa Inggeris senang sikit dan lagi sedap bunyinya, tapi kalau gunakan bahasa Melayu, janggal sungguh bunyinya” apabila kehilangan idea untuk berkarya dalam bahasa Melayu.

Dalam hal ini, Adibah pernah memberikan nasihat supaya kita rajin sedikit mencari ayat dalam bahasa Melayu yang boleh menan­dingi mahupun lebih baik daripada bahasa asing. Orang kita lebih suka mengambil jalan mudah dan menyalahkan bahasa Melayu yang dikatakan tidak cukup hebat. Rasanya tidak perlu diingatkan bahawa bahasa Melayu ini kaya dengan perbendaharaan dan kiasannya. Kehalusan bahasa Melayu mampu meruntun jiwa mereka yang mendengarnya manakala sindirannya pula sukar untuk ditandingi oleh bahasa asing lain.

Penulis juga pernah membaca temuramah Prof. Madya Dr. Lim Sweet Tin dengan sebuah akhbar tempatan tentang isu bahasa Melayu. Swee Tin ialah penyair, penulis dan pakar bahasa Me­layu yang hebat dan pernah di­anugerahkan SEA Write Award 2000 iaitu satu penghargaan ter­tinggi dalam bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh kerajaan diraja Thailand.

Dan ada juga antara karya beliau dalam bahasa Melayu yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Cina, Thailand, Jerman, Portugis serta beberapa lagi bahasa dunia yang lain. Kejayaan beliau membuktikan bahawa bahasa Me­layu adalah milik semua bangsa di Malaysia. Bahasa kebangsaan inilah yang merapatkan lagi perhubungan dan keharmonian sesama kaum di Malaysia.

Sebagaimana maklum, Oktober adalah bulan bahasa Kebangsaan. Difahamkan juga banyak program yang telah dirancang dan dilaksanakan untuk terus memartabatkan bahasa kebangsaan kita ini. Janganlah program yang telah diatur ini hanya bersemarak pada bulan ini sahaja dan kemudian terus menyepi sehingga tahun depan.

Bahasa Melayu pernah merasai zaman gemilangnya dan terpulang kepada kita semua untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan bahasa Melayu di rantau ini.

Oleh : Shahbudin Embun