Sunday, May 29, 2016

Ramadan Bukan Pesta Makanan

RAMADAN sepatutnya menjadi bulan untuk kita memperbanyakkan lagi amal ibadat apatah lagi pada bulan tersebut syaitan dirantai dan bukan menjadikannya bulan pesta makanan. Allah memberikan peluang keemasan kepada kita untuk meningkatkan pengabdian diri kepada Tuhan Yang Maha Esa pada bulan tersebut.

Oleh itu, dengan kedudukan Ramadan yang begitu tinggi, tidak sewajarnya bulan yang mulia ini dicemari dengan promosi berbuka puasa di hotel ala pesta makan. Pada pandangan saya, tindakan mengkomersialkan bulan Ramadan ini adalah satu perkara yang begitu menyinggung perasaan umat Islam.

Berpuasa bukan hanya mengelakkan daripada makan semata-mata tetapi memastikan semua deria kita di bawah kawalan supaya tidak melakukan perkara yang berdosa seperti bersikap lahap, berbohong, menikam dari belakang, membazir masa dan menindas orang lain sebaliknya umat Islam dikehendaki meluangkan masa untuk mendirikan solat, mengingati Allah serta menolong golongan miskin dan memerlukan.

Puasa kita tidak akan bermakna melainkan kita berusaha untuk menjadi insan lebih bertakwa. Jika tidak kita akan tergolong dalam sekumpulan umat Islam seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: “Ramai yang berpuasa malangnya mereka tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga.”

Islam menganjurkan setiap umatnya sentiasa menjauhkan diri daripada sikap pelahap, membazir dan boros. Justeru amat bertentangan dengan sikap sesetengah daripada kita yang menjadikan Ramadan sebagai pesta makan dan minum sehingga mengabaikan solat wajib serta Tarawih. Makan mengikut hawa nafsu juga memberikan kesan sampingan kepada kesihatan yang amat serius seperti diabetes, penyakit koronari dan tekanan darah tinggi.

Seperkara lagi disebabkan hidangan terlalu banyak secara tidak langsung berlaku pembaziran. Selain di hotel pembaziran juga berlaku di rumah disebabkan hidangan yang terlalu banyak. Akibatnya banyak makanan dibuang ke dalam tong sampah. Pada tahun lepas Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pernah melaporkan bahawa setiap Ramadan 200,000 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah.

Membuang makanan adalah satu dosa kerana menafikan makanan untuk mereka yang lebih memerlukan. Perbuatan itu juga melupuskan sumber selain menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar melalui pencemaran laut dan sungai serta pengeluaran karbon dioksida yang menyumbang kepada pemanasan global.

Salah satu tujuan utama berpuasa adalah untuk sama-sama kita berkongsi erti kesengsaraan dan kelaparan yang dialami golongan miskin supaya kita akan turut bersimpati dengan nasib mereka. Berjuta-juta orang di Syria, Yaman, Iraq, Palestin, Myanmar, India, Ethiopia, Sudan Selatan, Pakistan dan Afghanistan berdepan dengan kebuluran tetapi malangnya kita membuang sejumlah besar makanan dalam bulan yang mulia ini.

Al-Quran mengecam mereka yang membazir dan bersikap boros malah turut disifatkan sebagai saudara syaitan. Kecaman Allah itu terkandung dalam surah al-Isra’ ayat 26 dan 27. Allah juga ada berfirman dalam surah al-A’raf yang bermaksud: “Wahai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah berhias setiap kali kamu ke tempat ibadat (mendirikan solat) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampaui batas.”

Saturday, May 28, 2016

Selamatkan Aset Umat Melayu Islam

KUB Malaysia Bhd. (KUB) mahu lupus aset RM30 juta? Jika benar kepada siapa aset itu maju dijual? Banyak persoalan yang timbul, apabila banyak aset syarikat-syarikat milik GLC atau Melayu mahu dilupuskan bagi memberi kecairan kepada syarikat. Kebanyakan syarikat yang bertindak begitu sudah tentu sedang menghadapi masalah kewangan dan tunai.

Persoalannya, sekiranya syarikat itu dimiliki oleh syarikat Melayu (yang sememangnya sudah kecil pegangannya dalam bancian nasional), kepada siapa aset-aset itu mahu dijual?

Baru-baru ini riuh apabila syarikat perkapalan gergasi negara MISC juga dikatakan jatuh ke tangan orang lain, setelah sekian lama menjadi syarikat milik negara kepunyaan Petronas. Jika benar-benar berlaku maka amat malang lagilah umat Melayu negara ini. Dua tahun lalu 2014, Cuit ada menulis mengenai bagaimana kawasan Sentul, Jalan Bukit Bintang jatuh ke tangan orang lain.

Begini tajuk kisah itu: Yap Ah Loy moden. Benarkah YTL kuasai Jalan Bukit Bintang dan Sentul?

ISU mengenai YTL dan Francis Yeoh Sock Ping, cukup hangat sekali. Apabila dia bercakap secara terbuka dalam satu forum mengenai “kroni kapitalisme di Malaysia harus dihapuskan” - maka orang berkata, tahi sudah terpercik ke mukanya sendiri. Kumpulan YTL dan Francis diumpamakan sebagai kacang lupakan kulit, seorang yang lupa daratan dan bermacam-macam.

Wednesday, May 25, 2016

Masjid Perlu Diuruskan Dengan Baik

DUA minggu lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut bulan Ramadan. Kita di Malaysia juga tidak ketinggalan menyambutnya dengan meriah sekali. Pada bulan tersebut masjid- masjid di seluruh pelosok tanah air akan dipenuhi dengan para jemaah yang pasti tidak akan melepaskan peluang meningkatkan amal ibadat mereka.

Namun apa yang menyedihkan keadaan masjid-masjid yang usang serta tidak teratur terutama di kampung-kampung. Hasil tinjauan saya bersama beberapa ahli jawatankuasa (AJK) Batas Malaysia baru- baru ini di beberapa negeri seperti Kedah,Perlis ,Kelantan ,Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Pahang didapati ada masjid-masjid yang usang serta tidak diurus dengan baik.

Justeru saya menyarankan AJK masjid di seluruh negara supaya dapat menguruskan dengan lebih baik masjid-masjid usang itu agar dapat memberi keselesaan kepada para jemaah untuk menunaikan ibadat terutama pada bulan Ramadan ini. Antara rungutan yang diterima ketika tinjauan dibuat adalah keadaan cat masjid yang telah lama.

Begitu juga dengan ruang laman dan dalam masjid yang kotor. Tandas-tandas juga ada yang kotor bahkan terdapat masjid yang tandasnya cuma dibuka satu sahaja.

Saya berharap derma yang disumbangkan oleh para jemaah itu boleh digunakan untuk memperbetulkan kekurangan tersebut ini agar masjid kelihatan cantik dan bersih tanpa perlu menunggu peruntukan daripada kerajaan mahupun wakil rakyat. Saya percaya jemaah yang menyalurkan derma ke tabung masjid mahu wang itu digunakan untuk kebaikan masjid di tempat mereka.

Ada dalam kalangan ahli kariah hairan, wang masjid ada ratusan ribu di bank tetapi tidak digunakan untuk mengimarahkan serta mengindahkan masjid. Oleh itu, sempena bulan Ramadan yang hampir tiba ini, saya sangat berharap setiap masjid di seluruh negara termasuk khususnya di kampung-kampung dapat diurus dengan lebih baik oleh pengurusan masjid serta AJK demi kebaikan anak-anak kariah. Berbelanjalah wang derma orang ramai untuk tujuan yang disebutkan tadi.

Oleh : Zamil Ibrahim