Saturday, May 31, 2014

Bila Pula Titah Sultan Johor Berhubung Tambak Johor Akan Di Laksanakan?

Ada Pihak Sedia Biaya Jokari Link
KULAIJAYA - Walaupun gabungan jambatan-terowong dasar laut 'Johor-Karimun-Riau Link' (JOKARI) masih di peringkat cadangan, namun telah ada pihak yang tampil untuk membiayai pembinaannya yang menelan belanja RM8 bilion.

Dekan Penyelidikan Bersekutu Pembinaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Mohd Zaimi Abdul Majid, yang mencadangkan pembinaan JOKARI Link itu, berkata pembiaya telah bersetuju untuk melabur dalam projek itu.

"Kita telah pun mengemukakan kertas cadangan kepada pihak pembiaya dan reaksi mereka adalah positif untuk membiayai pembinaan JOKARI Link. Jikalau kedua-dua negara (Malaysia dan Indonesia) menyokong projek ini, ia akan menjadi realiti," katanya kepada Bernama dalam temuramah baru-baru ini.

JOKARI Link, katanya, melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 5 km yang menghubungkan Kukup, Pontian ke pulau buatan manusia yang terletak di perairan antarabangsa di Selat Melaka.

Menurut Dr Mohd Zaimi, pihaknya mencadangkan pembinaan terowong dasar laut sepanjang 13 km bagi menghubungkan pulau buatan manusia itu ke Pulau Karimun Kecil, Riau, Indonesia.

"JOKARI Link boleh disiapkan dalam tempoh tujuh tahun," katanya.

Beliau yang enggan mendedahkan identiti pembiaya itu berkata mereka telah melakukan kajian aspek pulangan pelaburan dan menjangkakan tempoh antara 15 hingga 16 tahun untuk memperoleh kembali modal pelaburan.

Jika pembinaan JOKARI Link memperoleh lampu hijau daripada kedua-dua negara, Dr Mohd Zaimi meramalkan Malaysia dan Indonesia akan menerima kesan limpahan ekonomi yang besar.

"Johor akan menerima kebanjiran industri hiliran berasaskan minyak, gas, arang batu serta batu granit memandangkan Riau merupakan antara negeri pengeluar terbesar komoditi-komoditi terbabit di Indonesia," katanya, sambil menambah Johor akan memperoleh kemudahan mendapatkan sumber tenaga kerja.

Beliau berkata kajiannya menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan melonjak beberapa peratus berikutan aktiviti ekonomi yang dijana hasil kewujudan JOKARI Link.

Menurut Dr Mohd Zaimi, beliau telah ke Tanjung Balai, Karimun bertemu kepimpinan Kepulauan Riau dan Ketua Pengarah Departemen Transportasi, Indonesia yang menyambut baik pembinaan JOKARI Link itu.

Beliau juga akan ke Jakarta Ogos ini untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pemerintah pusat, selain membentangkan cadangan projek itu kepada kerajaan negeri Johor.

Cadangan pembinaan JOKARI Link juga akan dikemukakan kepada Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri, kata Dr Mohd Zaimi.

Katanya pembinaan JOKARI Link jika mendapat restu kedua-dua negara akan mengikut model dan teknologi pembinaan Jambatan Oresund yang menghubungkan Copenhagen, Denmark dengan Malmo, Sweden.

Jambatan Oresund, kata Profesor di Fakulti Kejuruteraan Sivil, UTM itu, turut menggabungkan pembinaan jambatan dan terowong dasar laut.

"JOKARI Link perlu memiliki terowong dasar laut kerana kita tidak mahu mengganggu perjalanan kira-kira 50,000 pelbagai jenis kapal yang berulang-alik menggunakan Selat Melaka setiap tahun," katanya.

Dr Mohd Zaimi juga mendedahkan, dua syarikat kejuruteraan antarabangsa dari Korea Selatan dan Perancis telah berhubung dengannya baru-baru ini menyatakan minat untuk terlibat sama dalam pembinaan JOKARI Link.

Syarikat kejuruteraan dari Korea Selatan itu, katanya, bertanggungjawab membina Busan-Geogje Fixed Link yang juga menggabungkan pembinaan jambatan dan terowong dasar laut.

Katanya kedua-dua syarikat itu memiliki teknologi 'Immersed Tunnel' yang dicadangkan untuk digunakan di JOKARI Link, berikutan kos pembinaannya yang lebih murah berbanding 'Boring Tunnel.' - Bernama

Kenduri Seks - Malaysia Book of Records...

Memagar Serambi Mekah Daripada Pil kuda, Kenduri Seks
SEBAIK sahaja media melaporkan mengenai 'kenduri seks' yang membabitkan gadis sunti berusia 15 tahun dirogol lebih 30 lelaki di Ketereh, Kota Bharu pada 28 Mei lalu, ada yang bertanya adakah ia benar-benar berlaku.

Malah ada yang menyatakan jika betul ia berlaku sudah pasti kes ini adalah rekod baharu yang boleh dimuatkan dalam Malaysia Book of Records.

Ya, memang benar ada kewajaran untuk mempertikaikan perkara tersebut kerana ia adalah suatu perkara yang tidak normal dan tidak dapat dijangkau oleh akal fikiran.

Namun jika direnung kembali isu tersebut bukan sahaja membabitkan jumlah perogolnya tetapi ia membawa persoalan yang lebih besar dalam kehidupan sosial masyarakat di negara ini khususnya di Kelantan.

Secara jujur, penulis merasa amat malu untuk melaporkan tentang tragedi ini kerana ia berlaku dalam negeri Serambi Mekah tetapi biar sepahit mana sekali pun kebenaran ini harus didedahkan kepada khalayak sebagai pengajaran dan sempadan hidup.

Justeru itu, perkara pertama yang perlu ditelaah semua pihak terutama kerajaan dan masyarakat ialah punca kejadian itu.

Jangan lupa, statistik menunjukkan kes rogol di bawah umur di Kota Bharu amat membimbangkan, 21 kes dalam tempoh lima bulan. Ini baru satu daerah tidak dicampur dengan daerah-daerah lain di negeri ini. Satu angka yang amat menakutkan!

Daripada pemikiran yang mudah, hanya ada dua punca kejadian itu berlaku. Pertama, dadah dan kedua, sikap ibu bapa.

Namun tidak dapat dinafikan masih ada punca-punca kecil lain yang boleh menyebabkan ia berkembang menjadi besar.

Penduduk di negeri ini amnya mengetahui masalah dadah terutama pil kuda telah menjadi barah utama dalam masyarakat terutama generasi muda.

Biar sekuat mana operasi membanteras musuh nombor satu negara ini diadakan, ia tetap mara ke hadapan seolah-olah tiada siapa yang mampu menghalangnya.

Dadah jenis sintetik ini menjadikan seseorang itu seperti mayat hidup, hanya jasad yang bergerak tetapi otak entah ke mana. Pengambilnya sanggup melakukan apa sahaja hatta perkara yang dianggap tidak normal oleh manusia biasa - mungkin lebih dahsyat daripada ‘zombie’.

Justeru tidak pelik sekiranya ‘mayat-mayat hidup’ ini sanggup 'memperkudakan’ seorang gadis berusia 15 tahun beramai-ramai tanpa merasa jijik dan bersalah kerana akal sudah hilang daripada jasad.
Punca kedua, ialah ibu bapa. Soalan asas, ke mana, di mana dan dengan siapa anak kita berada? Ia harus sentiasa berada dalam pemikiran setiap ibu bapa bagi mewujudkan rasa 'curiga' demi kebaikan zuriat kita.

Benar, dunia hari ini menuntut ibu bapa bekerja kuat demi survival hidup namun anak-anak adalah harta yang tiada tolak bandingnya yang harus ditatang sehingga mereka benar-benar dewasa untuk mengenal erti dunia.

Bagaimanapun dua punca ini ada penawarnya.

Pertama, Kelantan terletak di sempadan dengan Thailand. Jarak yang memisahkan di antara kedua-dua negara hanya sekangkang kera.

Statistik juga menunjukkan Kelantan antara negeri tertinggi mencatatkan jumlah penagih dadah baru dan jumlah penghidap HIV.

Di sini pintu dadah dibawa masuk. Pintu ini harus ditutup dengan rapat. Justeru itu, cadangan kerajaan untuk membina tembok mahupun pagar di kawasan sempadan harus disegerakan sekiranya mahu melihat anak bangsa terutama Melayu Islam tidak terus rosak.

Tidak dapat dinafikan banyak perkiraan harus dibuat untuk menutup pintu ini. Kerajaan Pas Kelantan memikirkan undi yang akan hilang disebabkan penduduk di sempadan marah kerana pintu rezeki mereka ditutup. Kerajaan Pusat pula memikirkan kos ratusan juta yang perlu dilaburkan.

Tetapi kebaikannya amat besar demi generasi akan datang. Pagar atau tembok harus dibina secepat mungkin.

Kedua, adalah ibu bapa dan masyarakat. Ini kunci azimat untuk menutup segala jendela kemaksiatan. Semuanya bermula di rumah.

Masyarakat juga harus cakna dengan persekitaran mereka dan bukan hanya menyerahkan kepada polis atau kerajaan untuk menyelesaikan setiap isu sosial.

Pihak berkuasa khususnya Polis Kelantan telah melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang, statistik jenayah semakin menurun. Cuma ada satu dua kes yang menyakitkan hati.

Kini menjadi tugas semua anggota masyarakat bermula daripada keluarga sehingga ke pemimpin tertinggi untuk memasang 'pagar' mengelakkan anak-anak muda terjebak dengan masalah sosial.

Terakhir, mungkin sudah sampai masanya hukum hudud dilaksanakan secepat mungkin di negeri ini bagi mewujudkan rasa gerun kepada pelaku jenayah.

Harap-harap tiada lagi berita kenduri seks atau rogol yang terpaksa dilaporkan di dada akhbar selepas ini.

Oleh : Azran Fitri Rahim

Friday, May 30, 2014

Beranikah PM Memansuhkan Sekolah Vernakular?

Bahasa Melayu Bahasa Ke-5 Terbesar Di Dunia
BEIJING - CHINA. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahasa Melayu kini diangkat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, dengan lebih 300 juta orang penutur.

“(Ia) bermula seawal kurun ke-15, apabila Dinasti Ming di China menubuhkan jabatan bahasa asing yang turut merangkumi bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu tersebar luas sehingga dipelajari oleh penutur dan orang asing, dan usaha ini telah menyemarakkan proses pendidikan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa,” katanya semasa merasmikan persidangan antarabangsa 'Pengajian Melayu 2014 Hubungan Malaysia-China' di Beijing Foreign Studies University (BFSU), pada Jumaat.

Persidangan itu dijadual berlangsung empat hari hingga 2 Jun. Najib berkata Profesor Wu Zungyu, tokoh bahasa terkemuka dari BFSU China turut mengakui bahawa bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang besar di serata dunia.

“Oleh yang demikian, tidak hairanlah Pengajian Melayu merupakan satu bidang yang semakin menarik minat orang ramai dan tersebar luas ke seluruh dunia.

"Minat terhadap pengajian Melayu bukan sahaja berada dalam lingkungan dunia Melayu, bahkan telah menjadi satu agenda pendidikan hampir di serata dunia,” katanya.

Pada majlis itu Najib turut melancarkan tiga buah buku - Kamus China-Melayu Dewan, Kajian Bandingan Pantun Melayu dengan Nyanyian Rakyat Tiongkok dan Eksplorasi Pengajian Melayu-China - terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta United Publishing House Sdn. Bhd.

Kamus China-Melayu Dewan mempunyai 20,540 entri dan subentri yang terdiri daripada kosa kata bahasa Cina kontemporari dan lazim dalam urusan seharian.

Buku Kajian Bandingan Pantun Melayu Dengan Nyanyian Rakyat Tiongkok pula adalah kajian perbandingan dari segi rima, pembayang dan maksud pantun, penggunaan perkataan, dan pemikiran yang terkandung dalam pantun serta nyanyian Melayu-Rakyat Tiongkok,

Buku Eksplorasi Pengajian Melayu-China merupakan himpunan pantun mengenai Pengajian Melayu di China. - Bernama