Tuesday, November 19, 2013

Orang Laut Selatan

PALEMBANG
SETELAH menelaah semula akan sejarah perjalanan Orang Laut Selatan ini, berdasarkan sejarah 500 tahun bertebarnya diaspora kaum ini di Nusantara, maka Al Mukadim itu, pada satu bulan Safar tahun 1927 - maka menulislah akan anak jati Bengkalis itu, walhal susur-galur kehadiran Orang Selatan itu. Maka yang dirujuk pula, tentunya sejarah sekitar lima abad - dengan segala macam catatan peristiwa penting membabitkan kehadiran Orang Laut Selatan itu, bertebaran ke pelbagai pelosok tanah dan halaman, di sekitar bumi Melayu dan Nusantara ini.

Al Mukadim itu, pada awal bulan Safar, hari Jumaat yang terik mataharinya itu, memulakan kisah penceritaannya dengan bermukadimahkan akan sejarah permulaan lahirnya kaum Orang Laut Selatan ini. "Maka pada satu hari, berlabuhlah dua buah kapal yang sarat isinya di pelabuhan Palembang. bentuk kapal yang tegap dan layarnya yang tinggi itu, membangkitkan pesona pada orang Palembang yang sebelum ini belumlah pernah melihat akan kendera laut yang sedemikian cantik dan gahlah pula akan bentuknya."
Maka sejak itu, berbaiklah kaum Palembang itu dengan kaum Orang Laut Selatan ini: "Dibekalkan kami dengan kain sutera yang halus dan sangat cantik, yang sejuk dan nyaman rasanya kalau dipakai, manakala kami pula memberikan cengkih hingga berguni-guni banyaknya, bagi menyamai akan nilai sutera yang mahal itu. Sejak itu, keraplah datangnya kaum Orang Laut Selatan itu - dan berdaganglah kami dengan mereka.

Sunday, November 17, 2013

PM Kita Bagaimana.....

Saudara Hunter, terima kasih
MALAM Jumaat lalu Siti hadir ke majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) - ExxonMobil di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur. Acara ini ialah untuk memberikan hadiah kepada golongan penulis dan sasterawan khususnya yang menghasilkan karya berbahasa Melayu dalam penerbitan Kumpulan Utusan.

Acara malam itu menggunakan bahasa Melayu dan sesuai dengan majlis bercorak sastera. Antara tetamu malam itu adalah Pengerusi Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia, J. Hunter Farris. Beliau berasal dari Texas, Amerika Syarikat (AS). 

Pada acara itu Hunter berucap dalam bahasa Melayu yang dianggap baik. Jauh lebih baik pada acara yang sama tahun lalu kerana itu merupakan kali pertama Hunter menjadi tetamu HSKU - ExxonMobil. Hunter bukan sahaja berucap dalam bahasa Melayu malah beliau juga cuba berpantun.

Siti merasa terharu dengan sikap Hunter yang menghormati acara di negara ini yang menggunakan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara yang bernama Malaysia.

Siti percaya Hunter boleh sahaja berucap dalam bahasa Inggeris. Sebabnya penggunaan bahasa Inggeris hingga pada tempat yang tak sepatutnya adalah perkara biasa. Hunter mempunyai kewajaran untuk berucap dalam bahasa Inggeris. Tapi beliau berusaha berucap dan memahami bahasa Melayu kerana di negara beliau bertugas sekarang meletakkan bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan.

Melihat orang luar seperti Hunter berusaha menghormati bahasa Melayu membuat Siti rasa terhiris, rasa pedih sekaligus rasa menyampah kepada orang kita yang galak berturut bahasa Inggeris di tempat tidak sepatutnya. Siti pasti kalau mereka ini ada semasa Hunter bercakap dalam bahasa Melayu, mereka tidak berasa apa-apa. Sebab mereka memang dah bengap lagi bingung.

Apabila orang luar berusaha untuk menggunakan bahasa Melayu, jenis apakah kita ini yang menggunakan bahasa Inggeris dalam acara yang majoritinya orang tempatan? Orang tua-tua selalu berpesan, masuk ke kandang kambing kenalah mengembek, kandang kerbau menguak.

Yang peliknya pesanan itu tidak diambil endah. Kebijaksanaan dan pemerhatian orang tua-tua dahulu sangat tepat supaya kita pandai menyesuaikan diri. Kalau berada dalam kelompok orang tidak boleh berbahasa Melayu, kenalah menggunakan bahasa yang majoriti boleh faham.

Tapi kalau dalam majoriti yang faham bahasa Melayu, tak payahlah menggunakan bahasa Inggeris. Ini bukan menunjukkan mereka mahir berbahasa Inggeris tapi menghina bahasa Melayu.

Siti harap Hunter membaca tulisan Siti ini:

“Saudara Hunter, terima kasih kerana telah menunjukkan contoh yang baik apabila berucap dalam bahasa Melayu. Siti tahu saudara Hunter sangat sukar untuk menyebut dalam bahasa Melayu, lebih mudah kalau berucap dalam bahasa Inggeris.

Tapi Siti percaya saudara seorang yang berpekerti tinggi, tahu menghormati orang dengan memuliakan bahasa kebangsaan mereka. Tapi saudara Hunter, kami menghadapi masalah dengan orang tempatan sendiri. Mereka lebih galak menggunakan bahasa Inggeris dalam majlis rasmi yang dihadiri oleh orang tempatan.

Saudara mungkin tidak percaya bahawa ada sesetengah pihak di negara kami yang merasa hina bercakap bahasa Melayu. Kalau mereka mendengar saudara bercakap bahasa Melayu, mereka bukan sahaja hairan mungkin jatuh pengsan kerana di mata mereka bahasa kebangsaan kami sangat hina. Sebab itulah mereka bercakap bahasa Inggeris.

Saudara mungkin terkejut apabila dalam majlis rasmi ada orang tempatan bercakap bahasa Inggeris. Jangan terkejut saudara. Ini adalah perkara biasa, mereka yang terkejut apabila melihat orang mat salih seperti saudara boleh bercakap Melayu, bahasa yang mereka sepak ke longkang.

Siti tidak tahu apa yang mendorong saudara berusaha menguasai bahasa Melayu, padahal tiada sekatan menggunakan bahasa Inggeris. Tapi bagi Siti saudara telah memercikkan kesedaran kepada sesetengah pihak yang menganggap bahasa Melayu hanya membawa ke arah kemunduran.

Saudara, di negara kami ada slogan yang berbunyi “Bahasa Jiwa Bangsa". Tapi tidak disebut pula bahasa apa, Inggeris atau Melayu. Puak yang lebih mat salih dari mat salih menganggap “bahasa" itu adalah bahasa Inggeris. Sebab itu mereka bercakap bahasa Inggeris.

Akhir sekali, saudara jangan terkejut kalau berjumpa orang Melayu khususnya yang lebih mat salih dari mat salih. Anggaplah mereka itu sedang dalam rawatan. Saudara Hunter, sekali lagi terima kasih kerana membuktikan kepada orang Melayu yang perasan mat salih bahawa mat salih pun tahu menghormati bahasa Melayu."

Oleh : SITI JARUM

Saturday, November 9, 2013

Melihat UMNO Yang Bebal....

Harap BN dapat pengajaran
KUALA LUMPUR 8 Nov. - Calon Barisan Nasional (BN), Dr. Ahmad Suhaimi Lazim berharap pucuk kepemimpinan parti dapat mengambil pengajaran kekalahan beliau dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, khususnya perolehan majoriti 'luar biasa' calon Pas di peti undi Bukit Besar. 

Menurutnya, majoriti 1,113 undi yang diperolehi Mohd. Azam Abd. Samat di Bukit Besar, iaitu kawasan terdapat banyak pondok agama telah menenggelamkan kesemua kemenangan BN di 10 daripada 19 peti undi sehingga menimbulkan persoalan apakah benar penduduk di kawasan peti undi tersebut seramai itu.

Selain itu, beliau juga mengingatkan pucuk pimpinan BN agar mengambil pengajaran daripada sikap pengundi Cina yang walaupun memperlihatkan peningkatan dari segi peratusan sokongan berbanding pilihan raya umum lalu tetapi hakikatnya ramai antara mereka yang tidak keluar mengundi.

"Dari segi matematik mudah, saya hanya perlukan sekitar 600 undi lagi bagi mencapai kemenangan dengan majoriti mudah atau sekitar 200 hingga 300 undi masyarakat Cina dan 300 hingga 400 pengundi lain. Sokongan masyarakat Cina tidak seperti dijanjikan, hanya 30 hingga 40 peratus daripada keseluruhan 1,836 pengundi.

"Perkara ini wajar menjadi pengajaran kepada BN kerana soal kesetiaan dan permuafakatan politik bukan perkara yang boleh diambil mudah. Pengundi Cina di Sungai Limau Luar, Sungai Limau Dalam, Sungai Daun dan Batu 17, pelaksanaan janji mereka masih boleh dipersoal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada pilihan raya kecil tersebut, BN yang dipimpin Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berjaya mengurangkan 1,690 undi majoriti yang diperolehi Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Mei lalu apabila Ahmad Suhaimi mendapat 10,985 undi manakala lawannya, Mohd. Azam memperoleh 12,069 undi.

Dalam pada itu, Ahmad Suhaimi berkata, faktor lain yang menyumbang kepada kekalahan beliau ialah disebabkan tidak ramai pengundi luar (penyokong BN) pulang mengundi selain keadaan kesesakan luar biasa di Sungai Limau pada hari pengundian yang menyebabkan orang ramai menjadi kurang selesa.

Sumber:  http://www.utusan.com.my