Wednesday, June 6, 2012

Jaga Emosi Suami Anda

SETIAP isteri sering mendambakan kata-kata cinta dan sayang yang lahir daripada mulut suami masing-masing hampir setiap hari.

Sebagaimana isteri, suami juga sebenarnya mempunyai keinginan yang serupa. Mereka ingin dibelai manja dan juga 'disimbahi' dengan kata-kata sayang daripada isteri mereka.

Mungkin cara setiap individu adalah berbeza dari segi pengucapan dan ada di kalangan isteri yang jarang-jarang memberi pengucapan kata-kata itu kepada suami masing-masing melainkan si suami terlebih dahulu mengucapkan kata-kata hikmat itu.

Ini kerana ada di kalangan isteri yang malu untuk menzahirkan ucapan sayang akibat daripada runtunan perasaan yang berbelah bahagi, malu untuk melakukannya mahupun atas rasa ego dan merasakan tidak penting kata-kata berkenaan berbanding pengucapan yang terlahir daripada mulut suami.

Sebenarnya, menzahirkan perasaan sayang itu bukan hanya sekadar daripada kata-kata. Sekiranya sebagai seorang isteri anda malu atau tidak mudah untuk menzahirkan kata-kata itu ia sebenarnya boleh diperlihatkan menerusi perbuatan.

Anda juga boleh menunjukkan rasa sayang anda dengan melakukan beberapa perkara asas:

1. Hormati dia
Cara yang paling berkesan untuk membuktikan cinta ialah belajar menghormati dia khususnya di depan sanak saudara. Buatlah sesuatu yang baik untuk membuktikan anda menyayangi suami anda dan jangan sesekali memperlakukan yang anda lebih berkuasa daripada dia di depan orang lain.

Sentiasalah menjaga maruah dan 'air muka' suami anda.

Sekiranya di dalam telefon pun tidak perlulah anda bercakap dengan nada sinis mahupun garang kepada suami anda seolah-olah untuk menunjukkan kuasa anda kerana anda tahu pada masa itu orang yang berhampiran dengan anda dapat mendengarnya. Jangan sesekali memperlihatkan suami anda dayus di depan anda.

2. Sentiasa meminatinya
Kata-kata seperti "saya suka tubuh abang" atau " abang ni kelakarlah", umpama pujian yang meresap ke dalam tubuhnya. Siapa yang tidak sukakan pujian tambahan pula ia dikeluarkan oleh insan yang dicintainya.

3. Biar dia mendengar pujian anda
Katakanlah anda sedang berbicara dengan rakan-rakan di rumah, sesekali pujilah suami anda dan biarkan dia mendengarnya sebaik apabila dia melintas di belakang anda. Pastinya dia berasa senang dengan pujian anda itu.

4. Tinggalkan segalanya
Sebaik dia pulang ke pejabat atau berada di rumah, fokuskan diri anda hanya untuk dia. Jauhkan diri daripada komputer, tutup televisyen, biarkan anak-anak anda bermain sendiri, berhenti memasak dan berikan tumpuan sepenuhnya untuk dia dalam beberapa minit. Ini pastinya memberikan suami anda terasa diutamakan.

Ini tidak, ada di kalangan isteri yang asyik menonton televisyen sedangkan suaminya sudah melangkah kaki ke dalam rumah baru pulang dari kerja.

5. Perasan akan kekuatannya
''Tolong bang, ketatlah balang ini" atau "abang kuatlah boleh membukanya," atau ''cantiklah cat ini, sesuai abang pilih," adalah contoh berbentuk pujian ikhlas yang boleh menyebabkan suami anda berasa dihargai dan disayangi.

Namun jangan sesekali memuji 'palsu' suami anda dengan harapan untuk mendapatkan sesuatu. Dia boleh mengetahuinya.
6. Maafkan kelemahannya, terima seadanya
Semua daripada kita mempunyai kelemahan masing-masing. Maafkan kelemahan suami anda dan terima dia seadanya dan jangan gunakan kelemahannya untuk menentangnya.

7. Jangan bandingkan
Jangan sesekali bandingkan suami anda dengan lelaki lain. Golongan Adam ini masing-masing mempunyai kelemahan dan kekuatan tersendiri. Jika selalu sangat membandingkan suami anda dengan lelaki lain, dia akan terasa kelemahannya dan akan timbul emosi negatif dan menjarakkan hubungan dengan anda. sumber : intim@utusan

Tuesday, June 5, 2012

Membaca Permainan Politik Ultra Kiasu

Perbincangan mengenai PerdanaMenteri (PM) bukan Melayu masih hangat. Pengerusi parti ultra kiasu menegaskan, selagi hidup, beliau akan terus berjuang untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri. Walaupun agak mustahil, semangat ultra kiasunya tidak pernah luntur. Saya memuji sikap seperti ini. Tetap pendirian dan tidak pernah berputus asa. Adakah sikap ini ada pada kita? Wahai umatku ambillah iktibar.

Lanjutan itu, presiden parti ultra kiasu parti komponen Barisan Nasional (ultra kiasu dalam) mencabar ultra kiasu sebenar (luar) dengan berkata, sekiranya pemimpin ultra kiasu ‘potong’ (masuk Islam) sekalipun, beliau tidak akan dapat menjadi PM. Nampaknya pandangan ultra kiasu dalam ini lebih ekstrem daripada ultra kiasu sebenar. Menggunakan istilah ‘potong’ dan memandang rendah terhadap mereka yang memeluk Islam adalah satu penghinaan.

Saya fikir orang Melayu tidak ada masalah untuk menerima mereka yang baru ‘potong’ jika ‘sipotong’ ini memahami sejarah dan biasa dengan cara hidup Melayu. Mengikut pengalaman saya, mereka yang diistilahkan ‘potong’ ini mudah mengadaptasikan cara hidup mereka dengan perkitaran seperti mengamalkan budaya Melayu dan berbahasa Melayu sebagai mana termaktub dalam perlembagaan maksud Melayu itu sendiri, Perkara 160 (2). Walaupun mereka boleh menjadi ‘Melayu’ tetapi rata-rata mereka tidak mahu menjadi Melayu.

Yang menjadi masalah dengan kedua-dua ultra kiasu ini adalah, mereka langsung tidak mahu dikaitkan dengan Melayu (Islam). Memakai baju Melayu dan bersongkok adalah haram bagi mereka. Mereka lebih suka memakai pakaian barat seperti jacket, tie dan sebagainya. Mereka sanggup mendedahkan apa jua bahagian yang tersurat dan tersirat, asal tidak memakai baju kurung atau dikaitkan dengan apa jua berkaitan Melayu. Pendek kata, menjadi Melayu walaupun seketika adalah soi (istilah hokkien) bermakna sial, sebab low class.

Maka tidak hairanlah jika ada perancangan, memastikan orang Melayu ini tidak ke mana-mana. Pastikan Melayu tidak maju. Jika orang Melayu sudah pandai berjalan, pastikan orang lain sudah boleh berlari. Maka tidak hairanlah jika rasuah terus berleluasa. Ultra kiasu akan terus menyuap orang Melayu dengan wang haram seperti rasuah, supaya Melayu menjadi malas dan mengamalkan cara hidup mewah (kaya) seketika dengan jalan pintas.


Apabila perkara ini sudah menjadi budaya, maka hancurlah Melayu satu masa nanti. Saya harapkan orang Melayu sedar akan perancangan ini. Jika tidak, mereka akan merana di bumi sendiri. Sebab itulah saya mengingatkan kepada Melayu yang berkuasa, polis, kastam, penguatkuasa dan sebagainya. Jangan mudah terpedaya dengan rasuah yang nikmatnya hanya seketika. Tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka menjalankan aktiviti haram seperti penyeludupan dadah, mercun, arak, judi, kelab malam, pelacuran dan sebagainya.

Rata-rata kita lihat, penangkapan hanya dibuat sekali sekala dengan publisiti diberikan besar-besaran akan kejayaan menumpaskan sindiket itu dan ini. Sedangkan yang dilepaskan begitu banyak setelah dirasuahkan. Misalnya, bila penyeludupan dadah itu dilepaskan, siapakah yang menjadi mangsa. Sudah tentu orang Melayu. Lihatlah sendiri statistik penagihan dadah di negara kita, siapakah jaguhnya? Jumlah yang dirasuahkan sudah tentu tidak setimpal dengan keuntungan berkali lipat dengan terlepas mereka itu melalui perniagaan haram itu. Kita yang dirasuahkan hanya kaya seminggu atau sebulan, tetapi mereka yang dilepaskan kaya seumur hidup hingga beberapa generasi.

Beginilah bijaknya ultra kiasu-ultra kiasu luar dan dalam (Lim dan Chua) berstrategi untuk mencapai matlamat mereka. Nampak bergaduh, tetapi bersatu dalam senyap. Saya melihat pertikaian antara kedua-dua ultra kiasu hanyalah lakonan. Matlamat sebenarnya adalah untuk memberikan mesej kepada Umno dan mereka yang berkuasa. Bila mana Umno melihat ia sebagai satu ancaman, maka Umno mulalah memberi. Pemberian Umno itulah kemenangan kepada kedua-dua ultra kiasu ini.

Pemimpin ultra kiasu dalam mencabar parti ultra kiasu luar dengan mengemukakan persoalan adakah mereka akan melantik bukan Melayu memegang jawatan Menteri Kewangan, Pertahanan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Pelajaran sekiranya Pakatan Rakyat memerintah kerajaan pusat? Untuk siapakah mesej ini. Perkara ini bukan baru. Ia telah dibangkitkan sekian lama.

Sudah tentu isu-isu yang didebatkan perlu diambil perhatian oleh kerajaan, tidak kiralah siapapun menang. Kerana mereka tahu kerajaan sekarang dalam keadaan terdesak. Mengimbau kembali perdebatan sebelum ini, isunya berkisar kepada isu pendidikan. Saya yakin selepas ini isu masih sama, cuma ia akan ditambah dengan perjawatan dalam kabinet. Perjawatan tersebut melibatkan lebih banyak kuasa.

Saya amat mengharapkan debat kali ini akan berlangsung dalam bahasa Melayu berbanding bahasa ibunda. Paling tidakpun menggunakan bahasa Inggeris supaya semua rakyat Malaysia boleh memahaminya. Apatah lagi kedua mereka bukanlah produk SJKC. Apa masalahnya menggunakan bahasa Melayu?

Semua sedia maklum bahawa jawatan-jawatan penting kabinet di atas, telah disandang oleh orang Islam sejak sekian lama, walaupun tidak dinafikan beberapa jawatan tersebut ada disandang bukan Melayu selepas merdeka. Mesej semua ultra kiasu ini adalah, adakah kerajaan akan memberikan posisi jawatan strategi ini kepada mereka melalui permainan politik ini?

Umum mengetahui bahawa majoriti kerusi parlimen di Malaysia adalah dimenangi oleh Umno dan parti bumiputera yang lain. Sepatutnya Umnolah yang menguasai majoriti kerusi kabinet. Tetapi kerusi menteri dan timbalan menteri tetap diberikan kepada bukan Melayu berasaskan kepada kuota.

Sedangkan kita tahu kerusi yang dimenangi bukan Melayu komponen BN ditandingi dalam kawasan majoriti Melayu. Di Kawasan majoriti Cina, parti ultra kiasu akan menang dengan majoriti besar. Maknanya kemenangan parti komponen BN adalah undi ihsan orang Melayu. Sepatutnya, mereka lebih turut memperjuangkan sedikit agenda Melayu. Ini tidak, mereka menjadi juara ultra kiasu. Agenda bangsa menjadi agenda utama. Bacalah permainan licik ultra kiasu.

Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah

Monday, June 4, 2012

Ekspresi Mata, Tanda Wanita Cintai Anda

EKSPRESI mata dapat berkomunikasi segalanya, termasuk isi hati seseorang. Oleh itu, jika ingin mengetahui si dia mencintai anda atau tidak, lihatlah renungan matanya.

Jika wanita tidak dapat mengekspresikan dirinya, lelaki pun akan dibuat sulit olehnya. Untuk itu, mencari alternatif lain untuk mengetahui perasaannya terhadap anda perlu cara terbaik. Melihat renungan matanya terhadap anda menjadi salah satu cara yang boleh diaplikasikan. Cuba lihat ulasan lengkapnya berikut ini...

Dia memerlukan anda
Ketika dia mencari anda setiap waktu, maka hal tersebut menunjukkan bahawa dia tertarik dan menyukai anda. Anda juga boleh melakukan strategi lain dengan melihat seberapa besar dia memerlukan anda. Jika dia begitu memerlukan anda setiap waktu, hal ini boleh menjadi jawapan bahawa minat dirinya pada anda memang nyata adanya.

Renungan mata yang kuat
Ketika berbicara dengan anda, lihatlah gerakan matanya. Jika dia melihat jauh ke dalam mata dan bibir anda, ertinya dia tertarik dan menyukai anda. Sebaliknya, jika dia cuba mengelakkan renungan mata, kemungkinan besar dia tidak menyukai anda.

Terpesona
Wanita akan tersipu-sipu apabila melihat orang yang mereka cintai di hadapan dirinya. Rona bahagia pun langsung bersinar dengan kuat apabila anda berada di sisinya. Jika anda merasakan hal tersebut, ertinya dia tertarik dengan anda.
Mengajak anda berbicara lebih dulu
Ketika seorang wanita yang anda sukai menggunakan alasan mudah untuk mengajak anda berbincang, ertinya dia ingin anda tahu bahawa ada cinta di hatinya. Jika dia ingin selalu berkomunikasi dengan anda pada tahap selanjutnya, ini merupakan isyarat positif yang menandakan dia menyukai anda.

Sentuhan
Jika wanita cuba mendekati anda dengan sentuhan kecil yang diberikan, hal ini menunjukkan bahawa dia menyukai anda. Saat berjalan, pegangan tangan, menepuk-nepuk bahu sambil berkongsi jenaka merupakan beberapa isyarat minat dirinya terhadap anda.

Anonymous