Friday, January 13, 2012

Di Manakah Silap Guru?

Lepasan sekolah masih ada gagal membaca, menulis dan mengira.


MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan lapan peratus daripada 6,667 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) didapati tidak boleh membaca dan menulis.

Ini menyedarkan kita bahawa masalah kegagalan pelajar sekolah menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi masih lagi menghantui dunia pendidikan negara. Pelbagai kaedah dan program khas telah dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini. Dulu dikenali sebagai KIA 2M (Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis) dan terbaru ialah LINUS (program Saringan Literasi dan Numerasi) yang dilancarkan pada tahun 2010, tetapi masalah ini masih terus berlaku.

Dari aspek psikologi perkembangan, manusia normal, berkeupayaan menguasai kemahiran asas membaca menulis dan mengira ini di peringkat kanak-kanak lagi, iaitu seawal usia 6 tahun.

Setelah menamatkan pengajian di peringkat pra sekolah, semua pelajar sepatutnya boleh membaca dan menulis perkataan-perkataan dan membuat ayat-ayat mudah dengan baik.

Adalah terlalu malang buat pelajar setelah menamatkan pelajaran di tingkatan lima dan berumur 17 tahun tapi masih belum boleh membaca dan menulis dengan baik.

Isu ini perlu mendapat perhatian serius kepada guru-guru di sekolah. Guru-guru yang telah mendapat latihan secukupnya dalam bidang psikologi pendidikan, pedagogi dan profesionalisme keguruan (Diploma 3 tahun dan Ijazah 5 setengah tahun - merujuk kepada jangkamasa latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia) apakah tidak mampu menyelesaikan isu ini?

Adalah sangat memalukan, dengan ijazah/kepakaran dalam bidang psikologi, pedagogi dan profesionalismeyang dimiliki, dengan skim perkhidmatan yang menarik, umur yang masih muda, masalah buta huruf tidak menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira) masih lagi berlaku di kalangan pelajar sekolah menengah di negara ini.

Pertengahan bulan Januari ini, generasi kedua guru-guru lulusan IPGM (Institut Pendidikan Guru Malaysia) akan ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Syabas kepada semua guru ini kerana telah berjaya menjadi seorang guru.

Di samping kegembiraan kerana menamatkan pengajian dan latihan dengan jayanya dan telah ditempatkan di sekolah-sekolah untuk bertugas, sehinggalah kepada pengumuman skim perkhidmatan yang sentiasa ditambah baik oleh kerajaan, anda pada hakikatnya telah diberi satu tanggungjawab besar.

Tanggungjawab itu ialah memastikan semua pelajar sekurang-kurangnya dapat menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi sebelum mereka meninggalkan sekolah rendah.
Tiada apa-apa alasan lagi di pihak guru untuk gagal melaksanakan tanggungjawab ini.

Anggaplah dengan penempatan anda di sekolah sebagai guru permulaan, merupakan langkah permulaan memikul tanggungjawab besar ini.

Justeru para guru perlu mengambil serius terhadap fenomena ini dan berusaha mengatasinya sehingga berjaya supaya profesyen perguruan akan dihormati disanjung sebagai arkitek pembangunan akal budi manusia dan pencorak kemajuan rakyat dalam sesebuah negara.

Oleh : Hassan Salleh
          Kuala Terengganu

Thursday, January 12, 2012

Ereksi Petunjuk Kesihatan

SALURAN darah atau arteri pada zakar mempunyai kaitan rapat dengan tahap ereksi. Perunding Urologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ong Teng Aik memberitahu, ereksi atau ketegangan pada zakar berlaku jika darah memasuki ruang zakar dengan mencukupi.

“Darah akan memenuhi ruang zakar tanpa gangguan serta memberi kekuatan ereksi andainya saluran darah tidak terganggu atau tersumbat,” kata Teng Aik.

Zakar akan membesar dan menegang apabila sepasang tisu korpus kavernosum pada alat kelamin itu terisi dengan darah.

Jelas Teng Aik, pembentukan plak dan lemak akibat pertambahan kolesterol di dalam badan mampu menyekat saluran darah.

Oleh kerana saluran darah zakar lebih kecil berbanding pada bahagian lain tubuh, tanda awal kepada masalah kesihatan kardiovaskular ditunjukkan oleh tahap ereksi.

“Penyakit kardiovaskular menyebabkan sekatan kepada aliran darah ke bahagian zakar dan menyebabkan masalah mati pucuk.

“Sebenarnya dalam tempoh tiga tahun selepas masalah mati pucuk dikesan, pesakit berisiko mendapat penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung selain diabetes dan obesiti.

“Merokok dan amalan sedentari atau gaya hidup tidak aktif turut memberi kesan kepada kemerosotan kekuatan ereksi zakar.

“Apa yang ramai orang tidak sedar adalah kualiti ereksi rendah merupakan petanda awal kepada penyakit jantung,” kata Teng Aik.

Terdapat empat tahap ereksi iaitu mati pucuk teruk, mati pucuk sederhana, ereksi separa optima dan ereksi optima.
             ZAKAR akan menegang jika kedua-dua tisu korpus kavernosum dipenuhi darah.

Bagaimanapun, tahap tiga dan empat iaitu ereksi separa optima dan ereksi optima sahaja yang mampu untuk melakukan penetrasi dan menjayakan hubungan seksual.

Menurut Teng Aik, biarpun kedua-dua tahap itu mampu menyumbang kepada kejayaan aktiviti seksual, namun kesannya menunjukkan perbezaan yang ketara.

“Jelas sekali bahawa ereksi separa optimum boleh membawa kekecewaan dalam kepuasan seksual buat seorang lelaki. Zakar tidak menegang sepenuhnya walaupun ia berkeupayaan untuk melakukan penetrasi.

“Risiko untuk mendapat penyakit jantung iskemik bagi mereka yang menghadapi masalah ereksi tahap tiga adalah lebih tinggi berbanding mereka di tahap empat kerana faktor ketidakpuasan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pensyarah Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Low Wah Yun berkata, tahap ereksi yang rendah mampu menjejaskan emosi dan psikologi kedua-dua pasangan.

Seorang lelaki akan berasa lebih yakin kerana keperluan emosi dan psikologinya dicapai melalui hubungan seksual.
“Sekiranya memenuhi keperluan seksual, pasangan mereka akan rasa lebih disayangi. Sebanyak 93 peratus lelaki dan 83 peratus wanita memilih kekuatan dan ketegangan zakar sebagai faktor yang memberi kepuasan seksual,” ujar Wah Yun.

Wah Yun menjelaskan, usia tidak mempunyai kaitan dengan tahap ereksi zakar.

Gangguan kepada keupayaan tersebut yang dialami oleh mereka yang berusia emas adalah dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular yang dihidapi.

“Tidak kisah tua atau muda, kesemua mereka masih boleh berereksi sekiranya tiada gangguan pada zakar,” kata Wah Yun.

Oleh : Syalmizi Hamid

Sunday, January 8, 2012

Buang Masa....Aduan Polis!

Untuk apa lagi ghairah membuat aduan polis.....

KEPUTUSAN pihak polis memberi kebenaran kepada penganjur Kempen Bebaskan Anwar 901 mengadakan perhimpunan di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, esok, menarik perhatian.

Awang secara peribadi tiada masalah dengan keputusan itu. Tentu ada sebab dan percaturan yang mungkin dianggap terbaik bagi mengendurkan risiko ketegangan. Ia boleh memperlihatkan sikap keterbukaan kerajaan termasuk kepada dunia luar.

Namun dalam Awang sentiasa menjadi warga negara yang menyokong kuat polis, Awang juga perlu membawa keresahan dan menyampaikan maklum balas orang ramai.

Keputusan membenarkan penyokong Anwar berhimpun mengecewakan banyak pihak terutama NGO dan orang ramai. Menyerahkan kepada penganjur agar bertanggungjawab terhadap sebarang kemungkinan buruk, bukan strategi yang sesuai. Janganlah percaya bulat-bulat jaminan PKR bahawa perhimpunan itu akan berlangsung dengan aman tanpa sebarang pelanggaran syarat. Sejak awal penubuhannya, parti itu bijak mengeksploitasi perhimpunan haram. Malah difahamkan, dengan kebenaran terhad yang diberikan oleh pihak polis itu, sudah ada rancangan beberapa pihak penyokong Anwar untuk berhimpun di beberapa lokasi di ibu negara selain di mahkamah Jalan Duta.

Maka Awang boleh faham kekecewaan orang ramai dan NGO. Mereka bersungguh-sungguh dan lantang bersuara demi keamanan tetapi akhirnya suara kelompok minoriti yang didengari. Pihak berkuasa kita memang mudah mengalah kepada ugutan dan kerap terperangkap dalam permainan yang dicorakkan oleh pembangkang. Itu persepsi ramai.

Di Malaysia, lebih mudah menjadi budak jahat dan nakal maka akan mendapat perhatian dan layanan baik. Ketika menghadapi perhimpunan haram Bersih tahun lalu, ribuan aduan polis dibuat tetapi ia umpama mencurah air ke daun keladi. Tiada negara lain yang rakyatnya membuat aduan polis sebegitu banyak sehingga boleh mencatat rekod dunia. Di Singapura, ada dua atau tiga aduan sahaja, pasti disusuli dengan tindakan segera yang menyakinkan.

Dalam isu perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901, sekali lagi orang ramai mendapat isyarat yang mengelirukan. Selepas banyak memberi amaran, polis tunduk lagi. Lebih baik dari awal lagi, keluarkan kenyataan, membenarkan sahaja perhimpunan. Tidak perlulah orang ramai dan NGO membuat ratusan lagi aduan polis. Nampaknya sikap responsif rakyat yang sanggup menghabiskan masa dan tenaga bergegas ke balai-balai polis di seluruh negara, tidak diambil perhatian. Untuk apa lagi ghairah membuat aduan polis kerana penghujung ceritanya tetap sama.

Awang Selamat