Friday, November 4, 2011

Ketaksuban Akan Lenyap Bila Belenggu Keakuan Anda Lenyap..

Ketaksuban akan selamanya ada bila anda ditempurungi dalam dunia anda terpencil, hingga wujud sempadan yang memisahkan antara anda dan mereka yang lain. Ketaksuban akan selamanya ada bila anda menisbahkan antara dunia anda yang anda katakan benar, dan dunia orang lain yang anda katakan salah. Itu bermaksud, ketaksuban akan hanya lenyap apabila sempadan yang menempurungi anda lenyap, hingga anda menjadi bahagian dari mereka, dan mereka menjadi bahagian dari anda..

Ibarat medan keakuan yang meluas; jika selama ini aku anda adalah rumah anda, hari ini aku anda adalah seluruh mukim anda. Jika selama ini, yang anda persetujui hanya susun-atur di dalam rumah anda, tetapi hari ini anda mempersetujui susun-atur rumah jiran anda, bahkan seluruh rumah mukim anda. Jika selama ini anda sangsi dan sakit hati denga susun-atur rumah yang di luar rumah anda, hari ini anda menerima susun-atur mereka sebagai susun-atur anda sendiri. Anda adalah bahagian dari mereka, dan mereka adalah bahagian dari anda. Anda tidak lagi gusar, atau merasa sakit hati. Anda menerima mereka dengan seadanya. Nah, ketika itulah ketaksuban anda benar-benar lenyap, ketika itulah anda tidak lagi taksub..

Tetapi jika anda masih ditempurungi oleh aku anda yang terpencil, dengan belenggu sempadan yang menebal, tak usahlah anda menudung jari orang lain taksub atau fanatik, kerana itu akan hanya memperlihatkan ketaksuban anda sendiri..

Sekali lagi diingatkan; saya tidak membicarakan taksub itu salah, atau tidak taksub itu salah, tetapi saya membicarakan tentang kewujudan taksub dalam diri anda. Semoga anda mengerti..
 

Thursday, November 3, 2011

Adakah Mahasiswa Sudah Bersedia?

MAHASISWA mahasiswi pada hari ini telah diberi peluang untuk melibatkan diri dalam kancah politik di universiti masing-masing. Politik yang dimaksudkan ialah politik kampus yang meliputi segala perkara yang berkaitan dengan politik dalam kampus.

Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah sesuai digunakan oleh mahasiswa dalam membawa idealisme dan agenda perjuangan masing-masing.

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) ialah salah satu platform yang telah diwujudkan oleh kerajaan dalam memastikan suara mahasiswa berkaitan dengan isu-isu nasional didengari oleh pihak kerajaan.

Selain itu, kita juga mempunyai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di setiap universiti yang berfungsi memperjuangkan kebajikan mahasiswa universiti masing-masing.

Pelbagai persoalan akan timbul apabila cadangan tentang mahasiswa perlu terlibat dengan parti-parti politik diutarakan. Jika mahasiswa menyertai sesebuah parti politik, adakah mereka akan bebas untuk mengkritik kepimpinan parti tersebut? Silap-silap mereka akan digantung keahlian kerana lantang mengkritik kepimpinan parti sebagaimana yang pernah dihadapi oleh sesetengah pemimpin terdahulu.

Mahasiswa juga tidak akan mempunyai idealisme tersendiri apabila mereka menyertai parti-parti politik kerana kongkongan dasar parti tersebut. Hal ini kerana dasar partilah yang akan membunuh idealisme mahasiswa tersebut.

Apakah jaminan politik kepartian tidak akan wujud di dalam kampus sekiranya mahasiswa terlibat dengan politik kepartian? Apakah jaminan tiada ejen parti politik masuk ke dalam kampus untuk berkempen?

Perkara paling penting yang perlu diingatkan bahawa mahasiswa adalah golongan yang masih belum menamatkan pengajian mereka. Hal ini menyebabkan saya yakin dan percaya bahawa apabila mahasiswa dibenarkan untuk menyertai parti-parti politik, pengajian mereka di universiti juga akan terganggu dek kerana politik luar ini.

Kemunculan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang sebenarnya melindungi mahasiswa daripada cengkaman parti-parti politik di luar kampus. AUKU yang menyebabkan mahasiswa pada hari ini mempunyai idealisme tersendiri dan juga kita dapat membentuk kepimpinan mahasiswa di kampus mengikut acuan tersendiri tanpa kongkongan parti-parti politik di luar kampus.

Pesanan saya kepada orang dewasa yang berada di luar kampus yang telah berjaya dalam pengajian di universiti dan kehidupan mereka, biarkan kami cemerlang dalam pengajian kami masing-masing dahulu kerana itu adalah harapan setiap ibu bapa dan tanggunjawab kami kepada seluruh rakyat Malaysia dengan bantuan subsidi yang diberikan.

Oleh -Wan Ahmad Hazman Wan DaudA
Jurucakap Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan

Isteri Jangan Sesekali Curang

DALAM apa jua masalah, isteri tidak boleh menduakan suami dan berlaku curang dengan suami.

"Apa jua masalah berbincanglah dengan cara baik. Jika berdua sudah tidak mampu untuk menyelesaikan cara baik panggil ahli keluarga lain untuk membantu,'' ujar penceramah bebas, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood.

Menurut beliau, sudah menjadi lumrah, manusia tidak pernah sempurna. Namun ia bukan faktor yang perlu dijadikan penyebab kepada si isteri untuk berlaku curang kepada suami.

"Biar apa pun alasan sama ada diabaikan, kurang kasih sayang mahupun kesepian ia bukan alasan yang membolehkan seseorang wanita itu berlaku curang.

"Seseorang wanita atau isteri tidak harus mengambil jalan mudah dengan menduakan suami,'' ujarnya.

Katanya lagi, dalam Islam ada pelbagai cara untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga.

Malah ada tempat untuk golongan wanita dan isteri yang mengalami masalah.

Terangnya lagi, jangan memandang mudah dengan perbuatan curang kerana ia adalah perbuatan salah dan hukumnya berdosa.

Katanya lagi, curang adalah sifat yang tidak jujur dan mengkhianati antara satu sama lain.

Perbuatan itu adalah haram dan berdosa dalam Islam dan hukum syarak.

"Sebagai seorang isteri kita wajib menjaga kehormatan diri, keluarga, serta taat kepada perintah suami, malah setiap perkara yang dilakukan perlu mendapat keizinan suami,'' ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama terang beliau, isteri perlu sentiasa ingat bahawa syarak mengharamkan mereka menyimpan perasaan suka apatah lagi cinta kepada lelaki selain daripada suami mereka.

"Dalam situasi ini, isteri perlu menghormati suami dalam keadaan mana sekalipun. Jangan lupa status sebenar diri yang mempunyai insan yang wajib diberi perhatian," jelasnya.

Beliau berkata, kecurangan berlaku tidak kira sama ada isteri atau suami adalah disebabkan hubungan dan perintah Allah tidak dilakukan dengan sempurna.

"Isteri yang curang kepada suaminya mempunyai masalah dengan keimanannya, sebab itu mereka sanggup menduakan suami walaupun mereka tahu suami itu adalah insan mulia di sisi isteri .

"Sebagai seorang isteri dia perlu menjaga kehormatan dan maruah suaminya. Apabila kalah dengan godaan syaitan, mereka tiada iman. Akibatnya, perasaan malu sudah tiada lagi sehingga sanggup menggadaikan maruah diri untuk keseronokan yang hanya bersifat sementara," katanya.

Beliau berkata, jika suami mengesyaki isteri cenderung melakukan kecurangan ambil masa untuk menyiasatnya dan jangan bertindak terburu-buru.

"Sebagai ketua keluarga, suami wajib memenuhi segala tuntutan dan keperluan isteri. Ini termasuk menjaga hubungan seksual agar bertambah erat hubungan kasih sayang antara pasangan," katanya.

Dalam Islam, suami mempunyai kewajipan memastikan kebahagiaan rumah tangga, sebagai ketua mereka perlu bertindak sebagai pelindung isteri dan anak-anaknya.

"Sebagai seorang suami, dia perlu mentadbir rumahtangga dan menjadi contoh yang baik kepada keluarganya,'' ujarnya.

Oleh : Zuhayati Yazid