Thursday, June 2, 2011

Perkahwinan Jangan Berlandaskan Seks

Mengikut statistik, perceraian terkini yang dilaporkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sememangnya diakui kes perceraian semakin menjadi-jadi. Lebih tragis statistik juga membuktikan banyak kegagalan perkahwinan berlaku di bawah tempoh usia lima tahun. Malah, banyak lagi kes yang masih dalam usaha untuk diselamatkan daripada menempuh alam perceraian.

Punca dan sebab yang mewujudkan fenomena sebegini ialah:

1. Kecenderungan dan niat untuk berkahwin tidak tepat.
Ramai pasangan yang cenderung untuk berkahwin kerana cinta dan seks semata-mata. Betul, keperluan seksual adalah antara dalam hikmah sebuah perkahwinan tetapi seks bukan perkara utama.

Jika menjadikan seks sebagai tujuan dan niat utama untuk berkahwin, kegagalan menerima layanan seks menjadi punca mudah rumah tangga berantakan. Ada juga yang berkahwin kerana rupa atau harta, apabila harta tiada atau rupa tidak seperti ketika mula hati jatuh cinta, perkahwinan akan goyah dan goncang.

2. Kesilapan dalam memahami maksud status seorang suami dan seorang isteri.
Perkahwinan bukan menjadikan suami seorang raja dan bukan juga menjadikan isteri seorang hamba.
Prinsip perkahwinan meletakkan perkahwinan sepatutnya menjadi satu perkara yang membahagiakan bagi kedua-dua pihak, suami dan isteri. Perkahwinan juga bermaksud perkongsian dan toleransi, bukan satu kata putus tanpa perbincangan.

Suami diamanahkan sebagai ketua keluarga disebabkan suami dibebankan dengan tanggungjawab yang pelbagai, bukan saja keperluan nafkah, kasih sayang dan perhatian malah, mendidik isteri dan anak-anak. Namun, itu bermakna suami berkuasa untuk mengarah itu ini agar isteri patuh tanpa ada ruang langsung untuk isteri memberi pendapat dan pandangan.

Islam mewajibkan isteri patuh dan taat kepada suami tetapi perlulah bertempat. Jika perintah suami berlawanan dengan kehendak syariat, kehendak suami tidak perlu ditaati.

3. Kegagalan menjalankan tanggungjawab dan amanah dalam perkahwinan.
Kedua-dua suami dan isteri mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Tanggungjawab suami menjadi hak isteri dan tanggungjawab isteri menjadi hak suami.

Apabila satu pihak gagal menjalankan tanggungjawab yang patut, maka satu pihak lagi tidak menerima hak yang sepatutnya yang memungkinkan cinta yang ada pudar dan hilang lantas usaha untuk keluar daripada perkahwinan dilakukan.

4. Kurang ilmu rumah tangga dan perkahwinan.
Hampir 75 peratus pasangan yang bercerai dikenal pasti sebagai individu yang kurang ilmu berkaitan perkahwinan dan rumah tangga. Hampir 20 peratus lagi adalah individu yang tahu tetapi tidak mengamalkan ilmu yang diketahui, sementara bakinya adalah individu yang hanya memikirkan perkahwinan adalah layanan seks semata-mata.

5. Kurang atau hampir tiada iman.
Rata-rata kes yang dikendalikan, punca utama runtuhnya sesebuah perkahwinan adalah kerana kurang atau hampir tiada langsung ilmu dan iman.

Tidak kiralah kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri atau sebelah pihak sahaja sama ada suami atau isteri. Namun, 90 peratus perkahwinan hancur apabila sebelah pihak tidak beriman kepada Allah.

Iman kepada Allah merupakan asas kebahagiaan dalam setiap aspek kehidupan termasuk perkahwinan. Individu yang mantap iman dan taqwanya kepada Allah akan berusaha sedaya-upaya melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya termasuk berusaha yang terbaik untuk perkahwinan dan rumah tangganya agar sentiasa diredai Allah.

Kurang atau tiada iman menyebabkan individu tidak kisah dan bebas melakukan perkara yang melanggar syarak dan menyakitkan hati pasangan.

Menjaga solat adalah antara usaha penting dalam mengekalkan keharmonian perkahwinan mengikut jalan-Nya. Solat yang dilakukan dengan khusyuk dan tawaduk akan menghalang individu daripada terlibat dengan perkara keji yang boleh meruntuhkan institusi perkahwinan.
 
MalaysiaRia

Wednesday, June 1, 2011

Mengusir Kebosanan Ranjang

LAMANYA masa perkahwinan membuat agenda seks membuahkan kebosanan. Agar terhindar dari ancaman tersebut, ikuti panduan ini.

Adakah anda mengalami kebosanan kerana pernikahan yang telah lama berlangsung sehingga agenda ranjang mulai menjemukan? Jangan bimbang untuk menghadapinya. Anda hanya memerlukan beberapa pembaharuan dalam perhubungan sehingga acara bercinta menjadi sebuah agenda segar yang selalu dinantikan…..

Perbanyak kebersamaan dengan pasangan
Ketika tidak ada anak-anak dan rutin kerja sedang cuti, pilihan terbaik adalah menggunakan waktu tersebut dengan sebaik-baiknya untuk meluangkan kebersamaan dengannya. Tinggalkan pesan di telephonenya dan ajaklah dia untuk keluar bersama atau pergi bercuti sementara anda menitipkan anak-anak dengan ibu mertua atau pengasuh. Memberikan waktu intensif berdua selama beberapa ketika akan membuat kebersamaan anda berdua kian intim. Jika tidak sempat keluar rumah, melakukan agenda menonton film bersama di tempat tidur dan diakhiri dengan sesi bercinta menjadi sesi paling intim yang boleh dicuba.

Bersenang-senang
Ada sebuah kajian terbaru yang menyatakan bahawa pasangan yang menikmati kegiatan di luar bilik seperti menari atau berjoging akan melahirkan kebersamaan lebih hebat. Nah, tak ada salahnya untuk memperbanyak aktiviti fizikal bersama sehingga kedekatan antara anda dan dia kian intim.
Memanjakan batin
Selain mengintimkan kebersamaan dengan bersenang-senang bersama, aktiviti sukan seperti meditasi atau berenang boleh menjadi medan yang mendekatkan keintiman sekaligus meningkatkan tenaga anda. Hasilnya, pasangan anda pun jadi lebih seksi dan stamina ranjang pun lebih hebat.

Manjakan tubuh
Jangan lupakan rawatan diri yang membuat anda kelihatan lebih cantik dan menarik. Cuba bercermin dan perhatikan wajah dan tubuh anda sama ada anda sudah mulai memerlukan perawatan wajah atau belum? Atau bilakah terakhir kali anda melakukan perawatan kuku atau jari? Segeralah manjakan tubuh anda sehingga kepercayaan diri lebih terpancar ketika sesi bercinta bermula.

Berikan sentuhan inisiatif
Jangan menunggu dia untuk memberikan kehangatan. Bersikaplah spontan baik dalam memberikan ciuman, pelukan atau membuatnya tidak tahan dengan menahan hasrat seks sementara waktu. Biarkan rasa ghairahnya terwujud pada waktu berikutnya sehingga luapan hasrat seksual kian membara.

Anonymous

Monday, May 30, 2011

Pegangan Tanah Melayu Semakin Mengecil, Dihakis Dan Terus Terhakis

MINGGU lalu ketika melintasi kawasan bendang atau sawah padi di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, kelihatan anak-anak padi yang subur menghijau.

Syukurlah masih ada yang sanggup mengerjakan sawah ketika lebih ramai anak muda hanya berminat berada di bilik berhawa dingin walaupun sekadar operator pengeluaran.

Tidak pasti berapa lama tanah itu mampu bertahan sebagai sawah kerana di satu kawasan berhampiran jalan besar dan tali air, sawah itu sudah ditambak. Sebuah banglo juga sedang dalam pembinaan. Masih ada ruang kosong di situ yang khabarnya dijadikan tanah lot untuk dijual bagi membina rumah.

Di sebelah sawah yang sudah ditambak itu, masih kelihatan anak-anak padi yang sedang membesar. Adakah tanah itu mampu bertahan sebagai sawah? Lambat laun ia pasti mengikut ‘jirannya’ yang sudah ditambak dan bertukar status - tanah pertanian kepada perumahan - malahan mungkin akan bertukar pemilik.

Sebenarnya pemandangan sebegini sudah menjadi lumrah. Dulu sawah terbiar disebabkan tidak ada yang sanggup mengerjakannya. Ketika itu tanah terbiar akan bertukar menjadi kolam ikan, udang atau ditanam kelapa sawit. Kini tanah yang masih boleh dikerjakan itu juga sudah menjadi ‘buruan’ untuk ditukar statusnya.

Di kawasan Parlimen Permatang Pauh misalnya sudah lama sawah terbiar dan sesetengahnya masih subur telah dibangunkan dengan projek perumahan, kedai, pejabat, pusat membeli-belah dan institusi pendidikan. Ada juga sawah bertukar menjadi jalan raya atau lebuh raya.

Akhirnya saiz tanah sawah atau dikategorikan sebagai tanah pertanian yang kebanyakannya dimiliki orang Melayu semakin mengecil. Ini bermakna hak milik tanah orang Melayu terus berkurangan. Pada masa sama, tanah yang mampu menghasilkan makanan semakin berkurangan sementara jumlah penduduk termasuk yang tinggal di bekas tanah pertanian itu kian bertambah. Mereka juga memerlukan makanan.

Mungkin secara sinis kita boleh berkata, berapa sangat hasil tanah pertanian itu? Lebih baik kita mengimport makanan dari luar. Tetapi apabila harga makanan naik kerana diimport, maka siapakah yang akan mengeluh? Ketika negara pengeluar menghadapi bencana yang menyebabkan bekalan mereka juga berkurangan, kita juga gelisah. Ketika itu negara pengeluar makanan ini boleh ‘meletak harga’. Kita boleh membina kilang membuat makanan di atas tanah sawah tetapi tidak ada kilang mengeluarkan padi tiruan untuk dijadikan beras.

Hakikatnya, tanah terus berkurangan. Semakin ‘tua’ bumi ini, maka semakin berkurangan tanah - dihakis oleh pembangunan dan dihakis oleh pelbagai faktor alam. Mungkin inilah sebabnya kawasan pantai terpaksa ditambak untuk menambah keluasan tanah bagi tujuan pembangunan tetapi sekali lagi, kerja-kerja menambak itu juga memerlukan tanah. Akhirnya bukit bukau ditarah untuk menambak kawasan laut. Begitulah pusingan yang berlaku terhadap tanah di muka bumi ini.

Kembali ke Pulau Pinang, pegangan tanah Melayu di negeri itu juga semakin mengecil. Menurut satu laporan, ‘hakisan’ berlaku akibat tanah digadai termasuk kepada bukan Melayu atas pelbagai sebab. Tidak terkecuali kerana masalah hutang. Jika tidak tergadai kerana hutang pun, tanah Melayu hilang atas nama pembangunan. Baru-baru ini di daerah Timur Laut (sekitar kawasan Georgetown), dilaporkan tanah kubur pun turut diteroka untuk pembangunan. Akhirnya tanah perkuburan orang Islam juga semakin mengecil.

Justeru Melayu jangan cepat lupa diri lebih-lebih lagi apabila mereka mewarisi tanah pusaka nenek moyang. Ada sesetengah waris menjadi ‘gelap mata’ setelah mereka mendapat tanah pusaka sehingga akhirnya tanah itu terlepas ke tangan orang lain. Sikap tamak juga membelenggu golongan ini. Jika dulu tanah yang diteroka oleh nenek moyang dikongsi bersama untuk mereka sekurang-kurangnya membina rumah atau bercucuk tanam, kini tanah itu mahu dipecah dan dibahagikan mengikut waris. Akhirnya tanah itu menjadi kecil dan kemungkinan terlepas ke tangan orang lain. Kerana merebut tanah pusaka, ada juga saudara mara yang bermasam muka dan tidak bertegur sapa.

Orang sebegini sepatutnya malu kepada diri sendiri kerana hanya bergantung kepada tanah nenek moyang. Di tanah yang diwarisi itulah mereka membina rumah walaupun dalam keadaan sesak dan memusnahkan alam. Mereka tidak mampu membeli walau sebuah rumah apatah lagi sebidang tanah di kawasan lain yang dapat menambah pemilikan tanah atau harta keluarga yang diwarisi. Berapa ramai daripada kita mampu membeli tanah untuk menambah stok tanah yang diterokai keluarga terdahulu?

Ketika tanah yang diwarisi dibahagikan dalam jumlah yang kecil dan pada masa yang sama tidak ada penambahan stok tanah dilakukan, apakah yang bakal diwarisi generasi seterusnya? Lebih malang lagi apabila tanah itu terjual kepada orang lain. Ketika itu ke mana anak-anak cucu kita akan tinggal? Nak lari ke dalam hutan? Itu pun jika masih ada hutan dan hutan itu pula tidak menjadi milik sesiapa. Hari ini, boleh dikatakan setiap inci tanah sudah ada pemiliknya. Cuma apa yang akan berlaku ialah pertukaran hak milik daripada tangan A kepada B. Lebih malang lagi atas nama pembangunan, tanah itu akan terlepas juga. Pada era ini, kebanyakan tanah yang diambil tidak diganti dengan tanah sebaliknya ditukar kepada wang tunai atau mendapat sebuah rumah. Pertukaran hak milik juga berlaku apabila ada projek terbiar di tanah Melayu jatuh ke tangan orang lain. Begitulah hakisan pemilikan tanah yang melibatkan Melayu.

Di atas kertas, kita sudah hilang Tanah Melayu dan jangan sampai tanah yang menjadi milik Melayu akan turut lenyap dalam peredaran masa yang semakin mencabar ini. Mungkin jika tidak diawasi, suatu hari nanti tanah wakaf juga hanya tinggal nama. Jika dosa pahala, syurga neraka boleh diberi pelbagai tafsiran, inikan pula tanah wakaf. Ketika itu benarlah ‘bumi dipijak milik orang’. Semoga orang Melayu Islam tidak menerima nasib seperti Osama Bin Laden yang ‘dikuburkan’ di dalam laut.

Oleh : Hassan Mohd. Noor