Tuesday, March 8, 2011

Pastikan Majoriti Rakyat Boleh Miliki Rumah

MEMPUNYAI tempat perlindungan, makanan mencukupi, pendidikan dan penjagaan kesihatan yang baik adalah hak asasi manusia untuk semua rakyat negara ini. Kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan majoriti rakyat boleh memiliki rumah mereka sendiri atau mampu menyewa rumah perumahan awam.

Malangnya, bagi rakyat Malaysia rumah yang termampu sukar diperoleh. Harga rumah meningkat kepada paras sangat tinggi di bandar utama sehingga golongan pertengahan sekalipun tidak mampu memiliki rumah atau apartmen, apatah lagi golongan bawahan.

Pada 2009, purata harga rumah di Kuala Lumpur ialah RM390,000, iaitu hampir enam kali purata pendapatan isi rumah. Keadaannya lebih buruk di Pulau Pinang di mana purata harga rumah ialah RM540,000 atau lapan kali purata pendapatan isi rumah.

Jelas ia jauh dari jangkauan keluarga yang berpendapatan sederhana. Nisbah harga rumah kepada pendapatan isi rumah iaitu tiga hingga empat kali adalah diterima di peringkat antarabangsa.

Masalahnya bukanlah ketidakcukupan rumah tetapi penawaran dan permintaan untuk rumah tidak sepadan. Majoriti rakyat Malaysia mahukan rumah yang mampu dimiliki tetapi pemaju membina rumah tidak mampu dibeli mereka.

Pemaju lebih cenderung memenuhi permintaan pelabur dan spekulator yang membeli untuk menyewa atau menaikkan harganya dan mengaut untung. Ramai daripada mereka ini memiliki dua buah rumah atau lebih.

Tidak seperti Indonesia, Filipina, dan Thailand, Malaysia adalah negara di Asia Tenggara yang membenarkan orang asing memiliki hartanah. Bank turut menyumbang kepada kenaikan harga rumah melalui pelbagai teknik pemasaran agresif. Mereka melonggarkan standard kredit dan sanggup meminjamkan sehingga 95 peratus daripada nilai hartanah.

Mereka menawarkan secara berubah-ubah, berbanding pinjaman kadar tetap untuk mengurangkan ansuran awal dalam persekitaran kadar faedah rendah. Kaedah lain untuk mengurangkan ansuran bulanan ialah dengan memanjangkan tempoh kepada 40 tahun, melampaui hayat bekerja peminjam.

Cadangan baru-baru ini untuk menawarkan pinjaman dua generasi yang boleh menjangkau 70 tahun, sama seperti berlaku di Jepun, adalah gambaran bagaimana situasi menjadi yang bukan-bukan. Peminjam digalakkan membebani generasi masa depan dengan hutang mereka sendiri.

Untuk memastikan orang kebanyakan mampu membeli rumah dan mengurangkan kenaikan harga hartanah yang tidak sihat dan tidak mapan, kerajaan perlu mengambil langkah berikut:

Memulakan dasar perumahan awam yang menyediakan perumahan mampu dimiliki, terutama di kawasan bandar kepada mereka berada di bawah paras pendapatan tertentu. Contohnya, langkah Lembaga Perumahan Singapura di mana kerajaan menjadi pelopor kepada pembinaan rumah mampu milik untuk majoriti rakyatnya.

Bagi sektor perumahan swasta, kerajaan mestilah mengambil peranan utama untuk mengawasi harga hartanah, mengambil langkah sesuai dan kena pada masanya untuk mengelakkan kenaikan hartanah yang tidak mapan dan tidak sihat.

Kerajaan seharusnya meningkatkan cukai keuntungan hartanah bagi transaksi jangka pendek. Cukai keuntungan hartanah lima peratus pada masa ini bagi hartanah dipegang di bawah lima tahun tidak mencukupi. Kadar cukai seharusnya ditingkatkan dengan ketara, lebih pendek tempoh pegangan; perkara sama perlu dilakukan bagi penjualan hartanah kedua dan berikutnya.

Kerajaan seharusnya menghentikan penjualan hartanah kepada orang asing. Bagi bukan hartanah, orang asing seharusnya tidak layak untuk mendapatkan pinjaman perumahan tempatan, melainkan mereka adalah penduduk tetap.

Perancang bandar dan majlis tempatan seharusnya mempunyai perancangan penggunaan tanah komprehensif dan memberikan lebih kepentingan kepada membangunkan bandar mesra dan hijau, sistem pengangkutan awam kelas pertama dan mengurangkan pembinaan lebih banyak kompleks membeli-belah, pasar raya besar dan jalan.

Ringkasnya, kerajaan perlu memberikan keutamaan untuk meletakkan keperluan majoriti rakyat Malaysia mengatasi bank, pemaju, spekulator dan orang asing yang kaya.

S M Mohamed Idris,
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Monday, March 7, 2011

Isu Saman Ekor

Benarkah saman ekor itu hanya satu notis?

MAHKAMAH, melalui kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak tahun 2009 telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di mahkamah.

Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan.

JPJ juga telah diarahkan membayar ganti rugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.

Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.

Berbalik kepada tawaran kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman. Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, adakah seseorang itu benar-benar melakukan kesalahan yang didakwa sehingga mereka wajib membayar denda?

Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak.

Jika ada yang tertunggak maka ia bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke mahkamah untuk menjawab saman itu.

Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap supaya OKS hadir mahkamah.

Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mengakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak. Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesailah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga saman itu. Tidak tertunggak.

Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana saman-saman itu tidak pernah dibawa ke mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.

Saman ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi had laju.

Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan.

Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau dikenali dengan Notis Pol 170A. Jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran. Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke mahkamah bagi menjawab tuduhan memandu melebihi had laju.

Zulhazmi Shariff
Penasihat Undang-Undang
Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

Sunday, March 6, 2011

Strategi Memikat Wanita

Mengenali seseorang adalah detik terindah dalam kehidupan manusia. Baik lelaki mahupun wanita, perasaan yang sama tetap wujud. Sifat ingin mengenali seterusnya menjalin hubungan yang serius adalah lumrah bagi semua orang. Asal namanya membabitkan ‘hati dan perasaan’, semuanya adalah sama.

Namun adakalanya sebelum mengenali seseorang anda perlu tahu bila masa yang sesuai untuk mengenalinya. Malam? Siang? Pagi atau petang? Kadangkala kita hanya memikirkan waktu senggang kita sahaja tanpa bertanya adakah orang yang ingin kita hubungi itu juga berada dalam keadaan senggang? Kadangkala, ia meletakkan kita berada dalam situasi serba salah. Tidak dihubungi, hati kita memberontak ingin mendengar suaranya. Bila dihubungi, takut kita menganggu dirinya yang sedang bekerja! Jadi percaturan bagaimana harus anda letakkan sebelum anda menghubunginya seterusnya menjalin hubungan yang lebih serius.

1. Cari masa yang sesuai.
Kadangkala, secara tidak sengaja adalah ’saat yang paling indah dalam kehidupan manusia’. Ini adalah kerana adakalanya ketidaksengajaan itu adalah masa yang paling sesuai. Mengapa ia dikatakan begitu? ada ketikanya kita takut untuk menelefon seseorang kerana bimbang dia sedang sibuk atau sebagainya. Tanpa diduga, di pihak dirinya, dia sebenarnya sedang menunggu kita. Kalau masa yang kita telefon itu tepat, maka perbualan akan menjadi semakin rancak dan lebih menarik. Malah lebih banyak peribadinya akan dikenali. Tetapi harus diingat, pagi-pagi hari adalah waktu yang paling sibuk bagi kebanyakan mereka yang bekerja. Ia adalah permulaan waktu bekerja. Masa senggangnya boleh jadi memasuki waktu makan tengah hari. Paling baik, pada waktu malam kerana semua beban kerja sudah tiada.
2. Jangan buang masa.
Ada masa, kita agak sukar untuk memulakan sesuatu perkenalan. Pelbagai perasaan melingkari di kepala. Adakah dia berminat untuk meneruskan perkenalan, sudahkah dia berpunya dan pelbagai pertanyaan lagi. Sebenarnya lagi lambat anda memulakan langkah perkenalan, anda semakin rugi. Ini kerana “kesungguhan” antara faktor serta daya penarik di mana mereka beranggapan bahawa anda benar-benar serius ingin menjalin satu hubungan baru dengan dirinya.

3. Lebih berkeyakinan.
Tidak mencuba tidak tahu. Malah “makanan” tidak akan masuk ke dalam mulut, kalau kita tidak menyuapnya. Ini samalah dengan usaha. Kalau tanpanya, kita mungkin akan terus ketinggalan dan akhirnya orang yang kita minat itu akan diambil orang. Sebaiknya tingkatkan keyakinan diri kerana hanya orang yang berani sahaja akan berjaya mencapainya. Percayalah, dalam apa langkah sekalipun, keyakinan amat penting kerana ia adalah “pertahanan” terakhir dalam diri anda.

4. Anda perlu tahu apa yang anda lakukan.
Hal ini sangat penting. Ada orang ingin mengenali seseorang hanya sekadar untuk suka-suka sahaja. Ada orang pula, ingin mencari jodoh dan mengharapnya berakhir di jinjang pelamin. Justeru itu, sebagai lelaki anda perlu tahu apa yang anda lakukan. Apa kehendak anda dan bagaimana ia harus diakhiri. Ada orang ingin berkenalan, sekadar ingin menambah koleksi “kekasih” atau bilangan teman wanita. Ada orang pula, hanya sekadar suka-suka. Sebagai lelaki, fokus kepada apa kehendak anda. Jangan hanya dicabar oleh kawan, maka anda berusaha memikat hati si wanita dan bila sudah dapat, anda ingin meninggalkannya. Ia nyata satu perbuatan yang tidak baik dan hanya menghancurkan hati serta perasaan orang lain sahaja.

5. Teruskan persahabatan.
Sekali anda melangkah ke alam persahabatan atau perkenalan, teruskanlah ia sehingga ada sesuatu yang menghalang. Ingat, jangan sesekali berpatah balik hanya kerana ada perkara yang remeh. Ini hanya akan membuang masa anda dan juga dirinya. Malah ia juga tidak baik tentang soal hati. Apa pun, carilah masa yang paling sesuai untuk mengenali seseorang kerana bukan semua dapat menerima keadaan dengan sebegitu mudah.

MalaysiaRia