Tuesday, September 28, 2010

Tanggungjawab peguam tegakkan keadilan


Kecemerlangan bukan sekadar memenangi kes, tetapi lebih penting berikan hak sebenar

PERDEBATAN mengenai profesion peguam hangat diperkatakan apabila suspek pembunuhan kes Datuk Sosilawati Lawiya, juga seorang peguam. Salah seorang mangsa juga adalah peguam. Majlis Peguam turut diheret dalam kemelut ini kerana dikatakan tidak bertindak sewajarnya menangani disiplin peguam. Umum mengetahui dalam setiap tindakan di mahkamah sama ada Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil, peguam adalah pihak tidak kurang pentingnya membantu perjalanan sesuatu kes. Peguam adalah ‘alat’ bagi mencapai keadilan di mahkamah. Malah, peranan peguam tidak terhad di mahkamah saja kerana saranan dan nasihat peguam biasanya diambil kira dalam membuat sesuatu keputusan di luar mahkamah. Apatah lagi jika membabitkan hal ehwal perundangan.

Umumnya, profesion kepeguaman berpaksikan kepada minat, kesungguhan dan kecintaan kepada bidang guaman itu sendiri. Seorang peguam wajar berusaha memiliki kualiti seperti berintegriti, sabar, suka mencari ilmu, meluangkan masa, tenaga dan kepakaran untuk membantu pihak memerlukan.

Wang buka ganjaran dan matlamat utama sebaliknya, perlu menjadikan peluang berkhidmat dan membantu pihak teraniaya sebagai keutamaan. Antara ciri yang perlu ada pada peguam ialah:

...Mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasan.
Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti, bersikap jujur, amanah terhadap pelanggan, menjalankan tanggungjawab penuh kesungguhan tanpa menolak nilai profesional tinggi peguam. Peguam mesti bertindak dengan penuh keyakinan, menghormati orang lain sama ada pelanggan, peguam lain dan mahkamah dalam menegakkan keadilan.

...Mengambil berat dan sabar dalam berurusan.
Sikap ini menghendaki peguam untuk sentiasa menghormati dan melayan semua pihak sama ada pihak lawan dan peguam mereka dengan adil, baik serta menjauhi daripada bertindak tidak adil atau prejudis terhadap mana-mana pihak sepanjang proses undang-undang dilaksanakan. Ia bermakna, walaupun peguam mewakili pelanggannya, pada masa sama peguam di pihak lawan tetap dianggap kawan dan boleh berbincang dengan sebaiknya demi kesejahteraan kes serta pihak yang diwakili.

...Cintakan ilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu.
Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu menggunakan pelbagai kaedah seperti menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau bertanya kepada peguam lebih berpengalaman perkara yang belum difahami. Dengan bekerjasama, kita akan lebih cepat memahami dan menyelesaikan sesuatu kekusutan yang belum diketahui. Peguam berpengalaman juga perlu terbuka untuk mendidik peguam baru sebagai pelapis profesion ini.

...Bersikap baik dan mengambil berat.
Peguam yang menjaga profesion akan mengambil berat serta menghormati bukan saja mahkamah dan rakan sekerja, tetapi juga seluruh manusia yang digaulinya. Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat diputuskan, temu janji dibuat, mengambil berat jadual tugasan dan memberi komitmen tinggi kepada apa perlu dilaksanakan.

Peguam mesti mewakili pelanggan dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan, komited serta menghormati kepercayaan diberikan. Pada masa sama, kesungguhan dan kesetiaan kepada pelanggan tidak menyebabkan dia melakukan tindakan tidak benar, kasar dan biadab apatah lagi menzalimi lawannya. Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan undang-undang dan menjaga sistem keadilan syariah yang diperjuangkan.

Bersungguh dan teliti. Peguam perlu sanggup berkorban masa, tenaga, kepakaran untuk memahami dan menguasai setiap fakta kes serta peruntukan undang-undang yang dibentangkan di hadapannya.

...Suka berkhidmat dengan hati yang luhur dan ikhlas.
Peguam tidak wajar terbabit dalam urusan undang-undang saja, tetapi turut sama memberi kebajikan kepada masyarakat, membantu dalam soal membabitkan perundangan, pendidikan, khidmat sosial dan kebajikan.

Peguam yang beramal di Mahkamah Syariah perlu mengelak daripada melakukan sesuatu yang boleh memberi kesan buruk, menjatuhkan nama baik Mahkamah Syariah, sistem perundangan syariah atau menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap perundangan syariah terhakis.

Apa yang menjadi matlamat adalah mencari kebenaran, menamatkan perselisihan secara baik dan memberi hak kepada yang berhak dengan penuh keadilan seperti diperuntukkan hukum syarak.

Sebelum memilih untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan dan meneruskan perbicaraan, peguam wajar mencari jalan, mencadangkan kepada pelanggan alternatif untuk menyelesaikan pertelingkahan seperti menggunakan kaedah sulh dan mediasi.

Berbalik kepada peranan peguam syarie di Mahkamah Syariah, sudah tentu mereka perlu merujuk sumber asal perundangan syariah iaitu al-Quran dan Sunnah, bukan sekadar merujuk kepada sumber terjemahan saja.

Diriwayatkan Abu Dawud yang bermaksud: “Hakim itu ada tiga jenis. Satu dalam syurga dan dua lagi akan ke neraka…”

Jika kita mengkaji hadis itu kita akan dapati ia memberi penekanan mengenai konsep integriti. Hadis itu bukan ditujukan kepada hakim saja, juga peguam kerana hakim yang akan ke neraka itu sudah pasti mengheret peguam yang berhujah secara palsu di depannya bersama mereka.

Oleh itu, peguam hendaklah menjadi pembantu kepada kebenaran bukan kebatilan. Peranan peguam sangat besar sebagai pembantu mahkamah menegakkan keadilan demi meletakkan hak kepada mereka yang berhak.

Bukanlah ukuran seorang peguam cemerlang itu memenangi kesemua kes diwakilinya tetapi lebih penting ialah dapat memberikan keadilan kepada yang berhak menerimanya. Jika peguam memberikan hak kepada yang tidak berhak menerimanya, seolah-olah dia memberikan sepotong api neraka kepada mereka.

Persoalan yang timbul ialah jika penegak keadilan ini sendiri terbabit dalam perlakuan jenayah, adakah masyarakat akan masih menghormati profesion guaman?

...Zinul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Sunday, September 26, 2010

Tiga Perkara Yang Mesti Dijauhi


Dalam hidup ini kita sentiasa diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan. Sebagai seorang hamba yang taat kepada tuhannya ujian yang diterima hendaklah ditempuhi dengan penuh kesabaran. Ini kerana setiap orang akan diuji dengan pelbagai jenis ujian dalam hidup mereka.


Rasulullah SAW telah bersabda:
“Barang siapa yang bangun di waktu pagi sambil bersungut kerana kesusahan hidup, maka seolah-olah ia bersungut kerana perbuatan Tuhannya. Barang siapa menjadi sedih kerana perkara-perkara dunia bererti ia telah marah kepada Allah. Dan barang siapa merendahkan dirinya kepada orang kaya kerana kekayaannya maka telah hilang dua pertiga agamanya.”

...Bersungut kerana kesusahan hidup
Salah satu ujian yang diterima adalah dengan mengalami kesusahan hidup. Setiap orang pasti akan merasai kesusahan dalam hidup kecuali orang yang telah lahir dalam keadaan atau keluarga yang kaya raya. Sebagai seorang hamba yang beriman kita hendaklah bersyukur atas rezeki yang dikurniakan. Kesusahan yang kita alami adalah salah satu ujian dari Allah kepada kita. Apabila bangun di pagi hari janganlah sama sekali kita merungut tentang kesusahan hidup yang kita alami tapi hendaklah sentiasa berdoa supaya dimurahkan rezeki olehNya.

...Bersedih kerana perkara-perkara dunia
Kita mungkin pernah menangis dalam hidup ini. Tapi adakah tangisan air mata yang keluar itu kerana takutkan Allah atau menangis kerana perkara-perkara dunia? Contoh menangis kerana dunia adalah sedih apabila putus cinta. Ada orang yang bersedih kerana terlalu kecewa dengan putus cinta ini. Itu adalah salah satu contoh bersedih kerana perkara dunia. Ketahuilah yang dunia ini adalah bersifat sementara dan akhirat jualah yang bersifat kekal. Bersabarlah dengan ujian yang diterima dan hendaklah kita tenang menghadapinya.

...Merendahkan diri kepada orang kaya
Pada zaman sekarang ni orang yang kaya dipandang mulia. Ini kerana golongan yang kaya mempunyai nama dan sangat dikenali hingga membuatkan orang lain hormat kepadanya. Kalau golongan miskin pulak akan dipandang rendah oleh masyarakat. Begitulah perbezaan status dalam kehidupan pada zaman sekarang ni. Sebenarnya kita tidak boleh terlalu mengagungkan golongan yang kaya ni. Cukuplah sekadar menghormatinya sebagai saudara kita tapi jangan sampai boleh merasa rendah diri kerana kekayaan yang dimilikinya.

Peringatan yang serba ringkas ini adalah peringatan untuk diri saya sendiri dan berkongsi dengan pembaca-pembaca blog ini. Apa yang baik itu datang dari Allah. Dan apa yang kurang itu adalah dari kelemahan diri saya sendiri. Semoga kita semua mendapat manfaat bersama.

...malaysiaria

Friday, September 24, 2010

Saintis buktikan Nabi Musa belah laut

BOULDER, Amerika Syarikat (AS) - Saintis-saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil, lapor sebuah akhbar semalam.

Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini, mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik.

Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum Bani Israel terperangkap di antara pasukan tentera Firaun yang sedang mara dan laut di hadapan mereka.

Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.

Kini, dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j) selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.

Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup semalamam ke atas air sedalam beberapa meter itu.

Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.

Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami.

Hasil kajian saintis berkenaan disiarkan di Internet oleh Jurnal Public Library of Science ONE.

LAKARAN artis menunjukkan angin kuat dari timur telah menyebabkan air lagun (kiri) dan sungai (kanan) 'berpusing' dan membentuk dinding air dekat Laut Merah.

...Agensi