Friday, July 30, 2010

Dua situasi orang berjunub boleh baca al-Quran


Apakah hukumnya membaca surah Yasin / Al Quran tanpa mengambil wuduk?

Jawapan: Ada banyak hadis yang menjelaskan mengenai larangan membaca al-Quran ketika sedang berjunub. Antaranya, sebuah hadis riwayat al-Tirmizi, daripada Ali Abi Talib RA yang bermaksud: “Adalah Rasulullah SAW membacakan kepada kami akan al-Quran , selama Baginda tidak menanggung hadas besar.”

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah, daripada Ibnu Umar menyebut: “Janganlah hendaknya membaca orang yang berjunub dan orang yang haid akan sesuatu dari al-Quran.”

Membaca al-Quran dengan niat tilawah (membaca), bukan niat zikir dan bukan itlaq saja, iaitu niat membaca dan tidak niat zikir, dengan pembacanya melafazkan huruf-huruf sehingga didengar sekurang-kurangnya oleh pembaca sendiri, dalam keadaan berhadas besar atau junub hukumnya adalah haram.

Tetapi melafazkan al-Quran dalam hati saja atau digerak-gerakkan bibir (kumat-kamit) tanpa memperdengarkan diri sendiri, tidaklah menjadi haram kerana kelakuan itu tidaklah disebut sebagai membaca. Dalam Hasyiatul Bajuri juzuk 1, halaman 144 sebagai berikut:
“Kata Syarih: Yang ketiga, yang haram atas orang haid adalah membaca al-Quran, ertinya dengan bahawa dilanjutkannya dan diperdengarkan dan tidak ada sesuatu yang menghalangi pendengaran. Maka jika dialirkan al-Quran dalam hatinya dengan tidak diperdengarkan akan dirinya, tiadalah menjadi haram kerana sesungguhnya yang demikian itu, bukanlah membaca.”

Untuk pengetahuan kepada saudara yang bertanya, hanya dalam dua masalah seorang yang junub boleh membaca al-Quran. Pertama, individu yang solat fardu dalam keadaan junub, padahal dia Faqidut thahurain (iaitu ketiadaan dua alat pencuci, mahu mandi tak ada air, mahu tayamum tak ada tanah, maka diperkenankan baginya dalam sembahyang itu untuk membaca surah al-Fatihah saja dan tidak boleh membaca surah lain.

Kedua, seorang yang bernazar untuk membaca Yasin pada waktu yang tertentu. Tiba-tiba, waktu yang dia bernazar itu, ia berada dalam hadas besar, lagi ketiadaan air dan tanah, maka diperkenankan baginya membaca Yasin kerana darurat.

Dalam Hasyiatul Bajuri, juzuk 1, halaman 166 seperti berikut: “Tetapi orang yang ketiadaan air dan tanah dapatlah membaca al-Fatihah pada solat yang wajib, dan sepertinya juga bacaan yang wajib di luar solat seperti orang yang bernazar untuk membaca surah Yasin, pada waktu yang tertentu, maka adalah ia pada waktu itu dalam janabah lagi ketiadaan air dan tanah. Maka sesungguhnya dapatlah dibacanya kerana darurat.”

Adapun, membaca al-Quran sesudah membuang air kecil atau besar, ada khilaf (selisih) pendapat ulama mengenai hukumnya. Ada yang menyatakan haram dan ada yang mengatakan makruh. Menurut yang ditarjihkan, yang makruhlah yang muktamad.

Seperti disebut dalam Nihayatul Muhtaj ila Syarhil Minhaj, juzuk awwal, halaman 126 sebagai yang berikut, maksudnya:

“Dan janganlah hendaknya ia berkata-kata ketika buang air besar, baik dengan berzikir atau lainnya, maka berkata-kata di kala itu adalah makruh. Dan meliputi yang demikian itu akan membaca al-Quran ketika membuang air besar.”

Sebuah hadis riwayat Abu Daud, al-Nasa’i dan ibnu Majah, daripada al-Huhajir Qunfuz, yang bermaksud: “Bahawa ia pernah datang kepada Nabi Muhammad SAW yang mana Baginda sedang membuang air kecil, maka ia pun memberi salam kepada Nabi, maka Nabi tidak menjawabnya sehingga Baginda berwuduk, lalu Baginda menyatakan uzur seraya sabda Baginda, “Sesungguhnya aku benci bahawa aku menyebut Allah kecuali ketika suci.”

Sebuah hadis daripada Anas, beliau berkata, “adalah Nabi SAW apabila Baginda masuk ke tempat buang air, dicabutnya akan cincinnya.”
Dan sesungguhnya sahlah, bahawasanya lukisan cincin Baginda adalah huruf Muhammadurrasulullah.

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

Rahsia Jari Jemari Manusia


Jari - jemari manusia menyimpan seribu satu, rahsia pemiliknya. Antara misteri jari ialah penentu kepada kesi hatan manusia. Menurut ajaran Islam se seorang perempuan yang ingin dikahwini juga adalah diseru agar dilihat dan diper­hatikan kepada jari. Melaluinya kesihatan keseluruhan tubuh badan dapat di pastikan oleh pihak lelaki.

Sebagai bukti kekuasaan Allah yang telah menjadikan jari ialah bagaimana penghidap kencing manis juga adalah dinasihatkan oleh pakar kesihatan agar membuat pemerik saan sendiri terutamanya pada jari - jemari dan juga jari kaki yang sering kebas untuk mengesan tanda luka atau jangkitan. Ini kerana deria rasa sakit penghidap kencing manis akan berkurangan. Rawatan awal ini dapat mengelak jangkitan merebak dengan lebih dahsyat.

Selain itu perokok tegar juga dapat dikesan melalui tanda-tanda tindak balas bahan kimia dalam rokok yang ter dapat di jari-jemari. Buktinya setiap kali perokok menyedut, dia akan menyerap masuk lebih dari 4,700 bahan kimia yang telah terbukti memberi kesan buruk pada setiap inci tubuh perokok. Antara kesan serius ini ialah kulit lebih cepat berkedut, gigi dan jari-jemari perokok akan menjadi kuning.

Manakala dalam masyarakat Cina lebih gemar menilik dan membelek tangan serta kulit timbul di jari jemari untuk menilik masa depan seseorang. Pemerhatian yang mendalam dengan mengambil kira susur galur urat di jari-jemari akan mencerita kan banyak rahsia seperti kebahagiaan dan kecelakaan seseorang menurut pengamalan masyarakat Cina.

Manakala dalam masyarakat Melayu yang sinonim dengan penghayatan Islam pula mengembalikan rahsia jari dan cap jari adalah milik Allah pen cipta manusia. Namun sekiranya kita perhatikan jaluran urat di tapak tangan kanan akan tertera nombor Arab 18 dan tapak tangan di bahagian kiri pula akan tercatat nombor 81. jika seorang hamba Allah berdoa maka kedua-dua tapak tangan ini akan dicantumkan dan cantuman ini akan menjadikan angka. 99. Nombor 99 ini boleh diertikan dengan 99 nama Allah yang Maha Agung lagi Maha Mulia.

Nabi Muhammad s.a.w. pernah mem beritahu para sahabat dan umat Islam bahawa Allah memiliki 99 nama yang indah dan diberkati maka berdoalah ke pada Allah melalui sifat-Nya yang agung dan terpuji.

Hakikatnya jari dan cap jari merupakan tanda di antara tanda kekuasaan Allah.

Kondisi dan struktur jaringan halus urat timbul yang kompleks ini telah menyebabkan proses sains dan teknologi makin berkembang pesat untuk mengkaji serta menyelidik demi menambah baik kesenangan dan keselesaan hidup manusia pada masa mendatang. Walau pun situasi jenayah makin bertukar dan berkembang pesat selari dengan kepe satan teknologi namun adalah sesuatu yang mustahil di alam ini bagi menghilangkan dan melenyapkan identiti diri kerana setiap penciptaan manusia ada hikmah yang tersirat dan tersimpul di se balik kejadiannya.

Penulis, Mohammad Shukri Bin Osman
Pegawai Hal Ehwal Islam Universiti Sains Malaysia
Pulau Pinang.

Wednesday, July 28, 2010

Saya Ingin Memuji Tun Siti...


Sudah beberapa hari saya teringatkan ketinggian budi Tun Dr. Siti Hasmah. Agak sudah beberapa bulan saya tidak bertemu beliau. Gambaran wajah Tun Siti yang paling indah yang saya lihat ialah ketika beliau memakai telekung untuk solat. Ketika itu saya pergi menziarahi Tun Mahathir di IJN. Tun Siti sendiri yang menelefon saya menjemput saya ke sana. MasyaAllah, wajah Tun Siti ketika bertelekung saling tak tumpah bagaikan wajah nenek saya yang sudah kembali ke rahmatullah.

Berjalan ke berbagai tempat dalam negara ini, bertemu dengan berbagai pihak memberikan kita berbagai maklumat mengenai persepsi masyarakat terhadap berbagai perkara khususnya para pemimpin politik. Cetusan dan ulasan rakyat itulah yang menjadikan saya ingatkan Tun Dr Siti Hasmah..

Jika kita masih ingat semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, amat sukar untuk kita dengar ulasan buruk mana-mana pihak terhadap Tun Siti. Wajahnya yang tidak sombong, gayanya yang tidak ego, kerendahan dirinya dan sikap tidak campur tangan dalam politik menyebabkan beliau tidak dimusuhi. Ya! Ketika Tun Mahathir berada di puncak kuasa dengan penuh kemegahan pun beliau tetap bersikap sebagai seorang isteri yang tidak menyibuk diri menjadi ‘menteri tambahan’. Orang tidak memperkatakan tentang sikap suka campur tangan beliau dalam urusan politik, tidak beliau dibenci kerana berlebih-lebihan dalam gaya dan cara. Tun Siti sangat sederhana sehingga sekarang. Saya sendiri pernah mendengar Tun Mahathir bersungut kerana lama menunggu Tun Siti di kereta dan cuaca agak sejuk. Ketika itu di London. Saya masih ingat jawapan Tun Siti: “ada orang hendak bercakap dengan kita, takkan kita hendak tinggalkan”. Masa itu ada rakyat Malaysia di London yang datang berbual dengan Tun Siti ketika beliau hendak turun dari Malaysia Hall.

Saya kagum dengan Tun Siti sebab setiap kali saya berkesempatan berbual dengan Tun Mahathir, samada di meja makan atau di tempat biasa, Tun Siti yang selalu berada di sebelah Tun Mahathir tidak pernah mencampuri perbualan kami khususnya tentang politik. Beliau selalu menjadi pendengar setia kepada Tun Mahathir. Jika ada pun beliau mencelah, beliau akan bertanya khabar keluarga saya atau pandangan agama tentang urusan harian. Sekalipun beliau sebenarnya tidak pernah berjumpa keluarga saya. Tun Mahathir bertuah mendapat isteri yang tahu apa perwatakan yang sewajarnya dan tidak dianggap ‘busy body’ bagi negara ini ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Maka tidak hairanlah ketika Tun Mahathir berada dalam ketegangan krisis politik beliau, Tun Siti tidak menjadi sasaran kemarahan musuh-musuh politik Tun Mahathir. Hanya yang bermulut celupar sahaja yang cuba mengguris Tun Siti yang selalu diam itu. Itu pun puak yang suka menyentuh urusan peribadi orang yang tidak kaitan dengan kepentingan umum rakyat.

Begitu lama Tun Mahathir di tampok kuasa. Tun Siti tetap bersederhana. Tiada cerita kemewahannya semasa di luar negara, atau bising campur tangannya dalam projek itu dan ini, tiada cerita ‘kegarangannya’ kepada pihak sana dan sini. Beliau hanya tersenyum dan merendah diri. Bahasanya tidak bongkah, gayanya tidak berlagak. Tidak banyak cerita di media tentang dirinya, sehingga melebihi suaminya. Namun, sebagai insan tentulah ada kekurangan dan kelemahan di sudut-sudut tertentu. Demikianlah semua manusia.

Seorang pemimpin memerlukan isteri yang ‘tidak menyibuk’ seperti Tun Dr Siti Hasmah. Walaupun sangat terpelajar, tetapi tahu membawa diri sebagai isteri pemimpin. Setiap isteri pemimpin mesti pandai menjaga maruah suaminya. Pandai menjaga nama baik politik suami. Jangan sampai suami dibenci rakyat kerana gaya dan sikap isterinya. Ertinya, jangan sampai rakyat membenci seseorang pemimpin ‘pasal bini dia’. Buat semua isteri pemimpin, jadikanlah Tun Siti Dr Hasmah sebagai contoh yang baik dalam hal ini! Jangan lebih lajak dari laju, rakyat tak suka perangai macam itu!

Peranan isteri berdoa agar suami berada di jalan yang benar. Menasihati suami agar sentiasa ingatkan Allah dalam urusan rakyat. Janganlah isteri pula yang menyebabkan kemurkaan Allah dan kemarahan rakyat kepada suaminya..Tun Dr Siti Hasmah, tahniah!

...Dr. Mohd Asri Zainul Abidin