nuffnang

Friday, February 24, 2017

Tragedi Remaja Berbasikal

Polis Wajar Perinci Siasatan
KUALA LUMPUR - Pihak polis wajar memperhalusi siasatan terhadap insiden kemalangan yang te­lah mengorbankan lapan remaja akibat dirempuh kenderaan di Johor Bahru pada 18 Februari lalu.

Pengamal undang-undang, Datuk Zulkifli Noordin berkata, berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh pihak berkuasa sebelum ini telah memberi gambaran seolah-olah sekumpulan remaja tersebut yang bersalah dengan mempersoalkan tindakan me­reka berbasikal be­ramai-ramai pada pukul 3 pagi.

Sedangkan, katanya, rempuhan oleh pemandu kereta berumur 22 tahun itu adalah dari arah belakang dan ia berlaku di tepi jalan sebelah kiri sekali gus secara jelas telah menyalahi undang-undang.

“Saya bukan bermaksud mahu membela anak-anak itu, tetapi isunya ialah siapa yang bersalah dalam tragedi itu?

‘‘Kenapa begitu cepat pihak berkuasa membuat keputusan dan membebaskan pemandu tersebut dan paling malang ada pula pihak yang mengugut akan mengambil tindakan terhadap ibu bapa anak-anak itu kerana membenarkan atau membiarkan berbasikal pukul 3 pagi.

“Sejak bila naik basikal pukul 3 pagi itu satu dosa atau satu kesalahan? Di bawah Akta Pengangkutan dan Peraturan Lalulintas, ia bukan satu kesalahan jika ber­kayuh basikal pukul 3 pagi, bukan satu kesalahan berkayuh basikal ramai-ramai dan bukan satu kesalahan berkayuh basikal atas jalan raya,” katanya dalam ke­nyataan yang disiarkan menerusi Facebook beliau hari ini.

Dalam kejadian pukul 3 pagi, lapan remaja lelaki maut manakala lapan lagi cedera termasuk dua kritikal apabila basikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, polis wajar mendalami kes tersebut dan siasatan perlu dibuat di bawah Seksyen 302A Kanun Keseksaan sebagai alternatif kepada Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan dengan menyiasat bagaimana pemandu berkenaan boleh merempuh sekumpulan pengayuh basikal dari belakang.

Katanya, polis perlu menyia­sat secara terperinci kenya­taan daripada mangsa dan saksi yang melihat pemandu itu menggunakan telefon bimbit serta memandu laju tanpa cepat membuat keputusan pemandu itu tidak ber­salah.

“Rempuhan kuat dari belakang oleh sebuah kereta terhadap sekumpulan ramai pengayuh basikal di sisi kiri jalan raya dua lorong memberi gambaran sama ada pemandu itu lalai, alpa atau dalam keadaan gagal mengawal kende­raannya. Maknanya ada kes prima facie untuk disiasat dengan lebih terperinci,” katanya.

Beliau menggesa kes itu ditangani secara rasional dan tidak terbawa-bawa dengan emosi, pre­judis atau berat se­belah hanya ke­rana anak-anak itu berbasikal pada pukul 3 pagi secara beramai-ramai, maka mereka boleh dirempuh dari belakang begitu sahaja dan mereka yang dipersalahkan.

“Saya nasihatkan kepada keluarga mangsa supaya merujuk kepada peguam bagi menimbang membawa kes itu ke mahkamah untuk tindakan sivil yang bersesuaian.

“Jika tidak berpuas hati de­ngan siasatan pihak berkuasa, failkan writ prerogatif di Mahkamah Tinggi untuk suatu perintah yang bersesuaian. Peguam yang mahir akan boleh memberikan nasihat dan panduan yang bersesuaian,” katanya.

Sumber : utusan

Thursday, February 23, 2017

Berapa Lama Waktu Ideal Untuk Bercumbu?

Cumbuan memegang peranan penting dalam menentukan kualiti hubungan intim. Wanita umumnya memerlukan waktu cumbuan lebih lama berbanding lelaki sehingga ia merasa selesa dan terangsang hingga benar-benar siap secara seksual. Yang dilakukan pasangan saat bercumbu akan menentukan hubungan seksual bakal memuaskan atau tidak bagi kedua-dua belah pihak.

Perlu diingat, kulit di sekujur tubuh menanti untuk dijadikan sarana eksplorasi seksual yang tiada batasnya, Selain itu, otak juga merupakan organ seksual yang amat berpotensi. Maka, anda amat disyorkan untuk berkongsi pengalaman "liar" atau berbual seputar hal-hal yang boleh membangkitkan ghairah seksual selama cumbuan

Waktu ideal yang diperlukan untuk sesi pemanasan ini sangat berbeza antara lelaki dan wanita. Lelaki memang hanya memerlukan waktu sebentar untuk bercumbu, kerana mereka sangat mudah distimulasi. Hal ini disebabkan lelaki boleh dengan mudah berhubungan intim tanpa mengalami ghairah seksual di seluruh tubuhnya. Dengan kata lain, mereka hanya memerlukan stimulasi pada kawasan genitalnya saja.

Di lain pihak, wanita harus merasa benar-benar terangsang hingga mereka bersedia untuk melakukan penetrasi seksual. Boleh dikatakan, wanita memerlukan cumbuan 10 kali lebih banyak daripada lelaki. Tidak ada kata "terlalu lama" bagi wanita. Bila dianalisa, wanita memerlukan masa yang paling tidak 20 minit untuk benar-benar turn on dan siap meneruskan ke sesi berikutnya.

Meskipun memerlukan cumbuan untuk alasan yang sangat berbeza, lelaki dan wanita mampu saling melengkapi dalam sesi pemanasan ini. Bagi kaum wanita, inilah peluang untuk memberitahu pada pasangan betapa mereka sangat memerlukan sentuhan. Semakin lama masa yang digunakan lelaki dan wanita untuk bercumbu, semakin mendedah orgasme yang akan mereka alami. Sebab, wanita akan merasakan kawasan genitalnya semakin mampu menerima rangsangan, yang akan menghasilkan orgasme lebih dahsyat. - Anonymous

Wednesday, February 22, 2017

‘Umang-Umang’ Bahasa Melayu?

BAHASA Melayu mempunyai sejarah tamadun yang panjang seawal abad ke-7 Masihi lagi. Ketika zaman gemilang­nya sekitar 1400M, bahasa Melayu telah menjadi lingua-franca. Pakar-pakar sejarah seperti Andaya, Wolters dan George Coedes memperakui bahasa Melayu telah digunakan dalam perdagangan masa lampau. Malah, seorang yang bernama Panglima Awang telah mengelilingi dunia sebagai penunjuk misi pelayar ternama, Ferdinand Magellan.

Realitinya China sendiri menggunakan bahasa Melayu sejak 671M melalui seorang Buddha, I-tsing yang singgah di Palembang dalam pelayarannya ke India. Apabila Panglima Cheng Ho datang ke Melaka antara 1430-1450M, dia berbahasa Melayu. Malah, legenda Puteri Hang Li Po yang berkahwin dengan Raja Me­laka pun fasih berbahasa Melayu. Penghasilan kitab-kitab perundangan, agama, kesusaste­raan, falsafah turut menggunakan bahasa Melayu. Buku-buku dan kitab ini yang merentasi kepulauan Melayu di Nusantara.

Menelusuri sejarah tamadun dunia, Arab, China, Jerman, Pe­rancis, England, Amerika Syarikat, Rusia, Korea dan Jepun - semuanya bangkit dan menggapai kemajuan melalui bahasa sendiri. Negara Eropah Timur juga maju dengan bahasa sendiri termasuklah Finland, Norway, Denmark, Austria dan Switzerland.

Negara-negara itu menguasai bahasa asing lain dengan baik tetapi tetap mengekalkan bahasa sendiri untuk kegunaan dalam negara. Jepun misalnya dengan konsep wakon yohsai iaitu semangat Jepun dengan teknologi barat tetap mengekalkan bahasa dan kebudayaannya. Dan terbukti akhirnya berjaya memanfaatkan teknologi barat demi kemajuan negaranya. Budaya, bahasa dan semangatnya kekal dan kental, jati dirinya tetap kukuh. Jepun pernah menggunakan bahasa Rusia dan Jerman untuk mengajar teknologi kepada rakyatnya, tetapi gagal dan akhirnya kembali menggunakan bahasa sendiri.

Ekologi sesebuah negara­ me­rangkumi bahasa dan bu­dayanya. China umpamanya te­tap menyebarkan pengaruh dan hegemo­ninya ke seluruh dunia dengan bahasa, budaya dan China Town yang berselerak sehingga ke Kanada, Amerika Syarikat, Bri­tain serta negara lain. Sepatutnya Malaysia mencontohi China, Jepun, Jerman dan Perancis yang berusaha untuk maju dengan acu­an sendiri. Berfikir secara global tetapi bertindak secara lokal tidak akan hilang budaya dan jati diri.

Lihat sahaja psikologi dan bahasa orang kita. Apabila bercakap dengan orang Cina, bahasa Melayu dituturkan dalam lenggok bahasa Cina. Apabila bertutur dengan orang India, bahasanya menjadi lenggok bahasa orang India. Gelagat sebegini kononnya kerana mengutamakan pelanggan atau tetamu seperti ungkapan Mak Si Randang hingga sanggup membiarkan anak sendiri kelaparan demi menjamu tetamu. Bahasa asing khususnya Inggeris diutamakan pula hingga sanggup membuang bahasa sendiri.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak merdeka telah menghasilkan ratusan ribu istilah pelbagai bidang ilmu untuk dimanfaatkan dalam pengajaran ilmu. Usaha ini tentunya sia-sia jika bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa ilmu.

Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970 adalah kemuncak perjuangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di peringkat pengajian tinggi di samping membuktikan keupayaan bahasa Melayu untuk mengajarkan segala ilmu sains dan teknologi ­seperti perubatan, kejurute­raan dan sebagainya, bukan ilmu ­kesusasteraan atau kemanusiaan semata-mata. Ketika itu lebih lima juta ­rakyat terpelajar negara ini terhasil dalam sistem pendidikan kebangsaan sehingga menjadi ahli korporat, teknokrat, pakar pelbagai bidang termasuk bidang sains dan teknologi, bidang aero­angkasa. Malah banyak menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan PhD di luar negara.

Bahasa Melayu diakui oleh sarjana dan pemikir barat sebagai bahasa yang mempunyai kekuatan tersendiri. Salah satu kekuatan bahasa Melayu ialah secara fitrahnya bahasa menepati sistem fonemik antarabangsa. Mengikut Mario Pei, sistem fonemik ialah sesuatu ejaan mengikut bunyinya atau bunyi sesuatu kata itu mengikut ejaannya. Suku kata ‘ba’ dalam bahasa Melayu bunyinya tetap ‘ba’ sama ada hadir di depan, te­ngah atau akhir kata seperti ‘ba-ta, ter-ba-lik, ra-ba’. Bahasa lain yang juga mengikut sistem fonemik ini ialah bahasa Jepun. Dalam bahasa Jepun ‘terima kasih di­sebut ‘arigato gozaimasu’ dengan bunyi ‘a-ri-ga-to go-zai-ma-su’. Justeru bahasa Melayu tidak patut di­pinggirkan oleh penuturnya khususnya ­rakyat negara ini.

Bahasa Melayu wajib menguasai semua aspek kehidupan - bidang pendidikan, perhubungan seharian, urusan rasmi, ekonomi, perdagangan dan penyelidikan. Bahasa Melayu yang disertai bahasa Indonesia sudah cukup kuat untuk berdiri sendiri. Cukup kuat untuk dijadikan bahasa ASEAN atau salah satu bahasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan penutur lebih 300 juta.

Hairan sekali jika bahasa kelima terbanyak penuturnya di dunia tidak dijadikan salah satu bahasa rasmi pertuturan di PBB apatah lagi sebagai bahasa rasmi ASEAN di Nusantara tempat asal-usulnya. Di Singapura bahasa Melayu salah satu bahasa rasmi­nya. Bahasa rasmi Filipina, Tagalog juga adalah salah satu rumpun bahasa Melayu di Nusantara. Di Kemboja juga bahasa Melayu dituturkan di beberapa bahagian di sana. Dari segi kerahsiaan dan keselamatan penggunaan bahasa sendiri, bahasa Melayu ada kelebihannya. Semuanya digariskan dengan lengkap dalam perancangan strategik DBP, pengajaran di universiti dan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam. Cuma sekarang, majori­tinya menjadi hiasan lembaran kertas tanpa nyawa dan diabaikan.

Tokoh Bahasa, Datuk Dr. Awang Sariyan yang juga Pe­nyandang Kursi Pengajian Melayu di BPSU, China dalam kertas kerjanya seminar Bahasa dan Pendidikan 2016, menarik perhatian mengenai perancangan berkaitan taraf dan peranan bahasa Melayu. Antara yang disyorkannya:

i. Penguatkuasaan dan pemantauan untuk memastikan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa tonggak tamadun keseluruhannya.

ii. Taraf dan peranan bahasa Melayu diperluas penggunaan­nya. Tidak harus wujud lagi penge­cualian yang tidak munasabah misalnya penggunaannya dalam sistem kehakiman dan ekonomi.

iii. Bahasa Melayu sebagai subjek wajib termasuk di institusi pengajian tinggi swasta.

iv. Ditubuhkan jabatan atau unit audit bahasa yang memantau penguatkuasaan dasar bahasa terutama dalam bidang pentadbiran. Dalam fasa seterusnya, Program Audit Bahasa Melayu dige­rakkan dalam sektor ekonomi dan perdagangan, bermula de­ngan syarikat milik kerajaan (GLC).

Bahasa Melayu mestilah benar-benar diberi martabat sewajarnya sebagaimana Perancis, Jerman, Rusia, Jepun, Korea dan China, memberi martabat kepada bahasa mereka. Negara-negara tersebut tetap maju walaupun menggunakan bahasa sendiri. Ini jelas membuktikan adalah suatu kenyataan yang palsu bahawa kemajuan boleh dicapai melalui bahasa Inggeris sahaja.

Tuesday, February 21, 2017

Lucunya Negara Ku.....Ada pemimpin yang tidak betah berbahasa kebangsaan!

Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa,
International Mother Language Day
Pasti anda tertanya-tanya, apa itu Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang telah diiktiraf secara rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melalui resolusi yang menjadikan tahun 2008 sebagai permulaan Tahun Bahasa Ibunda Antarabangsa.

Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa atau International Mother Language Day, disambut pada 21 Februari setiap tahun dan diisytiharkan sebagai Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa oleh UNESCO pada 17 November 1999.

Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa berasal dari pengiktirafan antarabangsa kepada Hari Pergerakan Bahasa yang disambut di Bangladesh (dahulunya Pakistan Timur) semenjak tahun 1952, apabila sebilangan penuntut universiti Bangladesh dibunuh oleh polis dan tentera Pakistan di Dhaka ketika menyertai Pergerakan Bahasa Bengali.

Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa disambut setiap tahun oleh negara ahli UNESCO di ibu pejabatnya untuk memupuk kepelbagaian bahasa dan budaya.

Sejarah
Pada 21 Mac 1948, Mohammed Ali Jinnah, Gabenor-Jeneral Pakistan, mengisytiharkan bahasa Urdu sebagai satu-satunya bahasa untuk Pakistan Barat dan Pakistan Timur, sekaligus membangkitkan kemarahan warga Pakistan Timur (kini Bangladesh) yang bertutur bahasa Bengali sebagai bahasa ibunda.

Pada 21 Februari 1952, penuntut universiti di ibu kota Dhaka menyeru mogok besar-besaran di seluruh wilayah.

Kerajaan mengenakan perintah berkurung untuk mengelakkan mogok itu maka tunjuk perasaan terbendung kerana terpaksa mematuhi perintah berkurung.

Polis Pakistan menembak ke arah para penuntut meskipun membantah secara aman, mengakibatkan beberapa orang pelajar terbunuh.

Sumber :  wikipedia

Saturday, February 11, 2017

Malangnya Negara Ku.....

Ingatkan DAP yang akan menCHINAkan negara MALAYSIA,
tapi BN yang melaksanakannya.

MENCHINAKAN NEGARA MALAYSIA - DARI UTARA KE PANTAI TIMUR SEMENANJUNG TANAH MELAYU

PROLOG:
30 juta rakyat Malaysia dihimpit kesusahan untuk hidup dengan pelbagai tekanan cukai dan harga makanan serta kediaman yang mencanak naik. Kejatuhan ekonomi dan keadaan perniagaan yang mencabar menyebabkan 40, 000 telah dibuang kerja. Peniaga kecil Bumiputera paling terkesan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

Kerajaan kleptokrasi berbangga kerana permintaan terhadap pemberian belas ikhsan BR1M untuk membolehkan rakyat hidup telah bertambah. Jumlah maksimum yang diterima ialah RM100 sebulan dan penerima BR1M meningkat setiap tahun. 7 juta atau 23% dari rakyat Malaysia menerima BR1M. Ini bukti kemiskinan telah melanda rakyat Malaysia.

GEMPAR:
1. Isu penjualan tanah di Dataran Lang untuk pembinaan condo mewah yang akan dibangunkan oleh kontractor China hanyalah sebahagian dari projek menjadikan Langkawi sebagai ‘Monaco of the East’ yang tentunya lebih hebat dari Singapura yang juga mahu menjadi ‘Monaco of the East’. Apakah yang akan terjadi kepada 99 buah pulau-pulau Langkawi Geopark, dengan gunung ganang berumur 550 juta tahun di Langkawi yang tentunya adalah khazanah yang sangat tinggi nilainya? Akan tergadaikah jua?

2. RM43 billion off-shore trading port (atau military port?) di Melaka dikenali sebagai Melaka Gateway akan menggantikan Singapura sebagai pelabuhan dagang utama di Asia Tenggara. Pelabuhan ini nanti mengesahkan hak dan tuntutan negara China ke atas seluruh laluan Selat Melaka.

3. RM100 billion Bandar Malaysia a.k.a Bandar China adalah bandar bawah tanah terbesar di dunia. Bandar Malaysia / Bandar China ini akan melengkapkan laluan sutera koridor China antara Asia Tenggara dengan Asia Timur, Asia Barat dan Asia Selatan. Dibina di atas tanah 486 acres yang dulunya adalah Sg Besi Airport, tanah ini adalah milik China sepenuhnya.

4. RM100 billion Forest City di atas lautan yang ditambak di Johor Bahru adalah bandar buatan China yang menakutkan masyarakat dunia kerana gahnya pembangunan di situ. Dengan menempatkan hampir sejuta rakyat China dan Singapura, Forest City bakal menjadi Shenzhen ke 2.

5. RM55 billion pinjaman dari China untuk membina Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) akan membawa lebih ramai orang China ke Malaysia. Sebidang tanah bernilai RM5.85 bilion juga akan terjual dan berpindah milik kepada China untuk membolehkan pembinaan ECRL.

6. RM1.58 billion Pembangunan pelabuhan mega membesarkan Pelabuhan Kuantan mengiktiraf penguasaan China terhadap Laut China Selatan yang ingin dikuasainya selama ini. Apatah lagi telah terbina struktur-struktur kepunyaan China di Pulau Spratly di Laut China Selatan.

EPILOG
Lengkap sudah kehadiran dan penguasaan China di Malaysia. Ini akan memudahkan 1.4 billion penduduk China mempunyai penempatan baru sebagai alternatif untuk berpindah ke sebuah negara kaya yang dulu dikenali sebagai Tanah Melayu.

Tuesday, February 7, 2017

Lucunya Negara Ku......

Tauke Judi Lebih Istimewa, Kebal
KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos secara sinis menyatakan beliau mahu meletakkan semua jawatan dalam parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menceburi kegiatan judi haram.

Beliau yang ditahan reman Jumaat lalu selama lima hari dan dibebaskan lebih awal hari ini berkata, jawatan yang di­pegangnya tidak dapat digunakan sepenuhnya untuk masyarakat ber­banding tauke-tauke judi yang mempunyai kekebalan dan keistimewaan.

“Saya meng­­u­mumkan kemungkinan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Besar, Pengerusi NGO Negeri Selangor dan Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia.

“Saya fikir jawatan-jawatan yang ada tidak dapat dipergunakan sepenuhnya kepada masyarakat sebaliknya saya akan mengusahakan perniagaan judi haram seperti tauke-tauke lain kerana ia mempunyai kekebalan dan keistimewaan,” katanya.

Jamal bersama sembilan pengikutnya dibebaskan daripada tahanan reman kira-kira pukul 7 petang ini berkata demikian dalam sidang akhbar di pekarangan Ibu pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya, dekat sini.

Jamal sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung tinda­kan­nya menyerbu beberapa premis pusat hiburan keluarga yang didakwa menjalankan kegiatan perjudian di sekitar Selangor.

Beliau ditahan selepas pemilik premis terbabit membuat aduan polis dengan mendakwa beberapa barangan hilang selepas Jamal dan pengikutnya melakukan serbuan terbabit.

Jamal ditahan di rumahnya di Ampang sebelum dibawa ke IPD Ampang Jaya manakala sembilan pengikutnya ditahan malam sebelumnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan pembebasan Jamal termasuk sembilan pengikutnya.

“Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin,” ujarnya. - http://www.utusan.com.my

Friday, February 3, 2017

Minyak: Banding harga ikut pendapatan

Sesiapa yang kata murah, tidak bercakap benar atau tidak faham kaitan di antara kuasa membeli (purchasing power) dengan harga pengguna.

Mahal murah sesuatu barang bukan pada harganya, tapi kemampuan pengguna.

Kemampuan pengguna pula bergantung kepada pendapatan.

Atas dasar itu, harga bagi banyak barang pengguna di Malaysia mahal berbanding negara kaya.

Ia menjadi lebih mahal apabila nilai ringgit merudum kerana banyak barang yang kita guna, diimport.

Harga seliter petrol RON 95 di negara kita baru naik 20 sen atau hampir 10 peratus kepada RM2.30 pada 1 Februari.

Bagi penduduk Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) anggaplah ini hadiah Hari Wilayah daripada menteri anda, Datuk Seri Adnan Mansor.

Per kapita kita rendah
Pada harga itu, petrol di Malaysia lebih mahal daripada Singapura, Australia dan banyak negara kaya di dunia.

Pendapatan per kapita nominal rakyat Malaysia AS$10,878 dan harga minyak dalam dolar Amerika yang perlu dibayar, AS$0.51 seliter.

Pendapatan per kapita nominal rakyat Singapura AS$53,053 dan harga minyak dalam dolar Amerika AS$1.44 seliter.

Pendapatan per kapita nominal rakyat Australia AS$51,593 dan harga petrol AS$0.83 seliter.

Nak lebih mudah faham, saya katakan macam ini. Pendapatan seorang rakyat Singapura AS$50 dan dia kena bayar AS$1.44 untuk seliter.

Pendapatan seorang rakyat Australia lebih kurang sama dengan Singapura dan dia bayar hanya AS$0.80 seliter.

Tapi seorang rakyat Malaysia yang pendapatannya AS$10 kena bayar AS$0.51 seliter.

Pendapatan per kapita nominal Singapura 4.9 kali lebih tinggi daripada Malaysia, tapi harga minyak di Singapura hanya 2.82 kali lebih tinggi daripada di Malaysia.

Pendapatan per kapita nominal rakyat Australia 4.7 kali lebih tinggi daripada Malaysia, tapi harga minyak di Australia hanya 1.62 kali ganda lebih mahal daripada Malaysia.

Kalau harga minyak di Singapura 4.9 kali ganda lebih mahal daripada di Malaysia barulah kita kata harga di Singapura mahal dan harga di Malaysia murah.

Beban harga minyak
Jadi berdasarkan pendapatan, rakyat Malaysia terpaksa belanja lebih banyak pendapatan mereka untuk beli petrol berbanding rakyat Singapura dan Australia.

Singapura dan Australia dekat lima kali ganda lebih kaya daripada Malaysia.

Begitu jugalah kalau kita banding dengan banyak negara yang selama ini pemakan dedak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kata harga petrolnya mahal.

Sebenarnya berdasarkan tahap pendapatan per kapita kita, sama ada nominal atau mengikut Pariti Kuasa Membeli (PPP), harga bagi banyak barang pengguna di negara kita lebih mahal daripada Singapura dan negara-negara maju lain.

Maksudnya kalau kita belanja 100 unit mata wang yang serupa untuk membeli-belah di Malaysia, Singapura dan Australia, kita akan dapat lebih banyak barang di Singapura dan Australia.

Tapi kalau kita banding diri kita dengan negara yang lebih rendah pendapatan per kapita macam Indonesia, Filipina dan Thailand, betullah harga petrol kita lebih murah.

Harga minyak mentah di pasaran dunia semakin naik. Itu kita tak nafi. Malah baik untuk kita kerana kita eksport minyak mentah. Tapi kenaikannya tidaklah sampai 9.5 peratus macam kenaikan harga petrol pada 1 Februari lalu.

Alasannya, harga runcit petrol kita bukan berasaskan harga minyak mentah tapi harga minyak yang diproses. Macam-macam pulalah alasan jenis dedak yang digunakan untuk tipu rakyat jelata.

Selain kenaikan harga minyak mentah, kita juga tanggung beban kejatuhan kadar tukaran ringgit. Nilai ringgit sudah merosot lebih 20 peratus berbanding dolar.

Lagipun kita tak boleh banding dengan Singapura. Ia negara kecil. Rakyatnya kurang guna kenderaan sendiri. Mereka guna kenderaan awam. Kalau mereka guna kereta pun, jarak dari satu tempat ke satu tempat tidaklah jauh macam di Malaysia.

Jadi kalau kita kira semua faktor, khususnya tahap pendapatan, kita akan dapati harga petrol di negara kita tidaklah murah malah mahal.

Lagi mahal petrol dan lagi tinggi kos sara hidup lagi ramailah orang yang tak mampu duduk di bandar atau guna kereta. Lagi ramai duduk jauh dari bandar dan guna motosikal lagi ramailah mati atau cedera akibat kemalangan jalan raya.

Itulah yang sudah jadi dengan janji rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Wednesday, February 1, 2017

Sempadan: Mengapa Terus Bolos?

ANEH dan terkejut. Dua perkataan ini cukup menggambarkan bagaimana saya merasa amat pelik dengan isu penyeludupan yang masih berlaku di kawasan sempadan terutama di Padang Besar, Perlis dan Wilayah Satun, Thailand.

Bagi saya ini adalah satu isu lama yang sepatutnya tidak lagi berlaku. Bukan sekali dua pihak media khususnya Utusan Malaysia mendedahkan betapa mudahnya sempadan negara kita dibolosi tetapi sudah berkali-kali.

Sebab itu saya merasa hairan bagaimana isu ini masih gagal ditangani dengan berkesan oleh pihak berkuasa. Apa pun sekalung tahniah diucapkan kepada Mingguan Malaysia yang secara eksklusif menyiarkan isu tersebut demi menyelamatkan Malaysia tercinta.

Sebenarnya pelbagai telahan dan persepsi bermain di fikiran saya apabila membaca laporan khas itu kelmarin. Bermacam-macam persoalan yang timbul dan saya merasakan setiap satunya perlu dijawab secara jujur oleh pihak berkenaan.

Saya juga yakin mustahil para pegawai dan anggota penguat kuasa khususnya Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) tidak tahu tentang kewujudan masalah penyeludupan itu serta kerosakan yang berlaku pada pagar dawai pemisah (akibat dipotong) bagi memudahkan kerja-kerja penyeludupan dijalankan.

Lebih menyedihkan lagi, penyeludupan turut berlaku berhampiran kawasan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di kedua-dua negara. Perlu diakui laporan khas yang disiarkan ini benar-benar membuka mata saya iaitu betapa longgarnya kawalan keselamatan di sempadan walaupun sudah berkali-kali didedahkan.

Penyeludupan bukan sahaja melibatkan barangan kawalan tetapi turut membabitkan barangan larangan seperti senjata api dan dadah. Saya tidak tahu apakah punca keadaan ini boleh berlaku? Adakah berpunca daripada sikap pegawai penguat kuasa kita atau disebabkan kelemahan sistem?

Dalam isu ini saya lebih menyalahkan sikap pegawai penguat kuasa. Seperti yang saya katakan sebelum ini, mustahil mereka tidak tahu kerja-kerja penyeludupan itu.

Seperti yang disebut oleh laporan khas berkenaan, laluan utama penyeludup turut dibina kubu dan pos pengawal pasukan keselamatan tetapi tiada anggota yang berada di lokasi terbabit. Persoalannya, mengapa tiada anggota yang bertugas di lokasi tersebut?

Oleh itu rakyat tidak boleh dipersalahkan sekiranya timbul rasa curiga tentang keupayaan anggota dan pegawai penguat kuasa kita menjalankan kerja-kerja penguatkuasaan di kawasan sempadan. Itu yang kadang-kadang saya terfikir adakah pegawai dan anggota penguat kuasa kita ini berhadapan dengan masalah integriti?

Jika ya, sesuatu langkah drastik perlu dilakukan. Pihak kerajaan terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bertindak segera bagi mengatasi masalah tersebut. Kementerian terbabit perlu memulihkan situasi itu sebelum keadaan menjadi semakin parah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dilibatkan sekali dalam usaha berkenaan jika terdapat unsur-unsur rasuah dan penyelewengan. Isu ini adalah isu serius dan perlu ditangani dengan berkesan.

Hakikatnya, kita sedang membincangkan soal keselamatan yang tidak boleh sesekali dikompromi, Awas, jangan nanti Malaysia menjadi sarang pengganas dan penjenayah kejam disebabkan kawasan sempadan yang mudah dibolosi!

Untuk makluman semua sebelum disiarkan laporan khas itu, Utusan Malaysia pernah menyiarkan laporan khas yang sama pada 31 Oktober 2015. Dalam laporan khas tersebut pihak wartawan dan jurufoto bertugas mendapati kerja-kerja penyeludupan itu dilakukan secara terang-terangan dan itu telah menimbulkan 1,001 persoalan terutama berkaitan dengan soal penguatkuasaan di sempadan.

Mereka juga berjaya mengesan 10 lubang di pagar sempadan di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang memisahkan antara Padang Besar, Malaysia dan Padang Besar, Thailand. Semua lubang itu digunakan untuk menyeludup barangan setiap hari.

Bayangkan selepas setahun lebih laporan khas ini disiarkan keadaan serupa masih tidak berubah. Penyeludupan masih berlaku di sana sini walaupun ada kawalan dijalankan. Sudah tiba masanya isu ini diberikan perhatian serius oleh kerajaan dalam usaha memastikan keselamatan negara ini terus terjamin.