nuffnang

Monday, January 23, 2017

Arena Axiata...

Jangan dikorbankan nama Putra demi Arena Axiata

BERAKHIRLAH sudah nama Stadium Putra yang dimasyhurkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum Sukan Komanwel 1998 berlangsung untuk memberikan laluan kepada Arena Axiata ekoran termeterainya perjanjian sepuluh tahun dengan peruntukan bernilai RM55 juta.

Keputusan itu seolah-olah nama Putra itu tiada apa-apa nilai sentimental kepada pihak yang me­ngubahnya sedangkan nama asal itu adalah sempena nama Bapa Malaysia dan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra yang telah menabur jasa tidak terkira banyaknya dalam pembangunan sukan negara, apatah lagi negara secara keseluruhannya.

Mat Sport cuba segarkan semula ingatan anda yang mungkin terlupa atau sengaja enggan mengambil tahu bahawa sejarahlah yang membentuk jati diri, asal-usul dan cara atau budaya hidup kita sekarang.

Tunku Abdul Rahman ialah Perdana Menteri pertama kita.

Almarhum juga merupakan anak Melayu pertama yang bergelar Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mulai 1958 hingga 1974; jawatan yang sebelumnya bertukar ta­ngan daripada seorang Mat Salleh kepada Mat Salleh lain sebanyak lapan kali.

Tunku juga warganegara Malaysia pertama yang me­nerajui Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dari 1958 hingga 1977 sekali gus mendorong langkah Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah dan Sultan Ahmad Shah menyandang jawatan berkenaan masing-masing pada 1978-1994 dan 1994-2002.

Begitu besar jasa Tunku namun di mana lagi gelanggang sukan di Malaysia yang dinamakan sempena nama Almarhum selain Stadium Putra di Bukit Jalil itu?

Jangan salah faham! Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban dinamakan bersempena Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertuan Agong pertama Malaysia. Ejaan Tuanku pun berbeza.

Adakah hanya wang ringgit yang mempengaruhi pertimbangan kita sekarang atau ‘only dollars and cents make any sense now’? Nilai sejarah dan jasa tokoh?

Mungkin bagi sesetengah pihak, hanya re­levan bagi mereka yang hidup dalam zaman silam dan yang mahu dibuai oleh kenangan demi kenangan yang tidak berkesudahan.

Perlukah kita meniru Pusat Staples, Los Angeles; Arena 02, London atau Arena Mercedes Benz, Shanghai atau Arena Allianz, Munich dan Stadium Emirates, London milik Arsenal?

Kajilah mengapa gelanggang sukan berkenaan dinamakan sedemikian. Jika bukan kerana syarikat korporat itu melabur berbilion-bilion wang sejak pembangunan awalnya atau ketika kerja-kerja pecah tanahnya lagi, mana mungkin jenama mereka boleh dimasyhurkan sebegitu.

Apalah salahnya kalau nama Putra itu dikekalkan sekali dengan nama baharu yang berbunyi Arena Putra-Axiata. Janggalkah kalau begitu? Yang lama dilupa jangan, yang baharu kita majukan.

Bohonglah kalau hendak dikatakan wang itu tidak penting dalam hidup ini tetapi mengapa sehingga kita sanggup membuang nama negarawan kita ini.

Salah bagi sesiapa yang cuba berkata: “Apalah ada pada nama.” -

Oleh :  Mat Sport

Sunday, January 22, 2017

Apa Dah Jadi Dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan...!

UniKL iktiraf UEC bagi syarat kemasukan

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa menjelaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke universiti tersebut.


Beliau berkata walaupun di bawah kendalian Mara, UniKL adalah institusi pengajian tinggi swasta yang telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menerima permohonan pemegang sijil tersebut.

"Ramai yang terlepas pandang dan menyangka UniKL sebuah univesiti awam kerana ia di bawah Mara tetapi sebenarnya ia IPTS. Saya sudah periksa polisi UniKL dan sememangnya kita dibenarkan mengambil lulusan UEC dan pensijilan antarabangsa lain seperti O-Level," katanya selepas melawat Pusat Pembelajaran Permai di Ampang.

Justeru, Annuar menggalakkan lepasan UEC untuk memohon pelbagai jurusan yang ditawarkan oleh UniKL termasuk Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) yang menjadi fokus utama universiti itu.

"Semua lepasan UEC ini merupakan pelajar yang berkualiti dan kita harap penjelasan ini akan membuka mata mereka untuk melanjutkan pelajaran di UniKL.

Daripada pergi ke Taiwan dan negara lain, ambil peluang belajar di sini kerana kita ingin lihat kepelbagaian latar belakang," katanya.

Sijil UEC adalah peperiksaan yang dikendalikan oleh badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.

KPT sebelum ini memaklumkan pengiktirafan sijil itu hanya terpakai sebagai syarat kemasukan ke universiti swasta dan bukan universiti awam kerana kurikulumnya tidak memenuhi keperluan Dasar Pendidikan Kebangsaan.- www.malaysiakini.com

Kerajaan belum iktiraf UEC, tegas KPT
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini menegaskan pengiktirafan kerajaan terhadap Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) masih di peringkat perbincangan, belum dimuktamadkan.

Dalam kenyataannya, KPT memberi maklum balas sedemikian sebagai merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon yang dipetik sebagai berkata UEC akan diiktiraf 'tidak lama lagi'.

“Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh telah mengadakan pertemuan tidak rasmi, pada bulan Mac, dengan pelaksana UEC di Kuching untuk meninjau pandangan mereka dan membincangkan hal tersebut.

“KPT mahu menekankan bahawa dasar semasa masih diguna pakai, dengan UEC harus menerima syarat semasa kementerian untuk kemasukan ke dalam universiti awam,” jelas kementerian itu.

UEC adalah ujian standard untuk pelajar sekolah tinggi persendirian Cina anjuran Dong Zong, Gabungan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Sekolah Cina Malaysia (UCSCAM).

Semalam, gerakan penyokong sekolah satu aliran mengeluarkan kenyataan bagi membantah sebarang usaha untuk mengiktiraf UEC.

Pengerusi gerakan Sistem Sekolah Satu Aliran Demi Perpaduan (SERAP), Shahril Hamdan menggesa Chong agar menjelaskan perkara itu.

“Kami menentang sekeras-kerasnya hal ini dan kami mahu Chong menjelaskan sama ada kenyataannya itu berdasarkan harapan sendiri atau sememangnya ianya telah dipersetujui oleh pihak kerajaan,” kata Shahril dalam kenyataannya.

Shahril, yang juga ahli majlis eksekutif Pemuda Umno berkata, Chong harus menyedari UEC tidak menggunakan kurikulum nasional dan telah menggunakan kurikulum Taiwan selain diuruskan oleh Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), berbanding kerajaan.
Baru-baru ini, kerajaan negeri Sarawak secara prinsipnya bersetuju mengiktiraf UEC sebagai syarat untuk berkhidmat dengan perkhidmatan awam dan pusat pengajian tinggi awam negeri Universiti Malaysia Sarawak.

Langkah itu menjadikan negeri pertama mengiktiraf sijil yang dikeluarkan oleh Sekolah-sekolah Menengah Bebas Cina (MICSS) itu.

Putrajaya sebelum ini tidak menerima UEC sebagai syarat untuk menyertai institusi awam, kerana ia dikatakan gagal mengikuti dasar-dasar dan kurikulum sistem pendidikan kebangsaan.

Saturday, January 21, 2017

Peniaga Jual Kuih Guna Matawang Yuan ¥ Di Forest City, Johor

PENIAGA di Forest City Johor didakwa menjual kuih menggunakan matawang Negara China, Yuan. Sekeping gambar yang dikirim di Twitter berhubung perkara itu, oleh pengguna Twitter bernama Zata menjadi viral di media sosial.

Seorang pengguna lain pada awalnya meluahkan rasa tidak senang melihat papan tanda "Jangan pijak rumput" dalam bahasa Cina, sambil mendakwa Johor Baharu sedang dijual kepada pelabur-pelabur dari Negara China.

"I hate that JB is being sold off to mainland China investors. How ridiculous it is that you need Chinese signboards for 'don't step on grass', " tulis Iman Tanita Al Ghul di akaun Twitter miliknya.

Tweet itu kemudian dibalas oleh Zata beserta satu gambar yang didakwa diambil pada September tahun lalu (4 bulan lepas) di Forest City, Johor Baharu menunjukkan peniaga menjual kuih dengan memaparkan harga dalam matawang Yuan yang digunakan di Negara China.

Perkara itu menimbulkan perbualan hangat di media sosial. Ini menggambarkan seolah-olah begitu ramai warga China berada di Forest City pada waktu ini sampaikan peniaga boleh gunakan matawang Yuan untuk berniaga.

Jika kuih di Forest City dijual dengan harga mengikut Dollar Singapura, SDG masih boleh difahami kerana Negeri Johor memang terletak begitu hampir dengan Singapura.

Sama seperti di Golok, Thailand — Rantau Panjang, Kelantan contohnya, peniaga menerima matawang Ringgit Malaysia, RM atau Thailand Baht dalam transaksi perniagaan kerana lokasi premis terletak di sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Sebelum ini Tun Mahathir meluahkan kebimbangannya mengenai pembangunan di Forest City, Johor yang didakwa membina bangunan pencakar langit untuk menempatkan lebih 700,000 warga asing dari China memandangkan harga rumah yang dibina sangat mahal lebih RM1,000,000 sekaligus menjadikannya mustahil untuk dibeli dan dipenuhi oleh warga tempatan.
Sumber : http://www.milosuam

Tuesday, January 17, 2017

Pembangunan JB

1. Saya tidak tahu samada benar atau tidak cabaran yang dilontarkan
oleh DYMM Sutan Johor terhadap saya berkenaan pembangunan JB.

2. Mungkin hanya akhbar The Star yang mentafsirkan apa yang dititah DYMM Tuanku sebagai melontarkan cabaran terhadap saya.



3. Tetapi selagi DYMM Tuanku tidak menafikan mencabar saya, saya akan anggap laporan The Star sebagai benar.

4. Saya mengaku bahawa saya berada di dalam keadaan yang agak lemah. Sementara sesiapa sahaja boleh berkata apa-apa terhadap saya, dan saya mengambil sikap terbuka terhadap kebebasan mereka berbuat demikian, saya harap di dalam menjawab terhadap cabaran DYMM Tuanku, saya tidak akan dipenjara tanpa bicara. Jika perbicaraan dapat diadakan, silalah tangkap saya.

5. Apakah yang telah diperkatakan oleh saya? Tidak lebih daripada apa yang dilaporkan Bloomberg di dalam akhbar. Tetapi saya boleh terima kenapa laporan Bloomberg tidak akan dicabar atau dinafikan.

6. Apakah yang diperkata oleh Bloomberg di dalam laporannya pada 22hb November lepas? Ia mengatakan yang sebuah syarikat dari China akan membangunkan Forest City yang akan memuatkan 700,000 penduduk. Ianya juga melapor bahawa orang Cina dari China diterbangkan untuk melihat pameran model sebesar manusia (bergambar) dan mereka ini sudah, malahan akan membeli kebanyakan hartanah di Forest City.

7. Saya tidak fikir ramai Melayu atau Cina Johor telah beli atau akan beli apartment ini. Malaysia tidak mempunyai penduduk yang begitu ramai untuk membeli kesemua hartanah ini.

8. Bloomberg, di dalam laporan yang sama turut menyatakan tentang 60 pembangunan lain yang mirip Forest City, dan ini juga sedang dijual kepada rakyat tanah besar China.

9. Melihat kembali pada tahun 1819, apabila Sutan Johor, Sultan Ali tidak mahu memajak Singapura kepada British, Temenggung telah menandatangani pajakan tersebut. Lihatlah Singapura hari ini. Sebahagian daripada Johor kini adalah negara asing – memanglah ia dibangun dengan mudah, tetapi ia tetap negara asing.
10. Lebih sejuta rakyat asing akan tinggal di Forest City JB dan 60 pembangunan lain disekitarnya. Semua tempat baru ini tidak akan menjadi negara asing tetapi akan mengandungi peratus orang asing yang tinggi. Jika mereka tinggal untuk satu tempoh yang lama yang ditetapkan, mereka layak untuk menjadi rakyat Malaysia.

11. Ya, saya yang mempromosi Pelaburan Langsung Asing (FDI – Foreign Direct Investment). Tetapi ianya bukan bertujuan membeli tanah di Malaysia, membangunkannya dan menjualnya kepada rakyat asing, yang akan tinggal di sana.

12. FDI ialah berkenaan pelaburan di dalam industri pembuatan. Syarikat Malaysia akan membina bangunan dan rakyat akan bekerja di dalam industri-industri tersebut. Mereka akan mempelajari kemahiran dan akan memulakan perniagaan pengeluaran barangan mereka sendiri.

13. Kontraktor Malaysia berkebolehan membina pelbagai jenis bangunan dan memajukan tanah. Kita tidak perlu orang asing untuk ini. Lihatlah Malaysia hari ini. Sembilan puluh peratus atau lebih daripada bangunan baru ini dan pembangunan lain dibuat oleh syarikat Malaysia. Majoriti pembeli juga rakyat Malaysia dan mereka juga bermastautin di situ.

14. Tetapi apabila rakyat asing beli tanah, tidak terdapat aliran masuk wang pun. Kebanyakan sumber kewangan dipinjam dari dalam negara. Dan mereka juga boleh berniaga dengan menggunakan bank mereka sendiri.

15. Apa sahaja pendapatan syarikat asing ini perolehi akan dihantar pulang dan menyebabkan pengaliran keluar wang. Apabila diperkenalkan skim di mana pembeli boleh beli hartanah di negara China dan mendapat satu unit rumah pangsa atau rumah secara percuma di Malaysia, tidak akan ada keuntungan yang dibuat di Malaysia dan Kerajaan Malaysia tidak akan mendapat hasil cukai.

16. Benarkanlah semua transaksi dibuat dengan telus. Terbitkanlah semua dokumen berkaitan pelaburan, jumlah pekerja asing, negara asal mereka, pembeli, bank yang menyediakan pinjaman serta kesemua penghantaran balik wang keluar. Keluarkanlah ini dengan jujur. Jangan berselindung. Janganlah pulak disuruh seseorang yang bernama Tunku Aziz untuk mengesahkannya. Mungkin dia ini pada satu masa mengetuai Transparency International, tetapi dia menerima tanpa belah bagi rompakan dan rasuah yang terjadi dalam 1MDB.

17. Jadi biarlah Transparency International yang benar-benar “International” memeriksa dokumentasi rasmi yang dikeluarkan. Biarkan rakyat meneliti dokumen tersebut untuk buktikan kesahihannya.

18. Pandang ke Timur bukan bermakna mengajak negara-negara di Timur membeli tanah di Malaysia, membangun dan menjual kepada rakyat dari negara-negara mereka. Ya, kita menggalakkan orang asing untuk jadikan Malaysia rumah kedua mereka (Malaysia My Second Home). Tetapi jumlah mereka ini sedikit. Dasar Pandang ke Timur bukan untuk membenarkan migrasi secara besar-besaran melibatkan ratusan ribu. Ianya adalah untuk rakyat Malaysia mempelajari bagaimana negara-negara di Timur ini membangun dan memajukan negara mereka.

19. Mudah sekali untuk menuduh saya ini racist, atau bersikap perkauman. Sebelum ini pun saya pernah digelar Malay ultra.

20. Label atau panggilan serta usaha untuk memburukkan imej ini lebih menunjukkan kegagalan untuk mematahkan apa yang saya buat atau katakan.

21. Ia mencerminkan ketiadaan asas untuk hujah bagi melawan hujah saya.

22. Ini adalah negara berbilang kaum. Rakyat berlainan keturunan, bahasa, agama, budaya dan pencapaian ekonomi telah tinggal dengan aman.

23. Di banyak negara, hanya kerana perbezaan interpretasi yang sedikit pada agama yang dianuti bersama menyebabkan pergaduhan dan peperangan. Tetapi Malaysia stabil dan aman.

24. Ianya stabil dan aman kerana kita terima keadaan sesama kita. Selama 22 tahun saya jadi Perdana Menteri, tidak terdapat pergaduhan kaum yang serius. Konflik ada. Tetapi tanpa keganasan. Dan negara dapat dibangun.

25. Jika saya amalkan perkauman, zaman saya akan terlihat ketidaktentuan dan kemuduran di negara ini.

26. Sesiapa boleh pertikai apa yang saya katakan. Itu hak demokratik sesiapa.

27. Saya cabar The Star untuk siarkan apa yang saya katakan ini secara keseluruhan. Tanda ketakutan Kerajaan terhadap kebenaran boleh digambarkan dengan sejauhmana media arus perdana dikawal.

28. Saya terima jika penulisan ini tidak disiarkan sama sekali kerana kita hidup di dalam sebuah negara kleptocratic di mana kebenaran merupakan satu bala, hanya boleh dibisik tetapi tidak boleh diperkatakan secara terus terang.

29. Saya rakyat Malaysia yang dilahirkan di Kedah.

30. Malaysia adalah rumah saya dan objek kesetiaan saya. Jika saya harus dituduh sebagai penderhaka kerana apa yang saya perkatakan, tuduhlah.

Dr Mahathir bin Mohamad
16 Januari 2017

Sunday, January 8, 2017

PBT Yang Tidak Amanah

SPRM tolong pantau PBT
SAYA ingin merujuk dakwaan oleh Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkaitan beberapa pusat judi haram yang beroperasi di sekitar Sekinchan dan beberapa kawasan lain di Selangor sejak beberapa tahun lalu,

Mereka yang tinggal atau bekerja di Selangor tentu perasan peningkatan mendadak pusat judi haram (kafe siber gelap), pelacuran (rumah urut) dan kedai-kedai menjual arak (kedai runcit) di negeri tersebut sejak kerajaan negeri beralih tangan pada 2008.

Saya tidak mahu berpihak kepada sesiapa atau menuduh mana-mana pemimpin politik menjadi ‘kepala’ kepada kebanjiran pusat maksiat ini tetapi saya berharap pihak berkuasa dapat bertindak demi kepentingan awam dan bukan kepentingan individu politik.

Kepincangan jelas berlaku sepanjang hampir 10 tahun pemerintahan baharu tetapi seolah-olah tiada langsung tindakan terhadap pihak pentadbiran khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) mengundang tanda tanya adakah mereka ini ‘kebal’?

Tanpa mengambil kira ideologi politik, saya melihat hanya pihak polis yang bertindak selama ini hasil aduan orang ramai terhadap pusat maksiat terbabit dan itu pun jika tiada campur tangan pemimpin politik.

Pihak PBT nampaknya lepas tangan sepenuhnya dalam hal-hal sedemikian sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) langsung tidak nampak ‘bayang’.

Saya harap kepimpinan baharu SPRM mengambil berat isu ini kerana kesannya berangkai dan boleh menjejaskan masa depan generasi pewaris negara.

Jika pihak PBT, SPRM, polis mahupun mana-mana pihak berkuasa lain perasan, tindakan Jamal disokong orang ramai sekalipun mereka tidak menyokong ideologi politiknya.

Ini menunjukkan orang ramai sudah muak dengan drama amaran ‘tindakan tegas’ sedangkan pusat maksiat semakin bercambah.

Pada tahap ini, rakyat Selangor cuma mahu pusat-pusat maksiat ini ‘dimusnahkan’ tidak kira oleh pihak berkuasa ataupun pihak lain.

Satu-satunya cara untuk mengekang sepenuhnya aktiviti jenayah ini adalah campur tangan SPRM dalam mengesan pegawai mahupun orang politik yang melindungi aktiviti maksiat di negeri tersebut.

Jika itu pun tidak boleh dilaksanakan, nampaknya rakyat hanya boleh meminta bantuan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk ‘menjentik’ pihak berwajib agar bertindak.

Teruna Kacak
Gombak, Selangor

Wednesday, January 4, 2017

Kenapa Lelaki Sukar Menyatakan I Love You?

WANITA tampaknya lebih mudah mengatakan cinta kepada pasangannya, tapi nampaknya tidak begitu halnya dengan para lelaki. Mereka kelihatan begitu kesulitan jika mengungkapkan perasaannya.

Berikut ini beberapa alasan kenapa lelaki sukar mengatakan "I love you" kepada pasangannya....

Dia berfikir tindakannya sudah mencerminkan perasaannya
Biasanya jika pasangan anda tidak mengatakan tiga kata tersebut kerana merasa hal tersebut tidaklah penting dan perlu untuk dilakukan. Fakta bahawa dia tidur, makan dan tinggal bersama anda, serta caranya melayan dan memandang anda dirasa sudah cukup menunjukkan komitmen dan perasaannya.

Tidak dapat mencari kata-kata atau waktu yang tepat
Pasangan tidak mengatakan cinta kerana tidak termasuk konteks yang ideal atau momen yang tepat. Dia tidak membayangkan mengatakan cinta kepada anda ketika makan atau hangout dengan teman-teman. Jika ingin mengungkapkan cinta, lelaki menginginkan suasana yang romantis, seperti naik gondola di Venice, jalan-jalan ke Niagara Falls atau bulan madu di Honolulu.

Sudah pernah mengatakannya
Anda boleh setiap hari, bermula dari hari Isnin hingga Ahad, selalu mengatakan cinta pada pasangan. Tapi jangan terkejut jika dia tidak melakukan hal serupa. Lelaki merasa jika dia sudah sekali mengatakan cinta dan mendedahkan seluruh isi hatinya pada anda, maka dia tidak perlu mendedahkannya lagi. Terpenting, anda sudah mengetahui dan memahami perasaannya.

Tidak percaya diri
Jika pasangan adalah lelaki pemalu dan cenderung tidak percaya diri, ini boleh difahami. Tapi ada salah satu penyebab yang membuat lelaki tak mampu menyatakan cinta, iaitu jika anda membanding-bandingkan dirinya dengan bekas pasangan.

Takut anda tidak mempunyai perasaan yang sama
Lelaki punya beberapa sifat yang mirip wanita. Mereka takut menyatakan cinta pada orang yang disukai, namun ternyata orang tersebut tidak mempunyai perasaan yang sama dengannya. Jika anda sendiri pernah takut menyatakan cinta pada orang lain, jangan terkejut bila lelaki juga sama.

Menyatakan cinta membuatnya terdedah
Ketika anda menolak cintanya, mungkin dia merasakan nantinya akan memberikan kesan sebagai sosok yang lemah, mudah terluka, bergantung pada orang lain, terdedah, dan lain-lain.

Takut anda melarikan diri
Jika anda adalah wanita yang ultra-bebas, dia takut bahawa kalimat cinta tersebut boleh menakut-nakutkan anda dan membuat anda "pergi" darinya.

Benci diberi tekanan
Mungkin dia memerlukan masa untuk menyebutkan tiga kalimat super tersebut, jadi jangan memaksanya. Jika anda berharap suatu hari dia akan mengatakan cinta pada anda, cuba untuk tidak memaksanya.

Alergi terhadap komitmen
Dia berhati-hati dan mengelakkan untuk bilang cinta kerana takut atau tidak mahu komited dulu. Dia belum membayangkan masalah tunangan, berkahwin, dan punya anak kerana masih memikirkan kariernya.

Dibatasi oleh pendidikan
Mungkin ketika kecil, pasangan tidak pernah belajar dan diajar untuk mengungkapkan perasaan dan emosinya. Dia mungkin diajarkan bahawa anak laki-laki tidak boleh menangis atau menunjukkan apa yang ada dalam hatinya. Inilah masanya untuk membuktikan bahawa perkara itu salah.

Anonymous

Isyarat Hatinya Berpaling Dari Anda

MENJALANI hubungan rumah tangga bukanlah perkara yang mudah bagi pasangan suami-isteri untuk memertahankan hangat setiap harinya. Kesempatan untuk curang kerap timbul dalam benak masing-masing pasangan. Bagaimana cara mengetahui pasangan mulai curang?

Kecurangan tidak hanya berlaku pada mereka yang masih menjalin hubungan kekasih, tapi juga terdedah berlaku bagi pasangan suami-isteri. Khususnya bagi isteri yang belum genap melewati masa lima tahun, biasanya ancaman tersebut banyak menghantui.

Untuk membendung godaan tersebut, anda pun harus mulai berhati-hati jika tidak mahu rumah tangga yang anda jalin mengalami keretakan. Berikut ada beberapa isyarat, jika pasangan sudah mula curang dibelakang anda....

Berlaku perubahan pada kehidupan seksual anda
Entah kenapa, intensitas kegiatan seksual anda bersama suami menjadi berkurang. Jika anda mengalaminya, pastikan untuk segera mencari tahu apa yang terjadi pada pasangan anda, kerana hal tersebut membolehkan jika pasangan sudah mula bosan dan mencari sensasi seksual di luar hubungan perkahwinan anda berdua.


Mendadak rajin merawat tubuh
Jika anda memperhatikan adanya perubahan terhadap penampilan pasangan, itu boleh menjadi salah satu tanda ia sedang berlaku curang di belakang anda. Ketika pasangan tiba-tiba mulai rajin merawat diri, itu akan menjadi alasan klise yang dia nyatakan bahawa perubahan tersebut untuk diri anda. Mula perhatikan tingkah lakunya.

Pulang kerja lewat
Seringkali, tanda kecurangan dapat diketahui dengan terlambatnya ia pulang kerja. Ketika pasangan tiba-tiba sering terlambat pulang ke rumah, perkara tersebut boleh menjadi salah satu petanda ia melakukan kecurangan. Cuba ajak pasangan untuk bertemu setelah pulang kerja, dan lihat reaksinya, jika ia mempunyai seribu alasan maka anda pun wajib mewaspadainya.

Kemarahan yang dijelaskan
Ketika anda tiba-tiba marah, atau pasangan marah, lalu pasangan berusaha sekuat tenaga untuk menjelaskannya pada anda, hal tersebut boleh dicurigai. Kerana, jika masalah yang membuat anda marah bukanlah perkara besar, dan ia cuba untuk menenangkan anda, itu boleh disebabkan kerana ia merasa ada ketidakselesaan atau merasa bersalah pada anda

Anonymous

Monday, January 2, 2017

Perundangan Malaysia Semakin Lemah?

BEBERAPA hari lalu saya dihujani pelbagai soalan daripada ibu bapa dan saudara-mara di kampung berkaitan bermacam-macam dakwaan terhadap kerajaan khususnya tentang negara akan muflis dalam masa terdekat.

Khabar angin dan berita palsu disebar pantas melalui mesej WhatsApp kalangan penduduk kampung yang tidak pandai menggunakan media sosial lain seperti Facebook dan Twitter.

Nampaknya pihak berkuasa khususnya jabatan dan agensi kerajaan berwajib terlalu mengambil mudah kesan penyebaran berita palsu dan fitnah dengan tanggapan penduduk kampung tidak mungkin dipengaruhi.

Saya sendiri sudah letih menjelaskan fakta sebenar kepada saudara-mara di kampung kerana mereka akan terus dikelirukan dengan kebanjiran tanpa henti pelbagai berita dan fakta palsu.

Walaupun ada tindakan diambil untuk mengekang penyebaran berita palsu dan fakta salah kepada orang ramai, keadaan dilihat semakin teruk.

Berbeza dengan negara lain khususnya negara maju, penggunaan media sosial di Malaysia sudah terlalu tepu ke arah menyebar dakyah politik termasuk menghasut orang ramai membenci kerajaan menggunakan maklumat palsu dan fakta yang diputar belit.

Itu belum mengambil kira tindakan tanpa segan silu memainkan isu kaum dan agama demi laba politik.

Dalam kebanyakan kes, hanya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak menahan individu atau kumpulan yang mencipta atau menyebar berita palsu tersebut.

Namun, individu mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit seolah-olah terlindung daripada sebarang tindakan perundangan sama ada melalui penangguhan perbicaraan atau sekadar denda ringan sahaja.

Dalam kes penyebaran berita palsu, fitnah dan fakta songsang, jarang sekali kita mendengar individu yang mencipta atau menyebarkannya dikenakan tindakan tegas khususnya melarang mereka menggunakan media sosial untuk satu tempoh panjang.

Adakah ini menunjukkan sistem perundangan negara khususnya pendakwa raya sudah terlalu lemah dan tidak dapat mengambil tindakan terhadap pelaku tersebut?

Mungkinkah kita sudah kekurangan peruntukan undang-undang untuk bertindak selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan atau pasukan pendakwa raya tidak sehebat barisan peguam yang melindungi penjenayah?

Atau mungkin kerana pasukan pendakwa raya lebih takut dilabel sebagai menindas penentang kerajaan daripada mengekang perbuatan menghasut dan menggugat keharmonian masyarakat?

Kerajaan kita bukan seperti di negara jiran yang sanggup menyaman seteru mereka sehingga muflis! Maka, tidak sepatutnya mana-mana pihak dalam kerajaan khuatir dilabel sedemikian rupa.

Kita juga tahu ada sesetengah parti politik yang menggunakan khidmat pasukan ‘penghasut profesional’ untuk memainkan isu-isu bagi memburukkan kerajaan dengan memutar belit fakta sedia ada.

Mereka tidak peduli jika fakta sebenar akhirnya didedahkan kerana tujuan utama adalah mengubah persepsi umum supaya melihat semua dilakukan kerajaan tidak betul atau memudaratkan kepentingan rakyat dan negara.

Di manakah ‘pasukan profesional’ kerajaan dalam menangani pasukan penghasut tersebut? Adakah agensi dan jabatan terbabit tidak mempunyai tenaga pakar secukupnya untuk menangani gerakan memfitnah dan memutar belit fakta secara berterusan?

Saya sebenarnya kasihan kepada PDRM yang tidak henti-henti dicemuh sedangkan kekhilafan dan kelemahan utama berlaku di bahagian pendakwaan di mahkamah.

Bukan sahaja golongan penghasut, nasib Namewee juga kini menjadi tanda tanya. Apa pula tindakan terhadap doktor pelatih yang menghina Yang di-Pertuan Agong Ke-15 baru-baru ini?

Apa tindakan diambil terhadap manusia-manusia yang menghina Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din dan NGO yang menghina Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria?

Adakah ‘sekadar bergurau’ boleh dijadikan alasan melepaskan diri daripada menyebar fitnah dan berita palsu?

Selagi pasukan pendakwa raya tidak sehebat ‘peguam politik’ dalam menegakkan undang-undang, pasukan ‘penghasut profesional’ mahupun mana-mana individu atau NGO yang memfitnah dan memutar belit fakta tidak akan berasa gentar berdepan hukuman mahupun denda.

Jika tiada perubahan segera, saya dan ramai lagi rakyat Malaysia akan hilang kepercayaan terhadap keberkesanan sistem perundangan di negara ini.

Sunday, January 1, 2017

Jambatan Tertinggi Dunia Dibuka

BEIJING - Jambatan ter­tinggi di dunia yang terletak di barat daya China, bakal menjadi kawasan tarikan pelancong terbaharu negara ini selepas dibuka secara rasmi semalam.

Menurut portal berita mirror.co.uk, jambatan yang menelan belanja 114 juta pound (RM625.9 juta) itu dibina merentasi Sungai Beipan untuk menghubungkan bandar Xuan­wei di wilayah Yunnan dan Shuic­heng di Guizhou.

‘Tergantung’ hampir 565 meter di atas gaung, jambatan yang dikenali sebagai Jambatan Beipanjiang berfungsi untuk mengurangkan masa perjalanan selama hampir empat jam bagi pengguna jalan raya yang bergerak ke dua bandar berkenaan.

Jambatan sepanjang 1.33 kilometer dengan infrastuktur canggih serta empat lorong untuk menampung aliran trafik yang tinggi dalam satu masa itu mengambil masa hampir tiga tahun untuk disiapkan.

Baru-baru ini, rakaman video tentang pembinaan jambatan berkenaan yang menular di laman media sosial menunjukkan jurutera bekerja pada ketinggian yang cukup mengerikan.

Selain itu, antara rakaman vi­deo yang menarik perhatian ramai adalah video kerja-kerja memasang struktur keluli yang besar pada jambatan berkenaan oleh sepasukan jurutera berpengalaman.

Video tersebut menunjukkan kumpulan jurutera gigih me­nyambungkan struktur pada sebahagian besar kawasan jambatan yang hampir siap pada ke­tinggian yang menggerunkan dengan suasana kabus tebal.

Selain Jambatan Beipanjiang, China turut memegang rekod memiliki jambatan kedua dan ketiga tertinggi di dunia iaitu Jambatan Sungai Sidu dan Jambatan Puli. - utusan