Monday, February 29, 2016

Kambing Dipecat Majlis Perbandaran

Gara-gara gagal laksana tugas ragut rumput dengan berkesan
SALEM, Oregon - Sekumpulan kambing yang dibeli majlis perbandaran untuk memakan sejenis pokok yang tumbuh liar di sebuah taman popular di sini, dipecat serta-­merta selepas didapati makan secara sembarangan tumbuhan di taman itu sekali gus meningkatkan kos operasi sebanyak lima kali ganda.

Menurut Majlis Perbandaran Salem, peningkatan kos sebanyak lima kali itu menyamai kos melantik seorang pereka landskap.

Lebih memburukkan keadaan, semua 75 ekor kambing jantan dan betina itu menjadikan taman awam tersebut berbau busuk dengan najis di merata-rata tempat.

Penguatkuasa taman bandar itu, Keith Keever berkata, kawanan kambing tersebut sepatutnya meragut pokok Armenian blackberry dan English ivy serta tumbuhan liar lain di kawasan sekitar 485.62 hektar di Minto-Brown Island Park dalam satu program perintis yang diwujudkan akhir tahun lalu.

Bagaimanapun Keever berkata, program itu terpaksa ditamatkan pada bulan November lalu hanya selepas enam minggu berlangsung ekoran kerugian yang ditanggung dan Majlis Perbandaran Salem tiada cadangan untuk menyambung semula program tersebut.

Laporan pekerja perbandaran kepada pihak berkuasa tempatan itu mendedahkan, projek tersebut menelan belanja AS$20,719 (RM87,434) antaranya termasuk AS$4,203 (RM17,736) sebagai kos air minum dan tandas pekerja serta AS$2,560 (RM10,803) untuk pemantauan.

“Kos itu hampir lima kali ganda daripada kos upah seorang kakitangan pengurusan biasa bernilai AS$4,245 (RM10,803) yang menggunakan seorang banduan bagi melakukan kerja-kerja tersebut,” ujar laporan itu.

Pemilik syarikat yang menawarkan khidmat sewaan kambing itu, Yoder Goat Rentals, Rachel McCollum berkata, ternakannya membuat kerja yang bagus dan sambutan orang ramai sangat menggalakkan.

“Kambing saya sangat dialu-alukan pengguna taman kerana selain menyenangkan mereka, kehadiran haiwan berkenaan turut mengindahkan pemandangan,” katanya. – utusan

Saturday, February 27, 2016

8 Cara Menjadi Isteri Dambaan Suami

Sebenarnya menjadi seorang isteri lebih mudah untuk mendapatkan keredhaan dan ganjaran di sisi Allah sekiranya seorang perempuan yang berstatus isteri benar-benar menjalankan tanggungjawab dan peranannya dalam keluarga. Menjadi isteri menuntut waktu kerja 24jam sehari dan 7 hari seminggu. Mana mungkin tugas berat ini diletakkan pada bahu seorang suami. Oleh sebab itu sebagai isteri perlu tahu bagaimana cara untuk menjadi seorang wanita yang menjadi dambaan suami, kerana bidang tugas seorang isteri sebenarnya lebih besar berbanding lelaki walau isteri tidak mendapat kuasa veto dalam keluarga.

Sebagai seorang suami, ciri-ciri di bawah ini akan menjadikan anda wahai isteri-isteri, seorang yang bakal disayangi sepenuhnya oleh suami. Tetapi dengan syarat anda mesti cuba untuk menjadikannya kenyataan.

1. Isteri yang cerdik
Dengan erti kata bukan cerdik dari sudut akademik. Gulungan ijazah bukanlah kejayaan yang perlu anda tonjolkan untuk menjadi isteri dambaan suami. Isteri yang cerdik akan benar-benar mengenali siapakah suaminya, tahu bagaimana mengambil hati suami di waktu sedih, pandai
mengangkat suami di pandangan orang lain, tidak hanya merajuk untuk mendapat perhatian dari suami. Wahai isteri-isteri anda sebenarnya mampu lakukan ini!

2.’Assistant’ dalam pengurusan kewangan keluarga
Jangan menjadi seorang isteri yang hobinya suka shopping. Anda sebenarnya mula memeningkan suami. Lebih-lebih lagi bajet kewangan suami anda adalah di luar kemampuannya. Sebagai seorang isteri andalah yang menjadi pembantu dalam perancangan ekonomi keluarga. Anda mungkin membantu jika anda juga bekerja. Tetapi bagaimana jika anda suri rumah sepenuh masa? Jika anda tidak berkemampuan untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga, biarlah sekurang-kurangnya anda menjadi pengurus yang bijak terhadap bajet bulanan yang diberikan oleh suami anda.

3. Manager dalam segala hal

Suami diberikan kuasa untuk memimpin kerana suami lebih rasional dalam membuat keputusan. Tetapi tidak dapat menguruskan semua perkara tanpa adanya isteri. Maka andalah wahai isteri-isteri yang perlu menjadi ‘manager’. Makan pakai suami, anak-anak, kebersihan rumah, perbelanjaan rumah dan perkara-perkara kecil yang diperlukan dalam kehidupan berkeluarga tidak akan dapat diuruskan tanpa bantuan isteri. Anda perlu mula memahami hakikat ini kerana sekiranya anda mampu menguruskan semuanya dengan cekap dan baik maka sudah pasti apabila suami anda pulang dari bekerja, beliau akan memberikan senyuman yang sempurna kerana menghargai anda.

4. Selalu di belakang suami
Ramai isteri mengharapkan suami berada selalu di samping mereka. Tetapi mereka terlupa bahawa ramai suami lari dari isteri kerana isteri mereka tidak pernah berada di belakang mereka. Seorang isteri perlu menjadi penenang kepada suami, berikan suami kata-kata semangat dan pelukan di saat emosi mereka jatuh. Sekiranya anda mampu berbuat demikian, percayalah bahawa tidak akan ada wanita lain di mata suami anda. Berikan sokongan dan galakan walaupun mungkin ada perbezaan pada minat dan hobi anda berdua.

5. Menjaga perut suami dan anak-anak
Yang ini seharusnya seorang isteri tidak dapat tidak mesti tahu memasak. Bahkan kalau mahukan kasih sayang lebih dari suami kena tahu apa masakan kegemaran suami. Walaupun mungkin masakan anda tidak sehebat masakan chef, tetapi hakikatnya suami tetap mahukan air tangan isterinya dalam menyediakan makanan. Tangan seorang isteri sudah tentu bukan sahaja menyediakan yang terbaik dalam menu untuk keluarganya, tetapi juga sudah pasti isteri yang hebat akan berdoa untuk setiap usaha menyediakan makan minum suaminya.

6. Pandai jaga diri

Isteri perlu pandai jaga diri dan famili. Maklumlah mungkin ada ketikanya suami ‘out station’ kerana berkursus atau atas urusan kerja yang lain. Maka sudah tentu isteri yang pandai jaga diri dan famili akan memberikan kelegaan di hati suami.

7. Perunding imej
Kalau suami anda nampak hensem di pejabat, sebenarnya isterilah yang mendapat pujian. Terutama di pandangan mata orang-orang tua. Sebab itu isteri perlu tahu menjaga imej suami. Bila digelar sebagai perunding imej suami, maka isteri juga perlu lebih-lebih lagi pandai mengurus
imej diri. Jangan hanya nampak cantik ketika berada di luar rumah, sedangkan ketika di rumah baju T-shirt dan kain batik menjadi pakaian utama. Cuba ubah situasi ini jika anda ingin menjadi isteri dambaan suami anda.

8. Menjaga keluarga mertua
Tidak dapat tidak untuk menjadi isteri dambaan suami, jangan hanya menyayangi suami anda akan akan bahagia. Anda perlu menjaga hati semua ahli keluarga sebelah suami anda. Percayalah anda benar-benar menjadi dambaan suami apabila anda mengambil berat tentang sakit demam mertua anda. Anda menjaga mertua anda seperti ibu kandung sendiri. Kerana itu semua akan membuatkan suami anda rasa dihargai dan menerima dirinya dan keluarganya. -Anonymous

Wednesday, February 24, 2016

Jika Ingin Buat Pasangan Melayang Saat Bercinta,

Bisikkan Kalimat Ini di Telinganya
Bercinta dengan pasangan telah menjadi salah satu aktiviti yang dinanti-nantikan baik oleh lelaki mahupun perempuan yang telah berumah tangga. Pelbagai cara dan jalan digunakan untuk meningkatkan keintiman kegiatan ini.

Mulai dari bersenam untuk meningkatkan stamina dan mencari rujukan pada buku-buku mahupun cadangan dari sahabat. Semuanya bertujuan agar hubungan kedua pasangan semakin dekat dan intim.

Nah, selain anda perlu belajar mengenai pelbagai teknik dalam bercinta, anda juga perlu mengetahui kata-kata desahan apa yang sebaiknya diucapkan apabila anda bercinta dengan si dia.

Sebutkan namanya
Belajar mengenai bagaimana terdengar seksi saat berhubungan intim dengan pasangan sebenarnya tak melulu mengenai apa yang anda katakan atau mengenai quotes yang anda pelajari dari tips-tips yang tak sengaja anda baca dari risalah yang anda dapatkan.

Semuanya sebenarnya sudah ada dalam diri anda. Anda tinggal membangunkan bakat-bakat yang ada pada naluri anda untuk digunakan. Cuba berbisik mesra dan menyebutkan namanya apabila anda merasakan bahawa sentuhan yang diberikan oleh pasangan tepat mengenai titik sensual anda.

Jangan pernah ragu untuk menyebut namanya apabila anda dan pasangan anda berhubungan intim, hal ini agar si dia tahu bahawa nama pasangan anda sahaja yang berada dalam fikiran anda apabila kalian tengah bercinta.

Dirty talk
Menyuarakan apa yang anda rasakan ketika anda bercinta dengan pasangan merupakan salah satu cara agar si dia mengetahui bahawa anda menyukai apa yang dia lakukan pada anda.

Kadang hal ini juga boleh dijadikan isyarat oleh si dia bahawa anda mula merasakan sensasi terbang ke awang-awang. Berhati-hatilah untuk tidak terlalu berlebihan dalam hal ini.

Seringkali, justru hal ini akan menurunkan mood pasangan anda. Juga, usahakan untuk jangan berkata kotor, mungkin hal ini bukan masalah bagi anda, tetapi mungkin berbeza untuk pasangan anda yang tak terbiasa untuk berbicara berlebihan dan bercakap kotor saat berhubungan intim.

Katakan bahawa anda mencintainya
Untuk mengusahakan hal-hal menjadi lebih simple dan tak berlebihan, anda boleh mengatakan betapa anda mencintainya. Dengan ungkapan sederhana seperti I love you saat anda berdua mula memasuki orgasme, anda juga boleh menegaskan bagaimana kuatnya cinta anda pada pasangan. Selain itu, hal ini boleh menjadi satu kepastian atau reassurance yang mungkin dinanti-nantikan oleh pasangan anda.

Lakukan seiring dengan aksi
Anda boleh mengucapkan kata-kata desahan sambil membelai tubuh pasangan anda. Memuji betapa pasangan anda sangat menawan sambil mengggigit daun telinganya dengan seksi merupakan salah satu jalan untuk mengeluarkan desahan tanpa anda perlu kelihatan memalukan.

Melakukan hal ini seiring dengan melakukan sebuah aksi boleh menjadi salah satu jalan agar maksud anda benar-benar disampaikan bahawa anda dan pasangan sangat menikmati aktiviti-aktiviti yang anda lakukan.

Sumber perempuan.com

Saturday, February 20, 2016

Siapa Melayu Bersikap ‘3B’?

PENULIS tidak berasa terkejut dengan kenyataan Presiden PAN, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang berkali-kali dalam ceramah di Sungai Petani menyifatkan orang Melayu khususnya golongan pertengahan yang menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu sebagai ‘bodoh, bangang dan bahlul (3B).

Sebelum itu, Mat Sabu juga mencuri perhatian apabila mencampakkan mikrofon ketika menyampaikan satu ceramah di Selangor. Biasalah orang yang kemaruk sangat mahukan publisiti akan melakukan apa sahaja bagi tujuan berkenaan.

Tetapi kenyataan Mat Sabu menuduh orang Melayu yang tidak menyebelahi pembangkang sebagai bodoh, bangang dan bahlul agak melampau. Mat Sabu boleh dianggap pemimpin yang tidak pandai mencerminkan diri sendiri dan bermuhasabah, apakah sebenarnya kategori orang Melayu yang dianggap bersikap ‘3B’.

Malangnya sekali kerana arena politik negara terpaksa menerima mana-mana ahli politik yang begitu mudah mengecam rakyat dengan bahasa yang memualkan semata-mata kerana mereka tidak menyokong partinya, sedangkan pemimpin itu juga yang sering mendabik dada kononnya memperjuangkan demokrasi, hak asasi dan kebebasan bersuara.

Rakyat berhak memilih siapa sahaja yang mereka inginkan kerana itulah hak dan kuasa mutlak mereka dalam pilihan raya. Justeru apakah wajar hanya kerana ada orang Melayu tidak menyokong pembangkang maka mereka sewenang-wenangnya boleh dianggap bersikap ‘3B’.

Ahli politik yang tidak bersikap ‘3B’ dan matang dalam berpolitik akan memahami adalah menjadi hak rakyat untuk menentukan siapa yang mereka mahu menjadi pemerintah atau wakil rakyat mereka. Hak itu tidak boleh dipertikaikan.

Atas sebab itulah, kategori orang Melayu bersikap ‘3B’ yang diperkatakan oleh Mat Sabu boleh dipertikaikan apatah lagi apabila mereka menggunakan hak mereka dalam pilihan raya.

Berikut pandangan penulis berhubung siapa sebenarnya Melayu ‘3B’:

Melayu ‘3B’ ialah orang Melayu yang sanggup melakukan tindakan yang boleh memecahbelahkan parti disertainya semata-mata kerana terlalu tunduk dengan kemahuan sekutunya. Walaupun memahami sekutunya menentang perjuangan Islam tetapi Melayu yang tidak bangang dan bodoh itu sanggup bersekongkol demi mahu meraih kuasa.

Melayu ‘3B’ ialah sanggup menubuhkan sebuah parti lain semata-mata kerana tewas dalam pemilihan parti.

Melayu ‘3B’ ialah Melayu yang mempunyai jawatan paling kanan dalam parti tetapi sanggup memperlekehkan pemimpin sendiri dan paling malang bersedia untuk berkawan rapat dengan rakan politik yang menghina pemimpin tersebut.

Melayu ‘3B’ ialah berucap menggunakan bahasa kesat dan melampaui batas serta tidak mencerminkan identiti sebagai pemimpin Islam.

Melayu ‘3B’ ialah sanggup berdiri di hadapan kaum lain untuk mencaci bangsa sendiri semata-mata kerana golongan itu tidak menyokong parti atau pakatan yang dia sokong.

Melayu ‘3B’ ialah kelompok yang tidak tahu mengenang budi terhadap parti yang menaikkannya dalam dunia politik.

Melayu ‘3B’ ialah sentiasa bertindak bagaikan ‘badut’ dalam ceramah-ceramahnya.

Melayu ‘3B’ ialah bersedia melakukan apa sahaja semata-mata mahu meraih kuasa, biarpun mengetahui kuasa politik Melayu akan lenyap.

Melayu ‘3B’ ialah yang termakan dengan janji-janji manis bahawa mereka boleh melaksanakan Islam apabila mendapat kuasa bersama sekutu yang jelas-jelas menentang sebarang usaha memartabatkan perjuangan Islam.

Melayu ‘3B’ ialah yang bagaikan ayam jantan berkokok kuat tetapi ekor bergelumang dengan najis.

Hakikatnya, kita tidak perlu mengupas lebih lanjut siapakah kelompok Melayu yang boleh dikategorikan bersikap ‘3B’’. Biarlah rakyat menilai siapakah sebenar mereka itu termasuklah pemimpin yang melafazkan kata-kata tersebut.

Tetapi apa yang pasti, tidak pernah ada mana-mana pemimpin kaum lain yang sanggup memperlekehkan bangsanya sendiri di hadapan bangsa lain kecuali seorang pemimpin yang bertaraf ‘3B’.

Oleh : Zulkiflee Bakar

Orang Banjar 
Garang Dan Tegas

ANTARA karekter orang Banjar adalah mereka dikenali sebagai orang yang garang dan tegas. Mungkin gelaran itu diberi kerana dikatakan ada di antara mereka berperwatakan kasar.

Hal ini mungkin disebabkan faktor keadaan di wilayah Kalimantan Selatan yang sejak dahulu sering berdepan dengan peperangan dan pelbagai tekanan sehingga memaksa suku itu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mempertahankan diri.

“Namun bukan semua yang mempunyai karekter sedemikian. Banjar Karuak mungkin lebih tegas berbanding suku Banjar Alai yang lebih lemah lembut,” jelas bekas Pensyarah Antropologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohamed Salleh Lamry yang mengkaji mengenai masyarakat Banjar.

Katanya, Perang Sungai Manik di Perak yang berlaku sekitar 1940-an menunjukkan sifat orang Banjar yang tegas melawan musuh (komunis).

Orang Banjar juga terkenal dengan sifat berpegang teguh pada ajaran agama Islam, selain mengamalkan cara hidup yang sederhana. Maka tidak hairan ramai ulama-ulama dan tokoh agama lahir dari dalam kalangan masyarakat Banjar sejak sekian lama.

Selain berkemahiran dalam bercucuk tanam, orang Banjar mahir berladang dan berniaga kerana mereka tidak gemar bekerja makan gaji. Tetapi, di Malaysia, keadaan itu mungkin sudah berbeza memandangkan generasi orang Banjar kini sudah mempunyai pelbagai kemahiran lain, setaraf dengan kaum lain.

“Jika di daerah Banjar di Kalimantan Selatan, boleh dikatakan masyarakat Banjar rata-rata bertani dan melakukan aktiviti di air seperti menangkap ikan, berniaga dan sebagainya,” katanya.

Masyarakat Banjar di Malaysia sudah berkembang dan sama maju dengan masyarakat dan suku kaum yang lain. Mereka sudah tidak hidup berkelompok seperti dahulu lagi dan lebih terbuka serta bercampur gaul dengan semua lapisan masyarakat.

Pengkaji budaya Banjar yang juga seorang penulis, Wajidi Amberi berkata, kehidupan orang Banjar di Kalimantan Selatan lebih rapat dengan budaya sungai iaitu kehidupan yang berasaskan aktiviti di atas sungai.

Ini terbukti dengan kewujudan aktiviti dan pasar terapung yang sememangnya terkenal di wilayah itu.

Menurut Wajidi, kampung-kampung tradisional orang Banjar banyak terdapat di sekitar sungai besar ataupun kecil seperti di sepanjang Sungai Barito dan cabangnya Sungai Nagara, Sungai Paminggir dan Sungai Martapura. Malah, sepanjang Sungai Nagara, terdapat pula Sungai Tabalong Kiri, Sungai Tabalong Kanan, Sungai Balago, Sungai Batang Alai, Sungai Amandit dan Sungai Tapin.

Oleh itu tidak hairan Daerah Banjar dikenali sebagai kota seribu sungai sehingga kini dan kehidupan masyarakatnya tidak dapat lari daripada aktiviti di sungai. Sungai menjadi peranan yang penting bagi kehidupan masyarakat Banjar sehingga kini, malah kepada sebahagian besar penduduk Kalimantan Selatan.

Budaya pasar terapung pula kata Wajidi, terjadi sejak dahulu kala apabila pedagang dan pembeli melakukan aktiviti di atas perahu. Ia menjadi satu aktiviti perdagangan yang penting dalam menjana ekonomi masyarakat Banjar.

Namun menurut Wajidi, kini aktiviti pasar terapung semakin berkurangan kerana sudah ramai berpindah menjalankan perniagaan di pasar. - utusan

Thursday, February 18, 2016

Masa Adalah Makhluk Allah Yang Ajaib

MASA adalah satu makhluk Allah yang ajaib. Ia tidak perlu menonjolkan dirinya bagi membuktikan kewujudannya di alam ini. Apabila jam berdetik, masa dinamakan saat. Apabila matahari jatuh di ufuk barat, masa dinamakan pula hari. Apabila kitaran bumi sudah lengkap mengelilingi matahari dalam kiraan 365 hari, masa bertukar nama menjadi tahun. Tiada siapa yang mampu terlepas daripada cengkamannya. Manusia yang dulunya muda belia menjadi tua lemah apabila diselubungi masa. Masa juga mampu mematangkan manusia dengan himpunan pengalaman.

Pun begitu, masa kadangkala boleh dikalahkan dengan ilmu. Manusia yang mempunyai ilmu mampu mengubah kuasa masa dengan kenderaan berkelajuan tinggi yang mereka miliki. Perjalanan dengan kapal terbang berbeza dengan memandu kereta. Prinsip isu ini disebut Allah ketika menceritakan mukjizat Nabi Sulaiman a.s. yang berkenderaan angin mampu memotong masa dari sebulan menjadi sehari. Saya kira kenderaan angin baginda boleh dikiaskan pada kapal terbang pada hari ini:

“Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: “sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan,” (Saba’[34:12]).

Bukan setakat itu sahaja, para malaikat yang dicipta Allah daripada cahaya memiliki kemampuan bergerak pantas merentas masa. Seakan dikata, masa berurusan dengan teknologi malaikat dalam kerangka lain berbeza dengan kemampuan manusia:

“Para malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahan-Nya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang yang bersalah) sungguh panjang selama 50,000 tahun,” (al-Ma’arij [70:4]).

MAKHLUK TERAWAL
Masa juga antara makhluk awal ciptaan Allah kerana dalam banyak ayat Allah menyebut penciptaan awal langit dan bumi dalam enam masa: “Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang “Arasy-Nya, berada di atas air,” (Hud [11:7]).

Masa hanya di dunia dalam kiraan naik turunnya matahari dan munculnya bulan. Di alam barzakh lain pula halnya. Tiada lagi ukuran masa seperti di dunia. Oleh itu, manusia yang mati sejak zaman nabi Adam atau mati sehari sebelum berlakunya kiamat tetap berada dalam satu ruang masa yang sama bersesuaian dengan kuasa Allah selaku “Pencipta masa.”

Pernah saya terbaca dialog-dialog orang tabi’in (murid sahabat yang tidak sempat bertemu dengan Rasulullah SAW) yang bertemu dalam mimpi. Abdullah bin al-Mubarak berkata: “Aku bermimpi bertemu Sufyan al-Thawri (yang sudah meninggal dunia). Aku lalu bertanya kepadanya: Apa yang diperlakukan Allah padamu?” Sufyan menjawab: “Aku bertemu dengan Muhammad SAW dan puaknya (para sahabat),” -al-Ruh oleh Imam Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah, hal 28). Apa-apa pun, mimpi ini tetap tidak boleh menjadi hujah.

Masa adalah makhluk Allah yang terikat dengan izin Penciptanya. Ia wajib akur kepada kehendak Allah sebagaimana sang api pernah akur ketika menyelamatkan nabi Ibrahim a.s.: “Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk dan selamat sejahtera kepada Ibrahim!,” (al-Anbiya’ [21:69]).

HAKIKAT MASA
Sepanjang sejarah manusia, kuasa masa pernah ditarik oleh Allah beberapa kali seperti dalam kisah tujuh pemuda soleh yang tidur dalam gua: “Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: 300 tahun (dengan kiraan Ahli Kitab), dan (tambah) sembilan lagi (dengan kiraan kamu),” (al-Kahf[18:25]).

Walaupun masa sudah berlalu selama 300 tahun, jasad tujuh wali Allah ini kekal remaja seperti waktu awal mereka tidur. Begitu juga kisah pemuda Bani Israel yang tidur selama 100 tahun:

“Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? “ Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama 100 tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Dia menjawab: “aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman:” (tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama 100 tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu,” (al-Baqarah [2:259]).

Kisah ini jelas menunjukkan penguasaan mutlak Allah terhadap masa. Jasad dan makanan lelaki ini tidak terjejas kerana masa tidak dibenarkan untuk menyentuhnya, manakala si keldai hancur menjadi tulang kerana Allah membenarkan masa mengenakan kuasa pemusnahnya kepada si keldai. Maha Suci Allah!

Sama perihalnya dengan Nabi Isa a.s. Pada perkiraan biasa, baginda sudah berusia lebih 2,000 tahun, tetapi keremajaan baginda kekal seperti waktu baginda diangkat ke langit. Baginda menjadi kebal masa dan tidak dimamah usia kerana Allah menghalang masa daripada menyentuh baginda.

Semoga bicara ringkas pada kali ini akan membuka luas mata hati kita betapa makhluk Allah yang bernama masa sebenarnya sangat ajaib. Inilah antara sebab mengapa Allah bersumpah menggunakan masa dalam al-Quran:

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan sabar,” (al-‘Asr [103:1-3]).

Manfaatkan makhluk Allah ini sebaik mungkin kerana ia akan menjadi sebab bahagia atau duka kita di akhirat kelak. Kita akan berbahagia jika bijak menggunakan masa bagi mengisi hidup dengan ketaatan kepada Allah, manakala kita bakal derita jika terlalu banyak membuang masa untuk aktiviti dosa yang tidak berfaedah.- utusan

Wednesday, February 17, 2016

Siapakah Orang Banjar?

Menurut pengkaji sejarah dan arkeologi Badan Penelitian dan Pengembangan Daerah Provinsi Kalimantan Selatan, Wajidi Amberi, asal-usul suku Banjar yang banyak mendiami bahagian Kalimantan Selatan masih belum dapat dipastikan memandangkan banyak pendapat hanya berdasarkan data-data yang masih belum disahkan.

Namun, Wajidi berkata, mengikut beberapa kajian yang telah wujud, etnik Banjar merupakan orang yang tinggal di Kalimantan Selatan dan terdiri daripada beberapa sub etnik Banjar iaitu Banjar Kuala, Banjar Hulu dan Batang Banyu.

“Bagaimanapun mengikut sejarah, etnik Banjar dikatakan merupakan hasil pencampuran yang berlangsung sekian lama antara suku Melayu Tua (Proto Melayu) yang mendiami daerah Kalimantan Selatan dengan suku yang datang kemudian iaitu Melayu Muda (Deutero Melayu) yang mendiami daerah-daerah pantai dan tepian sungai besar.

“Atas dasar pola genealogis masyarakat Banjar maka istilah Banjar sebenarnya bukan sekadar konsep etnik semata-mata, namun juga dikaitkan dengan konsep politik, sosiologi dan keagamaan,” katanya yang menulis di dalam blog https://bubuhanbanjar.wordpress.com.

Katanya, Banjar juga adalah sebuah nama kerajaan Islam yang pada awalnya terletak di Banjarmasin. Dalam proses pembentukan Kerajaan Banjar maka Banjar Masih dengan pelabuhan perdagangannya yang disebut sebagai Bandar Masih atau bermaksud bandar orang Melayu dijadikan ibu kota Kerajaan Banjar yang kemudian bertukar nama sebagai kota Banjarmasin.

Dalam Hikayat Banjar katanya, ada disebutkan bahawa proses ‘pembanjaran’ bermula daripada kedatangan seorang saudagar bernama Ampu Jatmika di Pulau Hujung Tanah. Keturunannya kemudian mendirikan Kerajaan Negara Dipa, Negara Daha dan Kesultanan Banjarmasin.

“Dalam hikayat itu ditemui istilah-istilah yang ada menyebut perkataan ‘Banjar’ yang pada umumnya bermakna wilayah kesultanan di mana kerajaan dan penduduknya dikenali sebagai orang Banjar dan rajanya disebut Raja atau Sultan Banjar,” katanya.

Kemudian katanya,pengaruh kesultanan Banjar telah berkembang meliputi gabungan seluruh wilayah yang pada hari ini dikenali sebagai provinsi Kalimantan Selatan, Kalimantan Tengah dan sebahagian Kalimantan Timur, bahkan ada yang melibatkan provinsi Kalimantan Barat. - utusan

Sunday, February 14, 2016

Hari Kekasih Bukan Budaya Islam

“SAYANG, free tak malam ni? I nak bawa you keluar. Tempat special untuk celebrate Valentine’s Day. You nak join?,” mesej Kamal kepada Mia.

Sambil tersenyum mesej Kamal terus dibalas, “Eee…bestnya. Tapi datang lewat sikit, tunggu mak dan ayah masuk tidur. I tunggu you. Jangan tak datang!.

Hati Mia berbunga-bunga. Tak sabar rasanya menunggu malam tiba. Terbayang di mata Mia, Kamal akan memberinya sejambak bunga ros sebagaimana tahun sebelumnya. Tapi tahun ni mungkin agak special kerana Kamal merancang sesuatu tanpa pengetahuannya.

Tepat seperti dijanjikan, Kamal muncul di depan rumah Mia dan Mia menyusup perlahan-lahan keluar daripada rumah tanpa pengetahuan ibu bapanya. Ternyata malam itu cukup membuatkan Mia gembira. Bermula dengan pemberian sejambak bunga, Mia dihadiahkan dengan rantai emas.

Puas meronda, barulah Kamal membawa Mia ke tempat yang dijanjikan. Sebaik sahaja tiba, Mia dan Kamal disambut dengan meriahnya oleh kawan-kawan Kamal yang sudah sedia dengan pasangan masing-masing. Acara pun bermula. Muzik dipasang. Masing-masing mula merangkul pasangan masing-masing sambil menari mengikut rentak lagu. Mia hanyut dalam pelukan Kamal.

Tiba-tiba pintu kondominium yang disewa diketuk. “Kami pegawai pencegah maksiat,” kata seorang lelaki sambil menunjukkan kad kuasanya. Masing-masing terkedu, semuanya dicekup dan dibawa ke pejabat agama. Di situ bermulalah episod debaran di hati Mia tatkala pegawai bertugas mula menelefon keluarganya untuk datang mengambilnya. “Aduh! Bala apa lagi selepas ini,” bisik hati Mia sambil membayangkan apa yang akan dilakukan oleh ayahnya saat sampai nanti. Muka bengis ayahnya mula membuatkan hatinya kecut.

TIP KAUNSELOR

-Untuk menguruskan perasaan yang cenderung kepada nafsu, kekuatan dalaman bersifat keagamaan seperti keimanan dan ketakwaan amat diperlukan.


-Bagi menangkis hasutan perasaan negatif, agama menyarankan beberapa panduan seperti istiqamah dalam amalan kewajipan seharian seperti solat berjemaah, perbanyakkan membaca al-Quran, bergaul dengan rakan yang membawa kepada kebaikan dan menghadiri majlis-majlis ilmu.

-Pilih kawan yang akan membantu membuat pilihan betul apabila mahu melakukan sesuatu tindakan kerana mereka akan memantau pergerakan yang dilakukan berserta bimbingan dan nasihat.

-Elakkan daripada bersendirian dalam tempoh masa yang lama kerana ia akan memudahkan fikiran dan perasaan dipengaruhi oleh hawa nafsu yang sentiasa mencari peluang mempengaruhi perasaan dan pemikiran.

-Sibukkan diri dengan aktiviti kebajikan untuk golongan yang memerlukan seperti membuat kerja amal di rumah kebajikan dan membantu golongan yang kurang kemampuan.

-Buang fikiran negatif apabila mendapat nasihat daripada orang lain seperti ibu bapa, rakan-rakan atau orang dewasa, sebaliknya anggapnya sebagai kasih sayang mereka kepada kita. - : utusan

Jangan ikut budaya bercanggah Islam

AGAK buntu jugalah ketika diminta menulis pasal Valentine’s Day. Maklumlah, sepanjang usia yang sudah masuk empat siri ini, tidak pernah pula menyambutnya, justeru ‘feel’ untuk membayangkan kegembiraan meraikan­nya memang tiada, cuma berdasarkan pengamatan dan pembacaan.

Bagi saya, tidak perlulah kita terikut-ikut budaya yang langsung tidak ada kena-mengena dengan umat Islam, apatah lagi hukum menyambutnya adalah haram! Adat manusia, makin ditegah, makin suka pula me­lakukannya, biarpun tanpa menge­tahui di sebalik sejarah sambutan hari berkenaan.

Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya “To be my Valentine?”, itu bermakna dia meminta seseorang menjadi ‘Sang Maha Kuasa’, dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali semangat budaya pemujaan berhala bagi kaum Rom kuno.

Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian dinamakan Lupercalia iaitu upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno bernama Juno Februata.

Valentine’s Day untuk orang Kristian pula demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine yang telah dibunuh pada 14 Februari. St. Valentine dikatakan sempat menulis sepucuk surat cinta kepada seorang gadis yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Va­lentinemu).

Jelas sekali meraikan sambutan Valentine’s Day atau Hari Kekasih bertentangan dengan syarak, malah Panel Kajian Akidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan amalan itu haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang dari 22 hingga 24 November 2005 juga memutuskan bahawa amalan meraikan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan Islam, apatah lagi roh perayaan itu bercampur dengan perbuatan maksiat!

Kebiasaannya pada hari berke­naan, pasangan bercinta saling bertukar hadiah, menghadiri upacara tari-menari, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan dan melafaz ikrar cinta di tempat-tempat privasi sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan cinta kepada pasangan masing-masing.

Masyarakat tentunya tahu akibat merayakan Valentine’s Day iaitu salah satunya kecenderungan melahirkan anak luar nikah akibat hubung­an intim pada hari istimewa itu, namun persoalan besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif itu terus berlaku?

Menurut Presiden Persatuan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam, Dr. Abdul Jalil Hassan, faktor-faktor keseronokan dan kesa­kitan mendorong masyarakat khususnya remaja untuk menyambut Valentine’s Day yang telah dikomersialkan sebagai ‘jenama’ melahirkan rasa kasih sayang.

“Dalam diri manusia ada naluri untuk disayangi dan menyayangi, justeru ini menjadi satu tarikan kuat untuk masyarakat khususnya remaja menyambut Valentine’s Day, apatah lagi hari tersebut dikomersialkan sebagai hari istimewa buat pasangan kekasih,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, tidak salah untuk seseorang menyatakan rasa kasih terhadap insan lain, malah dalam Islam juga menuntut umatnya menyemai sifat-sifat pengasih dan penya­yang, namun yang menjadi masalah ialah masyarakat kita kerap menyambut sesuatu hari itu dengan niat bersempena sambutan tertentu. Malang­nya, kita ‘malas’ membuat penyelidikan dan gemar terikut-ikut budaya Barat.

“Sebagai contoh, kita merayakan Hari Ibu. Biarpun dalam Islam, sepatutnya menyayangi ibu bukan pada hari tertentu, namun Hari Ibu diraikan khusus untuk meraikan ibu kita pada hari berkenaan dengan lebih istimewa.

“Begitu juga kasih sayang. Tak salah mengingati seseorang yang kita sayang dengan meraikan hari istimewa bersamanya tetapi yang salahnya kita turut sama meraikannya pada hari yang sudah dikhususkan bagi memperingati peristiwa atau figura yang bertentangan dengan agama Islam,” katanya.

Kecenderungan mengagung-agungkan budaya asing menyebabkan ramai dalam kalangan kita terutama remaja terpengaruh dengan sambutan yang bercanggah dengan agama dan adat malah jati diri.

“Jati diri terbentuk ketika remaja berusia lingkungan 15 hingga 16 tahun. Dalam tempoh itu, mereka le­bih dekat rakan sebaya dan apa jua pengaruh daripada kumpulan akan membentuk jati diri dan identiti.

“Sebagai remaja, rasa keterpu­nyaan atau keterikatan dalam satu-satu kumpulan mendorong mereka mengikut apa yang dilakukan ahli lain, dan sambutan Valentine’s Day juga tidak terkecuali sebagai ‘jenama’ yang perlu diraikan walaupun adakalanya mereka sedar amalan itu bukan budaya kita,” jelasnya.

Oleh : Rajmah Hasan

Saturday, February 13, 2016

Kini...Bahagiakah Kita Di Malaysia?

UAE lantik Menteri Kebahagiaan
Seorang pemimpin wanita dinamakan sebagai Menteri Kebahagiaan, jawatan yang kali pertama diperkenalkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam usaha menjadikan penduduk negara ini sentiasa gembira dan sejahtera.

Pelantikan Ohood Al Roumi itu diumumkan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammad Bin Rashid menerusi akaun Twitter­nya semalam dalam satu rombakan Kabinet baharu negara ini.

“Kebahagiaan negara perlu dirancang menerusi projek dan program-program tertentu.

“Ohood bertanggungjawab me­ng­gariskan polisi kebahagiaan dan kepuasan masyarakat,” katanya.

Portal berita nbcnews.com melaporkan, kementerian baharu itu diwujudkan sebagai usaha bagi merealisasikan harapan Sheikh Mohammad yang mahu menjadikan UAE sebagai sebuah negara paling berbahagia di dunia.

Ohood akan terus memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Pejabat Perdana Menteri.

Beliau merupakan seorang da­ri­pada lima wanita yang tersenarai dalam Kabinet baharu pimpinan Sheikh Mohammad.

Empat yang lain ialah Jameela Salem Al Muhairi yang mengetuai Kementerian Pendidikan Awam, Noura Al Kaabi (Menteri Hal Ehwal Majlis Persekutuan Kebangsaan), Shama al-Mazroui (Menteri Hal Ehwal Belia), dan Najla Al Awar (Menteri Pembangunan Komuniti).

Laporan Kebahagiaan Dunia 2015 menyaksikan UAE berada di kedudukan ke-20 sebagai negara paling bahagia dunia.

Switzerland mendahului se­narai tersebut diikuti Iceland, Denmark, dan Norway masing-­masing di tempat kedua, ketiga, serta keempat. - utusan

Friday, February 12, 2016

Kesal Trend Bawa Telefon Ke Masjid

SEORANG tok guru dalam ceramahnya telah melahirkan rasa keprihatinan terhadap penggunaan telefon pintar di masjid. Beliau menyatakan kekesalannya dengan menyatakan trend para jemaah yang tidak lagi melakukan amalan berzikir dan bertasbih selepas solat.

Sebaliknya mereka segera mengaktifkan telefon pintar sama ada untuk melihat berapa panggilan tidak terjawab atau panggilan ringkas serta WhatsApp yang masuk.

Keadaan ini menunjukkan semakin kurangnya masa untuk melaksanakan ibadah zikir, berdoa, bertasbih selepas solat disebabkan adanya telefon pintar. Dalam banyak kes masih terdapat makmum yang lupa menutup atau diletakkan dalam mod senyap telefon pintar milik mereka.

Ini menyebabkan terdengarlah pelbagai lagu ketika solat sedang didirikan. Penulis juga memerhatikan sekumpulan remaja yang segera berkumpul sejurus selesai imam mengakhiri solat di bahagian belakang di mana-mana masjid untuk menggunakan telefon pintar tanpa sempat bersolat sunat.

Keadaan ini berlaku terutamanya di masjid yang menyediakan kemudahan WiFi. Oleh itu, ada keperluan untuk memaparkan makluman di pintu masuk masjid supaya para jemaah tidak membawa telefon pintar ke dalam masjid. Sebaik-baiknya telefon pintar hendaklah ditinggalkan di dalam kereta atau di tempat yang selamat atau di rumah buat sementara waktu semasa menghadap Allah SWT.

Secara tidak langsung, dengan cara ini akan mendatangkan fokus seseorang itu untuk lebih khusyuk dalam ibadah kerana tiada gangguan daripada keinginan untuk mengaktifkan aplikasi telefon pintar milik jemaah berkenaan.

Pihak jabatan agama juga perlu memberikan satu pendekatan yang berkesan bagi mengurangkan penggunaan atau membawa telefon pintar pada masa ceramah, kuliah agama atau khutbah Jumaat terutamanya bagi golongan remaja.

Tidak dinafikan kewujudan telefon pintar pada masa ini adalah satu fenomena yang tidak dapat dihindari disebabkan fungsinya yang pelbagai. Bagaimanapun, kebaikan-kebaikan yang wujud akan memberikan implikasi negatif kepada penggunanya jika tidak dikawal dan diurus dengan baik.

Ibu bapa perlu prihatin dan mengawal penggunaan telefon pintar dalam kalangan anak-anak mereka secara berlebihan di tempat-tempat tertentu khususnya di masjid juga dalam rumah ketika bersama keluarga.

Mereka ini adalah kelas masyarakat yang banyak terdedah kepada rasa ingin tahu dan sering mahu mencuba sesuatu yang baharu sehingga akhirnya akan merugikan diri disebabkan penggunaan gajet itu pada dan tempat yang tidak sesuai selain merasa ketagih akibat keseronokan menggunakan telefon pintar.

Thursday, February 11, 2016

Pergilah 7,828..., Jangan Lagi Kembali

BEBERAPA hari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, kita sedikit tersentak dengan pendedahan Ahli Parlimen DAP Serdang, Ong Kian Ming.

Kata Kian Ming, kira-kira 7,828 individu yang merupakan rakyat Malaysia telah melucutkan kerak­yatan mereka untuk menjadi warga negara Singapura sejak kebelakangan ini.

Dia mendakwa, jumlah terbesar bekas warganegara Malaysia dalam lingkungan umur 30 hingga 50 tahun itu ialah 36.6 peratus dari Johor, diikuti 19.5 peratus (Perak), Selangor (9.4 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (6.7 peratus), Melaka (5.6 peratus), Pulau Pinang (5.4 peratus) dan Ne­geri Sembilan (5.3 peratus).

Majoriti daripada individu berkenaan adalah kaum Cina. Kian Ming menyifatkan insiden itu sebagai ‘menyedihkan’.

Namun, bagi kita, tiada apa yang perlu disedihkan, walaupun Ahli Parlimen DAP itu menyifatkan ia ‘suatu kehilangan tenaga berkemahiran tinggi dan profesional’.

Dalam keadaan ekonomi sekarang dengan harga minyak dan nilai matawang menyusut teruk, memang sukar menjalani kehidupan kalau ‘seseorang itu memang sudah senang’ sebelumnya. Tetapi tidaklah sehingga ke tahap melepaskan taraf warganegara.

Cuma yang kita cukup sedih ialah apabila alasan mereka ini melucutkan kewarganegaraan Malaysia untuk menjadi warga Singapura, seperti didakwa Kian Ming, kerana menganggap republik itu negara yang lebih menguntungkan.

Biarkanlah mereka ini pergi. Masih ramai lagi profesional kita dalam kalangan 30 juta rakyat Malaysia ini yang komited dan mahu menyumbang tenaga kepada negara tercinta ini.

Apabila terbaca pendedahan Kian Ming ini semalam, lantas penulis teringat kepada rakan Kian Ming iaitu Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik pada tahun lepas yang terhegeh-hegeh mendakwa diri sebagai ‘pejuang’ dengan mendakwa kononnya sebanyak 1,000 pemegang pasport Kerakyatan Luar Negara British (BOC) telah diterima pulang oleh kerajaan Malaysia.

Isu pemegang pasport BOC itu timbul apabila United Kingdom (UK) meminda undang-undang kerakyatannya apabila negara tersebut tidak lagi mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan untuk pemegang pasport BOC yang melepaskan atau dilucutkan kewarganegaraan Malaysia selepas 4 Julai 2002.

Pemegang pasport BOC ini dulunya sanggup mengerat pasport Malaysia seperti dilaporkan oleh The Telegraph – prosedur stan­dard apabila seseorang melepaskan kerakyatan mereka.

Namun, kita menarik nafas lega dan bersyukur kerana Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyangkal keras dakwaan Wei Aik itu.

Tegas Ahmad Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri, pemegang pasport BOC yang melepaskan kewarganegaraan Malaysia tidak akan memperoleh semula kerakyatan mereka secara automatik sebaliknya perlu me­lakukan permohonan seperti warga asing lain.

Taraf kewarganegaraan itu, kata beliau lagi, tidak akan diberikan secara mudah kerana terdapat individu yang mengoyakkan pasport Malaysia atas rasa benci malahan ada ‘menikam’ Malaysia setelah mereka menolak kerakyatan negara ini.

Golongan yang melepaskan taraf kerakyatan biasanya perlu menunggu selama 17 tahun selain lulus dalam ujian kemahiran Bahasa Melayu jika mahu mendapat semula identiti sebagai rakyat negara ini.

Kepada 7,828 orang tadi yang didedahkan oleh Kian Ming, mereka harus ingat satu perkara ini – rakyat Malaysia yang telah melucutkan kewarganegaraan tidak akan mudah mendapat kembali taraf kewarganegaraan itu. Ini selaras dengan Peraturan 16A, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Bagi mereka ini, ‘tiada maaf bagimu,’ kecuali mengikut Peraturan 16A sebagaimana yang ada dalam Peraturan Imigresen 1963.

Mungkin Kian Ming ‘perlu belajar’ sesuatu dari Wei Aik untuk menguruskan ‘pelaku-pelaku’ pelucut taraf kewarganegaraan Malaysia ini.

Oleh : Zulkifli Jalil

Wednesday, February 10, 2016

Mudahnya Umat Islam Berbalah

SEGALANYA bermula apabila tercetus isu Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin mahu berdebat dengan Pengerusi Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJ), Zamihan Mat. Zin berhubung isu Wahabi.

Lanjutan itu kedua-dua mereka berbalas kenyataan, Dr. Mohd.Asri menegaskan Zamihan mempunyai masa sehingga 17 Februari untuk berdebat dengan beliau manakala Zamihan pula mahu ia diadakan secara tertutup.

Kenyataan kedua-dua mereka disiarkan oleh portal berita propembangkang, Malaysiakini. Penulis tidak kisah soal kenyataan mereka tetapi apa yang dipersoalkan bagaimana tindakan Malaysiakini yang membenarkan komen-komen terhadap berita tersebut yang ada antaranya melampau.

Tindakan Malaysiakini melepaskan komen-komen tanpa tapisan telah membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk ‘berdebat’, paling malang ia mencetuskan perbalahan antara umat Islam. Masing-masing mahu mempertahankan pendirian masing-masing. Kesudahannya berlaku perkara yang mendukacitakan, apabila ada antara komen-komen itu menghina pemimpin, mencaci ulama, mengecam mufti dan memaki para ustaz.

Berdasarkan ratusan komen berkaitan kenyataan Dr. Mohd. Asri dan Zamihan itu, ternyata segelintir umat Islam sudah terperangkap dengan mainan pihak tertentu untuk memecah belahkan mereka. Malah apa yang paling malang, ada juga yang mengambil kesempatan untuk memperlekehkan agama Islam.

Monday, February 8, 2016

Lelaki Habiskan Masa Setahun Lihat Wanita

RATA-RATA golongan wanita pasti berasa cemburu apabila mendapati pasangan mereka melihat wanita lain. Mata keranjang atau tidak, ia bukan suatu perkara asing bagi golongan lelaki untuk melihat kecantikan seseorang wanita.

Kajian terbaharu mendapati, kaum Adam menghabiskan satu tahun sepanjang hidupnya hanya untuk melihat wanita.

Berdasarkan kajian yang dijalankan Kodak Lens Vision Centres yang berpangkalan di Britain itu, seorang lelaki akan menghabiskan hampir 43 minit sehari untuk melihat 10 orang wanita berbeza.

Jurucakapnya, Mark Ireland berkata, sebanyak 19 peratus responden lelaki mengatakan dengan melihat wanita membuatkan mereka berasa gembira.

“Hal ini sebaliknya membuatkan wanita berasa kurang selesa dengan 20 peratus mengakui malu apabila dipandang lama-lama, manakala 16 peratus lagi tidak yakin dengan penampilan diri,” katanya.

Menerusi kajian itu juga, penyelidik mendapati hampir sepertiga daripada responden pernah bergaduh dengan pasangan masing-masing gara-gara melihat wanita lain, manakala satu daripada 10 mengaku berpisah kerana berkelakuan sedemikian.

Kajian itu melibatkan 3,000 orang lelaki berusia antara usia 18 hingga 50 tahun. - www.kosmo.com.my

Saturday, February 6, 2016

Bukan UMNO Ini Yang Kami Mahukan....

Kit Siang: UMNO bukan lagi pilihan anak muda Malaysia
UMNO bukan lagi pilihan anak muda di negara ini kian bosan dengan permainan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menlindungi dakwaan skandal rasuah terhadapnya.

Ia berikutan Najib mendiamkan mana-mana pemimpin UMNO yang mengkritiknya dari menjawab segala dakwaan salah laku rasuah dalam dua mega skandal.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, segenap lapisan rakyat termauk golongan muda mahukan jawapan memuaskan terhadap dakwaan salah laku dua skandal itu.

“Yang orang muda bukannya mahu kelulusan projek RM15 juta tetapi mahukan jawapan memuaskan mengenai skandal ‘derma’ RM2.6 bilion dan skandal RM55 bilion 1MDB yang memalukan negara di mata dunia.

“Ini bukan sahaja luahan aktivis Pemuda UMNO Pulau Pinang tapi ia mewakili luahan hati seluruh golongan muda sama ada dalam UMNO ataupun tidak,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Kenyataan Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut memetik luahan aktivis berkenaan yang mengakhirinya dengan ungkapan: “Bukan UMNO ini yang kami mahukan…”

Mengulangi saranan Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuh bagi menyiasat skandal itu, Kit Siang juga meminta Najib supaya tidak berselindung di belakang Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali. - Roketkini.com

Friday, February 5, 2016

Guna Ilmu Hitam 
Hapus Boko Haram

Bimbang dengan ancaman yang diakibatkan oleh kumpulan militan Boko Haram, kerajaan Cameroon dilapor telah bersetuju untuk menggunakan ilmu hitam dalam perang melawan keganasan di negara ini.

Portal Today melaporkan, langkah itu hanya diketahui berikutan rentetan tweet yang dibuat wartawan Cameroon, Bisong Etahoben, yang memetik kenyataan seorang gabenor di sebuah wilayah di timur negara ini.

Etahoben dalam tweetnya memaklumkan, gabenor wilayah Far North, Midjiyawa Bakari telah mengusulkan kepada Presiden, Paul Biya supaya menggunakan sihir bagi menghapuskan Boko Haram.

Wartawan siasatan antarabangsa itu dalam tweet kelmarin yang menggunakan nama pengguna @ChiefBisongEta1 memetik kenya­taan Bakari yang mengesahkan arahan berkenaan.

“Ketua negara ini mahu pendekatan ilmu hitam disertakan dalam usaha memerangi Boko Ha­ram,’’ jelas tweet itu.

Walaupun tiada pengesahan rasmi berhubung arahan itu, kerajaan Cameroon minggu lalu mengumumkan penutupan kebanyakan pasar di sempadan negara ini dengan Nigeria ekoran serangan baru-baru ini.

Bakari berkata, keputusan menutup pasar dibuat atas faktor ke­selamatan selepas empat pengebom berani mati yang menyerang daerah Bodo baru-baru ini men­yamar sebagai peniaga dengan menyembunyikan bahan letupan dalam bungkusan sayur yang hendak dijual. -  utusan