nuffnang

Monday, November 23, 2015

Bangunan Tertinggi Dunia Dibina Di Iraq

BASRA - Sebuah syarikat pembinaan, baru-baru ini mendedahkan pelan sulit berhubung pembinaan menara setinggi 241 tingkat di Iraq, yang bakal mengatasi bangunan Burj Khalifa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai menara pencakar langit ter­tinggi di dunia.

Menurut portal Daily Mail, pembinaan menara gergasi yang akan diberi nama ‘Pengantin Perempuan’ atau ‘The Bride’ itu bakal menjadi mercu tanda ikonik baharu di tengah-tengah bandar Basra di Iraq.

Kompleks menara berkelu­asan 963.7 meter itu akan menempatkan pejabat, hotel, pusat perniagaan, taman, klinik, sekolah, dan juga kawasan perumahan.

Cadangan pembinaan menara bagi memaksimumkan kapasiti di bandar itu pada 2025, dikemukakan oleh syarikat AMBS Architects, namun sebelum ini dirahsiakan atas sebab-sebab keselamatan.

Menurut pengarah syarikat itu, Marcos De Andres, berbeza dengan menara konvensional, menara di Basra itu bakal menjadi tarikan baharu yang boleh dikunjungi, bukan sahaja kepada mereka yang tinggal dan be­kerja di sana, tetapi juga seluruh masyarakat di negara ini.

“Bangunan baharu itu akan dinikmati oleh beribu-ribu orang dengan cara yang tersendiri, sama ada ketika berada di dalamnya, di atasnya atau di kawasan bawah tanah bangunan tersebut.

“Pengunjung boleh memilih untuk berjalan di taman-taman teduh dan kawasan pejalan kaki di permukaan tanah yang luas atau makan tengah hari dan menikmati aktiviti membeli-­belah beratus-ratus meter di atas paras laut,” katanya.

Basra yang mempunyai sebahagian besar daripada rizab minyak di Iraq, merupakan satu daripada pusat perniagaan paling pesat berkembang di dunia serta kawasan pelabuhan utama di negara ini.




Sunday, November 15, 2015

Tun Mahathir Dan Dasar Luar Negara

Kenapa dasar luar (foreign policy) Malaysia di bawah Tun Mahathir penting demi survival negara - Oleh Wan Fayhsal
Tadi pagi saya dan rakan sempat hadir ke seminar "Malaysian Foreign Policy: Present and Future Trends" anjuran ICON Centre for Global Affairs di Carcossa Seri Negara.

Banyak pembentangan menarik berhubung dasar luar Malaysia - suatu tajuk yang amat jarang diwacanakan.

Saya sempat hadir ke sesi pertama yang dipengerusikan oleh tuan rumah Dr. Razak Baginda dengan menampilkan pembentang seperti Dr. Karminder (INTAN), Dr. Mustafa Izzudin (ISEAS) dan Cik Elina Noor (ISIS).

Sesi pertama membicarakan sejarah dan keadaan semasa dasar luar Malaysia yang selalunya dibicarakan melalui pembahagian fasa kepimpinan tertinggi negara (Perdana Menteri) daripad zaman Tunku Abdul Rahman sampailah ke zaman DS Najib.

Kita tahu zaman Tunku dan Tun Razak lebih kepada neutral dan berkecuali (walaupun Tunku pro-British lebih) dan yang menongkah arus dasar luar adalah Tun Mahathir dengan "Buy British Last", "Dasar Pandang Timur", dasar luar berpaksikan kepentingan "Islam dan Dunia Muslim" dan juga dasar kerjasama erat "Selatan-Selatan" (South-South Cooperation).

Selepas daripada zaman Tun Mahathir, dasar luar negara kata Dr. Karminder agak "ambivalent" yakni satu pemisahan daripada dasar luar Tun Mahathir yang mana hala tuju dan posisinya agak kabur. Ini kemungkinan kerana gaya dan sifat kepimpinan Tun Abdulah Badawi.

Di bawah DS Najib, para pembentang mengatakan ianya agak seimbang tapi ketika sesi soal jawab saya bangun dan berhujah bahawa dasar luar DS Najib lebih berat kepada Amerika berdasarkan bukti-bukti empirikal seperti pelantikan arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis sebagai duta bertaraf menteri, mendapat kerusi Majlis Keselamatan PBB, "Golf Diplomacy" dengan Obama dan banyak lagi.

Menilai isi pembentangan yang bernas daripada para pengkaji dan sarjana dasar luar Malaysia tersebut, aqal saya cuba menghubungkan keresahan, kerisauan dan cadangan Tun Mahathir berhubung keperluan adanya "Council of Elders" yang baru-baru ini heboh diperdebatkan oleh ramai pihak kononnya itulah alasan kenapa Tun Mahathir menyerang DS Najib.

Daripada itu saya cuba memahami realpolitik antarabangsa dan sosok Tun Mahathir dalam mencorak dasar luar Malaysia selama 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri.

Para pembentang ungkapkan pelbagai jenis bentuk analisa tentang dasar luar Tun Mahathir yang dikatakan tidak demokratik, "microphone diplomacy" (kelantangannya) dan bermacam-macam lagi yang positif dan negatif tapi saya fikir ada sesuatu yang tidak terungkap akan kekuatan dasar luar Malaysia di bawah Tun Mahathir yang mana seperti dikatakan para pembentang, sebaik saja Tun Mahathir meninggalkan jawatan Perdana Menteri, kekuatan dasar luar tersebut turut luput bersama-samanya. Apakah kekuatan dasar tersebut?

"KEPERCAYAAN" (TRUST).
Dalam semua Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir ada satu kekuatan "Soft Power" yang tiada galang ganti oleh mana-mana pemimpin yang ada dan akan lahir di Malaysia dalam jangka masa sederhana kelak iaitu kemampuan Tun Mahathir untuk membina jalinan diplomatik atas dasar "kepercayaan" yang bersifat peribadi (personal), bukan menggunakan perkakas kenegaraan (state apparatus).

Kelebihan ini membolehkan Tun Mahathir mendapat akses kepada kemudahan diplomasi yang unik seperti mendapat akses kepada pelaburan ekonomi melalui PETRONAS di Sudan (jasa DS Anwar Ibrahim juga amat besar dalam hal ini kerana jaringan aktivisme Islam beliau di Timur Tengah), Vietnam, Timor Leste, dan banyak lagi negara dunia ketiga; mendapat bantuan ekonomi dan perdagangan daripada Jepun, juga dunia Islam. Kemampuan ini lahir sedikit sebanyak kerana dasar luar Tun Mahathir berhubung "prosper your neighbour" yang bersifat "win-win" untuk kedua belah pihak.

Tidak lupa juga jasa penting Tun Mahathir dalam Perang Bosnia. Semua ini mengukuhkan kedudukan negara di mata dunia yang menarik ramai negara-negara sedang membangun untuk menjadi rakan rapat (ally) dengan Malaysia yang selalunya diterjemahkan kepada keuntungan ekonomi dan politik.

Pendek kata, Tun Mahathir adalah "salesman brand Malaysia" paling unggul kerana kekuatan peribadinya yang dipercayai oleh ramai pemimpin dunia ketiga di Asia, Afrika dan Latin Amerika.

Bila Tun Mahathir tidak lagi memimpin negara, nama Malaysia masih harum dan dipercayai oleh negara-negara tersebut yang masih berbekas daripada diplomasi yang Tun Mahathir buat dahulu.

Ini sebenarnya adalah sumber kekuatan untuk kita terus "survive" dari segi ekonomi dan geopolitik

Maka pada hemat saya ketika negara kita berhadapan dengan cabaran ekonomi yang serius khususnya melibatkan penyusutan pendapatan negara daripada hasil minyak dan gas juga komoditi, Malaysia perlukan usaha diplomasi ekonomi yang ada "sentuhan peribadi" daripada Tun Mahathir untuk seperti contoh, membuka akses kepada pasaran di Afrika.

Hanya dengan perutusan surat atau panggilan telefon, Tun Mahathir mampu menyusun atur "high profile trade entourage" untuk negara - seperti contoh membantu PETRONAS masuk semula ke negara-negara Afrika yang kini banyak China yang kuasai.

Beza kita dan China ialah negara Afrika hargai nilai persahabatan kerana Tun Mahathir menerapkan dasar seperti contoh "affirmative action" membangunkan kapasiti kaum peribumi Afrika (contoh ialah ENGEN di Afrika Selatan) manakalah negara China menggunakan kekuatan "cash is king" untuk melabur dan membina infrastruktur.

Sentuhan halus dasar luar Malaysia di bawah Tun Mahathir lebih tulus dan kekal lama berbanding apa yang China buat kepada negara Afrika yang kini dipandang serong seperti ulang siaran dasar penjajahan kuasa Barat yang hanya "expropriate natural resources" (merampas sumber asli).

Bukan itu saja, Tun Mahathir berupaya membuka laluan diplomasi dengan negara kuasa besar seperti Russia (kerana Putin percaya kepada Tun Mahathir) untuk mengimbangi pergolakan di rantau kita antara China dan Amerika.

Di saat inilah sementara beliau masih hidup saya fikir Malaysia dapat susun semula dasar luar negara kita bagi membantu dasar dalam negara khusus melibatkan ekonomi dengan bantuan ilmu, pengalaman dan "networking" (jaringan) Tun Mahathir.

Saya tidak yakin dasar luar negara yang ada kini dapat bantu kita keluar daripada kemelut ekonomi dan politik yang amat mencabar kerana skandal 1MDB juga percaturan menteri kita yang agak pro-Washington dalam kemelut Laut Cina Selatan - semua ini menghakis kepercayaan negara-negara yang jadi rakan rapat dan rakan dagang kita yang utama seperti China.

Ini menyukarkan syarikat-syarikat negara kita untuk mendapat insentif istimewa seperti "credit facility" dalam perdagangan malah juga melibatkan pertahanan.

Kekuatan "soft power" Tun Mahathir yang masih berbekas pada negara akan beransur hilang kalau Tun Mahathir semakin dipinggirkan daripada politik negara.

Di saat kecemasan begini ianya adalah satu kebodohan untuk kita memperkecilkan kekuatan Tun Mahathir yang tidak ada pada mana-mana pemimpin politik baik UMNO atau Pakatan.

Kalau saya seorang Perdana Menteri, saya tidak akan teragak-agak untuk mendengar nasihat Tun Mahathir dan melantik beliau menjadi "Minister Mentor" seperti Lee Kuan Yew kerana kebolehan dan kekuatan "soft power" Tun Mahathir adalah unik dan tidak boleh dibeli daripada mana-mana jururunding (consultant). Mendiang Lee Kuan Yew juga punya kekuatan yang sama seperti Tun Mahathir dalam hal ini - seperti juga almarhum Sukarno yang terkenal dengan gerakan Pan Asia-Afrika.

Semoga Allah lanjutkan usia Tun Mahathir untuk selamatkan negara berbekalkan kudrat yang beliau masih mampu infaqkan seperti halnya "soft power" tadi khusus bagi memudahkan generasi pelapis pemimpin muda untuk mendepani cabaran dan kemelut politik, ekonomi dan geopolitik yang semakin mengganas kini. Amin.

Saturday, November 14, 2015

Pangsapuri Bertindan

SINGAPURA - Satu struktur unik yang terdiri daripada blok bangunan pangsapuri dan kedai di Singapura, dinobatkan sebagai Binaan Sepanjang Tahun dalam acara tahunan Festival Seni Bina Dunia Kelapan, baru-baru ini.

The Interlace atau lebih terkenal dengan gelaran ‘Vertical Village’ yang direka bentuk oleh firma Metropolitan Architecture dan Buro Ole Scheeran, telah menerima banyak pujian kerana pendekatannya yang radikal dan alternatif ke arah kehidupan dalam persekitaran tropika.

Portal berita independent.co.uk melaporkan, acara tahunan itu diadakan di sebuah pusat peranginan berprestij, Marina Bay Sand, di Singapura dari 4 hingga 6 November lalu.

Pengarah festival, Paul Finch berkata, projek perumahan itu merupakan sebuah binaan yang menakjubkan dengan rekaan yang berani selain memaparkan idea seni bina kontemporari.

“Projek ini mempersembahkan satu gaya pemikiran alternatif dalam pembangunan,” ujarnya.

Binaan istimewa itu mengan­dungi 31 blok tindanan kediaman dan enam blok bangunan kedai.

Selain itu, bangunan tersebut turut dilengkapi kolam renang, gelanggang tenis, dan taman bunga.

Festival Seni Bina Dunia 2016 akan diadakan di Berlin, Jerman selepas diadakan selama empat tahun berturut-turut di negara ini.- utusan

Friday, November 13, 2015

Hapuskan Jakim...

Mengapa tak terus cakap, Hapuskan artikel dalam perlembagaan yang ada peruntukan Islam?
Bukan main bergedik lagi DAP apabila suara hati mereka untuk melihat semua institusi Islam di negara ini dihapuskan, kini diluahkan oleh orang Melayu-Islam yang hidup mereka selama ini bergantung kepada status Islam dan Melayu.

Cadangan Tawfik Ismail yang turut mendedahkan tentang cadangan penubuhan 'Council of Elders' untuk menasihati Perdana Menteri, agar JAKIM dihapuskan, turut mendapat perhatian daripada pihak yang masih berada di dalam UMNO tetapi menentang Najib Abdul Razak.

G25 yang konon-kononnya dianggotai oleh kumpulan moderat profesional, mempunyai latar belakang dan modus yang sama dengan Sister In Islam walaupun dari beberapa segi, sedikit berbeza.

JAKIM, walaupun dihuni dan menjadi sarang kepada puak-puak penentang kerajaan yang menggunakan entiti kerajaan untuk kemudahan mendapat pelbagai maklumat dan pengkalan, namun fungsi JAKIM itu sendiri amat penting bagi agama Islam di negara ini, terutama kepelbagaian dan ancaman demi ancaman yang sedang dihadapi oleh umat Islam di negara ini.

Generasi seperti Tawfik Ismail mempunyai gaya hidup ala kebaratan yang amat ketara sebelum pengaruh kehidupan Islam kembali berakar umbi di dalam negara ini walaupun pada masa yang sama, umat Islam di negara ini, khususnya golongan muda tidak dapat membezakan Islam, Arab mahupun Pakistan!

Penubuhan Pusat Islam dan kemudian bertukar nama kepada JAKIM dan berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, merupakan titik tolak kepada banyak perubahan termasuklah status halal, pengharaman jualan arak secara terbuka, larangan ke atas umat Islam berjudi atau membeli nombor ekor mahupun perkara-perkara yang melibatkan hukum syariat.

Penubuhan JAKIM selaras dengan Artikel 3 Fasal 5 yang menyatakan,

"Walau apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang Di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan bagi maksud ini, Parlimen boleh dengan undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengadakan peraturan mengenai hal-ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihatkan Yang Di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara berhubung dengan agama Islam."

Sebelum Tawfik Ismail menyuarakan cadangannya agar JAKIM dimansuhkan, DAP dan Lawyers for Liberty sudah terlebih awal menyerang JAKIM, terutama yang membabitkan khutbah Jumaat. Begitu juga dalam isu murtad, DAP dan beberapa NGO pro-DAP turut menyerang JAKIM dan menuduh JAKIM sedang melakukan Islamilasisi dan pemaksaan ke atas bukan Islam untuk memeluk Islam.

Malah JAKIM dituduh sebagai tempat penggalakan keganasan dan pembiakan teroris!

Agama Islam berdasarkan kepada Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan telah diperuntukkan sebagai Agama Rasmi Persekutuan. Sebagai Agama Rasmi Persekutuan, sudah tentu, ada badan khas yang menjaga dan mengawalselia halehwal umat Islam di dalam Persekutuan.

Keterbukaan sekarang ini, telah menyebabkan golongan yang terlebih sekular cuba melakukan sesuatu yang sebenarnya membawa negara kepada kemusnahan yang lebih besar.

Hanya semata-mata kerana permusuhan mereka ke atas Islam. Hanya semata-mata kerana mereka beranggapan agama adalah faktor yang memundurkan masyarakat!!!

Sumber : theflyingkick

Thursday, November 12, 2015

Keajaiban Kentut....

Kentut Boleh Rawat Barah?
LONDON - Antara bau yang tidak digemari manusia adalah kentut, namun jangan terkejut kerana kajian sebuah universiti mendapati, bau kentut sebenarnya mempunyai rahsia kesihatan tersendiri yang mampu mencegah penyakit barah, angin ahmar, serangan jantung, dan nyanyuk.

Menurut saintis dari Universiti Exeter di United Kingdom, hidrogen sulfida, satu daripada gas berbau yang dihasilkan oleh bakteria semasa memproses makanan di dalam perut dapat membantu melindungi sel-sel dan melawan penyakit jika berada dalam jumlah yang sedikit.

Namun menurut laporan portal mirror.co.uk, hidrogen sulfida dalam jumlah yang berlebihan amat berbahaya kerana mengandungi toksik.

Pensyarah dari Sekolah Perubatan Universiti Exeter, Matt Whiteman berkata, semasa sel-sel menjadi tertekan oleh penyakit, sel itu cuba untuk menarik enzim-enzim bagi menghasilkan gas hidrogen sulfida sendiri.

“Bahan kimia itu melindungi mitokondria dan membenarkan sel untuk terus hidup. Sekiranya perkara ini tidak berlaku, sel itu akan mati dan kehilangan upaya untuk mengawal kehidupan dan keradangan.

“Kami telah mengeksploitasi proses semula jadi ini dengan membuat suatu sebatian yang dikenali sebagai AP39, yang perlahan-lahan menyampaikan sejumlah kecil gas ini terutamanya kepada mitokondria.

“Hasil ujian kami menunjukkan sekiranya sel-sel yang ditekan itu dirawat dengan AP39, mitokondria boleh dilindungi dan sel-sel kekal hidup,’’ kata Whiteman.

Sebelum bahan itu boleh diuji ke atas manusia, saintis telah menjalankan uji kaji terhadap model pesakit bagi melihat keberkesanan AP39.

Hasil awal yang diterbitkan oleh jurnal Medicinal Chemistry Communications menunjukkan, bahan kimia itu boleh membantu sehingga 80 peratus mitokondria untuk terus hidup dalam keadaan yang boleh membawa kerosakan seperti penyakit jantung. - utusan

Wednesday, November 11, 2015

Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone

Sedap sungguh gelaran yang tersebut pada tajuk artikel di atas. Sebab itu saya dengan sengaja menjadikannya satu tajuk dalam blog ini sebagai kenang kenangan untuk anak cucu nanti. Juga untuk mendapat sedikit maklumat terhadap dari manakah datangnya gelaran sehebat itu.

Siapakah gerangan manusia yang mendapat gelaran sebegitu rupa, yang sedap disebut, walaupun ada sedikit kesukaran melafazkannya dengan lancar ?

Bagi para pembaca yang peka dengan suasana politik UMNO sekarang juga melibatkan suasana politik pemerintahan keranjaan Malaysia, sudah tentu tahu siapakah orang besar negara kita yang membawa gelaran tersebut.

Antara orang yang amat kerap mengguna dan menyebut gelaran itu setiap kali menulis artikel berkenaan orang yang membawa gelaran itu ialah Dato' A Kadir Jasin di dalam blognya The Scribe A Kadir Jasin.

Itu merupakan antara blog yang paling kerap saya singgah dan baca kerana banyaknya maklumat yang amat berguna untuk hal ehwal semasa di Malaysia. Sejak mengikuti segala penulisannya dari dulu, rumusannya adalah ternyata Dato A Kadir Jasin, walaupun umum tahu kecenderungannya lebih kepada UMNO, tetap menulis dengan penuh etika kewartawanan serta punya integriti dan tidak beremosi.

Kesultanan Gowa
Gelaran sebegitu datangnya daripada Bugis dan punya kaitan dengan para pembesar Bugis ketika zaman kebesaran mereka dahulu. Atau lebih tepat lagi Kerajaan Gowa yang masyarakarnya masih wujud di Indonesia sekarang ini.

Kerajaan Kesultanan Gowa ini merupakan sebuah kerajaan yang wujud pada abad ke-16 di Daerah Sulawesi Selatan. Para penduduknya terdiri daripada orang Melayu dari Suku Makassar.

Perkataan Makassar atau di sebut sebagai 'Mangkasara' dengan lidah Makassar membawa maksud "mereka yang bersifat terbuka".

Suku Makassar terkenal dengan jiwa penakluk. Mereka amat handal di laut dan gemar berperang. Namun begitu, mereka dikenali juga dengan sikap demokratis atau terbuka dalam pemerintahan.

Ada yang mengatakan Suku Bugis adalah sama dengan suku Makassar, tapi ianya tidak dapat dipastikan kerana bahasa Bugis adalah berbeza daripada bahasa Makassar. Dari perbezaan bahasa itu menunjukkan bahawa mereka adalah dua etnik atau suku yang berbeza.

Apa yang pasti, satu masa dahulu, penjajah Belanda amat benci dengan Suku Makassar ini. Di mana saja mereka bertembung dengan armada Belanda, sudah tentu akan diperanginya tanpa sedikitpun rasa gentar. Ia banyak menyusahkan Penjajah Belanda pada ketika itu.

Antara raja Gowa yang terkenal dan mendapat pengktirafan sebagai pahlawan besar di Indonesia adalah Sultan Hasanuddin. Beliau diberikan nama ketika lahir sebagai "Mallombasi Muhammad Bakir Daeng Mattawang Karaeng Bonto Mangape". Sesudah diangkat menjadi Sultan diberikan pula nama "Sultan Hasanuddin Tumenanga Ri Balla Pangkana".

Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone
Apa hubungannya Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone, dengan kerajaan kesultanan Makassar ?.

Menurut tuan punya badan sendiri, ayahnya pada satu ketika (1973) telah membawa beliau melawat ke Gowa. Dalam lawatan itu beliau di bawa melawat ke pusara Sultan Hasanuddin dan di sana ditunjukkan pada salah sebuah pusara lain.

Di bawah pusara itulah bersemadinya seseorang yang bernama Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone, iaitu merupakan putra kepada Raja Gowa ke XVI. Itulah salasilah keturunan orang besar yang sedang kita sebut sekarang ini.

Bagaimana pula orang besar mendapat nama itu sekarang ?

Orang besar kita itu mendapat nama tersebut ketika berziarah balik ke Gowa. Ketika balik itulah dia telah diberikan nama sebagai Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone, sempena mengambil nama neneknya yang disebut tadi.

Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone
Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone itu sekarang sedang mendapat ujian yang amat besar. Baru-baru ini saja kerajaan yang sedang diketuai oleh Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone, mendapat teguran daripada para Sultan di negara kita.

Seingat saya, tidak pernah lagi berlaku di mana berkumpulnya raja-raja Melayu, bermesyuarat dan kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan dalam bentuk gesaan memerintahkan agar kerajaan pimpinan sekarang segera selesaikan isu WanEmDiBi.

Rakyat Malaysia negara kita perlu berterima kasih atas keperihatinan para Sultan tersebut yang mungkin dapat merasakan keresahan rakyat dengan segala peristiwa yang mencurigakan berlaku di depan mata.

Saya sendiri betada dalam keadaan konfius dengan apa yang sedang berlaku. Dari segi persepsinya, samada betul atau tidak betul, Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone seeloknya turun saja dari takhta kerana tidak ada lagi kepercayaan rakyat terhadapnya, malah diseluruh dunia, nampaknya (berdasarkan media-media utama dunia).

Tapi itu semua tidak berlaku dan kelihatan Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone adalah seorang yang amat kebal. Ilmu apa yang telah diperturunkan kepadanya agaknya ya?.

Memang hakikatnya rakyat macam tak boleh buat apa-apa. Tun Mahathir yang mengetuai sekelompok para elit yang giat menggesa penurunan Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone, juga menemui jalan buntu.

Persoalan saya cuma satu sahaja, apakah para menteri kabinet kesemuanya daripada spesis tongkol yang tidak nampak kegusaran dan kepanasan keadaan kucar kacir di negara kita?

Apa yang perlu ditunggu sebenarnya ?

Tuesday, November 10, 2015

Muslim Myanmar Akan Terus Dizalimi....!

Aung San Suu Kyi lakar sejarah
YANGON - Pemimpin pembangkang Myanmar, Aung San Suu Kyi, semakin hampir melakar sejarah negara ini, apabila Parti Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinannya dilaporkan mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya umum negara ini, semalam selepas menyapu bersih semua 12 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di ibu negara.


Pengerusi Kesatuan Suruhanjaya Pilihan Raya, Tin Ayu berkata, berdasarkan keputusan setakat ini, parti NLD memenangi kesemua kerusi di Yangon, bandar terbesar di negara ini dan tiga lagi kerusi di kawasan lain.

Sehingga pukul 9 malam tadi. NLD memenangi 35 daripada 36 kerusi Parlimen.


Dalam pada itu, Suu Kyi berkata, walaupun keputusan rasmi pilihan raya masih belum dikeluarkan, kiraan awal menunjukkan partinya memenangi lebih 90 peratus undian di wilayah tengah Myanmar yang padat dengan penduduk.

Parti pemerintah Myanmar, Kesatuan Pembangunan dan Solidariti (USDP) dilaporkan akur dengan pilihan rakyat.

Suu Kyi dalam kenyataannya di ibu pejabat NLD di Yangon, turut memberi bayangan bahawa parti pembangkang itu mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya tersebut.

“Masih awal untuk mengucapkan tahniah kepada calon kita atas kemenangan tersebut.

“Tetapi saya rasa semua pihak tahu tentang keputusan yang bakal diumumkan,” kata pemimpin berusia 70 tahun itu.

Jurucakap NLD, Win Htein berkata, parti pimpinan Suu Kyi turut mencatat kemenangan lebih 65 peratus undi di wilayah luar bandar termasuk di negeri Mon dan Kayin.

“Berdasarkan laporan terkini, NLD meraih kemenangan 70 peratus kerusi Parlimen, jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun keputusan awal di lima negeri lain masih belum diketahui dan tidak dapat dipastikan, sama ada NLD boleh mencapai kemenangan dua pertiga daripada 323 kerusi Parlimen yang dipertandingkan bagi membentuk kerajaan demokrasi pertama sejak awal 1960-an.

Walaupun Suu Kyi mencatat sejarah baharu, hala tuju Myanmar ke arah negara berdemokrasi dilihat masih berliku kerana timbul persoalan bagaimana Suu Kyi dan parti lain berunding untuk berkongsi kuasa dengan pihak tentera.

Malah, jika Suu Kyi mendapat majoriti dalam Parlimen, beliau masih dilarang untuk bertanding sebagai Presiden mengikut Perlembagaan yang digubal oleh kerajaan junta bagi mengekalkan kuasa tentera dalam pemerintahan.

“Saya masih boleh berkuasa di bawah kepemimpinan Presiden baharu,” kata Suu Kyi sambil menyifatkan Perlembagaan itu sebagai mengarut.

Sementara itu, pemangku Presiden USDP, Htay Oo mengalami kekalahan di kubu kuat parti tersebut di Ayeyawaddy selepas NLD menyapu bersih kemenangan di kawasan terbabit.

“Parti USDP tewas semua kawasan di Ayeyawaddy,” katanya. – utusan

Monday, November 9, 2015

Dalam Negara Ada Negara !

UEC dan Patriotisme 
Ada dua berita semalam yang membuatkan Awang teruja. Pertama, Kementerian Pengajian Tinggi kekal dengan keputusannya tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam. Perkara tersebut dinyatakan dengan jelas oleh Timbalan Menterinya, Mary Yap Kain Ching. Sememangnya sijil tersebut tidak selari dengan kurikulum kebangsaan seperti terkandung dalam Akta Kebangsaan 1996. Awang berharap atas nama mendahulukan kepentingan negara, semua pihak akur.

Janganlah meletakkan kepentingan kaum yang sempit sehingga lupa asas kenegaraan. Terimalah realiti, ini Malaysia. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Kedua, cadangan Ketua Pengarah Biro Tata Negara (BTN) , Raja Arif Raja Ali agar kerajaan mewujudkan Dasar Patriotisme Negara yang diharap membawa kepada terbentuknya Aka Patriotisme Negara. Sudah sampai masanya dasar tersebut dilaksanakan, lebih-lebih lagi dengan cabaran masa kini dan demi menyelamatkan perpaduan serta jati diri generasi masa depan.

Harus diakui, nilai patriotisme dalam kalangan sebahagian rakyat makin menipis disebabkan antaranya pendekatan ekstrem parti politik tertentu. Apa guna menjadi warga negara jika tidak patriotik. Melainkan jika memang berniat serong, laksana kaduk naik junjung. -utusan

UEC tidak diiktiraf
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi kekal dengan keputusan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Timbalan Menterinya, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, sebab utama UEC tidak diterima pakai sebagai kelayakan masuk ke IPTA adalah kerana sijil itu tidak selari dengan kurikulum kebangsaan seperti terkandung dalam Akta Pendidikan 1996.

“Selain itu, bahasa Melayu dalam UEC juga tidak setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan liputan sejarah negara dalam kurikulum sijil berkenaan juga tidak mencukupi.

“Syarat am kelayakan mema­suki IPTA adalah perlu lulus SPM dengan kepujian Bahasa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mary Yap, kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan UEC diterima pakai sebagai kelayakan masuk ke IPTA sekiranya pindaan terhadap kandungan kurikulumnya dibuat selari dengan dasar pendidikan kebangsaan.

“Kementerian berterima kasih dan mengambil maklum terhadap pandangan beberapa pihak yang menuntut agar UEC diterima pakai sebagai kelayakan yang sah untuk kemasukan ke IPTA,” katanya. -utusan


DAP Mahu Bagan Nakhoda Omar Ditukar Nama Cina
SHAH ALAM – DAP Selangor mahu kerajaan negeri menukar nama perkampungan nelayan Cina, Bagan Nakhoda Omar (BNO) kepada nama Cina, memandangkan ia didiami 100 peratus keluarga Cina.
Timbalan Setiausahanya, Ng Suee Lim turut meminta status Tanah Rizab Melayu di BNO ditukar dan warta dibatalkan.

“BNO diduduki 100 peratus nelayan Cina berpuluh tahun, tetapi statusnya masih lagi Tanah Rizab Melayu. Usaha untuk menukar sudah dilakukan bertahun-tahun, tetapi sampai sekarang tiada jawapan.

“Kalau esok kita berjaya tukar dan warta dibatalkan, ini kerana BNO diduduki 100 peratus nelayan Cina, jadi nama dia kena tukar.

“Kita kena tulis Bagan Nakhoda Chong, Omar tak payah, sebab kita akan ingat Noh Omar. Macam Nakhoda Noh Omar macam tu. Jadi, BNO ini kita tukar Bagan Nakhoda Chong lebih baiklah,” kata Adun Sekinchan itu ketika berbahas di Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.

Tindakannya ditegur Datuk Sulaiman Abdul Razak (Permatang – BN) yang menyifatkan kenyataan Suee Lim itu sangat rasis.

“Sekinchan (Suee Lim) kuat sangat rasisnya. Kalau boleh, jangan kuat sangat sampai nama pun nak jadi isu.

“Nama tu dah lama dah Sekinchan. Tidak profesionallah. Bukan BNO itu Bagan Noh Omar, Nakhoda Omar,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali ketika mengulas perkara itu berkata, kerajaan negeri akan membuat semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berhubung status tanah tersebut.

“Kita boleh batalkan dan ganti tapak lain dengan nilai sama. Pastinya kita nak tengok susun atur bangunan, kampung sedia ada, supaya masalah keselamatan, kesejahteraan rakyat dapat diambil kira,” katanya. – Selangor Post

Sunday, November 8, 2015

Negara Bakal Musnah!

RASA sedih dan takut yang amat sangat. Ini kerana seolah-olah ramai pihak tidak menghayati maksud tersirat daripada firman Allah dalam Surah al-Isra’, ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu dekati zina..”. Kalam suci ini antara lain bermaksud setiap pintu yang membawa kepada maksiat ini perlu ditutup seketat-ketatnya, jangan cuba dibuka walaupun sekali.

Bukan Islam sahaja melarang penzinaan, agama lain pun diyakini berpendirian sama. Jadi, apa masalahnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak secara proaktif? Cukuplah semasa menghadiri majlis-majlis agama, berdegar-degar menyeru semua pihak agar mengikuti ajaran al-Quran dan Sunah. Tetapi pada masa lain pula menggalakkan budaya hedonisme iaitu yang mementingkan keseronokan hidup semata-mata. Rasanya pelbagai acara menyanggah firman Allah itu sedang bersusun-susun menunggu waktunya untuk dilaksanakan dalam kalendar pelbagai pihak pada masa ini, terutamanya apabila menjelang hujung tahun. Contohnya ialah sambutan tahun baharu, pasti hasil tuaian akan diperoleh dalam masa sembilan bulan akan datang!.

Penulis bukan sengaja hendak berleter. Tetapi percayalah krisis moral penduduk negara ini terutamanya yang bakal mengisi kepemimpinan negara pada masa hadapan berada dalam ke­adaan yang amat kronik. Ditegaskan bahawa ia bukan kecil terpencil, sekali gus dipandang mudah oleh sesiapa sahaja yang berbumbungkan langit Allah dan bermastautin pada bumi Allah.

Pendedahan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam baru-baru ini amat mengejutkan bahawa purata seba­nyak 18,000 remaja di Malaysia hamil setiap tahun dan daripa­da jumlah itu, 25 peratus atau kira-kira 4,500 kes membabitkan remaja yang mengandung anak luar nikah. Secara purata terdapat 1,500 kes remaja mengandung setiap bulan iaitu 50 kes sehari di se­luruh negara. Kemudiannya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyambut pendedahan itu dengan menyatakan kesediaan kerajaan untuk membantu dan melindungi kebajik­an remaja mengandung anak luar nikah yang diabaikan oleh keluarga.

Persoalannya, selesaikah punca sebenarnya yang mendasari malapetaka remaja berzina dan melahirkan anak luar nikah ini? Semua pihak terutamanya kerajaan tidak dapat tidak perlu menutup segala pintu yang menjadi punca utamanya. Kembali kepada mukadimah di atas, kenapa penulis membangkitkan perasaan takut? Tidak cukupkah lagi dengan pelbagai musibah, bala bencana yang melanda negara ini? Belum cukup lagi amaran Allah ini?

Mengenai petaka ini Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Umatku akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana tidak tersebar pada mereka anak zina. Apabila anak zina tersebar pada mereka, maka hampir sahaja Allah akan menurunkan bala kepada mereka.” - Musnad Ahmad.

Penyembuhan kepada masalah yang amat teruk ini perlu dicari - ubatnya adalah pegangan agama kerana manusia yang bercerai jiwanya daripada agama tiada bezanya jika diban­dingkan dengan binatang. Jangan cuba-cuba salahkan pihak tertentu, semuanya perlu bermuhasabah kerana setiap jiwa itu mempunyai peranan masing-masing.

Kepada penzina di luar sana, manfaatkan sekejap secebis otak yang dianugerahkan Allah untuk berfikir, tidak perlu lama, rasanya dua atau tiga minit sudah memadai untuk cuba memahami analogi ini. Sanggupkah anda membenarkan ibu, anak perempuan, adik beradik perempuan, ibu saudara dan sepupu serta cucu perempuan disetubuhi secara haram? Pasti jawapan daripada seorang manusia yang waras ialah tidak akan sesekali membenarkannya berlaku, malah mungkin sanggup mati untuk menghalangnya. Maka begitulah juga keadaannya dengan perempuan yang anda hajati untuk melakukan zina atau merogolnya kerana mereka semestinya mempunyai segala susur galur kaitan kekeluargaan seperti yang dinyatakan itu. Sebagaimana perasaan anda, begitulah juga perasaan mereka!

Tuesday, November 3, 2015

Haram Sekadar Istilah, Tiada Siapa Ambil Peduli?


HARAM mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membawa dua maksud iaitu ditegah atau tidak dibenarkan oleh agama Islam; tidak halal dan ditegah atau dilarang oleh undang-undang; tidak sah. Apabila timbul isu berkaitan rokok elektronik atau vape baru-baru ini, ramai yang tertanya-tanya apa pilihan bagi perokok jika vape diharamkan. Persoaan itu timbul apabila ramai perokok sudah beralih kepada vape yang kononnya lebih selamat malahan tinjauan yang dibuat menunjukkan sesuatu yang positif menggunakan vape berbanding rokok. Jika vape diharamkan, apa cara untuk menghilangkan ketagihan? Kini vape tidak diharamkan. Yang kekal haram adalah rokok. Haram atau tidak, sebenarnya tidak memberi sebarang kesan kepada orang ramai. Jika sudah ada fatwa yang mengharamkan rokok (bukan setakat di Malaysia sahaja) kenapa masih ramai umat Islam merokok? Rokok seludup yang dalam status undang-undang juga haram tetapi dijual secara ‘gelap’ atau terbuka.

Kerajaan mengharamkan cetak rompak lagu atau filem tetapi gejala ini berleluasa melalui pelbagai medium. Samalah juga jika kerajaan mengharamkan vape. Adakah jika diharamkan, pengguna vape di tempat terbuka boleh ditangkap? Apakah jaminan kerajaan bahawa vape tidak akan diseludup? Jika berlaku penyeludupan pelbagai jenis dadah yang memang haram, apakah tidak akan berlaku kemasukan vape secara haram? Jika berdasarkan senario ini, kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa. Haram atau tidak, gejala itu tetap wujud.

Apa yang perlu dilakukan ha­nyalah penguatkuasaan dan usaha ke arah menyedarkan masyarakat mengenai rokok dan vape. Bahaya rokok sudah diketahui umum. Banyak sudah tulisan berkaitan yang memperkatakan kesan terhadap kesihatan. Kotak rokok yang dihiasi gambar mengerikan itu juga tidak mampu ‘menggoda’ perokok supaya insaf. Selak juga pernah menulis beberapa kali mengenai isu rokok dalam ruangan ini. Mengenai vape, belum ada kajian khusus yang menyatakan kesan terhadap kesihatan tetapi kebanyakan pakar kesihatan menyatakan ada kesan yang tidak baik. Kesan jangka panjang. Bab kesan tidak baik ini, apa pun yang kita `masukkan’ ke dalam tubuh badan akan memberi kesan. Ubat pun kadang-kadang memudaratkan! Vape yang asapnya lebih tebal dikatakan tidak menyebabkan mulut berbau busuk seperti pe­rokok sehingga di dalam solat, bau itu boleh mengganggu keselesaan jemaah. Seorang sahabat yang telah meninggalkan rokok memberitahu, beliau kini sedar betapa busuknya asap rokok sehingga ‘melekat’ ke baju dan rambut apabila berada dalam kalangan perokok lebih-lebih lagi di tempat tertutup termasuk di tandas awam. Syukurlah awak sudah insaf! Bayangkan selama ini, awak sudah menyusah dan meresahkan ramai orang ketika merokok di gerai, kedai makan, di dalam tandas, berdiri di sebelah makmum yang tidak merokok ketika solat dan puntung rokok yang berselerak di dalam tandas atau tempat awam.

Pihak berkuasa perlu berusaha untuk mendidik masyarakat supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kesihatan sama ada untuk diri sendiri atau orang sekeliling. Bantu rakyat mengurangkan tabiat merokok. Jangan pula dalam usaha ke arah itu, vape ditunjukkan sebagai jalan keluar kepada perokok. Kita tidak mahu pe­rokok terus merokok dan vape pula sebagai tambahan. Setakat ini banyak usaha dilakukan oleh kerajaan untuk menyedarkan masyarakat mengenai bahaya merokok. Zon larangan merokok ditambah setiap tahun. Sehingga kini Kementerian Kesihatan mewartakan 21 zon. Mulai Januari depan, kawasan lain yang akan turut diwartakan ialah semua taman awam dan Taman Negara. Di bawah Pelan Strategik Kebangsaan bagi kawalan tembakau, perancangan berperingkat untuk mewartakan tempat-tempat awam yang lain termasuk hotel, kedai makan tidak berhawa dingin, pasar awam dan lain-lain. Masalahnya sekarang, sejauh mana penguatkuasaannya? Adakah kita melakukan sesuatu secara tidak bersungguh-sungguh?

Dalam keadaan penguatkuasa­kan undang-undang dan fatwa rokok itu haram, kerajaan masih memberi kelonggaran untuk pe­rokok tegar. Ada kawasan khas disediakan. Baru-baru ini, ketika menyaksikan Grand Prix Motosikal Shell Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, hanya kawasan berumput dikhaskan untuk pe­rokok merokok. Mereka tidak boleh sesuka hati merokok. Perbuatan mereka diperhatikan apabila Kementerian Kesihatan menurunkan pasukan penguat kuasa. Kaunter khas disediakan untuk memboleh­kan pe­rokok membayar kompaun. Mengikut peraturan, setiap kesalahan dikenakan denda RM250 tetapi ada diskaun, hanya RM150. Mungkin RM150 kecil tetapi wang itu sia-sia sahaja kerana nilai itu boleh membeli lebih daripada 10 kotak rokok. Melihat kerenah mereka yang dikompaun, ada yang meru­ngut dan marah. Resit dikoyak.

Seorang pegawai kesihatan mem­beritahu, maki hamun sudah menjadi ‘makanan’ pegawai-pe­gawai penguat kuasa. Beliau me­ngakui memang sukar untuk menguatkuasakan undang-undang. Sudah tentulah kekangannya pegawai penguat kuasa. Dalam konteks ini, langkah penurunan kuasa kepada pemilik premis untuk me­nguatkuasakan peraturan itu amat dialu-alukan. Kementerian juga akan mempergiatkan usaha ke arah memperkasakan masyarakat untuk menolak budaya merokok serta berani menegur perokok di zon lara­ngan. Saya percaya, setiap perokok sedar bahawa merokok difatwakan haram, membahayakan kesihatan sama ada diri sendiri atau orang sekeliling tetapi jika sudah ketagih apa yang mampu dilakukan?

Biar pun harga rokok terus melambung, ramai yang tidak peduli. Sekali lagi fatwa dan harga tidak menggerunkan perokok. Bagi perokok yang beragama Islam, adakah mereka bersedia menerima fatwa merokok itu haram? Khabarnya, ada tiga hukum merokok iaitu harus (jika terasa pening atau sakit sekiranya tidak merokok), makruh (jika tidak memberi sebarang kesan) dan haram (jika merosakkan). Mungkin lebih ramai yang memilih harus dan makruh walaupun ‘cerita’ bahaya mengenai rokok yang mempunyai lebih 6,000 jenis bahan kimia dan toksik itu sudah ada dalam pengetahuan mereka. Sebagai ulangan, dalam rokok ada gas beracun pada ekzos kereta, racun rumpai, peluntur cat, pembersih lantai, racun semut putih, gas beracun, minyak pemetik api, minyak roket, racun gegat, sebatian organik yang mudah terbakar, bahan bateri kereta, racun serangga dan macam-macam lagi. Begitu juga dengan pelbagai penyakit.

Vape juga ada bahan yang menyebabkan kanser iaitu formaldehyde, bahan awet yang digunakan untuk mayat. Bagi orang Islam yang sekadar mahu menerima hukuman ‘makruh’, merokok sama seperti memakan petai atau jering, ulam yang baik untuk kesihatan. Cuma rokok bukan ‘ulam’. Seperti jering dan petai, mulut perokok juga me­nimbulkan bau busuk.

Kajian menunjukkan, 70 peratus perokok sentiasa mencuba untuk berhenti merokok tetapi kebanyakannya gagal. Selepas lapan kali ke klinik merokok, barulah mereka boleh berhenti. Begitulah sukarnya untuk membuang tabiat selepas ketagih. Kini sudah ada usaha pihak berkenaan mempengaruhi anak-anak dengan shisha berbentuk pen yang berharga RM10. Jika gejala ini tidak dibendung, golongan ini ak­hirnya akan terjebak dalam gejala merokok atau vape. Bertindaklah sekarang supaya anak-anak muda kita tidak terjebak dalam sesuatu yang tidak memberi faedah sama ada ia haram atau tidak.

Sunday, November 1, 2015

Mahukah UMNO Berubah...?

Pas sedia jadi penasihat kerajaan BN
Pas bersedia bertindak sebagai penasihat bagi membantu kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara dengan sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat.

Malah, pada masa sama, parti berkenaan dengan sinis turut menyindir DAP dengan Kabinet ba­yangannya sambil menyifatkan tindakan bekas parti sekutunya itu sebagai syok sendiri sekiranya mereka berjaya memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas bersedia menjadi penasihat kepada kerajaan berkaitan pelbagai isu yang menyentuh kepentingan rakyat termasuk 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), cukai barangan dan perkhidmatan (GST), perumahan, kejatuhan nilai mata wang dan sebagainya.

“Kita nak tolong selesaikan masalah, kita bukan nak rebut kuasa. Kalau UMNO ubah kuasa dengan konsep Islam, kita akan bantu dia. Yang penting kita nak ubah pemerintahan kepada lebih baik berasaskan tuntutan Islam,” katanya ketika berucap dalam program Dialog Rakyat Bersama Pas anjuran Badan Perhubungan Pas Terengganu di sini hari ini.

Selain Abdul Hadi, dialog itu turut dijayakan oleh Dekan Fakulti Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Kamaruzaman Yusof.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat serta barisan kepemimpinan Pas negeri itu.

Abdul Hadi berkata, ke­pemim­pinan Pas akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan pel­bagai isu terutama berkaitan GST dan kenaikan kos sara hidup rakyat.

“Kita ada cadangan agar kerajaan hapuskan GST kerana ia menyusahkan rakyat dan akan menyebabkan berlaku inflasi. Kita akan bincang bagaimana cara untuk selesaikan masalah ini.

“Contohnya, dalam Islam, orang kaya saja dikenakan cukai, orang miskin tak kena. Begitu juga orang Islam saja dikenakan bayar zakat manakala bukan Islam kena bayar cukai,” jelasnya.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Abdul Hadi berkata, sekiranya segala teguran serta nasihat kepada kerajaan tidak memberi sebarang kesan, Pas tiada pilihan me­lainkan terpaksa mengambil alih pemerintahan.

“Perjuangan kita untuk me­ngubah keadaan dan bukan be­rebut jadi pemimpin. Tetapi kalau tidak berubah juga, menjadi tanggungjawab kita untuk tukar kerajaan.

“Kita akan jadi pembangkang yang boleh menasihat dan kita bukan jadi pelahap nak rebut jawatan,” ujarnya.

Beliau turut mengulangi pendirian Pas untuk tidak sekali-kali bergabung dengan BN khususnya dalam menjalin kerjasama politik.

Ditanya mengenai usaha pihak pembangkang lain yang akan mengemukakan usul menolak Bajet 2016 dalam sidang Parlimen, Abdul Hadi menegaskan, Pas hanya bertindak sebagai pihak berkecuali.

Sumber : utusan malaysia