nuffnang

Wednesday, December 31, 2014

Bila Alam Bersuara...!

Alam sedang bersuara adalah nyata. Bala diturunkan Allah juga adalah nyata.
Kedua-duanya adalah benar. Bukan tujuan saya mahu membuat andaian. Tapi sebagai manusia dan orang Islam yang percayakan qada dan qadar, sesuatu yang berlaku ada puncanya dan sebab musababnya. Ketentuannya telah ditetapkan.

Sebagai seorang wartawan dan bukan alim ulama - seperti kebanyakan orang sekarang - saya mahu melihat mengenai soal alam.

Saya pernah menulis mengenai kemusnahan alam di taman botani negara Bukit Cahaya Seri Alam di Shah Alam satu ketika dahulu. Kemusnahan akibat kerakusan manusia cukup hebat sekali.

Tidak pernah-pernah taman pertanian Bukit Cerakah itu dinaiki air lumpur setinggi tujuh ke lapan meter, namun ia berlaku pada masa itu.

Hasil bedah siasat yang dijalankan ia adalah akibat pembangunan tidak teratur di satu kawasan baharu yang dibuka oleh kerajaan Dr. Khir Toyo pada masa itu dikenali sebagai Seksyen U10. Bukit-bukit ditarah, hutan ditebang dan tanah-tanah dilukai.

Pendedahan itu telah menarik perhatian nasional. PM ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi terpaksa campur tangan. Dr. Khir yang ketika itu sedang berada di luar negara terpaksa bergegas pulang.

Pendek kata, isu alam adalah isu manusia. Kita hidup bersama-sama alam. Jangan biarkan alam bersuara. Jika ia bersuara bermakna ia sedang murka. Alam boleh bertindak kejam kepada kita jika kita menjahanamkannya.

Banjir besar di Cameron Highlands juga adalah akibat perbuatan kejam manusia ke atas alam.

Hutan ditarah ikut suka. Pihak peniaga terlalu rakus. Pihak berkuasa pula tidak menjalankan amanah yang diberikan.

Ingatlah alam boleh menjatuhkan sesebuah pesawat yang dikatakan paling moden sekali pun. Ia juga membunuh ratusan ribu nyawa manusia seperti genap 10 tahun tsunami.

Kejadian banjir terburuk di Kelantan dan beberapa negeri lain harus dijadikan iktibar. Warna airnya sudah menunjukkan ia membawa tanah-tanih yang terluka. Banjir ke Kelantan lazimnya dibawa air dari kawasan hulu sejauh beratus batu. Jika di hulu keadaannya sudah tenat, maka tenatlah di hilirnya. Itu pasal kawasan Manek Urai paling teruk, kerana ia berada di hulu.

Saya tidak mahu membuat andaian, kerana alim ulama mengatakan ia adalah takdir. Namun sudah banyak contoh yang menunjukkan bencana alam yang terjadi kepada manusia adalah akibat daripada kerakusan mereka sendiri.

Seorang rakan, rakyat Kelantan yang dipanggil sebagai Pok Nik menulis SMS kepada saya.

Renungilah tulisan beliau itu. “Masa saya kecil-kecil dulu. Waktu banjir kita gembira bermain air. Kita mandi-manda dari pagi hingga ke petang. Selagi mata tidak merah kita tidak naik ke rumah. Tetapi hari ini air banjir warna teh susu yang mengalir direct dari Ulu Kelantan dari Sg. Lebir, Sg. Galas, Sg. Kemubu dan Sg. Kelantan AKIBAT KERAKUSAN YANG MEMAKAN BALAK DI HULU KELANTAN. Habis bukit hutan belukar dikekah, ditarah dan dimamah kerana mahukan wang! Sekarang jangan salahkan sesiapa. BUKAN BALA. Tetapi insaflah . Inilah akibat kerakusan dan ketamakan manusia. Tk.”

Namun atas alasan politik atau keegoan - pelbagai alasan diberikan. Pemimpin merasakan seolah-olah merekalah yang terhebat. Merekalah yang betul. Dan alam yang mengamuk sekarang seolah-olah tiada kaitan dengan mereka.

Oleh : Zaini Hassan

Tuesday, December 30, 2014

Demi Menghindar "Melayu Menang Sorak Kampung Tergadai"

Tema yang hendak dilontarkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ialah soal betapa perlunya unsur perpaduan dalam memastikan kuasa politik terus dapat dipertahankan oleh orang Melayu.

Katanya, hakikat perwakilan politik Melayu kini diungguli tiga entiti politik – Umno, PAS dan PKR -- menonjolkan realiti bahawa kini asas kekuatan politik Melayu amat mudah dilarutkan.

Walaupun orang Melayu mempunyai kelebihan membentuk seramai 60 peratus daripada keseluruhan pemilih dalam sistem demokrasi negara, kini ada tiga parti yang menawarkan khidmat kepimpinan politik kepada mereka.

Hukum akal mengatakan jika peratusan ini dibahagi secara saksama, setiap parti akan dapat meraih kira-kira 20 peratus sokongan Melayu sepihak.

Ini bermakna jika dikumpulkan sokongan Melayu kepada PAS dan PKR di bawah satu payung Pakatan Rakyat, 40 peratus Melayu masih belum boleh membentuk sebuah kerajaan majoriti di Malaysia.

Ini bermakna jika mahu mendapat kuasa politik dan memerintah negara ini, sudah tentu, PAS dan PKR perlu kepada bantuan dan ihsan politik daripada rakyat bukan Melayu.

Bagi memudah bicara, Tun Mahathir mengkelompokkan pengundi bukan Melayu sebagai Cina dan menyebut ihsan politik yang diperlukan itu tentulah daripada rakyat kelompok ini.

Kini pola kesatuan politik pengundi Cina yang mewakili bukan Melayu ialah DAP. Lantas yang memegang teraju “kata putus” dalam menentukan sama ada kuasa politik selama 57 tahun yang didominasi Melayu-Umno, bakal berpindah ke tangan DAP.

Malah trend pilihanraya umum lalu menunjukkan memang magnet politik di Malaysia ialah DAP. Ia memenangi 38 kerusi parlimen berbanding 30 PKR dan 21 PAS.

Mujur realiti politik tidak begitu mudah dicongak. Dalam PRU lalu, Umno sendirian memenangi 88 daripada 120 kerusi parlimen yang ditandinginya. Umumnya boleh disimpulkan PKR dan PAS kini mempunyai 46 (PAS 21, PKR 15) kerusi parlimen Melayu.

Memang ada banyak faktor yang menentukan kemenangan ketiga-tiga parti berteras Melayu ini. Paling utama ialah soal sokongan dan tokokan undi daripada bukan Melayu. Sebab itu kerjasama dengan parti bangsa lain itu penting.

Sesungguhnya Tun Mahathir yang pernah memimpin Malaysia selama 22 tahun cukup akur hakikat ini. Yang menjadi fokus sekarang ialah adakah status quo politik ini wajar dipertahankan?

Tamadun manusia menunjukkan bahawa jika terlalu lama sesuatu kaum majoriti di sesebuah negara dinafikan kelebihan bilangan mereka untuk memerintah dan memeta halatuju negara, ia akan pasti menjadi “ancaman” kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara itu sendiri.

Lambat laun faktor bilangan ini akan meluapkan semangat kaum teras untuk menuntut tempat mereka dalam hiraki pentadbiran negara. Malaysia belajar mengenai hakikat ini pada tahun 1969. Sejarah Afrika Selatan juga tidak jauh berbeza.

Apabila soal “bilangan” tidak disaksamakan dengan faktor “hak”, pasti ia akan memercikkan kecurigaan, iri hati, kebencian dan mengundang keganasan.

Maka fokus Tun Mahathir membangkitkan soal kuasa Melayu ini adalah bagi meraikan hakikat bahawa perhatian harus diberi kepada pembelaan orang Melayu dan Bumiputera yang menjadi bangsa teras di negara ini.

Namun memang menjadi ragam siasah, setiap kenyataan politik akan mengundang pelbagai reaksi dan serangan daripada parti pesaingnya jua.

PKR segera menegaskan bahawa soal hilang kuasa politik Melayu bukan masalahnya kerana ia adalah sebuah parti berbilang kaum. Sementara DAP pula menyindir bahawa yang lebih gusar Melayu hilang kuasa politik ialah Umno.

Isu sebenar di sebalik kemelut dan dilema politik Malaysia ialah masih perlukah ada konsep bangsa teras dalam membina sesebuah negara?

Jika diperinci senario di Malaysia hari ini, konsep inilah yang cuba hendak dikuburkan oleh Pakatan Rakyat.

Dengan pemimpin-pemimpin Melayu dalam PKR menggembleng masa dan tenaga untuk meleburkan dominasi Umno dan memusatkan perhatian orang Melayu kepada partinya (dan mungkin juga PAS), ia secara langsung menghakis pengaruh dan kuasa politik Melayu.

PKR nampaknya menjadi agen kepada DAP untuk melabelkan suara majoriti Melayu – Umno – sebagai bersikap rasis dan jika mereka cuba kembali berpegang teguh kepada agama mereka – Islam – akan dijenamakan sebagai ekstremis pula.

Demikian ialah gula-gula politik PKR untuk meyakinkan pengundi bukan Melayu ia berjuang untuk kesaksamaan seluruh rakyat Malaysia. Walhal hasrat asasnya ialah untuk menggunakan bukan Melayu untuk melonjakkannya berkuasa.

PAS pula teruja untuk turut menyambar kuasa dengan bantuan, kerjasama dan ihsan DAP. Sebab itu ia dalam Pakatan Rakyat. Status ini dihalalkan dengan menjaja konsep tahaluf siyasi.

Namun kini apabila sudah terang dan nyata bahawa DAP apabila sudah mula selesa dalam kedudukan sebagai “tauke kuasa politik” di Malaysia, ia menunjukkan sikap tidak perlukan sangat sumbangan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Kini dengan gigih dan celuparnya DAP menyindir dan mencela PAS kerana perjuangan hudud yang dianggap “nyawa”nya dan memperlekeh sistem kepimpinan PAS di hadapan khalayak.

Reaksi kalangan ulama PAS adalah tegas – sama ada DAP suka atau tidak, hudud tetap diteruskan juga. Namun sedihnya, ada pula di pemimpin “progresif” PAS yang “hidung tak mancung pipi tersorong-sorong” masih mahu menatang DAP “bagai minyak yang penuh” dan mahu tahaluf siyasi dipertahankan.

Bagi DAP, sokongan PKR sudah memadai. Memahami bahawa PKR pun mempunyai ramai keahlian bukan Melayu, kerjasama dengan parti itu adalah “selamat” bagi DAP untuk merebut fungsi penentu halatuju politik Malaysia.

Dalam konteks ini di mana salahnya jika Tun Mahathir menyatakan parti-parti politik Melayu seperti PKR dan PAS terpaksa “mengemis” kuasa politik daripada parti orang-orang Cina (bukan Melayu)?

Bagaimanapun dalam kes Umno, ia memang sudah lama insaf keperluan bekerjasama dengan rakyat keturunan bukan Melayu memeta pembangunan Malaysia berdaulat, bermula dengan Perikatan dan kemudian Barisan Nasional.

Namun dalam kes PKR terutamanya ia adalah sebuah parti politik yang mendakwa berbilang kaum tetapi sebenarnya kini sedang membuka pintu kuasa Malaysia kepada bukan Melayu.

Yang dikhuatiri Tun Mahathir ialah Melayu nanti “menang sorak tetapi kampung tergadai”. Berjaya tumbangkan Umno tetapi DAP pula yang mendalangi kuasa politik Malaysia. PKR hanya tempelan wajah Melayu tetapi bakal jadi pak turut DAP sahaja.

Oleh : Zainal Saleh

Sunday, December 28, 2014

Hudud Dan Banjir

Kesungguhan Pas Kelantan untuk melaksanakan hu­dud nampak terserlah. Sejak dihebohkan lebih 24 tahun lalu, kali ini seperti tiada lagi hadangan dan tekanan politik yang mampu menggagalkan pelaksanaan hukum itu.

Pas Kelantan seperti telah menemukan kekuatan sen­di­ri untuk mengharungi arus deras penentangan dan po­litiking daripada rakan sekutu bahkan sebahagian pim­pinan tinggi parti sendiri. Rasanya semangat dan kemahuan itu tidak pernah setinggi sampai ke tahap ini.

Tentangan daripada DAP yang disokong PKR dianggap tidak lebih hanya gimik, umpama anjing menyalak bukit. Penolakan dari dalam kumpulan pimpinan Pas yang cenderung berpendapat hudud akan menjadi penghujung hubungan dengan DAP dan PKR dilayan secara ala kadar.

Muncul pula kalimat berslogan baharu bahawa hu­dud keutamaan nombor satu manakala perjuangan ke Put­ra­jaya jatuh nombor dua. Terpukul sungguh Datuk Seri An­war Ibrahim dan juak-juaknya yang diketahui sejak sekian lama sanggup menghalalkan apa sahaja demi menggapai Putrajaya.

Kini Pas Kelantan berkata sebaliknya. Putrajaya bukan tujuan utama mereka. Rancangan 16 September ciptaan Anwar yang kini cerita tentangnya sedang terdedah di mah­kamah, hanyalah cerita nafsu seorang itu.

Mungkin banyak yang keliru tentang dasar kesepakatan pakatan pembangkang. Dahulu perjuangan Pas ialah mem­bentuk negara Islam kemudian bertukar kepada ne­gara berkebajikan. Kemudian konsensus setuju untuk ti­dak bersetuju dan kini tinggal tidak bersetuju sahaja.

DAP dan PKR yang merasa pihak paling rugi. Mereka me­lihat cita-cita ke Putrajaya yang hanya selangkah sa­ha­ja bakal berkubur. Sudah dua kali pilihan raya mereka ber­jaya menafikan pencapaian dua pertiga BN.

Sedang mereka giat menanam keyakinan dan meng­ge­rakkan strategi bakal menawan Putrajaya pada pilihan ra­ya tiga tahun lagi, Pas pula menukar haluan. Bagi DAP, tindakan Pas itu telah mengelirukan pengundi yang me­mi­lih pakatan pembangkang dalam pilihan raya lalu. Ke­lak mereka akan dihukum dan yang ditakuti tsunami pe­ngundi Cina akan membadai mereka pula.

Bagi Pas pula, hudud ialah nyawa parti itu. Kedudukan Kelantan adalah realiti tetapi menawan Putrajaya belum pasti lagi. Nampaknya Pas sendiri pun tak yakin DAP dan PKR yang sekian lama menentang keras perjuangan asas par­ti itu mampu membawa pakatan pembangkang ke Put­rajaya.

Dalam keadaan ini, DAP pula cuba mengambarkan ba­hawa Pas telah menipu parti itu dan PKR. Pas telah menipu pengundi sehingga terpacul di mulut supremo DAP, Lim Kit Siang: ‘Apa yang memeranjatkan, pemimpin Pas kini mendakwa tiada salahnya dalam tindakan itu.’

Sejak sekian lama diketahui hudud dan hukum Islam bukan dasar pakatan. Hudud malah wujud sebelum pakatan terbentuk. Cuma ma­sa­lahnya mereka selalu buat-buat setuju. Kini terserlah se­mua permainan selama ini apabila dasar itu mahu di­lak­sanakan di negeri yang me­re­ka kuasai.

Tiada lagi hujah, helah atau ‘lubang-lubang’ politik yang boleh digunakan untuk memperdaya pengundi mere­ka terutama bukan Islam. DAP dan PKR sudah terlanjur berjanji tidak akan tunduk ke­pada desakan untuk melak­sa­nakan hudud Pas.

Hanya satu jalan keluar ia­itu terus menyakat Pas. Sen­jata ini pun yang mereka gunakan selama ini demi un­di kaum Cina. Mereka tahu pim­pinan Pas akhirnya akan akur. Itulah yang selalu berlaku, Pas akan mengalah.

Memperlekeh
DAP dan PKR tahu ha­buan Putrajaya atau menum­bangkan kerajaan BN akan membutakan mata hati pim­pinan Pas terhadap teras per­juangannya. Banyak kali Pas di­acah dan diuji termasuk yang terbaharu isu kalimah Allah.

DAP dan PKR menakut-na­­kutkan Pas kononnya ti­dak berdaya malah tidak akan mencapai kedudukan se­karang tanpa bantuan pe­ngundi kedua-dua parti itu. Entah berapa kali pula kedua-kedua parti itu mengherdik dan memperlekeh pimpinan Pas hanya kerana hudud.

DAP dan PKR seperti se­ngaja mahu menendang ke­luar Pas. Ada pemimpin DAP malah mencadangkan Pas digantung daripada kesepakatan longgar mereka. Ada yang mengancam untuk tidak hadir pada mesyuarat tertinggi pakatan pembangkang akan datang.

Tetapi gempuran berterusan daripada sekutu DAP dan PKR ini serta sebahagian pemimpin Pas tidak se­di­­­kitpun membuatkan Pas Kelantan gentar. Pada saat-sa­at akhir Kerajaan Pas Kelantan tetap komited untuk membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah 1993 (Pindaan 2014) yang dijadualkan Isnin ini.

Hanya semalam setelah Kota Darul Naim, yang me­nem­patkan bangunan DUN turut ditenggelami air, ke­ra­jaan negeri mengumumkan untuk menangguhkan si­dang khas itu sekali gus cuti peristiwa bagi Kelantan. Be­­gitu sekali semangat dan kemahuan kerajaan negeri walaupun pentadbiran harian juga dikhabarkan terpaksa dipindahkan ke Masjid Telipot.

Hanya banjir besar yang disifatkan terburuk dalam se­jarah negeri itu yang mampu menangguhkan impian membara dan semangat untuk melaksanakan hudud.

Nampaknya DAP dan PKR serta sebahagian pimpinan Pas terpaksa mengharapkan keajaiban lain untuk me­nye­kat kesungguhan tinggi kerajaan Kelantan ini. Rasanya ke­mahuan itu tidak akan surut, sesurutnya kelak banjir yang melanda Kelantan kali Ini.

Oleh :  Zulkefli Hamzah

Saturday, December 27, 2014

Sejauh Manakah Keberanian Pas?

PELAKSANAAN hukum hu­dud di Kelantan oleh kerajaan negeri pimpinan Pas kini semakin mengancam hu­bungan dalam pakatan pem­bangkang. Ketika Pas bertegas untuk melaksanakannya, DAP pula menentang keras manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil sikap menyebelahi DAP.

Bagaimanapun ramai yang ingin melihat sejauh manakah keberani­an Pas berhadapan tentangan DAP dan PKR memandangkan Pas sudah menyatakan hukum hudud adalah nyawa parti itu. Apabila ia diibaratkan sebagai nyawa sudah tentulah Pas akan berjuang habis-habisan untuk memastikan hukum yang selama ini menjadi modal politik kepada Pas menarik sokongan umat Islam akan dipertahankan habis-habisan.

Jika sebelum ini Pas sering menu­duh UMNO menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum tersebut, kini tentangan datang daripada sekutunya sendiri yang sebelum ini dianggap lebih memahami perjuangan Islam Pas berbanding UMNO. Tetapi ternyata, wajah sebenar DAP dan PKR semakin terserlah apabila mereka menentang habis-habisan usaha Pas melaksanakan hukum hudud di Kelantan walaupun ia hakikatnya hanya dikhususkan untuk orang Islam sahaja.

Entah mengapa DAP menjadi ti­dak keruan apabila Pas bertegas sehi­ngga bersedia memberi amaran tidak akan menghadiri mesyuarat Majlis Pre­siden pakatan pembangkang jika Pas bertegas untuk melaksanakan hukum tersebut.

Sudah jelas kini, persahabatan yang dijalin dalam pakatan pem­bang­kang adalah berkisar soal apa ke­hendak dan kemahuan politik DAP dan PKR, manakala Pas pula ti­dak boleh bertindak sendiri, segala-ga­lanya perlu mendapat kebenaran serta keizinan kedua-dua parti tersebut.

Apa yang anehnya, apabila pe­mimpin DAP mahu bercakap soal membenarkan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam manakala PKR pula merancang ‘Langkah Kajang’ sehingga menyaksikan perubahan jawatan Menteri Besar di Se­langor, kedua-dua parti itu tidak pula berbincang dengan Pas tetapi apabila Pas mahu melaksanakan apa yang dianggap dasar perjuangannya, parti itu perlu pula mendapat restu DAP dan PKR.

Keadaan itu sepatutnya memberikan isyarat kepada Pas bahawa DAP dan PKR hakikatnya tidak ikhlas unmenjalin hubungan politik de­ngan Pas. Mereka hanya mahu memperalatkan Pas bagi meraih sokongan dalam kalangan orang Melayu.

Walaupun Pas menyedari perkara ini, namun kepimpinan parti itu ma­sih tetap mahu berada dalam pakatan pembangkang dan seolah-olah me­rayu kepada DAP dan PKR supaya merestui hasrat mereka untuk me­laksanakan hukum hudud.

Sepatutnya sebagai sebuah parti yang jauh lebih senior, berpengalaman dan berwibawa daripada PKR dan DAP, Pas tidak perlu dilihat seolah-olah ‘menyembah’ kedua-dua parti berkenaan bagi melaksanakan agenda perjuangan partinya.

Bagaimanapun, walaupun kita melihat ada kenyataan tegas dibuat termasuklah kononnya akan mengkaji semula kedudukan dalam pakatan pembangkang tetapi hakikatnya, Pas tidak ada keberanian untuk bertindak jauh lebih daripada itu.

Jika DAP dan PKR boleh memberikan kata dua kepada Pas untuk mengikut kehendak politik mereka kenapakah Pas tidak diberikan atau berkemampuan melakukan perkara yang sama? Lebih malang lagi, dalam Pas sendiri tidak begitu ramai pemipemimpin kanannya yang tampil mempertahankan hak parti itu untuk melaksanakan hukum hudud.

Setakat ini apa yang kita saksikan hanyalah kenyataan daripada go­lo­ngan ulama, manakala golongan bukan ulama lebih banyak mendiamkan diri. Situasi ini tidak akan menguntungkan Pas, sebaliknya boleh menimbulkan tafsiran di da­lam Pas sendiri tidak wujud kesepakatan bagi melaksanakan hukum hudud.

Apa pun, jika benar Pas menganggap hukum hudud adalah nyawa mereka, maka adalah wajar jika parti itu bertegas untuk mempertahankannya. Adalah sesuatu yang malang apabila secara tiba-tiba kita mendengar kenyataan daripada kepimpinan Pas bahawa parti itu bersedia menangguhkan pelaksanaan hukum hudud demi menjaga keharmonian dan perpaduan dalam pakatan pembangkang.

Kalau itulah alasan yang akan diberikan sudah pastilah Pas akan dianggap sanggup menggadaikan maruah dan prinsip perjuangannya demi mahu mencari kuasa bersama DAP dan PKR.

Justeru adalah wajar jika Pas konsisten mempertahankan agenda untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Pas tidak perlu berasa takut dengan ancaman DAP atau gertakan PKR kerana Pas bukanlah parti yang melukut di tepi gantang untuk memerintah Kelantan sejak 1990 tetapi Pas adalah parti dominan di negeri tersebut.

Lagipun apa yang hendak dihairankan dengan ‘ancaman’ dua buah parti yang ibarat tidak wujud di Kelantan tersebut. Percayalah, ketegasan Pas dalam soal melaksanakan hukum itu tidak akan menjejaskan populariti parti itu, sebaliknya ia menyakinkan ahli dan penyokongnya bahawa Pas bukanlah ‘pak turut’ dalam pakatan pembangkang.

Cukup-cukuplah selama ini Pas dilayan bagaikan parti tidak bermaruah dan tidak berprinsip dalam pakatan pembangkang. Sampai bilakah Pas mahu menjadi bahan ketawa dan jenaka kerana sikapnya yang sering tunduk kepada kehendak politik DAP dan PKR. Pas perlu ada keberanian untuk menegakkan prinsip perjuangannya dan bukannya membiarkan ke­­dua-dua parti itu menentukan segala-galanya. Selama ini pun, DAP dan PKR bukannya menghargai sangat sumbangan Pas dalam pakatan pembangkang sebab itulah dalam tindakan yang dianggap kontroversi ia tidak dibincangkan dahulu dalam mesyuarat pakatan tersebut.

Oleh itu kenapakah perlu apabila Pas bertegas mahu melaksanakan hukum hudud ia mesti mendapat persetujuan sebulat suara DAP dan PKR? dan kita juga tertanya-tanya kenapakah DAP takut sangat dengan hukum tersebut?

Namun apa yang diharapkan konflik hukum hudud dalam pakatan pembangkang bukanlah satu sandiwara. Ini memandangkan ia berkaitan maruah Pas yang dilihat sering sahaja diperkotak-katikkan oleh sekutunya. Kalau benar Pas ikhlas mahu melaksanakan hukum hudud maka mereka perlu bersedia berhadapan dengan tentangan dan tidak meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya.

Sesungguhnya, umat Islam sedang menilai sejauh manakah keberanian Pas berhadapan dengan tentangan sekutu politiknya. Setakat ini beberapa pemimpin kanan Pas menunjukkan ketegasan dalam soal itu tetapi sama ada ia akan berkekalan atau tidak, ia akan ditentukan pada Isnin ini.

Pada hari itu, Dewan Undangan Ne­­geri Kelantan akan mengadakan sidang khas untuk meminda Kanun Jenayah Syariah II 1993. Sehingga ke hari ini biarpun bencana banjir melanda negeri itu, kerajaan negeri sudah menegaskan sidang tersebut diteruskan.

Semoga semangat yang ditunjukkan oleh kepimpinan Pas di Kelantan untuk merempuh apa juga halangan demi memastikan hukum hudud di negeri itu dilaksanakan benar-benar menjadi kenyataan. Janganlah pula secara tiba-tiba ia dibatalkan hanya kerana terus disergah DAP dan ditentang PKR.

Jika itu berlaku, Pas perlu mengakui bahawa hukum hudud hanya sekadar omong kosong dan modal politik paling ampuh untuk parti itu meraih undi dalam pilihan raya, bukannya demi menegakkan syariat Allah SWT di muka bumi ini, biarpun Pas sering mendabik dada mereka adalah pembawa obor kebangkitan Islam.

Thursday, December 25, 2014

DAP Nak Guna Kalimah ALLAH Tapi Tolak Hudud?

KETEGASAN DAP memperjuangkan hak bukan Islam Malaysia untuk menggunakan kalimah ALLAH dan kitab Bible BM amatlah mengkagumkan.

Mereka berani mempertahankan apa yang dirasai betul, pada pendapat mereka, mengikut tafsiran mereka pada perlembagaan dan hak asasi manusia, meskipun terpaksa berdepan dengan cemuhan dan kritikan yang bertubi-tubi.

Tapi mengapa DAP mengambil sikap konfrontasi terhadap Pas yang ingin memperjuangkan agar hukum hudud dilaksanakan di Kelantan?

Hukum hudud adalah sebahagian daripada tuntutan agama orang Islam, yang wajib ditunaikan jika mampu. Ini adalah satu hak orang Islam untuk melaksanakan tuntutan agama mereka.

Keinginan orang Islam untuk melihat pesalah-pesalah beragama Islam diadili menggunakan hukum yang ditentukan ALLAH dan bukan manusia perlu dihormati dan diberi ruang.

Sikap DAP yang sering mempertikaikan hasrat Pas untuk melaksanakan hudud telah menyebabkan masyarakat bukan Islam melihat hukum hudud jauh lebih teruk berbanding rasuah di dalam Umno.

Ini terbukti apabila DAP menyatakan Putrajaya tidak akan dicapai oleh PR sekiranya hukum hudud dilaksanakan.

Kenyataan DAP itu membina persepsi seolah-olah rasuah di dalam Umno boleh diterima bukan Islam berbanding hukum hudud yang cuba dilaksanakan oleh Pas Kelantan untuk mengotakan janjinya kepada rakyat Kelantan yang menyokongnya selama 23 tahun.

Betul kata DAP, orang bukan Islam yang menyokong PR tidak mengundi untuk hukum hudud dilaksanakan. Tapi rakyat Kelantan yang beragama Islam menyokong Pas pula mengundi untuk sebaliknya. Betul hak bukan Islam perlu dihormati, tapi hak rakyat Kelantan turut tidak boleh diabaikan.

Sekiranya DAP boleh memahami perasaan orang Kristian yang dinafikan hak mereka menggunakan nama ALLAH dan Bible BM, mengapa DAP tidak boleh bertimbang rasa dengan perasaan rakyat Kelantan yang mengundi PAS kerana janjinya untuk melaksanakan hukum hudud?

DAP tak perlu bantah hudud sehinggakan hak orang Islam di Kelantan yang inginkan hukum hudud dilaksanakan turut dinafikan.

Jika DAP terus nak bantah hudud pun, biarlah ia sekadar memperjuangkan agar bukan Islam tidak tertakluk pada hukum hudud – sebagaimana keberanian Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan orang bukan Islam tidak tertakluk pada fatwa yang melarang mereka untuk menggunakan 40 perkataan yang dikhaskan untuk orang Islam.

Cukuplah berpolemik dalam hudud untuk menjauhkan bukan Islam daripada Pas, kerana pada masa yang sama, sikap hipokrit kamu dalam memperjuangkan hak-hak bukan Islam juga terdedah untuk tatapan ramai.

DAP suka bercakap mengenai rasuah, teruskan usaha itu kerana itu adalah persamaan perjuangan Pas, PKR dan DAP. Biar rakyat nampak rasuah adalah masalah lebih besar yang sedang menyakitkan negara ini dan bukannya hukum hudud yang cuba dilaksana di Kelantan secara demokrasi dengan melalui Parlimen.

Kalau DAP bangkitkan hukum hudud lagi, bolehlah kita sama-sama minta mereka fokus pada isu rasuah ya, kerana mereka bersetuju bahawa itu adalah isu yang lebih penting. Yang lain, kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. -Sinar Harian

Monday, December 22, 2014

Kami Mahukan Negara Islam (IS) Yang Bersih, Cekap Dan Amanah....!

Apa Lagi Orang Melayu Mahu?
Adakah kita terlalu “bangang”
UMNO telah selesai bersidang. Semua sudah pulang ke lubuk masing-masing. Tahun hadapan, insya-Allah bertemu semula.

Agenda akan berulang. Berulang dan berulang. Jika ada pemilihan pucuk kepemimpinan, maka suasana akan berbeza. Lebih panas, mendebarkan dan cah keting. Sekarang pun ada yang berkata bunga-bunga pemilihan sudah berputik.

Namun semalam saya menerima satu WhatsApp yang membuatkan saya berhenti sejenak untuk berfikir, merenung bagai Mat Jenin dan menginsafi diri sebagai Melayu. Di mana silapnya bangsa aku ini?

Begini bunyinya. Ia ditulis dalam bahasa Inggeris. Datang dari seorang bernama Melayu Islam, yang tidak perlulah saya siarkan namanya.

Katanya. UMNO telah memerintah Malaysia selama 57 tahun dan masih menangisi bagi mempertahankan (safeguard) hak keistimewaan Melayu, Melayu masih terancam, Melayu hidup di bawah kemiskinan dan lain-lain dan lain-lain.

Beliau bertanya:

Selama 57 tahun UMNO memerintah negara ini, Islam ialah agama rasmi, apa yang telah UMNO lakukan sekiranya Malaysia dan Islam berada di bawah ancaman?

Beliau berkata faktanya ialah:

- Malaysia ada sembilan Sultan dan Raja. Mereka semua Me­layu.
- PM dan TPM, memegang jawatan paling berkuasa di Malaysia adalah Melayu.
- Sejak 1974, Menteri Kewangan adalah Melayu.
- Selain Pulau Pinang, semua KM dan MB adalah Melayu.
- Majoriti Menteri Persekutuan ada­lah Melayu dan Kementerian-kementerian berpengaruh dan penting dikuasai Melayu.
- Daripada 222 Ahli Parlimen, le­bih daripada 50 peratus adalah Melayu.
- Lebih daripada 93 peratus Jabatan-jabatan Kerajaan, dari bawah ke jawatan tertinggi adalah Melayu.
- DEB dirangka untuk orang Melayu.
- Sebanyak 80 peratus kuota universiti diperuntukkan kepada Melayu.
- Diskaun istimewa untuk pembelian rumah dan saham-saham untuk orang Melayu.
- Pangkat tertinggi dalam polis dan tentera kepada orang Melayu.
- GLC atau syarikat-syarikat milik kerajaan dikuasai Melayu.

Beliau berkata, bagaimana Melayu yang menguasai sepenuhnya sedang diancam dan berkedudukan di bawah daripada kaum-kaum minoriti? Adakah ia satu strategi untuk pemerintah terus berkuasa dengan menjadikan orang lain sebagai kambing hitam? Apa sebenarnya berlaku. Adakah orang Melayu ini terlalu “bangang” sehingga mereka terus menerus perlu merayu, menagih, meminta untuk terus hidup di bumi bertuah ini.

Adakah kita ini semua masih menjadi bahan ujikaji sosio-politik? Di mana silapnya? Apa lagi kita mahu?

Oleh : Zaini Hassan

Tuesday, December 16, 2014

Bapa Datuk Mustapa Dibunuh Untuk Gagalkan Penubuhan Bank Melayu

Orang ramai terutama peminat filem Melayu cukup mengenali seniman veteran, Datuk Mustapha Maarof yang terbabit dalam lebih 50 filem sejak sebelum merdeka dan beratus drama di Singapura dan Malaysia.

Tetapi masyarakat mungkin tidak mengenali siapa bapanya, Allahyarham Maarof Zakaria. Bagi penduduk Kuala Lumpur, terutama di Bangsar dan Lembah Pantai, mereka cukup sinonim dengan nama Jalan Maarof, bermula di Dataran Maybank menuju ke pusat beli beli Bangsar.

Siapakah Maarof sebenarnya hinggakan namanya cukup gah untuk diabadikan di antara laluan utama yang menjadi laluan beribu pengguna setiap hari. Allahyarham sebenarnya ada kisah tersendiri yang jarang diperkatakan.

Maarof anak kelahiran Sri Menanti, Negeri Sembilan adalah antara kelompok Melayu elit yang mendapat pendidikan Inggeris yang hidup sezaman dengan tokoh pemikir Melayu, Zainal Abidin Ahmad yang digelar Pendeta Zaaba (16 September 1895 - 23 Oktober 1973).

Bekas peguam dan pegawai daerah di Perak itu juga seangkatan dengan nasionalis negara yang juga penulis, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako (14 November 1909 - 7 November 1991).

Bezanya, ketika nasionalis negara dan pemimpin politik sibuk berjuang untuk kemerdekaan, Maarof memilih haluan berbeza dengan mengasaskan bank pertama khas untuk orang Melayu iaitu Bank Kebangsaan Melayu, bertempat di Klang Street, di ibu negara.

Niatnya cukup jelas, jika orang Melayu mahu maju dalam politik dan membangun, mereka mesti mempunyai sistem ekonomi yang kuat, satu daripadanya ia melalui sistem perbankan yang sistematik.

Namun, sayangnya niat murni tokoh itu disalah tafsir pihak tertentu yang tidak mahu melihat tahap kesedaran Melayu terus meningkat dan dilihat menjadi saingan kepada dua bank di Tanah Melayu pada ketika itu, The Chartered Bank milik British dan bank milik Cina iaitu Overseas Chinese Banking Corporation.

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kematian pengasas Malay National Bank, Maarof Zakaria, sebagai tragik dan sangat menyedihkan kerana ia berlaku ketika peguam itu berusaha membantu orang Melayu keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi penubuhan bank.

Bekas Perdana Menteri berkata, jasa Maarof sangat besar dan beliau orang Melayu yang berani menubuhkan bank untuk membantu kaumnya, ketika itu.

“Ketika itu, orang Melayu jauh ketinggalan dari segi ekonomi dan hidup dalam kemiskinan. Bank yang ada ketika itu tidak mahu memberi bantuan atau pinjaman modal kepada orang Melayu.

“Justeru, ada suara yang meminta dan mendesak supaya sesuatu dilakukan untuk membantu orang Melayu.

Friday, December 12, 2014

Pasangan Alami Mati Pucuk? Lakukan Hal Berikut

Tidak dapat dinafikan bahawa kadang-kadang kehidupan seks suatu pasangan tidak selalu berjalan seperti apa yang mereka harapkan.

Beberapa problem seks muncul, mengganggu kehidupan berumah tangga, dan bahkan tidak jarang, menjadi penyebab utama kes perpisahan atau perceraian pada beberapa keluarga.

Salah satu masalah paling besar adalah pendirian yang tak kunjung tiba. Keadaan ini biasanya lebih dikenali dengan sebutan disfungsi ereksi atau disingkat dengan DE. Untuk mengetahui penyelesaian dan rawatan disfungsi erektil, ada baiknya kita tahu terlebih dahulu penyebab utama keadaan ini.

Pada umumnya, mati pucuk disebabkan oleh beberapa macam gangguan. Di antaranya boleh berupa gangguan psikologi, gangguan organ-organ badan, gangguan saraf, gangguan hormon, rangkaian ereksi yang rosak, masalah usia, hingga beberapa jenis penyakit.

Fakta bahawa keadaan ini tidak mempunyai punca tunggal menjadikan mati pucuk mimpi buruk bagi kaum lelaki.

Ini akan menyebabkan proses rawatan terkesan sulit dan rumit. Untuk mengatasinya, perlu dilakukan berbagai macam terapi, untuk mengatasi kemungkinan setiap penyebab yang menjadi sumber utama masalah disfungsi erektil tersebut.

Untuk treatment pertama yang harus dilakukan adalah mengesan penyebab dari disfungsi erektil pasangan anda. Berjumpalah dengan doktor dan lakukan check up secara menyeluruh untuk melihat punca keadaan tersebut.

Apabila penyebabnya kerana gangguan psikologi, treatment terapi yang paling baik adalah dengan melakukan terapi psikologi atau bimbingan kaunseling, ditambah dengan mengambil ubat tranquilizer.

Berbeza treatment apabila penyebabnya adalah gangguan fungsi tubuh. Maka pengkonsumsian ubat sesuai dengan gangguan yang dialami (sama ada saraf, pembuluh darah) boleh menjadi penyelesaian.

Apabila penyebabnya adalah kerosakan organ zakar, maka rawatan moden telah mencari sebuah penyelesaian canggih. Sebuah teknologi yang disebut dengan Protese boleh dipasang pada zakar. Alat ini boleh digunakan dan distel saat ingin melakukan hubungan. Untuk membantu terjadinya tegang juga sudah disediakan alat vacuum.

Apabila masalah yang dialami adalah gangguan hormon, maka terapi hormon boleh menjadi penyelesaian utama. Pengkonsumsian berbagai macam jenis ubat yang sesuai, tentunya atas izin dari doktor, seperti ubat kuat dan jamu boleh dilakukan.

Namun, berhati-hatilah apabila hendak memilih jamu atau ubat kuat. Kerana beberapa kes kebelakangan ini ditemui ubat kuat-ubat kuat yang malah berbahaya bagi kesihatan.

Selain itu, penting untuk diingat apabila ingin melakukan terapi ubat, keadaan kesihatan sang pesakit juga harus sangat diperhatikan.

Penyakit kronik seperti darah tinggi dan jantung harus dirawat secara khusus. Jika salah rawatan, rawatan DE malah boleh memburukkan lagi keadaan penyakit kronik tersebut.
Dengan treatment yang tepat, keadaan tegang yang tak kunjung tiba ini boleh diatasi. Untuk mengatasinya, perlu usaha menjalankan gaya hidup yang sihat dengan makan makanan yang sihat seperti buah dan sayur-sayuran, serta memperbanyak rutin sukan.

Sumber : perempuan.com

Tuesday, December 9, 2014

Patriotiknya Mereka, Kita Bagaimana?

Taiwan Tolak Hasrat Syarikat Malaysia
TAIPEI 8 – Hasrat syarikat Malaysia untuk memiliki kepentingan ke atas bangunan pencakar langit Taiwan, Taipei 101 dijangka tidak kesampaian apabila kerajaan negara itu menentang pemilikan asing ke atas menara tersebut.

Jumaat lalu, IOI Properties Berhad menyatakan minatnya untuk membeli kepentingan Taipei Financial Center bernilai RM2.74 bilion yang dimiliki oleh Ting Hsin International Group.

Menteri Kewangan Taiwan, Chang Sheng-ford memberitahu parlimen negara itu bahawa Taipei 101 tidak boleh dimiliki oleh pihak asing kerana bangunan itu aset negara.

“Penilaian yang dibuat IOI didapati mahu mempunyai kuasa pengurusan berbanding hanya pelaburan kewangan semata-mata,” katanya.

Pesuruhjaya Pelaburan Taiwan menjelaskan bahawa, kajian untuk transaksi tersebut akan dikaji dengan mendalam terlebih dahulu. Penjelasan itu dibuat sebaik sahaja parlimen negara itu mendesak hasrat syarikat Malaysia itu ditolak.

IOI dimiliki oleh orang kelima terkaya di Malaysia, Tan Sri Lee Shin Cheng. IOI menjelaskan, pembelian tersebut akan membolehkan Taipei 101 memperoleh pendapatan sewa yang stabil. – REUTERS

**************************************************************
Kita Tidak Kurang Bakat Hebat
PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyuarakan kebimbangan mengenai langkah Malaysian Airlines (MAS) me­lantik rakyat asing sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kerana masih terdapat rakyat tempatan yang layak memimpin syarikat penerbangan itu.

Beliau berkata, pelantikan rakyat asing ke jawatan tertinggi itu seolah-olah memberikan pengakuan bahawa rakyat tempatan tidak berpengetahuan mengendalikan syarikat penerbangan.

Dr. Mahathir menegaskan, rakyat Malaysia tidak bodoh dan mempunyai banyak bakat untuk menjawat jawatan tertinggi dalam syarikat penerbangan itu.

“Saya khuatir jika kita tidak ada kepercayaan kepada diri sendiri satu hari nanti mungkin kita hendak Perdana Menteri pun orang putih sebab dia lebih pandai daripada kita.

“Bagi saya orang Malaysia tidak bodoh, waktu zaman British dahulu kita merupakan sebuah negara yang cukup kolot dan miskin namun, dapat membangun selepas merdeka dengan dipimpin oleh orang Malaysia, kita ada banyak bakat dalam negara tetapi hendak panggil konsultan dan pengarah pun panggil orang asing, ini kita bagi pengakuan bahawa kami bodoh, tolonglah kami pimpinlah kami,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar pengurusan kualiti Islam di Hotel Everly di sini hari ini. -utusan malaysia

Monday, December 1, 2014

Bacaan Al-Quran Diperdengar Semasa Pertabalan Putera Charles?

LONDON – Seorang biskop kanan Gereja England, mencadangkan bacaan ayat suci al-Quran diperdengarkan pada majlis pertabalan Putera Charles, sekiranya beliau diangkat sebagai pemerintah negara ini.

Bekas Biskop Oxford, Harries of Pentregarth berkata, langkah itu akan membolehkan penduduk Islam ‘rasa diterima’ di Britain, sekali gus membuatkan lebih banyak lapisan masyarakat termasuk bukan Islam menerima Putera Charles sebagai pemerintah baharu monarki di negara ini.

Beliau mencadangkan perkara itu ketika sesi perbahasan di Dewan Tinggi Parlimen.

Harries berkata, Gereja England perlu meneruskan peranan mempromosi keharmonian agama dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Beliau berkata, tahun lalu, satu majlis sivik di Gereja Besar Bristol menyaksikan bacaan ayat suci al-Quran diperdengarkan pada acara permulaan satu majlis agama Kristian selepas mendapat persetujuan pihak berkuasa.

“Tindakan itu kreatif, sekali gus menjadikan penganut Islam rasa diterima dan pada masa sama tidak meminggirkan penganut Kristian,’’ katanya.

Sementara itu, pengkritik mengecam idea tersebut dan menuduh Gereja England hilang keyakinan ke atas institusi dan tradisi mereka.

Sumber : utusan malaysia