nuffnang

Saturday, May 31, 2014

Bila Pula Titah Sultan Johor Berhubung Tambak Johor Akan Di Laksanakan?

Ada Pihak Sedia Biaya Jokari Link
KULAIJAYA - Walaupun gabungan jambatan-terowong dasar laut 'Johor-Karimun-Riau Link' (JOKARI) masih di peringkat cadangan, namun telah ada pihak yang tampil untuk membiayai pembinaannya yang menelan belanja RM8 bilion.

Dekan Penyelidikan Bersekutu Pembinaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Mohd Zaimi Abdul Majid, yang mencadangkan pembinaan JOKARI Link itu, berkata pembiaya telah bersetuju untuk melabur dalam projek itu.

"Kita telah pun mengemukakan kertas cadangan kepada pihak pembiaya dan reaksi mereka adalah positif untuk membiayai pembinaan JOKARI Link. Jikalau kedua-dua negara (Malaysia dan Indonesia) menyokong projek ini, ia akan menjadi realiti," katanya kepada Bernama dalam temuramah baru-baru ini.

JOKARI Link, katanya, melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 5 km yang menghubungkan Kukup, Pontian ke pulau buatan manusia yang terletak di perairan antarabangsa di Selat Melaka.

Menurut Dr Mohd Zaimi, pihaknya mencadangkan pembinaan terowong dasar laut sepanjang 13 km bagi menghubungkan pulau buatan manusia itu ke Pulau Karimun Kecil, Riau, Indonesia.

"JOKARI Link boleh disiapkan dalam tempoh tujuh tahun," katanya.

Beliau yang enggan mendedahkan identiti pembiaya itu berkata mereka telah melakukan kajian aspek pulangan pelaburan dan menjangkakan tempoh antara 15 hingga 16 tahun untuk memperoleh kembali modal pelaburan.

Jika pembinaan JOKARI Link memperoleh lampu hijau daripada kedua-dua negara, Dr Mohd Zaimi meramalkan Malaysia dan Indonesia akan menerima kesan limpahan ekonomi yang besar.

"Johor akan menerima kebanjiran industri hiliran berasaskan minyak, gas, arang batu serta batu granit memandangkan Riau merupakan antara negeri pengeluar terbesar komoditi-komoditi terbabit di Indonesia," katanya, sambil menambah Johor akan memperoleh kemudahan mendapatkan sumber tenaga kerja.

Beliau berkata kajiannya menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan melonjak beberapa peratus berikutan aktiviti ekonomi yang dijana hasil kewujudan JOKARI Link.

Menurut Dr Mohd Zaimi, beliau telah ke Tanjung Balai, Karimun bertemu kepimpinan Kepulauan Riau dan Ketua Pengarah Departemen Transportasi, Indonesia yang menyambut baik pembinaan JOKARI Link itu.

Beliau juga akan ke Jakarta Ogos ini untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pemerintah pusat, selain membentangkan cadangan projek itu kepada kerajaan negeri Johor.

Cadangan pembinaan JOKARI Link juga akan dikemukakan kepada Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri, kata Dr Mohd Zaimi.

Katanya pembinaan JOKARI Link jika mendapat restu kedua-dua negara akan mengikut model dan teknologi pembinaan Jambatan Oresund yang menghubungkan Copenhagen, Denmark dengan Malmo, Sweden.

Jambatan Oresund, kata Profesor di Fakulti Kejuruteraan Sivil, UTM itu, turut menggabungkan pembinaan jambatan dan terowong dasar laut.

"JOKARI Link perlu memiliki terowong dasar laut kerana kita tidak mahu mengganggu perjalanan kira-kira 50,000 pelbagai jenis kapal yang berulang-alik menggunakan Selat Melaka setiap tahun," katanya.

Dr Mohd Zaimi juga mendedahkan, dua syarikat kejuruteraan antarabangsa dari Korea Selatan dan Perancis telah berhubung dengannya baru-baru ini menyatakan minat untuk terlibat sama dalam pembinaan JOKARI Link.

Syarikat kejuruteraan dari Korea Selatan itu, katanya, bertanggungjawab membina Busan-Geogje Fixed Link yang juga menggabungkan pembinaan jambatan dan terowong dasar laut.

Katanya kedua-dua syarikat itu memiliki teknologi 'Immersed Tunnel' yang dicadangkan untuk digunakan di JOKARI Link, berikutan kos pembinaannya yang lebih murah berbanding 'Boring Tunnel.' - Bernama

Kenduri Seks - Malaysia Book of Records...

Memagar Serambi Mekah Daripada Pil kuda, Kenduri Seks
SEBAIK sahaja media melaporkan mengenai 'kenduri seks' yang membabitkan gadis sunti berusia 15 tahun dirogol lebih 30 lelaki di Ketereh, Kota Bharu pada 28 Mei lalu, ada yang bertanya adakah ia benar-benar berlaku.

Malah ada yang menyatakan jika betul ia berlaku sudah pasti kes ini adalah rekod baharu yang boleh dimuatkan dalam Malaysia Book of Records.

Ya, memang benar ada kewajaran untuk mempertikaikan perkara tersebut kerana ia adalah suatu perkara yang tidak normal dan tidak dapat dijangkau oleh akal fikiran.

Namun jika direnung kembali isu tersebut bukan sahaja membabitkan jumlah perogolnya tetapi ia membawa persoalan yang lebih besar dalam kehidupan sosial masyarakat di negara ini khususnya di Kelantan.

Secara jujur, penulis merasa amat malu untuk melaporkan tentang tragedi ini kerana ia berlaku dalam negeri Serambi Mekah tetapi biar sepahit mana sekali pun kebenaran ini harus didedahkan kepada khalayak sebagai pengajaran dan sempadan hidup.

Justeru itu, perkara pertama yang perlu ditelaah semua pihak terutama kerajaan dan masyarakat ialah punca kejadian itu.

Jangan lupa, statistik menunjukkan kes rogol di bawah umur di Kota Bharu amat membimbangkan, 21 kes dalam tempoh lima bulan. Ini baru satu daerah tidak dicampur dengan daerah-daerah lain di negeri ini. Satu angka yang amat menakutkan!

Daripada pemikiran yang mudah, hanya ada dua punca kejadian itu berlaku. Pertama, dadah dan kedua, sikap ibu bapa.

Namun tidak dapat dinafikan masih ada punca-punca kecil lain yang boleh menyebabkan ia berkembang menjadi besar.

Penduduk di negeri ini amnya mengetahui masalah dadah terutama pil kuda telah menjadi barah utama dalam masyarakat terutama generasi muda.

Biar sekuat mana operasi membanteras musuh nombor satu negara ini diadakan, ia tetap mara ke hadapan seolah-olah tiada siapa yang mampu menghalangnya.

Dadah jenis sintetik ini menjadikan seseorang itu seperti mayat hidup, hanya jasad yang bergerak tetapi otak entah ke mana. Pengambilnya sanggup melakukan apa sahaja hatta perkara yang dianggap tidak normal oleh manusia biasa - mungkin lebih dahsyat daripada ‘zombie’.

Justeru tidak pelik sekiranya ‘mayat-mayat hidup’ ini sanggup 'memperkudakan’ seorang gadis berusia 15 tahun beramai-ramai tanpa merasa jijik dan bersalah kerana akal sudah hilang daripada jasad.
Punca kedua, ialah ibu bapa. Soalan asas, ke mana, di mana dan dengan siapa anak kita berada? Ia harus sentiasa berada dalam pemikiran setiap ibu bapa bagi mewujudkan rasa 'curiga' demi kebaikan zuriat kita.

Benar, dunia hari ini menuntut ibu bapa bekerja kuat demi survival hidup namun anak-anak adalah harta yang tiada tolak bandingnya yang harus ditatang sehingga mereka benar-benar dewasa untuk mengenal erti dunia.

Bagaimanapun dua punca ini ada penawarnya.

Pertama, Kelantan terletak di sempadan dengan Thailand. Jarak yang memisahkan di antara kedua-dua negara hanya sekangkang kera.

Statistik juga menunjukkan Kelantan antara negeri tertinggi mencatatkan jumlah penagih dadah baru dan jumlah penghidap HIV.

Di sini pintu dadah dibawa masuk. Pintu ini harus ditutup dengan rapat. Justeru itu, cadangan kerajaan untuk membina tembok mahupun pagar di kawasan sempadan harus disegerakan sekiranya mahu melihat anak bangsa terutama Melayu Islam tidak terus rosak.

Tidak dapat dinafikan banyak perkiraan harus dibuat untuk menutup pintu ini. Kerajaan Pas Kelantan memikirkan undi yang akan hilang disebabkan penduduk di sempadan marah kerana pintu rezeki mereka ditutup. Kerajaan Pusat pula memikirkan kos ratusan juta yang perlu dilaburkan.

Tetapi kebaikannya amat besar demi generasi akan datang. Pagar atau tembok harus dibina secepat mungkin.

Kedua, adalah ibu bapa dan masyarakat. Ini kunci azimat untuk menutup segala jendela kemaksiatan. Semuanya bermula di rumah.

Masyarakat juga harus cakna dengan persekitaran mereka dan bukan hanya menyerahkan kepada polis atau kerajaan untuk menyelesaikan setiap isu sosial.

Pihak berkuasa khususnya Polis Kelantan telah melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang, statistik jenayah semakin menurun. Cuma ada satu dua kes yang menyakitkan hati.

Kini menjadi tugas semua anggota masyarakat bermula daripada keluarga sehingga ke pemimpin tertinggi untuk memasang 'pagar' mengelakkan anak-anak muda terjebak dengan masalah sosial.

Terakhir, mungkin sudah sampai masanya hukum hudud dilaksanakan secepat mungkin di negeri ini bagi mewujudkan rasa gerun kepada pelaku jenayah.

Harap-harap tiada lagi berita kenduri seks atau rogol yang terpaksa dilaporkan di dada akhbar selepas ini.

Oleh : Azran Fitri Rahim

Friday, May 30, 2014

Beranikah PM Memansuhkan Sekolah Vernakular?

Bahasa Melayu Bahasa Ke-5 Terbesar Di Dunia
BEIJING - CHINA. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahasa Melayu kini diangkat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, dengan lebih 300 juta orang penutur.

“(Ia) bermula seawal kurun ke-15, apabila Dinasti Ming di China menubuhkan jabatan bahasa asing yang turut merangkumi bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu tersebar luas sehingga dipelajari oleh penutur dan orang asing, dan usaha ini telah menyemarakkan proses pendidikan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa,” katanya semasa merasmikan persidangan antarabangsa 'Pengajian Melayu 2014 Hubungan Malaysia-China' di Beijing Foreign Studies University (BFSU), pada Jumaat.

Persidangan itu dijadual berlangsung empat hari hingga 2 Jun. Najib berkata Profesor Wu Zungyu, tokoh bahasa terkemuka dari BFSU China turut mengakui bahawa bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang besar di serata dunia.

“Oleh yang demikian, tidak hairanlah Pengajian Melayu merupakan satu bidang yang semakin menarik minat orang ramai dan tersebar luas ke seluruh dunia.

"Minat terhadap pengajian Melayu bukan sahaja berada dalam lingkungan dunia Melayu, bahkan telah menjadi satu agenda pendidikan hampir di serata dunia,” katanya.

Pada majlis itu Najib turut melancarkan tiga buah buku - Kamus China-Melayu Dewan, Kajian Bandingan Pantun Melayu dengan Nyanyian Rakyat Tiongkok dan Eksplorasi Pengajian Melayu-China - terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta United Publishing House Sdn. Bhd.

Kamus China-Melayu Dewan mempunyai 20,540 entri dan subentri yang terdiri daripada kosa kata bahasa Cina kontemporari dan lazim dalam urusan seharian.

Buku Kajian Bandingan Pantun Melayu Dengan Nyanyian Rakyat Tiongkok pula adalah kajian perbandingan dari segi rima, pembayang dan maksud pantun, penggunaan perkataan, dan pemikiran yang terkandung dalam pantun serta nyanyian Melayu-Rakyat Tiongkok,

Buku Eksplorasi Pengajian Melayu-China merupakan himpunan pantun mengenai Pengajian Melayu di China. - Bernama

Thursday, May 29, 2014

Pulau Batu Putih Milik Johor

Sultan Johor Arah Tubuh Pasukan Rayuan Pulau Batu Putih
Johor Bahru 29 Mei - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menitahkan kerajaan negeri menubuhkan pasukan khas untuk memfailkan rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Kehakiman Antarabangsa (ICJ) berkaitan Pulau Batu Putih.

Menurut baginda, walaupun hal ehwal luar negara terletak di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan, adalah tidak wajar jika kerajaan Johor tidak dimaklumkan atau tidak dibawa berunding dalam perkara yang melibatkan kepentingan Johor dan Singapura.

"Bukankah orang Johor lebih memahami tentang jirannya berbanding orang di Putrajaya? Bagaimana pihak Persekutuan lebih tahu tentang keperluan atau kehendak negeri dan rakyat Johor?" titah baginda.

‎Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini hari ini. - Utusan Online

Wednesday, May 28, 2014

Keintiman Perlukan Kreativiti

Rasa Bosan Ketika Bersama Pasangan?
Sebenarnya, apabila telah lama berumah tangga, ada pasangan merasakan soal seks itu bukan lagi satu keperluan dalam hidup, sedangkan mereka silap. Isu ini melibatkan perasaan dua jiwa dan sekiranya tidak berhati-hati pasti ada hati yang terluka kerana terdapat individu yang tidak diendahkan dari segi permintaan batin mereka. Antara punca menyebabkan pasangan malas melakukan hubungan seks adalah kerana mengalami kebosanan dalam bilik tidur dan tidak kreatif.

Mungkin ada yang bertanya, melakukan seks perlukan kreativiti? Jawapannya memang perlu kerana dengan gaya dan cara yang diperhalusi dapat memberi nafas baharu terhadap aktiviti seks anda.
1. 'Bangunkan' pasangan malas
Jika pasangan anda telah ‘berhenti’ daripada melakukan bahagian yang perlu dikongsi ketika di bawah selimut, seperti gerakan-gerakan erotik, ciuman, rangsangan, belaian dan sebagainya, tolong ingatkan dia yang anda merindui cara dia melayan anda seperti dahulu.Beritahunya anda sudah lama tidak merasai sentuhan hebatnya secara jujur. Sekiranya pasangan anda sayang dengan hubungan itu pastinya dia akan melakukan sesuatu mengenainya. Pasangan yang malas ‘berusaha’ merangsang pasangannya di atas katil tidak memberi apa-apa makna dalam hubungan seks. Ini kerana hubungan seks yang dilakukan secara malas atau tidak ada rangsangan akan terasa hambar. Sekiranya dilakukan secara ‘tangkap muat’ sahaja, mungkin hanya seorang sahaja yang mendapat kepuasan di sini.

2. Cara seks boleh dijangka
Tercetus perasaan sedikit bosan tentang cara seks anda berdua kerana anda boleh menjangkakan bagaimana ianya bermula dan kemudian berakhir. Bagi menghilangkan rasa kebosanan itu apa kata anda menukar cara taktik hubungan seks anda. Mungkin boleh tukar posisi atau bereksperimen dengan kaedah baharu. Mungkin anda boleh memasukkan bahan-bahan yang menjadi pemangkin kepada unsur-unsur seks seperti gel pelicin, haruman dan sebagainya.

3. Pedulikan kaitan emosi dan fizikal
Cara anda melayan pasangan di luar bilik tidur secara negatif selalunya akan memberi kesan kepada cara hubungan seks anda. Mungkin anda marah kepadanya kerana dia selalu membebel menyebabkan anda rasa jengkel dengan perangainya. Perasaan seperti ini boleh menimbulkan kesan kepada perlakuan hubungan seks. Dalam hal ini anda perlu perbaiki hubungan anda dengan pasangan agar tidak terbawa-bawa dengan perasaan meluat kepada pasangan tatkala melakukan hubungan intim.

4. Gangguan daripada alat-alat gajet
Sekiranya anda seorang yang memang tidak dapat dipisahkan dengan pelbagai alatan gajet sehingga sampai di atas katil turut memberi pandangan yang negatif daripada pasangan. Sekiranya anda sibuk melayari internet atau membalas emel, secara tidak langsung memberikan petunjuk kepada pasangan yang anda enggan atau tidak berminat melakukan seks pada malam itu.
Seterusnya anda berdua hanya sibuk melayari internet di ‘zon’ masing-masing, lakukan sesuatu. Jadikan bilik anda ‘zon bebas’ teknologi, caj telefon anda di luar dan jadikan bilik itu hanya untuk anda berdua.

5. Imej badan yang negatif
Imej badan yang kurang menarik setelah lama berumah tangga hasil kelahiran bayi, faktor usia, berat badan, selulit, badan menggeleber menyebabkan pasangan anda sudah tidak lagi berminat melakukan seks dengan anda. Ditambah masalah kesihatan menyebabkan pasangan turut menjadi terlalu ‘peka’ dengan tubuh masing-masing. Dalam hal ini setiap pasangan sepatutnya saling memuji mengenai penampilan dan keadaan diri dan sematkan dalam pemikiran setiap kecantikan itu terhasil daripada pandangan tuan punya badan sendiri. Apa-apa pun setiap pasangan perlu menjalani kehidupan yang sihat.

6. Seks tidak dipaksa
Sekiranya anda adalah seorang yang gemar melakukan seks dengan cara yang singkat dan ringkas atau mempunyai kemahuan seks yang tinggi, jangan paksa pasangan anda mengikut kemahuan anda secara membabi buta. Tolong peka dengan perasaannya. Sudahlah begitu, sekiranya anda tidak dapat apa yang dimahukan anda akan mengkritik pula pasangan sehinggakan dia takut untuk melakukan seks kerana khuatir dengan apa pandangan anda terhadapnya. Berfikir cara orang yang dewasa, paksaan akan menyebabkan tekanan kepada pasangan anda. Kuncinya adalah keseimbangan fikiran kerana seks dilakukan secara rakus tidak seronok. Seks adalah penuh dengan keindahan, sopan dan ada cara-caranya yang lembut dan saling memuaskan.

7. Berfantasi di bilik tidur
Biarpun anda melakukan seks tetapi sekiranya tiada rangsangan daripada otak, semuanya tidak akan berlaku sebagaimana diharapkan. Pemikiran dan fantasi anda memainkan peranan di bilik tidur.
  
8. Kepenatan
Sebenarnya pasangan hari ini tidak lagi melihat seks satu keperluan dalam hidup mereka kerana terlalu penat dengan kesibukan harian. Bagi menghadapinya, jadikan masa rutin anda di bilik tidur sebagai satu pasukan. Kerjasama dengan pasangan menyelesaikan kerja-kerja rumah sebelum masuk tidur bersama adalah diperlukan. Begitu juga ketika anda dan pasangan di atas katil, jadikan ia satu bentuk kerjasama berpasukan. Nikmati hubungan seks anda sepenuhnya.

Sumber : utusan@keluarga

Sunday, May 25, 2014

Siasat Juga Lambakan PATI, Persundalan, Arak, Judi, Dadah...!

Banyak kejutan
Sudah banyak pendedahan dibuat oleh akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia tentang salah guna dan penyelewengan agihan subsidi diesel dan petrol sejak awal minggu ini. Terlalu banyak kejutan. Rupa-rupanya ramai terlibat menjadi pengkhianat, yang melibatkan mungkin ratusan para pegawai serta petugas pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.

Beberapa operasi untuk membanteras gejala itu disabotaj kerana mereka sudah disogok bertahun-tahun lamanya. 'Harapkan pagar, pagar makan padi'. Ada yang mempunyai jutaan ringgit wang dalam akaun hasil aktiviti gelap. Awang ucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mengambil langkah tegas. Dipercayai ramai lagi pegawai terutama agensi penguat kuasa terlibat. Siasat habis-habisan dan dakwa mereka ke mahkamah.

Apa yang berlaku ini, sudah lama membawa mudarat besar kepada ekonomi negara selain menjejaskan golongan sasaran sebenar. Bayangkan sebanyak 6 bilion liter petrol RoN95 dan 3.5 bilion liter diesel diseleweng dan salah guna. Awang percaya tiada negara lain yang menghadapi situasi seburuk ini. Ketirisan amat dahsyat, yang tidak boleh lagi dibiarkan dengan formula lama dan tidak berkesan. Jalan keluar terbaik, lakukan pembaharuan dengan mengkaji semula kaedah agihan bahan bakar itu. Ia jauh lebih berkesan daripada langkah-langkah lain, yang tidak akan banyak membantu. Dalam pada itu, Awang angkat topi kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil inisiatif membentuk gagasan Anti Seleweng Subsidi (GASS) bagi membantu menangani ketirisan subsidi petrol dan diesel.

Percayalah, akan terdedah banyak lagi penemuan dan kejutan. Memetik sumber pegawai kanan SPRM: "Gejala rasuah dan salah guna yang membawa ketirisan subsidi petrol dan diesel ini sangat menakutkan.'' Angkara penjawat awam, kerajaan yang menanggung akibat. Awang hanya mampu geleng kepala.

Oleh : Awang Selamat

Thursday, May 22, 2014

Hudud: Pas Dipermainkan DAP

KUALA LUMPUR - Pas dilihat sering dipermainkan oleh rakan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang terutama DAP yang menganggap perjuangan parti itu untuk melaksanakan hukum hudud sebagai satu bahan mainan.

Ahli Pas kawasan Subang, Selangor, Mohd. Saad Yahaya berkata, lebih parah ada dalam kalangan pemimpin Pas sendiri suka dipermainkan apabila sanggup tunduk kepada desakan DAP biarpun membabitkan agenda perjuangan parti.

Jelas beliau, Pas sepatutnya bertanggungjawab memberi penjelasan kepada DAP berhubung pelaksanaan undang-undang Islam itu dan memahami perjuangan Pas itu jika mereka benar-benar menganggap parti itu sebahagian rakan dalam pakatan pembangkang.

Sehubungan itu, katanya, Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor merupakan pentas terbaik untuk Pas memberi penerangan kepada kaum Cina di Pulau Pinang berhubung hukum tersebut yang mahu dilaksanakan parti itu
.
"Rakyat negeri di bawah kepimpinan DAP itu terutama Ketua Menterinya, Lim Guan Eng wajib memahami agenda perjuangan Pas itu jika mereka benar-benar menganggap parti itu sebahagian rakan dalam pakatan pembangkang
.
"Namun, pada saya mereka hanya anggap kita sebagai `rakan mainan'.

"Kita kerap dipermainkan, lebih parah ada dalam kalangan pemimpin kita suka dipermainkan, malah mereka juga tumpang bermain-main dengan perjuangan kita," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau amat kecewa isu pelaksanaan hukum hudud yang kembali panas gara-gara calon Bebas pada pilihan raya kecil itu, Mohamed Nabi Bux Mohd. Nabi Abd. Sathar mahu memperjuangkan undang-undang Islam itu menjelang 2020, telah `dimatikan' oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri.

Katanya, tindakan Abdul Hadi yang menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian ber­kenaan pelaksanaan hukum hudud Kelantan di Dewan Rakyat mengecewakan hati ramai ahli akar umbi parti kerana beliau sanggup tunduk kepada desakan DAP yang selama-lamanya tidak pernah setuju dengan Pas dalam soal hudud.

"Kami (ahli) di bawah tidak pernah berubah, namun yang di atas kerap berubah fikiran mengikut arahan yang diatur oleh pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Syabas Mohamed Nabi Bux walaupun keseorangan namun perjuangan anda dihargai. Kepada semua umat Islam di Bukit Gelugor, anda wajib mengundi beliau," katanya.

Oleh : Maisarah Sheikh Rahim

Wednesday, May 21, 2014

Dyana Pergilah Pujuk Dong Zong

Kenapa Ganggu UiTM, Kenapa Tidak SRJK?
KOLUM Cuit minggu lepas telah meramalkan Dyana Sofya akan menjadi calon DAP pada PRK Parlimen Teluk Intan. Betul, Setiausaha Politik Lim Kit Siang itulah yang diangkat menjadi calon.

Melihat dia dan ibunya Yammy Samat di satu majlis yang saya turut hadir minggu lepas, saya berkata dalam hati “gadis alumni UiTM ini cukup versatil dan dalam usia 27 tahun dia sudah berjaya berada dalam inner circle Lim Kit Siang." Hebat!

Sebagai Presiden Alumni UiTM Malaysia, itu perasaan saya ketika itu. Namun selepas hari penamaan calon, gadis itu sudah lupa daratan. Dia telah menghina UiTM.

Dyana telah menarik institusi keramat Bumiputera, alma maternya sendiri, menjadi modal kempen kebencian kaum. Setelah berada dalam inner circle Kit Siang - dia sudah lupa siapa dirinya dan asal usul induk bapanya. Ibunya berdarah Cina
.
Wahai Dyana, janganlah dipertikaikan kewujudan UiTM. UiTM tidak pernah menjadi milik UMNO pun, tetapi adalah milik mutlak bangsa Melayu bumiputera bagi membantu mereka merapatkan jurang sosioekonomi kaum lain yang lebih terkehadapan.

UiTM menjadi pengimbang sosioekonomi Melayu bumiputera agar bangsa Melayu seperti Dyana tidak lagi memerlukan ‘tongkat’ untuk maju dalam kerjaya dan kehidupan.

Tahniah Dyana, anda tidak lagi memerlukan tongkat itu, tapi anak-anak dan cucu-cucu kamu mungkin masih memerlukan selagi jurang sosioekonomi terus wujud.

Persoalannya mengapa gemar sangat DAP menyentuh institusi pendidikan ulung istimewa orang Melayu bumiputera itu. Adakah kerana ia semakin hebat sekarang? Institusi itu ternyata cemerlang dalam melahirkan siswazah yang cukup berjaya dari dulu hingga sekarang.

Mengapa Dyana terlalu terharu apabila Kit Siang melinangkan air mata kerana UiTM. Mengapa Dyana tidak melihat berapa ramai lagi bangsanya sendiri yang menangis kerana keciciran?
Siapa yang memenuhi kolej-kolej dan universiti-universiti swasta yang tidak mampu dimasuki oleh pelajar-pelajar miskin?

Untuk pengetahuan Dyana, sekolah Cina juga bukan milik MCA atau DAP. Ia adalah milik rakyat. Maka itu ia sepatutnya menjadi seperti sekolah rakyat atau sekolah kebangsaan. Sebagai sekolah milik rakyat ia harus menggunakan bahasa rakyat Malaysia iaitu bahasa kebangsaan sahaja.

Sepatutnya Dyana menjadi aktivis ke arah merealisasikan Satu Sekolah Untuk Semua seperti yang diamalkan di Singapura, Thailand, Filipina malah Amerika dan China serta di India.

Dyana seharusnya menjadi orang tengah memujuk Dong Zong yang menentang guru-guru yang tidak fasih dalam penggunaan bahasa Mandarin (rata-ratanya guru Me­layu) daripada dihantar ke sekolah-sekolah Cina.

Pelantikan seorang penolong pengetua berbangsa Melayu di sebuah sekolah Cina di Alor Gajah baru-baru ini pun menjadi isu kerana dibantah oleh Dong Zong dengan tunjuk perasaan.

Jijik sangat ke kita ini? Jika sistem pendidikan sekolah kita telah menjadi satu - tiada lagi sekolah Cina atau vernakular lain, maka saya sendiri akan memperjuangkan supaya UiTM juga dibuka kepada semua.

Jika kewujudan sekolah Cina tidak langsung termaktub dalam peruntukan Perlembagaan malah bercanggah pula, kewujudan UiTM sekurang-kurangnya berkait dengan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Dyana dan DAP, janganlah dijolok sarang tebuan!

Tuesday, May 20, 2014

Oh Bahasaku!

Sebenarnya soal perbahasan mengenai bahasa Melayu ini tak habis-habis lagi diperbincangkan. Mengapa ya? Apakah lemah sangat mutu bahasa Melayu ini? Atau mulai dipinggirkan? Sudah tidak dihormati? Atau sudah hilang daya saing?

Renung-renungkanlah...

Sasterawan Negara, Usman Awang tamat sekolah Melayu darjah 6; menulis dalam bahasa Melayu; karya dalam bahasa Melayunya diterjemahkan hampir dalam 10 bahasa.

Novel Salina ditulis oleh Samad Said dalam bahasa Melayu; turut diterjemahkan dalam 10 bahasa.
Paulo Coelho; menghasilkan pelbagai karya dalam bahasa Portugis. Novel tersohornya The Alchemist diterjemahkan ke dalam 67 bahasa mencapai jualan sekitar 150 juta naskhah seluruh dunia.

Kawan saya Mr. Katano cakap orang Melayu kurang berjaya sebab bila ada satu ilmu moden seperti kejuruteraan mahu disampaikan, maka orang Melayu majoriti tidak faham. Sebab Melayu yang tahu ilmu tersebut hanya boleh sampaikan dalam bahasa Inggeris kerana belajar di England.
 
Manakala orang Jepun yang pergi belajar di Jerman dan Amerika, apabila pulang mereka mengajar ilmu yang dipelajari dalam bahasa Jepun, maka majoriti orang Jepun fahamlah.

Kita sibuk bahasa Inggeris, bahasa Melayu mahu dicampak ke mana?

Bimbang, bahasa Melayunya tidak mencecah bumi; bahasa asingnya tak sampai ke langit.
Saya sokong sepenuhnya memartabatkan bahasa Melayu. Kepada orang Melayu yang kurang fasih bercakap atau menulis bahasa Melayu kena belajar lagi. Kita mesti tunjukkan kepada orang bukan Melayu bahawa orang Melayu pun kena mencuba dan terus belajar menguasai Melayu. Jangan marah kalau terasa. Nanti kena jual.

Tidak salah belajar bahasa, jangan taksub dengan budaya mereka. Pejuang bahasa Melayu pun rata-rata Inggeris mereka hebat. Masalah kita adalah mengamalkan budaya mereka lebih daripada belajar bahasa.

Isu bahasa akan terus berlarutan lama lagi, selagi sistem pendidikan negara masih ada pelbagai
cabang. Masing-masing kaum di Malaysia mengakui bahasa mereka lebih baik.
Mereka mendakwa, bahasa Cina dan India ditutur oleh berbilion orang. Siapa lebih hebat? Aduhai...

Oleh : Zaini Hassan

Sunday, May 18, 2014

Rahsia Jaga Suami Ketika Usianya Menjangkau 40

ANGKA 40 membawa persepsi yang berbeza terhadap lelaki dan wanita. Bagi lelaki usia 40 dianggap sebagai permulaan hidup baru, semangat baru, semakin matang. Bagi wanita usia 40 dikaitkan dengan perkara-perkara negatif, dan selalu dikaitkan dengan musim saham mula menurun.

Bukan berniat merendahkan orang perempuan, jauh sekali untuk memperlekeh kaum wanita. Cuma saya ingin bercakap perkara yang betul di depan mata. Satu hakikat perihal Adam dan Hawa.
Macam mana pun golongan pejuang wanita menegaskan tidak ada beza antara lelaki can perempuan, saya tetap berasa ada perbezaan yang jelas. Ini bukan soal fizikal - yang memang jelas ada bezanya - tetapi ciri-ciri lain yang menyebabkan Leha dan Leman tidak serupa.

Sebenarnya, awal-awal sudah berbeza. Dari segi tahap kematangan semua orang mengakui perempuan lebih cepat dewasa berbanding lelaki. Anak perempuan baligh lebih awal dari lelaki. Ada gadis yang mula haid seawal sembilan tahun. Sebaliknya, ada lelaki yang sudah masuk usia 17 belum ada apa-apa.

Mereka yang mempunyai anak-anak lelaki dan perempuan boleh melihat hal yang sama. Baru darjah enam anak perempuan sudah boleh diharap mengemas bilik tidur, mencuci pinggan mangkuk, membancuh susu adik. Anak lelaki sudah tingkatan tiga pun masih tidak tahu apa-apa.

Sebab itu orang putih kata, kehidupan seorang lelaki bermula pada usia 40 tahun. Konon, pada usia ini lelaki menjadi lebih matang, tepat membuat keputusan, bijak memberi cadangan, lebih penyayang, lebih prihatin, lebih itu, lebih ini.

Hanya satu yang tidak sedap, malah tidak adil: konon pada usia 40 inilah degree kemiangan lelaki dikatakan semakin meningkat!

Miang, gatal, merenyam, gelenyar...banyak lagi istilah-istilah (maaf, sesetengahnya tidak sesuai disiarkan sebab kedengaran kurang sopan) yang seerti dengannya untuk menggambarkan perangai lelaki setelah melewati usia empat puluhan.

Orang perempuan selalu memberi alasan yang serupa untuk menguatkan andaian bahawa lelaki memang miang. Antaranya, yang paling biasa: suami mula menjeling wanita lain, suami mula main kayu tiga, suami kahwin baru.

Bukanlah hendak menyebelah lelaki, tetapi pada hemat saya andaian seperti itu adalah rambang, dan sekali gus tidak adil. Sebab, bilangan suami yang main kayu tiga, atau membuka 'cawangan' baru adalah kecil, terlalu kecil. Mungkin yang jeling-jeling wanita lain ramai, tetapi percayalah jelingan itu tidak membawa apa-apa mudarat. Lagi pun ada sebab suami menjeling wanita lain.

Maaf cakap, ketika suami mula 'meriah habis' pada usia 40, wanita pada usia tersebut dikatakan mula mengendur dan 'dingin' dalam banyak hal. Sebenarnya, ini diakui sendiri oleh ramai wanita, sebab itu mereka tidak suka usia empat puluhan disebut.

Pendek kata, angka 40 membawa persepsi yang berbeza kepada lelaki dan wanita. Bagi lelaki, usia tersebut dikaitkan dengan kematangan can kehebatan, bagi perempuan, usia tersebut sering digambarkan sebagai peringkat saham menurun.

Kalau ada suami yang mula menunjukkan tanda-tanda 'keriangan' luar biasa, saya ada panduan untuk isteri menyekat suami main mata dengan orang lain. Kaedah ini tidak ada dalam buku motivasi suami-isteri, tetapi boleh dicuba.

Pertama, layan suami seperti biasa. Hangatkan suasana dengan kata-kata yang memberangsangkan. Contoh: "Fuhhh, misai abang sekarang tebal semacam, kita tengok pun geram!" Atau: "Abang sejak minum kopi herba tu, kita rasa luar biasa!"

Kata-kata seperti ini boleh membangkitkan semangat, dan suami merasa dihargai. Tetapi jangan cakap sahaja, isteri patut buktikan dengan perbuatan. Jika hanya pandai memuji misai, tetapi di bilik tidur isteri rebah dan tidur macam tunggul, pujian tentang misai itu tidak bererti langsung.

Tidak guna menyiapkan kopi dengan tujuh ramuan herba, sekiranya di katil isteri berdengkur kuat seperti bom, tanpa sedikit pun menghiraukan perasaan suami yang seperti gelora tsunami.

Masalahnya ialah wanita pada usia 40, lebih-lebih lagi yang sudah beranak ramai, sudah mula dingin seks. Bukan putus haid, tetapi mula tidak berapa minat mengadakan hubungan kelamin. Mungkin sebab kesibukan di pejabat, atau letih melayan anak-anak sepanjang hari di rumah, isteri menjadi pasif di katil. Letak sahaja kepala di bantal, terus berdengkur.

Pada hemat saya, tanpa mengira usia, isteri patut bijak melakukan reaksi-reaksi hangat semasa berdua di kamar tidur. Mungkin boleh cuba urutan cakar harimau yang popular itu. Sambil mencakar boleh bergurau senda, dan puji-puji tentang misai.

Kalau cakaran harimau sudah mengena, suami yang letih menjadi segar semula. Pasti suami akan membalas dengan cakaran kucing jantan.

Bayangkan apa akan terjadi apabila cakar berbalas cakar. Tentu harimau akan mengaum.

Amaran: hati-hati sekiranya isteri berkuku panjang dan tajam, takut tersilap cakar luka pula kulit belakang suami. Akibatnya, suami berasa kesakitan dan mungkin menggunakan tendangan kambing gurun hingga isteri terpelanting bawah katil!

Kedua, isteri mesti terus bergaya. Sebenarnya wanita pada usia 40-45, masih cantik dan menawan. Masih anggun dan mempesona. Memanglah tidak 'cun-melecun' seperti gadis belasan tahun lagi ‘trang-tang-tang'. Tetapi sekiranya bijak mendandan diri, suami pasti tidak menjeling pada orang lain.

Masalahnya ialah sesetengah isteri, terutama yang menjadi suri rumah sepenuh masa, tidak menghiraukan soal keterampilan diri. Tidaklah selekeh, tetapi kurang mesra alam. Rambut tidak disisir, menggerbang macam langsuir atau penunggu pohon beringin dalam Misteri Nusantara. Dahi berkerut, bibir berkedut. Tanpa bedak, tanpa gincu. Pipi pun berminyak semacam.

Sudahlah begitu, pakaian pun asyik kain batik lusuh dengan t-shirt Pagoda leher bulat yang ketiaknya terkoyak sedikit. Ini sudah menjadi uniform tidak rasmi suri rumah yang tidak berseni. Sesetengahnya langsung tidak berbaju, hanya berkemban. Sudahlah berkemban, nampak bulu ketiak keriting, betul-betul macam ibu si Tenggang.

Percayalah, kalau rupa seperti ini yang dilihat oleh suami setiap hari, belum masuk usia 40 tahun pun suami sudah menjeling wanita lain. Jika hari-hari melihat puntianak atau ibu si Tenggang, suami pun berasa muak juga. Suami pun hendak melihat benda-benda indah.

Sebenarnya, mendandan diri bukan susah sangat. Lagi pun kebanyakan suami tidak cerewet sangat. Suami tidak mengharapkan isteri menyambutnya dengan pakaian berjenama antarabangsa, atau jari lentik dengan kuku berwarna, bibir merah dan basah berkilat, rambut ikal mayang teknik rebonding, alis lentik bagai penari Mak Yong.

Apa yang dikehendaki oleh kebanyakan suami ialah penampilan seorang isteri yang kemas, sopan dan kelihatan manja. Jangan lentuk sangat, suami naik lemas pula. Rambut perlu disisir kemas, pada hari-hari tertentu (petang Khamis umpamanya!) boleh letak bunga ros di kepala. Tetapi, jangan pula terlebih hingga pacak bunga manggar di kepala. Nanti suami ingat isteri sudah sewel.

Pipi patut dihias supaya tidak nampak berminyak macam mamak jual capati. Kalau tidak mampu pakai bedak yang berjenama, bedak biasa pun boleh, asalkan disapu dengan kemas. Jangan asyik lumur dengan bedak beras sejuk sehingga wajah kelihatan seperti wayang China purba!

Tidak salah menyambut kepulangan suami dengan haruman. Semburlah pewangi yang boleh membangkitkan semangat. Kalau tidak ada pewangi pun gunakanlah haruman ash dari bunga cempaka, melur, kenanga atau lain-lain bunga wangi.

Kalau pun teruk memasak di dapur pastikan bau serbuk kari, sambal belacan, budu, atau bau ikan pekasam goreng tidak melekat di tubuh. Amaran: jangan sekali-sekali ada bau semburan ubat lipas atau kapur barus pada tubuh. Mati selera suami.

Ketiga, mesti selalu senyum. Sambutlah suami dengan senyum paling manis. Senyum yang ikhlas, dan bukan dibuat-buat. Ingat, orang lelaki dapat membaca antara senyuman ikhlas dan senyum palsu. Tetapi, jangan tersengih tidak tentu pasal, nanti suami ingat isteri tersampuk puntianak s***** malam.

Tidaklah diharapkan isteri mengurut-urut bahu atau dada suami sebaik masuk ke rumah, lebih-lebih lagi di hadapan anak-anak. Memadailah isteri menegur: "Abang nampak letih, boleh kita ambilkan air? Abang nak air sejuk atau air panas?"

Tetapi, jangan pula memberitahu suami benda-benda yang mungkin mematikan semangatnya, seperti: "Tadi ada orang datang, dia kata abang dah tiga bulan tak bayar ansuran kereta, betul ke?" Atau: "Orang sebelah tu beli TV 29 inci, boleh tak kita beli yang 36 inci?"

Keempat, etika di bilik tidur. Ini paling penting, sebab bilik tidur adalah tempat rehat bagi suami isteri. Tempat tidur mesti selalu kemas dan menarik. Semburkan haruman supaya semerbak sepanjang malam. Sesekali taburkan bunga-bunga wangi di atas tilam. Barulah bersemangat untuk cakaran harimau atau cakaran kucing.
video
Malangnya, bagi isteri yang sudah melewati empat puluhan, bau haruman di kamar beradu biasanya tidak dihiraukan lagi. Tidak ada bau minyak wangi, seperti zaman baru-baru kahwin dulu. Apa yang memenuhi bilik tidur sekarang hanyalah bau minyak angin.

Bilik tidur penuh dengan beraneka minyak angin. Penjuru katil ada minyak lenguh sendi, tepi bantal ada minyak sengal tulang, atas tilam ada minyak pening kepala, bawah katil pun ada minyak semput.

Walaupun sudah lenguh sana-sini, minyak-minyak itu bukan di kamar tidur tempatnya. Kalau setiap malam hidung suami tersumbat bau minyak angin, matilah seleranya untuk mencakar. Ini yang isteri kena faham.

Selamat mencakar ..... Aummmm !!!!

Saturday, May 17, 2014

Hina Perdana Menteri!!! Pengawal Keselamatan Di Pecat!!

Ini yang berlaku di singapura, seorang pengawal keselamatan berbangsa Melayu di pecat oleh majikannya kerana dia didapati menghina perdana menteri singapura dalam facebook perdana menteri itu...
 
SINGAPORE May 15. Mr Ridhuan Abdullah, 30, was sacked from his job as a security officer at Keith Morton for posting a comment on PM Lee's facebook page which was deemed to be vulgar.
 
The security firm explained that the conduct of Mr Ridhuan is not condoned by the firm and security officers are expected to uphold at least a basic standard of decorum at all times. Klik Sini
 
Tapi di Malaysia macam tiada masalah. Macam-macam dah kita lihat posting-posting melampau melibatkan YAB Perdana Menteri, Kesucian Agama dan Rasis, tapi akhirnya macam tiada apa-apa tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa. Paling tidak pesalah akan dipanggil untuk memberi keterangan dan kemudian dilepaskan begitu sahaja. 
 
Maka, diharapkan kes ini akan membuka mata pihak berkuasa kita seperti polis dan pejabat peguam negara supaya lebih efektif dan relevan dalam menangani isu-isu seperti ini. Sumber

Friday, May 16, 2014

Dunia Jika Tanpa Islam

TIDAK dinafikan, kejayaan Barat dalam memonopoli pelbagai bidang termasuk ilmu pengetahuan, teknologi dan ekonomi pada masa kini telah meletakkan mereka sebagai negara kuasa besar dunia.

Malah, menjadi fenomena yang dibanggakan jika terdapat dalam kalangan kita yang berjaya melanjutkan pelajaran atau berkhidmat di negara yang dianggap pencetus kepada pembaharuan tamadun dunia itu.

Sehinggakan secara tidak disedari, hakikatnya Islam yang telah mencipta tamadun dengan lahirnya ribuan ulama dan ilmuwan dalam pelbagai bidang seperti teologi, falsafah, sains dan teknologi mula terhakis secara perlahan-lahan dalam minda manusia.

Bahkan, semasa tamadun Islam berada di dalam era kegemilangannya iaitu pada abad pertengahan sehingga abad ke-14 Masihi, Barat masih lagi dalam zaman kegelapan. Barat ketika itu masih memusuhi sains dan melihat sains sesuatu yang bertentangan dengan agama.

Sarjana Barat juga didakwa giat berguru dengan ulama Islam seperti yang didedahkan oleh seorang penulis, Turki Fuat Sezgin, yang menerbitkan karyanya bertajuk Geschichte des Arabischen Schrifttums.

Ibnu Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah memperkenalkan tamadun bermaksud sekumpulan manusia yang tinggal kekal di sesuatu tempat atau kota atau wilayah dan tanah pertanian yang akhirnya merintis kemajuan, kemakmuran dan pencapaian yang bersumberkan agama.

Peradaban manusia
Menyokong perkara itu, pendakwah antarabangsa, Dr. Isam Rajab berkata, kemajuan dan peradaban manusia berkemungkinan tidak akan sehebat pada hari ini jika tanpa sumbangan dan panduan agama Islam.

Ia katanya, selari dengan ajaran Islam yang menitikberatkan perihal akhlak dan keperibadian manusia yang bermula daripada dalam diri setiap individu
.
Justeru, tambahnya, garis panduan dan didikan bermula daripada akar umbi yang telah ditetapkan oleh Islam secara tidak langsung menjadikan tamadun manusia bertambah maju dan berkembang pesat sehingga ke hari ini.

“Islam menganjurkan kepada umatnya untuk bersaudara. Ia bermaksud kita dituntut untuk saling kenal-mengenali dan tolong-menolong antara sesama manusia, bukan hanya menjaga kepentingan diri sendiri atau membuat urusan sendiri.

“Islam juga menitikberatkan soal keadilan bagi menjadikan manusia sentiasa akan merasa selamat dan terpelihara tidak kira sebarang sentimen atau sebab. Islam telah menyediakan undang-undang yang Allah SWT jelaskan menurut al-Quran untuk menghukum pesalah dan membela kebenaran.

“Selain itu, pendustaan, hasutan dan fitnah sangat ditegah di dalam Islam. Perkara yang disuruh dan dilarang menurut Islam ini semuanya mempunyai hikmah yang diperintahkan," katanya
.
Beliau berkata demikian pada wacana Why People Need Islam: Now More Than Ever yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa' Malaysia di TTDI, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata, kegagalan manusia dalam mengikuti garis panduan yang dianjurkan oleh Islam itu menjadikan manusia hidup dalam kucar-kacir dan dalam ketakutan, sekali gus membantutkan perkembangan tamadun dan kemajuan manusia.

“Manusia akan hidup dalam kegelapan. Sentiasa dalam ketakutan, rasuah, penipuan dan maksiat bermaharajalela di muka bumi ini. Ia apabila tiada lagi keadilan, kejujuran dan nilai kemanusiaan dalam diri seseorang.

“Kesannya, peradaban manusia akan semakin kucar-kacir dan tidak seimbang. Yang kaya akan terus hidup mewah, manakala golongan miskin terus ditindas dan tidak menikmati kebahagiaan hidup," jelasnya.

Kehadiran Islam
Kehadiran agama Islam katanya, memberikan kebahagiaan kepada manusia dan penyelesaian kepada segala masalah dengan hanya merujuk kepada al-Quran dan sunnah.

Memberi contoh kejayaan pemerintahan Islam pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat, Rajab berkata, umat Islam hidup dalam kemewahan sehingga tiada siapa yang layak untuk menerima zakat.
Ia berikutan, kebijaksanaan pemerintah pada masa itu yang bertakwa dan berpegang teguh kepada Allah SWT dengan melaksanakan pemerintahan berlandaskan Islam.

“Yuran pendidikan adalah percuma, insurans, ansuran kenderaan dan rumah juga boleh dihapuskan sekiranya umat Islam yakin dan berpegang teguh dengan kaedah ekonomi Islam. Seperti yang diamalkan pada pemerintahan Islam terdahulu yang mengutamakan konsep wakaf.

“Bukan itu sahaja, malah manusia tidak perlu bimbang masalah sosial dan jenayah yang berlaku apabila ajaran Islam menjadi garis panduan amalan harian kita," katanya.

Oleh : Mohd. Shah Che Ahmad

Tuesday, May 6, 2014

Rawat Kegatalan Miss V !

KEGATALAN di bahagian sulit pastinya membuatkan seseorang perempuan itu berasa kurang selesa dan emosinya juga terganggu. Apatah lagi, bagi remaja perempuan bawah umur yang kurang pengetahuan mengenai penjagaan kebersihan alat kelamin.

Topik yang ingin dikongsi pada minggu ini mungkin dianggap ringan oleh golongan remaja perempuan yang baharu sahaja mengalami akil baligh namun ia boleh menyebabkan kesan buruk seperti berbau busuk di bahagian tersebut sehingga menggangu orang lain yang berdekatan dengan anda.

Oleh itu, ayuh ikuti beberapa tip yang dikongsikan pada minggu, mudah-mudahan ia dapat menghentikan kegatalan di bahagian sulit kamu!

GUNTING, CUKUR
GUNTING atau cukur rerambut apabila anda mendapati ia telah menjadi panjang. Rerambut yang telah digunting atau dicukur pendek akan memudahkan kamu untuk menjaga bahagian sulit tersebut.
Untuk pengetahuan kamu, rerambut yang tidak dijaga dengan rapi dan dibiarkan panjang terdedah kepada pembiakan kuman. Sekali gus, ia akan menyebabkan bahagian sulit menjadi kemerahan, mengalami kegatalan dan menyebabkan berbau busuk.

HENTIKAN GUNA SABUN MANDIAN
UNTUK pengetahuan kamu, sabun mandian berfungsi untuk membunuh segala bakteria yang terdapat pada tubuh badan manusia termasuk bakteria baik yang terdapat pada bahagian sulit perempuan.

Hal ini akan menyebabkan kulat mudah membiak kerana kurangnya bakteria baik di bahagian sulit tersebut. Sebaik-baiknya gunakan pencuci khusus untuk mencuci bahagian sulit ataupun dengan air yang bersih.
   
JANGAN BIAR LEMBAB
JANGAN terus memakai seluar dalam selepas bahagian sulit kamu baharu sahaja dicuci. Hal ini akan menyebabkan seluar dalam kamu lembab lalu menyebabkan pembiakan bakteria, kuman dan kulat. Langkah tepat ialah megelap dahulu dengan tuala atau tisu tandas sehingga kering cuma berhati-hati ketika mengelap bahagian tersebut kerana sekiranya terlalu kasar akan melukannya pula.
 
TUKAR SELUAR DALAM
SELUAR dalam yang dipakai berulang kali bukan sahaja menjadi kotor malah boleh mendatangkan kegatalan kepada pemakainya akibat pembiakan bakteria ke seluruh kulit di bahagian sulit.
Oleh itu, jadikan rutin menukar seluar dalam sekurang-kurangnya dua kali sehari utuk mengelak perkara ini berlaku.

Sumber asal : utusan@kesihatan

Monday, May 5, 2014

Bahana Putus Tunang

BERTUNANG bukan wajib dalam Islam. Sebab itu ramai yang bersikap endah tak endah apabila berlaku putus tunang.

Kaum wanita sendiri masih kabur akan hak-hak mereka dalam kes putus tunang yang mana dalam terma undang-udang ia dikatakan kemungkiran janji untuk berkahwin.

Lagi pula masyarakat kerap melihat hal putus tunang sebagai remeh kerana beranggapan itu bukan perkara wajib berbanding nikah. Ada yang beranggapan bertunang sekadar adat. Jadi, apabila ada pihak yang mungkir, tidak ada apa yang perlu dibesar-besarkan.

Jadi, fokus kali ini adalah kepada pembatalan perkahwinan sebelum berlakunya akad nikah (pembatalan sebelum berkahwin) atau lebih kerap disebut sebagai putus tunang.

Walaupun bertunang itu tidak wajib kerana bukan satu akad perkahwinan yang sah, tetapi ia merupakan adat masyarakat Melayu yang diterima oleh Islam.

Pertunangan merupakan suatu ikatan janji antara pihak lelaki dan perempuan untuk melangsungkan perkahwinan. Cincin atau sesuatu hadiah yang diberikan semasa peminangan menjadi tanda ikatan pertunangan itu.

Jadi, apakah hak-hak wanita yang pertunangannya dibatalkan sebelum tiba hari perkahwinan?
Oleh kerana pertunangan merupakan satu ikatan janji antara kedua-dua pihak, dari aspek perundangan ia merupakan satu kontrak yang mengikat kedua-duanya.

Dalam Islam, setiap kontrak yang ditandatangani wajib dipatuhi selagi mengikuti prinsip syariat. Implikasi kontrak ini bukan sahaja ke atas hak sesama manusia, malah kesannya berkait langsung dengan hak Allah SWT.

Islam memandang serius aspek amanah dan mematuhi setiap perbutiran yang dipersetujui dalam kontrak termasuk dalam hal pertunangan.

Ini ditegaskan dalam firman Allah SWT:"Wahai orang yang beriman!Patuhilah setiap perkara yang kalian akadkan (terma yang termaktub dalam kontrak)".(Surah Al-Maidah: 1)

Sunday, May 4, 2014

Filem Cina The Journey lebih Islamik

Filem Cina tempatan, The Journey mencatatkan kutipan lebih RM17 juta. Itu termasuk duit tiket Siti yang menonton filem itu sebanyak tiga kali. Walaupun tidak ada CGI (satu istilah yang pengarah Melayu kerap menyebutnya) The Journey menghamparkan satu wacana budaya dan sosial yang sangat tinggi.

Kalau Siti adalah pengarah filem Melayu terutama yang gemar melondeh pelakon, sudah tentu Siti hantuk kepala ke dinding kerana malu. Siti malu kerana The Journey sebuah filem Cina, diarahkan oleh orang Cina dan dilakonkan juga oleh Cina tapi ia lebih Islamik berbanding filem arahan orang Melayu dan Islam.

Tapi sesetengah pengarah Melayu mana ambil pot semua itu. Entah-entah mereka tak menonton pun The Journey. Iyalah filem ini tak ada adegan bogel-bogelan atau londeh-londehan. Tak ada juga kisah sekular kerana filem ini tentang pelestarian budaya Cina walau di mana mereka berada.

Siti melihat dunia filem Melayu hanya banyak kecoh, kepoh dan riuh rendah termasuk berpesta-pestaan dan penuh dengan skandal sambil memperagakan pakaian mahal. Filem Melayu tidak membawa idealisme, yang banyak ialah gambar-gambar mati yang bergerak. Balik-balik cakap tentang mesej kononnya filem mereka menyumbang melahirkan manusia yang baik-baik. Tapi nak baik macam mana niat pengarah yang buat filem itu pun banyak yang tak betul.

Sebab itu Siti sakit hati dengan sebahagian besar filem Melayu. Siti bayar untuk menonton tapi tak setimpal dengan duit yang Siti keluarkan. Rasa macam nak lontar telur kemuruk saja kepada pengarah begini. Menyesal menonton.

Bila pertama kali menonton The Journey, hati kecil Siti berbisik, "Filem beginilah yang aku cari. Bukan filem sengal cinta-cintaan atau filem hantu yang setengah masak."

Filem Melayu yang pelakon wanitanya suka kangkang koyak, londeh melondeh tak boleh jual macam The Journey. Kenapa? Lepas ini pengarah-pengarah berkenaan kenalah fikir sikit adakah resipi yang merosakkan agama, bangsa dan negara itu masih boleh buat untung?

Ini menunjukkan penonton sudah memilih karya yang menjadi penawar, bukannya racun. Memang orang Cina banyak menonton filem The Journey dan mereka tidak menonton filem Melayu.

Siti fikir orang Cina menonton The Journey bukan kerana ia sebuah filem Cina. Sebabnya Siti sendiri tak merasakan The Journey sebuah filem Cina tapi sebuah paparan peradaban manusia.

Yang peliknya orang Melayu Islam pula suka dengan filem menceritakan dunia gengster, penagih dadah dan orang menjual orang. Bagi orang Melayu filem gengster boleh membina insan untuk memacu negara pada masa depan. Maka mereka pun menontonlah filem-filem yang sebenarnya telah dibakulsampahkan oleh Barat.

Ini juga membolehkan kita membuat kesimpulan bahawa filem hantu dan kisah tahyul banyak ditonton oleh orang Melayu Islam. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku. Malah orang Melayu Islam sepatutnya bercitra tinggi dan memilih filem yang baik.

Orang Cina pula menonton filem yang mengangkat peradaban bangsa mereka. Mereka menonton kisah kemanusiaan yang sejagat, merentasi geografi, budaya dan sosial. Mereka tahu menghargai filem yang baik untuk membina jiwa dan rasa kemanusiaan.

Filem The Journey mengenai seorang wanita Cina tempatan membawa pulang seorang lelaki Perancis ke rumah keluarganya di Cameron Highland. Mereka akan berkahwin dan peringkat awal lelaki Perancis itu tidak boleh menerima budaya Cina keluarga kekasihnya.

Si wanita itu sanggup memutuskan hubungan dan membatalkan perkahwinan sekiranya lelaki itu tidak boleh menerima budaya Cina. Satu lagi yang menarik dalam budaya Cina pasangan yang belum berkahwin tidak boleh tidur sebilik. Ironinya banyak filem Melayu menonjolkan seks bebas termasuklah keluarga Melayu yang kononnya elit tidak hirau tentang seks bebas ini.

Siti melihat The Journey lebih Islamik berbanding filem Melayu yang dihasilkan oleh orang Melayu Islam. Sepatutnya bila orang Islam membuat filem, filem mereka tak menjadi perkakas menyebarluaskan budaya songsang dari Barat. Tapi ini tidak berlaku kerana banyak orang Melayu yang buat filem menjadi lebih sekular daripada Barat.

Siti menyimpulkan untuk menghasilkan sebuah filem yang baik, pembuatnya mesti seorang manusia dan pemikir. Kalau pembuatnya umpama robot yang tidak berperasaan, filem yang dihasilkan hanya layak dilontar telur kemuruk. Tak berguna langsung.

SITI JARUM : Sesetengah pengarah Melayu memang tak tahu malu.