nuffnang

Monday, March 31, 2014

Suami Tidak Perasan Kehadiran Anda

ADALAH satu perkara lumrah, setelah beberapa tahun mendirikan rumah tangga ada isteri-isteri yang memberitahu mereka seolah-olah terasa ‘diketepikan’ oleh suami masing-masing. Ada yang mengatakan suami seolah-olah tidak perasaan dengan kehadiran mereka dan melayan mereka seolah-olah orang asing dalam rumah dan suami pula hilang dalam dunia sendiri.

Setiap hubungan biasanya akan berhadapan dengan ujian yang melibatkan keseimbangan emosi, kesabaran dan kapasiti empati. Apatah lagi sekiranya hubungan berkenaan adalah hubungan suami isteri yang telah berpanjangan dan sudah tentu sesuatu perlu dilakukan dalam usaha menyelamatkan keadaan.

Situasi tidak sedar atau kurang ‘perasan’ ini akan menyebabkan sesuatu yang mengecewakan dan menyakitkan kerana merasakan hubungan yang dibina semakin tawar dan hambar. Namun, sebelum itu pasti ada beberapa perkara yang menyebabkan mengapa suami seolah-olah sudah tidak perasan atau menyedari keadaan isteri sendiri. Ini juga adalah permulaan bagaimana suami anda akan berubah arah atau cuba membina satu cinta baru di luar. Jika ini berlaku anda perlu cepat menarik kembali perhatian suami anda.

*Dia adalah seorang yang sibuk dalam bidang profesional.
*Dia sudah tidak lagi tertarik dengan keadaan anda secara fizikal kerana sudah terbiasa dengan kehadiran anda sepanjang masa.
*Dia sudah tidak mahu berkongsi ikatan emosi dengan anda.
*Dia telah mula merasakan bosan dengan anda.
*Dia mungkin sedang menjeruk rasa atas satu faktor isu yang tidak pernah selesai.
*Dia sudah tidak mencintai anda sebagaimana perasaan itu bertandang mula-mula dahulu.
*Dia hanya mula mengambil mudah sahaja perhubungan anda berdua.
*Dia sudah mula hilang minat terhadap anda.

Sekiranya keadaan ini terjadi, jangan menunggu terlalu lama. Lakukan sesuatu untuk mendapatkan perhatian suami anda semula dengan ‘daya penarik’ diri anda.

Anda boleh mula dengan memotong rambut dengan gaya terbaharu agar dia terperasan dengan apa yang anda lakukan kepada rambut. Kadangkala dengan memotong rambut, wanita itu akan akan kelihatan seksi.
Kemudian dapatkan baju-baju rekaan terbaharu untuk anda dan pakainya sewaktu duduk berdua dengannya ketika sedang makan di rumah. Selalunya, suami anda akan mengerling sedikit kepada anda melihat gaya terbaharu anda itu.

Sapukan sedikit minyak wangi yang baunya mampu menawan suami anda.

videoBauan minyak wangi ini sedikit sebanyak akan mendekatkan anda dengan dirinya ketika anda lalu lalang di depan suami. Jadikan wajah anda jelas kelihatan segar dan ceria ketika menguntum senyuman buatnya, terutama ketika dia berada di rumah.

Goda suami anda, ingatkan caranya ketika di usia awal perkahwinan dahulu, cubalah caranya sekarang, tentu suami anda terperanjat. Seterusnya ucapkan pujian untuknya dengan menyatakan hari ini keadaan dirinya cukup menawan, menggoda dan tampan sebagaimana reaksi anda beberapa tahun lalu.

Mula menyatakan perasaan anda dan hormati dirinya. Berhenti daripada terus menyalahkan diri sendiri terus menerus menyebabkan suami anda semakin menjauhkan diri akibat faktor-faktor daripada diri anda.

Dapatkan satu tenaga baharu untuk melayan suami anda penuh dengan rasa kecintaan dan humor.

Kemudian apabila semuanya tidak berjalan lancar, anda sepatutnya bercakap dengan suami anda mengenai perasaan anda sekarang.

Tetapi perlu dijauhkan adalah pertengkaran demi pertengkaran.

Perkara mudah yang boleh anda lakukan adalah fokus mendengar pandangan suami anda tentang anda dan kemudian jangan marah apabila dia mungkin bercerita mengenai sikap anda yang membuatnya mula hilang perasaan.

Apabila ini sudah berlaku, anda kini sudah ada perkara yang perlu anda selesaikan atau sama-sama berganding bahu cuba memberikan yang terbaik untuk hubungan anda seterusnya.

Sumber : utusan@Keluarga

Sunday, March 30, 2014

Maafkan Kesilapan Saya - Nik Aziz

KOTA BHARU  - Bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan bergenang air mata hari ini memohon maaf di atas segala kesilapannya sepanjang 23 tahun mentadbir negeri ini.

Malah beliau yang juga Mursyidul Am Pas menganggap sakit yang dialaminya sekarang adalah 'kifarat' atas dosa yang dilakukan selama memimpin negeri ini.

Permohonan maaf itu dibuat ketika beliau menyampaikan kuliah subuh di Masjid Pulau Melaka di sebelah rumahnya di sini pagi ini.

"Maafkan segala kesilapan saya selama saya pimpin Kelantan.

"Ini sakit saya mungkin Allah nak kifarat dosa saya atas apa kesalahan saya buat selama saya pimpin Kelantan," katanya yang dipetik daripada akaun laman sosial, Facebooknya di sini hari ini.

Turut hadir di kuliah itu ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nik Abdul Aziz, 83, merupakan Menteri Besar paling lama dalam sejarah memerintah negeri ini.

Tokoh yang dikenali dengan pelbagai kenyataan kontroversi itu menerajui pemerintahan negeri ini selama lima penggal bermula pada tahun 1990 sehingga 2013.

Beliau melepaskan teraju pemerintahan kepada timbalannya, Datuk Ahmad Yakob selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu kerana masalah kesihatan.

Dalam wawancara eksklusif bersama Mingguan Malaysia pada 12 Januari lalu, beliau buat pertama kalinya mendedahkan mengenai keadaan kesihatannya seperti masalah prostat sehingga terpaksa membawa beg plastik untuk menyalurkan air kencing dan bateri bagi menguatkan jantungnya.

Difahamkan pada masa kini, Nik Abdul Aziz yang lebih dikenali dengan panggilan 'tok guru' terpaksa lebih kerap berulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk menerima rawatan.
Beliau juga tidak hadir pada himpunan Reformasi 2.0 di Kota Bharu yang disertai Anwar kerana tidak sihat.

Bagaimanapun sebaik sahaja beliau melepaskan jawatan tersebut, keadaan dalaman Pas negeri ini agak berkecamuk dengan pergeseran di antara pemimpin.

Malah ada di antara pemimpin Pas mula mengkritik kepemimpinan Ahmad dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan atas pentas ceramah secara terbuka.

Sumber : utusan malaysia

Saturday, March 22, 2014

Bahasa Melayu Terpinggir Di Tanah Melayu

Khutbah Jumaat Diterjemah Ke Bahasa Melayu
MEKAH  - Jemaah solat Jumaat di Masjidilharam di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah, hari ini berpeluang mendengar khutbah yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu, Urdu dan Perancis.

Imam Besar bagi kedua-dua masjid suci itu, Sheikh Abdul Rahman al-Sudais berkata, beberapa minggu lalu, pihaknya telah memulakan usaha menterjemah khutbah Jumaat di kedua-dua masjid itu ke dalam bahasa Melayu, Urdu dan Inggeris.

Jelas beliau, di Masjidilharam, khidmat penterjemahan itu disediakan berhampiran pintu Raja Fahd, yang ditetapkan untuk jemaah bukan Arab.

Untuk mendengar khutbah dalam bahasa pilihan mereka, jemaah hanya perlu memakai fon kepala dan peranti audio yang disediakan, lapor Arab News.

Peranti tersebut disambung kepada frekuensi FM yang menyiarkan terjemahan khutbah Jumaat yang
disampaikan dalam bahasa Arab oleh imam bertugas.

Bahasa Melayu digunakan oleh penduduk Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei, manakala bahasa Perancis digunakan meluas di benua Afrika.

Sumber :utusan@luar-negara

Saturday, March 15, 2014

Salahkah Suarakan Hak Melayu?

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad hari ini menegaskan bahawa beliau berhak untuk menyuarakan pandangannya berhubung soal kepentingan Melayu dan Islam kerana sudah bersara.

Kata Abdul Hamid, sepanjang menjadi hakim, beliau tidak membuat sebarang kenyataan berhubung isu berkaitan Melayu dan Islam kerana menjaga integriti dirinya dan badan kehakiman.

"Saya dilahirkan sebagai seorang Melayu dan Islam. Itu bukan pilihan saya tetapi takdir Allah SWT terhadap saya. Saya juga akan mati sebagai Melayu. Saya tidak ada pilihan kerana itu pun sudah ditetapkan oleh Allah SWT.

"Saya boleh pilih mengenai agama tetapi kalau diizinkan Allah, saya hendak pilih mati sebagai seorang Islam," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pertama Barisan Perpaduan Nasional (BPN), di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan daripada seorang pemberita portal propembangkang yang bertanya sama ada penglibatan bekas hakim dengan perjuangan Melayu dan Islam menimbulkan persepsi bahawa badan kehakiman dekat dengan isu-isu sebegitu.

Abdul Hamid yang juga Pengerusi BPN menegaskan, adalah satu tanggapan yang salah apabila menyatakan seorang bekas hakim tidak boleh memperjuangkan soal kepentingan Melayu dan Islam.

Katanya, apa yang diperjuangkannya juga bukan sesuatu yang melanggar undang-undang dan Perlembagaan negara.

"Jadi, salahkah jika saya kata saya orang Melayu dan Islam. Salahkah jika saya katakan saya hendak bercakap mengenai hak orang Melayu dan Islam. Salahkah jika saya kata saya hendak mempertahankan hak Melayu dan Islam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia seperti yang telah dipersetujui.

"Oleh kerana saya pernah jadi hakim, seolah-olah saya tidak boleh jadi Melayu, saya tidak boleh jadi Islam dan tidak boleh bercakap, ini tidak betul. Itu pendirian saya," katanya.

Menurut Abdul Hamid, beliau bersetuju menerima pelawaan untuk menyertai BPN setelah memikirkan betapa runcingnya kedudukan bangsa Melayu dan Islam di Malaysia pada masa ini.

Namun, katanya, beliau bersetuju menyertai BPN dengan beberapa syarat iaitu yang pertama, penyertaannya itu hanya untuk suatu tempoh sahaja kerana faktor usia.

"Kedua, saya tidak akan terlibat dalam apa-apa hal yang menyalahi undang-undang. Ertinya, apa yang dilakukan oleh BPN hendaklah dalam lingkungan undang-undang, bukan di luar atau melanggarnya.

"Ketiga, segala tingkah laku BPN hendaklah mengikut peradaban Melayu dan akhlak Islam. Sebagai orang Melayu, kita ada adat dan adab. Sebagai orang Islam, kita ada syariah dan akhlak. Itu kita perlu patuhi," katanya.

Yang turut hadir pada mesyuarat tersebut, bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Ghazali Mohd. Seth dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor selaku Timbalan Pengerusi BPN serta Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa, Datuk Ibrahim Ali selaku Pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Memorandum Perpaduan Nasional.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, kalangan kaum minoriti yang mempersoalkan kebebasan mereka di negara ini dicabar supaya menunjukkan sebuah negara yang memberikan lebih banyak hak kepada kelompok tersebut daripada Malaysia.

Beliau berkata, kelompok tersebut sepatutnya melihat bagaimana layanan yang diterima mereka berbanding kaum minoriti di negara lain seperti di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Myanmar.

"Apa jadi kepada orang Islam Rohingya di Myanmar? Di negara jiran, nama mereka pun perlu diubah. Dari segi kebebasan beragama, pernahkah kerajaan menghalang mereka mengamalkan agama mereka?

"Pernahkah terfikir oleh mereka bagaimana mudahnya mereka membina rumah ibadat mereka di Malaysia termasuk di tanah kerajaan dengan percuma dan tanpa sebarang tindakan, malah akhirnya diberikan pampasan pula berbanding dengan halangan yang dihadapi umat Islam untuk membina sebuah masjid di Eropah atau AS," katanya.

Menurutnya, berbanding rakyat di negara lain, ramai rakyat Malaysia tidak tahu berterima kasih, tidak berbangga dan tidak mempunyai rasa taat setia secukupnya terhadap negara mereka.

"Bukan itu sahaja, mereka memperlekehkan negara sendiri terutama sekali semasa berada di luar negara. Golongan ini akan melakukan apa sahaja tanpa mempedulikan apa caranya dan akibatnya kepada negara untuk mengaut keuntungan diri sendiri, sambil memperlekehkannya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perpecahan serius yang berlaku dalam kalangan orang Melayu sekarang berpunca ketaksuban kepada parti dan pemimpin, di samping kehadiran golongan pemimpin dan penyokong yang oportunis untuk mencapai cita-cita tanpa mempedulikan apa bakal terjadi kepada bangsa, negara dan agama.

Katanya, orang Melayu juga berpecah kerana terlalu leka dengan kemakmuran yang baharu dinikmati.
"Melihat keadaan itu, kumpulan yang memang pandai mengira untung rugi, terus mengatur perancangan mereka untuk merampas kuasa melalui peti undi, dengan bersatu padu sesama sendiri sambil mengharapkan parti-parti dan orang Melayu yang naif. Mereka hampir berjaya," katanya.

Sumber : utusan@dalam-negeri

Friday, March 14, 2014

Fiksyen....Espionaj

Surau An-Nur Stulang Laut, Johor Bahru. Itulah kata-kata yang tertulis dengan warna putih pada latar biru di papan tanda yang berdiri tegak di seberang jalan berhadapan tempat dudukku di restoran makanan laut Thai.  Jam tanganku menunjukkan pukul 11.30 malam.

Aku bangun dari kerusi dan melangkah menyeberang jalan.

Aku menyusur ruang pejalan kaki di tepi luar pagar surau itu.  Surau An-Nur gelap dan sunyi.  Bangunannya berbentuk sebuah rumah Melayu lama.  Aku agak memang surau itu asalnya rumah Melayu lama yang diubah suai menjadi surau.  Ada sebuah minaret tegak kurus di halamanya.  Minaret itulah yang menegaskan bahawa bangunan itu ialah sebuah surau atau masjid, kalau tidak sukar juga hendak diketahui.  Beberapa buah kereta terkaku di kawasan letak kereta dalam pagar perimeter yang mengelilingi surau itu.  Di dua belah surau ini, terdiri blok-blok bangunan yang aku agak ialah apartmen penginapan.

Aku terus menapak di atas lepaan simen berdekorasi dalam suasana samar-samar malam bersama anak-anak muda lain, menuju pintu gerbang yang tertulis di atasnya ungkapan “The Zon Kompleks Bebas Cukai Johor Bahru”.  Aku berseorangan.  Kebanyakan anak-anak muda yang lain itu berjalan dalam kumpulan tiga atau empat orang.  Ramai juga yang berdua-duaan.  Kebanyakannya belia berbangasa Cina.  Kami semua menuju ke arah yang sama...  ke kawasan pub atau disco bersebelahan dengan hotel The Zon Regency.

The Zon ialah kawasan bebas cukai yang diwujudkan oleh suatu idea yang hebat.  Tujuan kawasan itu dibangunkan adalah untuk menarik pelancong asing dari Singapura, sama ada orang Singapura sendiri mahupun pelancong dari negara-negara lain yang sedang berada di Singapura.  Biasalah, orang Malaysia, mahu menarik limpahan pelancong dari Singapura kerana dirinya sendiri tidak berupaya untuk mempopularkan negaranya sebagai destinasi pelancongan kepada orang luar.   Pada waktu selewat itu, kawasan The Zon hiruk-pikuk dengan bunyi muzik dan berombak dengan gelagat manusia yang pelbagai.  Jauh sekali berbeza keadaannya dengan kesunyian Surau An-Nur yang berada di luar pintu gerbangnya.

Kawasan The Zon berada di tepi pantai, menghadap Singapura.  Ada terminal feri. Tarikan istimewa pelancongan asing adalah kebebasan mereka masuk ke kawasan The Zon itu untuk membeli-belah, minum-minum, dan berhibur dengan harga tanpa cukai.  Namun kawasan itu mempunyai pagar perimeter di kawasan daratnya.  Pagar ini menyekat pelancong masuk secara bebas ke daratan Malaysia di luar kawasan The Zon itu sendiri.  Hanya ada satu pintu get yang menghubungkan The Zon dengan bumi Johor Bahru di luarnya, dan pintu masuk itu dikawal oleh pihak kastam dan imigresen Malaysia.

Memang The Zon pada mulanya hanyalah kawasan bebas cukai.  Namun seminggu lepas, kerajaan Malaysia telah menukarkan statusnya kepada Free International Access and Trade Zone (FIATZ).  Pertukaran status ini telah menjadikan The Zon sebagai "kawasan antarabangsa" yang boleh dimasuki oleh semua warga dunia secara bebas tanpa pemeriksaan dokumen perjalanan, di samping bebas cukai.  Tujuan pertukaran status ini adalah untuk memudahkan lagi pelancong.  Jika masuk melalui jalan laut, iaitu berferi dari Singapura, mereka tidak perlu mempunyai apa-apa dokumen kebenaran untuk masuk ke negara ini seperti yang diperlukan untuk masuk ke kawasan-kawasan lain. Peraturan ini ialah inovasi terbaru yang diperkenalkan oleh pihak kastam dan imigresen Malaysia untuk menggalakkan kemasukan pelancong yang membawa banyak tukaran asing. Tindakan kerajaan Malaysia itu jelas mencapai matlamatnya kerana dalam masa tiga hari sahaja selepas dilaksanakan, kawasan The Zon menerima kunjungan pelancong yang begitu ramai, terutamanya dari Singapura.  Kadar penginapan di hotel juga mencapai 100 peratus pada kebanyakan masa.

Aku ke The Zon ini atas permintaan Ustaz Alim, rakanku di KK2 UM dulu.  Aku ke mari untuk mendapatkan suatu maklumat rahsia yang tidak boleh dihantar secara elektronik.  Aku memang rapat dengan Ustaz Alim, terutamanya apabila kami sama-sama menerajui gerakan Alumni KK2.  Kali ini aku ada misi khas yang tidak ada kena-mengena dengan Persatuan Alumni KK2 itu.  Aku dan Ustaz Alim berada dalam satu gerakan sulit… pertubuhan melawan keganasan Amerika terhadap warga dunia yang beragama: Movement Against American Terrorism On Religions (MANTOR).

Aku ke The Zon ini untuk menemui rakan kami yang kini sedang menjadi kakitangan akademik di University of Singapore.  Namanya Su Mei.  Sekarang Dr. Kim Sue Mei.  Dia rakyat Singapura.  Kami mengenalinya semasa dia menuntut kursus pascaijazah di UM dan sama-sama dengan kami tinggal di KK2.  Su Mei dan aku aktif dalam Peratuan Buddha UM.  Kini Su Mei tidak boleh masuk ke Malaysia kecuali di kawasan The Zon ini kerana namanya telah disenaraihitamkan oleh pihak imigresen Malaysia.

Kita tidak boleh berbincang di sini.

Itulah mesej sms yang aku terima di telefon mobilku sewaktu aku sedang duduk-duduk di kawasan air pancut, menikmati muzik yang melaung dari disco di situ.  Aku juga sedang menikmati pemandangan indah Selat Tebrau, berlatarkan terain pulau Singapura dalam bentuk silhouette di seberangnya.  Dalam cahaya bulan mengambang itu, Singapura kelihatan jinak, sejinak namanya, monyet kecil yang manja.  Sebenarnya, spesies monyet yang ditemui Sang Nila Utama pada abad 12 atau 13 itu ialah monyet "singarupa", dinamai sedemikian oleh masyarakat tempatan kerana kepalanya dan badannya menyerupai seekor singa.  Atas kebijaksanaan ahli bahasa Sanskrit mereka, nama itu diubah sedikit ke "pura" yang membawa maksud "kota".  Maka mereka namailah tempat itu Singapura.  Khabarnya, monyet itu masih boleh ditemui di beberapa kepulauan Indonesia sehingga ke hari ini.

Naik ke bilikku. Bilik 1609.

Dari tempat aku berada, aku nampak Su Mei berdiri di tepi kaunter valet parking Hotel Regancy itu.  Oh, rindu sungguh aku akan gadis comel ini.  Melihat kelibatnya sahaja, sudah terasa berbaloi letih memandu lima jam lebih dari Kuala Lumpur.  Aku bergerak ke arahnya.   Apabila dia melihat yang aku telah berjalan menuju ke arahnya, Su Mei terus masuk ke hotel itu melalui pintu kaca automatiknya.  Aku mengekori Su Mei dari jauh.  Dia memasuki lif tanpa menunggu aku.  Aku naik lif yang lain setelah lif yang dinaiki Su Mei bergerak ke atas.

Setelah keluar dari lif di Aras 16, barulah aku menyedari bahawa susunan bilik-bilik hotel ini berbeza dengan kebanyakan hotel lain.  Bilik-biliknya pada setiap aras, dari Aras 7 ke atas, membentuk suatu bulatan oval yang besar dengan ruangan kosong di tengah-tengahnya, macam sebiji doughnut.  Laluan ke bilik-bilik berada pada rim sebelah dalam doughnut itu.  Ruang kosong yang di tengah memungkinkan penghuni pada setiap aras, dari Aras 7 ke atas, untuk melihat dan menikmati segala aktiviti yang sedang berjalan di lounge di Aras 6 itu.

Bilik 1609 ialah bilik istimewa di tingkat paling atas Hotel Regency itu.  Tingkat Klub Eksekutif.   Dari luar pintu bilik 1609 itu, aku dapat melihat ke bawah, kawasan tengah di Aras 6 yang terbuka tanpa siling.  Kelihatan susunan meja dan kerus tempat tetamu menjamu selera dan menikmati muzik.  Muziknya amat kuat sehingg kedengaran ke tingakat 16 tempat aku berada.  Pada masa itu, aku melihat dua orang penyanyi sedang menyanyikan lagu Hapy Birthday To You.  Di skrin lebar yang terpasang di depan ruang restoran itu, kelihatan imej orang sedang bermain golf ditayangkan.

Memasuki bilik 1609 membuat aku tergaman.  Indahnya bilik yang disewa Su Mei. Apabila melangkah masuk pintu, aku memasuki ruang tamu yang luas, siap dengan satu set settee, meja tulis, dan sebuah tivi. Ruang lounge ini bersambung dengan bahagian bilik tidur yang besar.  Di tengah-tengah ruang bilik tidur itu ada sebuah katil besar, queen size.  Bilik ini juga mempunyai sebuah bilik air dan satu lagi pintu keluar. Juga lagi sebuah tivi dan meja tulis. Dari dalam bilik yang tertutup ini, bunyi muzik dari lounge Aras 6 masih kedengaran dengan bisingnya.

“Sungguh mewah bilik ini,” sapaku apabila Su Mei selesai menutup pintu.  “Sungguh kaya engkau,” tambahku, bergurau.

“Aku tidak ada pilihan,” jelas Su Mei. “Hanya ini sahaja bilik yang ada.  RM400 semalam”

“Maksudmu… semua 400 buah bilik hotel ini penuh diisi orang?”

“Ya,” jawab Su Mei. Dia semacam berbisik kepadaku.  “Itulah maklumat rahsia yang aku hendak sampaikan kepada rakan-rakan kita di Malaysia.”

“Oh, apa maksudmu?”

“Kebanyakan orang yang berada di The Zon pada ketika ini ialah anggota pasukan askar upahan Amerika.  Termasuk mereka yang sedang menginap di hotel ini.  Sebab itulah dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, kadar penginapan di sini mencapai hampir 100 peratus.”  Aku tergaman. “Mereka hanya berpura-pura sebagai pelancong dari Singapura," sambung Su Mei, serius.  "Mereka sebenarnya lengkap bersenjata.  Mereka merancang menakluki kawasan The Zon ini dan merampasnya dari kawalan kerajaan Malaysia.  Mereka akan gunakan alasan bahawa kawasan ini ialah pusat pergerakan gabungan pengganas Islam dan Buddis.   Dari sini nanti, mereka akan melakukan serangan terhadap gerakan agama-agama di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, dan lain-lain negara Asia.  Serangan ini adalah sebahagian daripada rancangan mereka untuk menghapuskan semua agama di dunia, kecuali Kristian dan Yahudi.”

“Oh!”  Aku makin terperanjat.

"Maklumat ini perlu disampaikan segera kepada para aktivis kita di Malaysia.  Terutamanya Ustaz Alim.  Mereka mesti memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin politik Malaysia tentang hal ini," kata Su Mei.

Tetiba telefon mobilku berdering menandakan masuknya sms baru. Aku segera membacanya. Datangnya dari Aliman. Ustaz Alim mati ditembak di KLIA!

Aku menunjukkan sms itu kepada Su Mei.  Su Mei memegang tanganku sambil membelek mesej itu. Dia terkejut.  Mukanya pucat.

Semua lampu di bilik itu terpadam.  Su Mei menjerit terperanjat dan memeluk tubuhku.  Dalam kegelapan itu, aku membalas pelukannya.  Dan aku menarik tubuh langsingnya rapat ke tubuhku.  Oh, sudah lama kami tidak berada dalam kedudukan yang sedemikian.  Askar upahan Amerika... tunggu esok.

Sewaktu aku dan Su Mei menaiki feri ke Singapura, jam hampir 2.00 petang.  The Zon sudah lengang.  Di sana sini kelihatan pasukan keselamatan Malaysia berkawal. Operasi pengosongan kawasan The Zon yang diarahkan kabinet Malaysia berjalan lancar.  Mereka yang berniat jahat tidak sempat bertindak balas kerana cepatnya pihak tentera Malaysia bertindak.

Malam nanti aku dan Su Mei akan terbang ke Chiengmai melalui Bangkok dari Changi Airport, Singapura.

Oleh : Irwan Abu Bakar

Wednesday, March 12, 2014

Dulu Lain, Sekarang Lain

Ungkapan dulu lain, sekarang lain, lumrah bagi pasangan berumah tangga biarpun sepatutnya lagi lama usia perkahwinan itu sudah tentu suami atau isteri telah dapat memahami corak atau kerenah pasangan ketika melayari bahtera alam perkahwinan.

Usia perkahwinan yang bertahun seharusnya menjadi satu ruang untuk merapatkan pasangan dan memudahkan kepada hubungan suami dan isteri memandangkan saling kenal-mengenali antara satu sama lain, namun seringkali apa yang berlaku, saban tahun rumah tangga yang dibina semakin hambar tidak sebagaimana di awal perkahwinan semuanya indah belaka.

Faktor-faktor kesuraman alam perkahwinan berkenaan mungkin didorong oleh rasa kebosanan, penat, jemu dengan pasangan namun tidak pula pasangan mahu mengambil iktibar terhadap sesuatu perkara bagi membaik pulih keadaan.

Biarpun bukan semua pasangan yang berumah tangga akan menjalani fasa kehidupan yang hambar dalam perkahwinan mereka malah ada yang bahagia dengan perjalanan kehidupan masing-masing, namun tidak dinafikan ramai juga yang merasakan alam perkahwinan mereka bukan lagi seperti suatu ketika dahulu.

Berikut antara beberapa perkara yang dilihat biarpun remeh namun sekiranya berterusan akan mengeruhkan hubungan sekiranya tidak dibaiki dengan segera oleh pasangan.

Lambat balik
Pada awal perkahwinan sebaik habis bekerja, hendak balik segera ke rumah, asyik teringat isteri. Namun selepas bertahun liat pula hendak pulang. Mulalah bagi alasan yang bukan-bukan... jalan sesaklah, ada mesyuaratlah, ada jamuan makan malamlah, atau banyak kerja sangat sehingga tertidur di pejabat. Mengapa agaknya?

Beli sahaja
Pernahkah antara kita yang teringat di awal-awal perkahwinan dulu bagaimana rajinnya memasak meraikan suami atau mahu menunjuk kepada pasangan bagaimana sedapnya masakan air tangan sendiri. Suami sedang tidur pun dikejutkan minta cuba resipi terbaharu. Kini selepas beranak dua, hendak ke dapur pun malas, alasan sibuk dan penat menjadi faktor utama. Lebih senang makan sahaja nasi bungkus beli dari kedai. Berhidang atau tidak bukan lagi jadi sandaran, asalkan makan dan kenyang itu sudah cukup memadai.

Pegang tangan
Dulu mesranya bukan main, pegang tangan tidak lepas, takut pasangan terjatuh atau tersepak sesuatu. Bila anak semakin bertambah, pasangan jalan menonong meninggalkan isteri berkepit dengan anak-anak di belakang berbatu.

Berdandan
Pada masa bercinta sanggup bersolek mendapatkan perhatian. Selepas lama berkahwin, ketika di rumah tiada lagi solekan, pakai apa sahaja yang mudah, tetapi apabila pergi kerja pandai pula berdandan.

SMS jadi ringkas
Dulu kalau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), perkataan yang dihantar panjang dan menarik, apabila sudah berkahwin jangankan hendak menelefon pasangan, apabila membalas SMS pun pendek-pendek sahaja... ‘K’ (kependekan daripada OK) pun sudah cukup, janji faham.

Tiada lagi berkomunikasi
Di awal perkahwinan semuanya indah belaka, berkomunikasi rancak dan ada sahaja bahan hendak diperkata. Setelah beberapa tahun berkahwin tinggal serumah pun tidak bersuara, mungkin labih teruk duduk sebelah-menyebelah pun berkomunikasi pegang gajet kemudian guna SMS untuk berbicara.

Tidur asing
Romantiknya pada usia perkahwinan yang baharu, tidur pun sebelah-menyebelah, bila anak dah bertambah, mama tidur dengan anak, bapa kena tidur bawah. Ada pulak yang tidur berasingan tidak tahan, rimas katanya atau rasa tidak bebas tapi itu hanya alasan tidak tahan sebab pasangan tidur berdengkur.

Menanti
Menunggu diibaratkan satu penantian yang tidak diketahui bilakah pengakhirannya. Sewaktu awal perkahwinan, menunggu pasangan bersiap atau berada di sesuatu tempat berjam-jam lamanya tidak mengapa asalkan dapat bersua. Kini usia perkahwinan pun bertambah, tiada masa lagi hendak menunggu, setengah jam itu sudah terlalu seksa rasanya, kalau lama lagi boleh jadi ribut. Silap-silap haribulan, kena tinggal dek suami terpaksa pergi sendiri naik teksi.

Ucapan sayang
Dulu sayang, manja adalah panggilan untuk pasangan, malah luahan rasa cinta juga sering di bibir. Setelah mendapat cahayamata mama dan papa jadi gelaran. Bertahun berlalu ungkapan sayang sudah pun jarang, ada yang lebih teruk ‘kau’ dan ‘aku’ diucapkan ketika memanggil pasangan lebih-lebih lagi ketika sedang marah.

Kejutan
Setiap kali ada kejutan terutama ketika hari-hari terpenting, sekarang hendak sampaikan ucapan selamat pun tidak sempat sebab tarikh hari jadi pun tidak ingat.

Pelukan
Sebagai tanda sayang, pelukan daripada pasangan sentiasa ada dalam usaha menzahirkan kasih sayang. Setelah bertahun berkahwin hendak memeluk pun tidak sudi. Malu dilihat anak-anak jadi alasan.

Hantaran sayang
Sebelum ke tempat kerja, setulus ikhlas isteri akan melambai suami dan beri kucupan sayang, selepas agak lama berumah tangga suami keluar ke tempat kerja, isteri masih lagi membuta, sarapan pun tidak tersedia. Begitu juga suami, bila diminta menghantar isteri ke tempat kerja pergilah sendiri katanya, “bukankah awak juga ada kereta?".

Intim
Ini yang lebih ketara, di awal perkahwinan berasmara tiga kali seminggu, sekarang tiga bulan pun belum tentu.

Sumber : utusan@keluarga

Friday, March 7, 2014

Milik Kita Hak Orang Lain....!

SINGAPURA 6 Mac.  Malaysia hilang hak untuk mengkaji semula harga air mentah yang dibekalkan ke Singapura, tegas Menteri Luar Singapura, K. Shanmugam.

Beliau berkata, ini berdasarkan syarat-syarat yang termaktub di bawah Perjanjian Air 1962.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap laporan media Malaysia yang menyatakan pentadbiran negeri Johor berhasrat menyemak semula harga air mentah yang dijual dari negeri itu ke Singapura.

`Perjanjian Air itu juga dijamin di bawah Perjanjian Pemisahan yang memberi kemerdekaan kepada Singapura pada 1965.

"Kedua-dua perjanjian itu merupakan perjanjian antarabangsa yang penting kepada kami, kedaulatan kami dan keselamatan kami. Syarat-syarat yang termaktub di dalamnya tidak boleh diubah oleh sebelah pihak,’’ katanya.

utusan@Luar Negara

Thursday, March 6, 2014

Warkah `Cinta' Untuk Bangsa Selepas 56 Tahun Merdeka

Renungan orang Melayu

KAMI Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) ingin membawa orang Melayu merenung dengan mengetepikan ideologi sempit dari segi jangka panjang kerana semua sedia maklum bahawa tiada kawan dan lawan dalam dunia politik yang kekal dan abadi, kecuali kepentingan diri semata-mata.

PPPMM ingin berkongsi pandangan dan nostalgia umat Melayu selepas 56 tahun merdeka, apakah rintihan, apakah nikmat, pahit manis, sedih pilu terhadap panorama bangsa bernama Melayu yang mewarisi kuasa sekian lama, selaku pemimpin, pembesar, penguasa, tetapi bangsanya terbiar di bumi sendiri, menjadi ‘calon pengemis’, merengek, merintih di bumi sendiri.

Mari kami bawa semua Melayu, sesekali merenung ‘impian hati’ setiap Melayu yang tidak mungkin kesampaian malah semua ‘hati Melayu’ yang sedar dan mengharap setinggi gunung.

Tetapi hatinya digamit sedih, merintih dan pilu. Nafas kecewa mendesah bersalut kesah di sana sini. Harapan untuk melihat bangsanya bernama ‘Melayu’ itu bertaut dan bersatu, membina tamadunnya kian lebur.

Kini Melayu kian resah mengundang persoalan, apakah begini caranya selaku pemimpin yang diberi amanah, ‘melayari bahtera’ sejak merdeka umpama sudah hilang pendayung, hilang sauh, hilang arah dan tujuan, bagaikan tongkang pecah.

Mari kita sama-sama jenguk dan jengah selepas kita merdeka, kenapa anak bangsa terbiar di jalanan, bergelandangan dalam keadaan terhuyung-hayang mempamerkan wajah hodoh penagih dadah.

Ramai anak Melayu menjadi kongsi gelap berbanding bangsa lain. Di setiap sudut jalan, pasti hadir warga merdeka menadah tangan mengemis simpati untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Aksi anak muda merempit di jalan raya, seringkali berkesudahan dengan tragedi kehilangan kaki, tangan dan nyawa.

Di saat orang lain memunggah harta kekayaan siang dan malam, generasi merdeka lebih senang bersantai dan melepak hingga dinihari, sebelum pulang ke rumah menyambung mimpi. Bangun keesokan dari tidurnya saat mentari sudah beredar ke ufuk barat.

Dari pesta muzik dan keasyikan ekstasi anak-anak gadis pula berakhir dalam rangkulan kemaksiatan tanpa sempadan sebelum terjebak menjadi pembunuh ‘sadis’ untuk menghumban bayi yang dikandungnya ke dalam longkang atau tempat pembuangan sampah sebagai hidangan langau dan binatang liar.

Di lorong-lorong ‘hanyir’ masih ramai anak gadis yang menjual tubuhnya sebagai bahan ratahan bangsa asing. Imam di masjid atau surau seringkali diteman sepi tanpa jemaah.

Selain itu, faktor inflasi yang semakin meningkat, harga barang dan rumah melambung, tidak ketinggalan kehadiran hampir satu juta pekerja asing, pusat maksiat, hiburan yang berlebihan, macam cendawan tumbuh yang menjadi tarikan remaja, sekali gus menjauhkan mereka dari agama.

Dalam kita hendak berkuasa, kita beri lebih tumpuan kepada bukan Melayu, kononnya kalau mengetepikan mereka akan menyebabkan kita kalah dalam pilihan raya.

Ramai orang Melayu menyangka bahawa diri mereka cukup cekap dalam berpolitik, sebaliknya politik orang Melayu yang memecahbelahkan Melayu dan dalam pemerintahan orang Melayu banyak perkara yang hanyut.

Tidakkah dalam zaman orang Melayu berkuasalah bahasa Melayu hanyut, budaya Melayu hanyut, huruf jawi hanyut, tanah rezab Melayu hanyut, nama Tanah Melayu hanyut dan banyak lagi yang hanyut kalau hendak kami perincikan.

Kita yang kerap berbangga sebagai sebuah negara Islam gagal menumpaskan kegiatan dakyah orang bukan Islam secara radikal, yang kerap mengganggu keharmonian beragama seperti menghina Islam, Allah, Nabi, al-Quran, raja-raja Melayu dan kalimah Allah pun tercemar, menjadi pertikaian hingga ke Mahkamah Sivil.

Daripada sistem pendidikan pun sejak lepas merdeka, kita gagal untuk mewujudkan sistem satu aliran, sekali gus kontrak sosial terabai dan tidak membawa makna apa-apa.

Lebih malang, kita orang Melayu disuruh berhijrah ke bandar untuk menyahut cabaran dan seruan pemimpin agar berniaga dan mencari pekerjaan.

Maka menerokalah orang Melayu membuka tanah poket, di pinggir dan di tebing-tebing sungai. Pada tahun 1960-an hingga hujung tahun 1980-an, ramai orang Melayu membuka tanah baharu dibuatnya kampung dan penempatan baharu dan mereka digelar ‘warga miskin kota’.

Orang Melayu jugalah yang memanggilnya dengan jolokan setinggan untuk menampakkan lebih jelek dan hodoh, dilabelkan pula perkataan ‘haram’ yang disebut setinggan haram, kampung haram, atau penempatan haram.

Kini orang Melayu macam burung merpati di rumah flat, tidak keterlaluan kalau kita kata orang Melayu di bandar merupakan miskin tegar kerana mereka terpaksa berkongsi bumbung, lantai dan dinding yang tidak terurus, tidak dijaga dengan pelbagai masalah sosialnya yang tidak terkawal.

Semua kisah yang dipaparkan di atas, adalah kepincangan atau tragedi besar bangsa Melayu dan ia juga kami anggap sebagai ‘dokumen politik’ berbaur negatif yang perlu difikirkan untuk kebaikan, demi menjaga maruah orang Melayu, pada kaca mata kaum lain yang turut menghuni tanah air ini.

Orang Melayu perlu sedar dan diingat-ingatkan bahawa kita kecil di negara sendiri kerana kelemahan penguasaan ekonomi, bertambah kecil kita apabila kuasa politik yang ada akan terhakis dan lenyap.

Selagi kita bersikap acuh tidak acuh dan tidak bersungguh-sungguh untuk mengorak langkah, mengatur strategi secara lebih konkrit menyuntik semangat kepada orang Melayu keseluruhannya, agar bersatu demi masa depan anak cucu kita.

Jika tidak, nantikanlah natijahnya, kita juga akan kalah sorak, malah negara akan tergadai.

Presiden PPPMM

Wednesday, March 5, 2014

Jarang Berhubungan Seks, Peluk Saja Pasangan

SERINGKALI orang melupakan erti dari berpelukan. Selain itu bagi yang telah berkahwin, pelukan dianggap sudah tidak penting untuk dilakukan pada pasangan masing-masing.

Padahal, banyak ahli yang mengatakan kalau berpelukan itu mempunyai banyak manfaat daripada sekadar kata-kata. Salah satu pakar hubungan rumah tangga Dr Pam Spurr mengatakan, pelukan yang diberikan oleh pasangan merupakan salah satu bentuk kasih sayang yang boleh membuat hubungan menjadi lebih bahagia dan sihat.

Tak hanya itu, bagi pasangan yang tidak mempunyai waktu luang untuk berhubungan seksual, berpelukan juga boleh menjadi salah satu penyelesaian untuk tetap menjaga keintiman di antara mereka.

"Dakapan atau pelukan itu sangat penting bagi setiap pasangan. Aksi ini akan membuat anda boleh merasa berhubung satu sama lain secara emosional, apatah lagi di saat stres kerana aktiviti harian. Dipeluk oleh pasangan boleh mengurangkannya, " ujar Dr Pam, seperti yang dipetik dari Goodtoknow.
"Apabila anda melakukan hubungan fizikal dengan dakapan, automatik badan akan menghasilkan hormon oxytocin yang boleh membuat anda berasa selesa apabila bersama pasangan dan tentunya juga membawa kesan yang baik selepas itu,"
Anonymous

Sunday, March 2, 2014

Mereka Yang Teristimewa....!

Pihak Berkuasa Kita!
DI Malaysia, jika anda mahu menghina dan menyemarakkan ekstremisme, sertailah DAP. Sebagai parti paling rasis, DAP ada lesen besar untuk melakukan provokasi yang keterlaluan.

Awang sudah tidak larat menggeleng kepala dengan perbuatan beberapa pemimpin parti itu yang menghina Islam, Melayu, pasukan keselamatan, kakitangan awam dan negara.

Anehnya, pihak berkuasa meletakkan kayu ukur berbeza terhadap DAP. Kalau pihak lain berbuat demikian maka pantas sahaja tindakan diambil sehingga ada kalanya dilihat terlebih pro aktif.

Sampai hari ini misalnya, ramai tertanya-tanya apakah tindakan terhadap Red Bean Army (RBA) yang telah banyak melakukan fitnah, tohmahan dan provokasi yang dahsyat terutama semasa musim pilihan raya umum lalu. Semua tahu perbuatan mereka mengancam keselamatan negara tetapi mereka terlepas begitu sahaja. Awang berpendapat pihak berkuasa telah memberikan isyarat yang salah seolah-olah kumpulan kecil ekstremis seperti RBA dan DAP lebih diutamakan berbanding majoriti rakyat.

Sebenarnya orang ramai sudah bosan mendengar pelbagai alasan termasuk daripada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Awang bersimpati dengan apa yang menimpa Presiden Pertubuhan Hak Belia Malaysia, Shen Yee Aun yang menerima ugutan bunuh ekoran pendedahan demi pendedahannya mengenai RBA. Kalau beliau seorang diri boleh berani dan cekal melawan ekstremisme, kenapa pihak berkuasa teragak-agak?

Tidakkah pendekatan berlembut dan kegagalan pihak berkuasa bertindak turut menjadikan DAP dan RBA semakin ekstrem.

Terbaharu, Ketua Publisiti DAP, Hew Kuan Yau menghina isteri pemimpin negara dengan cara yang tidak boleh diterima. Mengharapkan kematian seseorang adalah pemikiran kotor yang selalu ada dalam kalangan ekstremis. Ini bukan kali pertama Kuan Yau bersikap melampau. Beliau pernah menunjukkan isyarat lucah yang ditujukan kepada pemimpin Melayu Barisan Nasional (BN). Mengapa DAP terus berani melakukan provokatif, jawapannya kerana pihak berkuasa kita yang beri mereka muka.

Isu Lim Guan Eng mahukan penggunaan kalimah Allah untuk bukan Islam, klip video Teresa Kok, Jeff Oii gelar kakitangan MPPP sebagai kucing kurap; cubaan campur tangan Lim Kit Siang ke atas khutbah Jumaat; Tony Pua mempersoalkan larangan Majlis Fatwa Kebangsaan terhadap sambutan Hari Kekasih, kenyataan Tony menggelar Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang majoriti orang Melayu sebagai ‘anjing’ dan banyak lagi - menampakkan DAP tidak gentar untuk terus menyemai kebencian.

Awang ingin mengucapkan ‘tahniah’ kepada pihak berkuasa kita kerana dalam sebahagian hal, telah memperkasakan pihak ekstrem.

Oleh : Awang Selamat



PDRM Agresif Tarik Penyertaan Cina
KUALA LUMPUR 1 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan pasukan khas untuk menarik penyertaan kaum Cina secara agresif dalam pasukan itu selain melonggarkan syarat pengambilan serta mengkaji aspek gaji dan syarat kemasukan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, pasukan khas itu berperanan memberi kesedaran terhadap profesion polis kepada kaum Cina di seluruh negara, khususnya pegawai berpangkat rendah.

Beliau memberitahu, pada masa ini, penyertaan kaum Cina dalam PDRM adalah rendah iaitu kurang dua peratus berbanding jumlah keseluruhan 111,000 warga pasukan itu.

"Polis juga akan berbincang dengan institusi pengajian tinggi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mencari punca kenapa kaum Cina masih kurang berminat menyertai polis.

"Kita akan melihat semua aspek terutama soal gaji yang rendah atau syarat kemasukan yang sukar," katanya selepas menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Kadet Inspektor Siri 2/2013 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol).

Pada majlis itu seramai 394 orang ditauliahkan sebagai Inspektor polis.

Pengarah Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, pasukan itu telah melonggarkan syarat kemasukan terhadap kaum tersebut iaitu lulus Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding kepujian sebelum ini.

"Mereka yang dipilih menyertai latihan nanti akan diberikan ujian khas bagi memantapkan kemahiran dan penguasaan bahasa Melayu.

"Jabatan Pengurusan juga akan cadangkan kepada Ketua Polis Negara agar latihan kepada kaum itu dikurangkan iaitu daripada sembilan kepada enam bulan untuk menarik minat mereka," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Perjawatan (Pengambilan) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, sesi pertama pengambilan konstabel baharu tahun ini akan dibuka mulai Isnin ini.

Katanya, borang permohonan boleh dimuat turun daripada laman web PDRM di www.rmp.gov.my dan yang telah lengkap diisi perlu dihantar ke balai polis berdekatan atau ke Unit Perjawatan Pengambilan Bukit Aman.

Sumber : Dalam Negeri@utusan


Saturday, March 1, 2014

Larkin Sentral Perlu Wajah Baharu

LARKIN Sentral merupakan pusat pengangkutan awam untuk menampung pengangkutan bas orang ramai dan pelancong dari Johor Bahru ke seluruh Semenanjung Malaysia dan Singapura.

Peningkatan taraf pusat ini sudah sewajarnya dirancang lebih awal lagi dan sepatutnya kini sudah ada Larkin Sentral yang setaraf atau selesa jika dibandingkan dengan Pudu Sentral dan Terminal Bersepadu Selatan di Kuala Lumpur.

Orang ramai termasuk pelancong yang menggunakan Larkin Sentral, rasanya sudah tidak mahu bercakap lagi tentang kesulitan dan kerenah yang terpaksa dialami kerana mereka menganggap pihak berkuasa lebih peka dengan keadaan yang ada.

Jika hendak dinyatakan kesulitan dan kerenahnya, pertama keadaanya seperti mad house dengan penjual tiket bas berada dimana-mana.

Kedua kaunter dan jualan tiket tidak menggunakan kemudahan teknoloji terkini dan berserabut.

Ketiganya, penumpang terpaksa berdiri sementara menunggu waktu bas bertolak kerana bangku kayu yang ada tidak langsung dapat menampung jumlah penumpang.

Keempat, jika cuaca panas dan lebih-lebih lagi hari hujan, penumpang terpaksa mengharunginya kerana bas berhenti ikut suka hati dan bas parkir di kawasan terbuka.


Kelima, penumpang yang tiba di pusat itu terpaksa berjalan kaki dari jalan raya tanpa kawasan teduh ke kaunter tiket atau setelah turun dari bas setibanya terpaksa berjalan kaki ke jalan raya untuk mendapatkan penunggu mereka.

Semua kesulitan dan kerenah yang dilalui jelas terpampang di muka setiap penumpang yang menggunakan Larkin Sentral.

Johor Bahru kini sedang melalui transformasi pembangunan yang pesat dan terbesar di Malaysia. Khususnya pembangunan Iskandar Malaysia sahaja telah meraih RM130 bilion komitmen pelaburan dari dalam dan luar negeri yang menawarkan lamunan seribu satu malam.

Bilakah agaknya Larkin Sentral akan berubah?

Malaysia akan menjadi negara maju 2020. Iskandar Malaysia dijangka menawarkan keajaiban kepada rakyat dan pelancong. Mohonlah pihak berkuasa memberi pencerahan gambaran wajah Larkin Sentral Johor Bahru dalam masa tiga tahun lagi.

Oleh : Baharom Abdul Ghani. Johor Bahru

Hidup Lebih Tenang Tanpa Internet

SEPANJANG dua jam yang pertama ini (tidak kiralah hendak dikira dari jam berapa), sudah berapa kali anda membuka dan menutup laman sosial atau mengemas kini status di Facebook, Twitter dan lain-lain?

Sebenarnya soalan yang lebih penting, setakat ini apakah kerja-kerja yang anda sudah lakukan atau bereskan selain membuka dan melihat semula laman sosial berkenaan?

Seorang rakan memberitahu saya, dia sudah memadam semua aplikasi laman sosial di telefon bimbit dan komputer ribanya apabila saya ‘bising’ terpaksa menghantar mesej yang panjang lebar kepadanya tentang hal kerja menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang sebenarnya lebih mudah dihantar melalui WhatsApp.

Katanya, semua itu hanya membawa masalah dan gangguan. Hidupnya kini lebih tenang tanpa Internet.

"Cubalah you tidak buka benda-benda ni dalam satu hari. Fikiran, perasaan dan hidup you akan jadi lebih tenang.

"Pedulilah apa berita atau cerita yang you dah terlepas di dalam sana. Bukan semua betul pun," katanya.
Menurutnya, fikirannya lebih fokus pada kerja di pejabat atau kerja rumah. Semuanya boleh cepat diselesaikan dan hubungannya dengan keluarga menjadi lebih rapat.

Saya juga pernah diberitahu oleh seorang rakan lelaki lain yang dia turut memadam aplikasi laman sosial dalam telefon bimbitnya kerana mahu isterinya juga berbuat demikian.

Katanya, disebabkan terlalu asyik melayan laman sosial itu, sudah tidak banyak komunikasi antara dia dan isterinya di rumah.

Ini kerana masing-masing apabila balik ke rumah leka menilik telefon bimbit dan banyak kerja rumah yang boleh diselesaikan segera jadi tertangguh. Makan malam jadi lambat, baju di dalam mesin basuh tidak bersidai, keadaan rumah jadi serabut dan tiada masa lagi untuk menonton program-program kesukaannya di televisyen.

Telefon bimbit mereka tidak henti-henti menerima mesej kerana mereka ada banyak group atau kumpulan dalam WhatsApp. Maka sampai ke tengah malam sesekejap mereka akan melihat telefon.

Dia juga pernah beberapa kali ‘menangkap’ anaknya meniru homework sekolah daripada rakan-rakan sekelasnya dengan cara screenshots di telefon bimbit anaknya.

Anaknya juga tidak banyak bercakap dengannya. Anaknya lebih suka menghabiskan masa berborak dengan kawan-kawannya dalam group WhatsApp atau menonton filem, drama dan nyanyian kumpulan-kumpulan dari Korea dalam YouTube.

Kemudahan Internet ini, katanya membuatkan hidupnya sekeluarga jadi ‘sunyi’ semacam. Penyudahnya, dia padam semuanya.

Sememangnya, kita tidak dapat menafikan kemudahan Internet ini jika tidak digunakan secara berhemat, akan menguasai sebahagian besar daripada kehidupan kita.

Apabila terlalu obses dengan kemudahan ini, ia sedikit demi sedikit mengikis kualiti hidup kita tanpa kita sedari.

Dan ada juga mudah terpengaruh dan percaya apa saja cerita atau gambar yang disiarkan di Internet. Ini pula boleh membuka satu lagi cerita lain, iaitu memfitnah, berdebat dan bergaduh di laman-laman sosial.

Disebabkan terlalu banyak masa dan tumpuan diberikan pada apa yang ada dalam Internet, pada alam maya, ada yang mengabaikan apa yang ada dan berlaku dalam alam realiti.

Terutamanya apabila terlalu banyak bersembang tidak mengira waktu dan tempat. Sedangkan sebenarnya bila jumpa dengan kawan-kawan yang berborak dalam laman sosial secara berdepan, tidak ada banyak perkara pun hendak dicakapkan, tapi bila di alam maya, tidak berhenti-henti membalas perbualan sehingga mengganggu waktu kerja, makan dan tidur.

Oleh : Fauziah Arof