nuffnang

Thursday, February 27, 2014

Bosan Dengan Perkahwinan

Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengharapkan rumah tangga mereka kekal hingga ke hujung nyawa. Namun, berharap sahaja tidak memadai tanpa disertakan usaha, apatah lagi tempoh yang akan dilalui bukan sekejap malah jika dipanjangkan umur dan jodoh mungkin mencecah puluhan tahun.

Sepanjang tempoh itu, cinta dan kasih sayang sahaja belum cukup untuk menongkat rumah tangga daripada rebah, sebaliknya banyak lagi elemen penting bagi memastikan kebosanan tidak bertandang.

Jadikan hubungan suami isteri sentiasa segar dan hangat seperti ketika baru berkasih dahulu.

Berikut beberapa tip yang mungkin boleh membantu pasangan suami isteri menyemarakkan lagi hubungan dan mengelak daripada kebosanan.

Jangan asyik mengeluh
Sebagai pasangan suami isteri, anda bukan budak-budak lagi yang asyik mengeluh itu dan ini. Terlalu banyak mengeluh dan bersungut pada pasangan seperti budak-budak akan membuatkan rasa tidak selesa yang lama-kelamaan menimbulkan kebosanan. Seeloknya, ajak suami atau isteri duduk berbincang masalah yang dihadapi dan cari penyelesaian bersama-sama.

Lebih banyak mendengar
Jangan gemar memotong ketika pasangan anda sedang bercakap. Salah satu rahsia mengekalkan keharmonian dalam rumah tangga ialah mendengar dan memberi perhatian ketika pasangan anda sedang bercakap. Tidak ada salahnya jika anda di pihak yang lebih banyak mendengar. Biarkan pasangan selesai apa yang ingin disampaikan, dengar dengan hati terbuka dan kemudian baru beri pandangan atau apa yang anda fikirkan tentang perkara yang dibincangkan. Melalui cara ini, secara tidak langsung anda sebenarnya membina persefahaman dan ego masing-masing mampu diurus dengan baik.

Luahkan sahaja apa yang anda inginkan
Sebagai pasangan yang telah dewasa dan matang anda tidak perlu bermain teka-teki sebab ia hanya kelakar ketika bercinta di bangku sekolah. Pada usia sekarang dengan rumah tangga yang sudah berusia bertahun-tahun, lebih elok luahkan saja apa yang anda inginkan daripada pasangan. Keadaan ini akan membuat semuanya jadi lebih mudah dan menjauhkan kemungkinan saling berbohong satu sama lain.

Beri ruang pada pasangan
Ketika sedang menghadapi masalah yang jalan penyelesaiannya sukar untuk dicari, anda mungkin boleh beri ruang dengan berjauhan seketika supaya masing-masing boleh berfikir dengan lebih tenang dan jelas. Siapa tahu dengan menjauhkan diri sementara, semua masalah jadi lebih mudah diselesaikan dan tidak bertambah kusut. Jika idea berjauhan itu datang dari pasangan, anda tidak harus marah atau terus berfikiran negatif. Tidak salah untuk anda mencuba idea tersebut jika ia boleh menjernihkan keadaan.

Jangan bercerita dengan teman rapat
Memang tidak dinafikan teman rapat boleh jadi penghibur tatkala berduka atau anda sedang menghadapi konflik kecil dengan pasangan. Namun, anda harus bersedia untuk membatasi cerita-cerita yang boleh dikongsi. Ada masalah rumah tangga yang tidak boleh dikongsi dengan dengan orang lain, selain suami isteri itu sendiri. Jadi jagalah privasi rumah tangga anda itu sebaiknya.
Peruntukan masa untuk berdua
Walaupun perkahwinan anda sudah berusia bertahun-tahun, tidak semestinya anda meremehkan masa waktu untuk anda berdua-duaan sahaja. Cari waktu khusus agar anda dapat berdua seperti pergi menonton wayang, ke kedai kegemaran anda berdua dan sebagainya. Jika anda berdua sentiasa sibuk dan tidak sempat untuk merancang sesuatu yang boleh membuatkan anda berdua terhibur, boleh mencuri waktu di rumah seperti menonton video dan sebagainya. Buat sementara, pisahkan diri daripada anak-anak atau pekerjaan, agar waktu ini boleh betul-betul memperbaiki ikatan hubungan kemesraan anda berdua.

Ungkapkan cinta setiap hari
Mengungkapkan cinta tidak harus dilakukan dengan berkata "I love you" secara langsung. Anda boleh membawakan hadiah kecil seperti bunga cantik yang di petik di tengah jalan ketika balik dari pejabat atau dengan cara membelikan coklat murah kesukaan suami atau isteri. Hal-hal kecil yang dianggap remeh seperti ini, kadangkala boleh menguatkan cinta anda berdua, daripada merancang makan malam mewah yang menghabiskan banyak wang di restoran lima bintang.

Sumber: utusan@Keluarga

Wednesday, February 26, 2014

Orang Melayu Sudah Tidak Peduli Dengan Bangsa Sendiri?

JIKA semua Melayu bersetuju, selepas ini tiada lagi tanda ‘bangsa’ atau ras dalam mana-mana borang rasmi di negara ini. Tiada lagi kotak tanda: Melayu, Cina, India dan Lain-Lain. Sebaliknya yang ada hanya Warganegara dan Bukan Warganegara. Puncanya kerana sekarang ini mahu sebut Melayu pun orang sudah takut dan fobia. Maka itu, perkataan itu perlu dipadam.

Cadangan itu disokong sendiri oleh seorang menteri Kabinet hasil desakan oleh badan-badan hak asasi manusia.

Jika dulu ada NGO yang diwujudkan untuk memansuhkan ISA (Abolish ISA), yang kemudiannya desakan mereka didengari kerajaan, tidak mustahil cadangan di atas pun akan diterima.

Lagi pun sudah ada suara-suara yang berani mempersoalkan asal-usul orang Melayu. Mereka dakwa Melayu pun kaum pendatang, mereka pun pendatang. Maka semua sama sahaja.

Betul juga, Melayu sekarang ini rata-rata nak cakap Melayu pun sudah malu. Nak baca dan kepit surat khabar Utusan Melayu pun malu. Apatah lagi anak-anak Melayu elit yang tak pernah belajar di sekolah rendah kebangsaan pun sudah ramai.

Jika Melayu bersetuju selepas ini maka kita kena akurlah juga dengan cadangan sebuah lagi NGO hak asasi manusia iaitu Comango.

Comango, Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process atau Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia ialah sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengemukakan laporan hak asasi manusia ke proses Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Difahamkan terdapat 13 usul akan dibentangkan oleh NGO Comango yang salah satunya ialah menuntut kebebasan LGBT di negara ini.

Berikut adalah di antara tuntutan Comango yang sudah pun diserahkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ‘United Nation Human Rights Council, (UNHRC) di Geneva:

* Menuntut supaya Malaysia menerima Hak SOGI (Sexual Orientation & Gender Identity). Maknanya menuntut supaya negara kita menghalalkan LGBT - iaitu amalan seks songsang!

* Mereka turut memberi tekanan untuk menghapuskan Seksyen 377A Kanun Keseksaan berhubung jenayah liwat. Di dalam tuntutan ini Comango turut tidak setuju pusat-pusat gay diserbu pihak berkuasa (maknanya mereka mahu gejala seperti itu berleluasa).

* Mempersoalkan Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan mereka mendesak pemansuhan atau pindaan terhadap kesalahan-kesalahan jenayah Syariah dan enakmen-enakmen yang didakwa sebagai "mengganggu hak peribadi".

* Membuat tuntutan yang mewujudkan kekeliruan-kekeliruan terhadap isu kebebasan beragama seperti membawa kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian yang masih belum diputuskan secara muktamad oleh mahkamah tertinggi di Malaysia - untuk dibicarakan di Geneva!

* Mereka juga mempersoalkan larangan terhadap penganut ajaran Syiah menyebarkan fahaman mereka di kalangan orang Islam. Dan juga isu hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur (juga dijadikan isu hak asasi manusia).

Oleh itu, jika orang Melayu beragama Islam bersetuju dengan itu semua, maka negara kita akan menjadi negara Islam pertama bersetuju dengan cadangan-cadangan itu.

Lagi pun tiada kedengaran pun sebuah parti yang menggunakan nama Islam di negara ini membantah atau "sanggup berbaring di atas jalan" untuk menghalangnya. Yang bising hanyalah NGO-NGO totok Melayu yang rasis. Yang lain-lain senyap sahaja.

Jika dikaji, tuntutan demi tuntutan itu dibuat oleh pihak liberal yang banyak berhaluankan parti yang diberi nama "pakatan rakyat".

Jika rakyat semua sudah berpakat maka tidak susahlah untuk mempersetujuinya.

Selain di atas, orang Melayu juga mungkin akan bersetuju dengan satu kumpulan pendesak meminta penghapusan dasar perlindungan kepentingan bumiputera dan tanah rizab Melayu serta kelonggaran kepada orang Islam untuk murtad.

Jika semua orang Melayu Islam bersetuju, maka Malaysia selepas ini akan dikenali sebagai negara yang paling liberal di muka bumi ini.

Tak apalah, lagipun orang Melayu di negara inilah yang sering dituduh paling rasis, paling perkauman. Orang lain tak begitu. Mereka baik. Mereka tidak pandang kaum.

Orang Melayu amat dibenci di negara ini, adakah kerana orang Melayulah yang paling banyak menguasai jawatan-jawatan penting di syarikat-syarikat milik bukan Melayu di negara ini? Atau juga kerana orang Melayulah yang menguasai kesemua gedung perniagaan di negara ini?

Adakah orang Melayu juga yang menguasai rantaian pengedaran barangan (supply chain) di negara ini? Adakah orang Melayu yang menguasai kartel dan monopoli perniagaan di negara ini? Kaum lain tak boleh masuk, kerana jika mereka masuk maka samseng-samseng akan digunakan untuk menghapuskan perniagaan mereka.

Pendek kata Melayulah yang menguasai kekayaan di negara ini. Maka itu, tidak timbul untuk mereka tidak bersetuju untuk menerima cadangan-cadangan di atas itu kerana mereka sudah senang dan mewah. Namun, adakah itu hakikatnya?

Jika bangsa Melayu masih menjadi bangsa yang asyik meminta-minta itu dan ini untuk hidup, apakah mereka sudah bersedia menerima kesemua tuntutan itu?

Yang pasti kekalutan kaum di negara ini semakin gawat. Sudah ramai orang sudah berani kurang ajar di negara ini. Yang hairannya mereka bebas bercakap apa sahaja.

Secara peribadi, saya cukup-cukup bimbang dengan perkembangan ini.

Atau mungkin orang Melayu sudah tidak peduli lagi, kerana bimbang akan dicap rasis?

Oleh : Zaini Hassan

Tuesday, February 25, 2014

Mana Perginya Suara Islam Pas?

"Kalau tidak mempunyai pengetahuan mengenai agama Islam, mengapa buat komen pasal Islam? Kalau ini dibiarkan, ia boleh menyebabkan kita berpecah belah. Negara kita belum cukup kukuh, itu patut menjadi matlamat kita sebagai bangsa Malaysia. Dahulu kalau ulama mengeluarkan fatwa, bangsa lain tak sentuh kerana itu adalah fatwa untuk orang Islam. Jadi mengapa pula ada orang bukan Islam nak komen pasal agama Islam.’’ 

Demikian penegasan yang dibuat oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Haniff Omar di Muar, kelmarin yang menunjukkan betapa kecewanya beliau dengan perkembangan berkaitan tindakan pihak-pihak tertentu termasuklah ahli politik bukan Islam mencampuri urusan hal ehwal Islam.

Haniff bukanlah individu pertama yang melahirkan kekesalan tersebut, sebelum ini sudah banyak pihak mempunyai pandangan serupa dan tertanya-tanya kenapakah wujud keberanian luar biasa dalam kalangan pihak tertentu termasuklah ahli politik pembangkang.

Apa yang dikesalkan, biar pun wujudnya parti politik yang mendakwa memperjuangkan Islam iaitu Pas tetapi parti itu lebih banyak mendiamkan diri. Suara Islam Pas seolah-olah tenggelam atau ditenggelamkan sejak menjalin tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Saturday, February 22, 2014

Generasi Bisu Di Perkampungan Maya

PEMANDANGANNYA lebih kurang begini. Satu keluarga yang terdiri daripada lima orang masuk ke sebuah restoran.

Si bapa dan ibu menggenggam telefon bimbit. Dua anak lelakinya pula memegang tablet bersaiz mini manakala adik bongsu perempuan mereka membawa telefon bimbit bersaiz tapak tangan.

Mereka meninjau-ninjau mencari meja kosong dan kemudian memilih untuk duduk di sebuah meja besar yang boleh memuatkan enam orang.

Selepas pelayan restoran menghulurkan buku menu, masing-masing memilih makanan dan membuat pesanan.

Sementara menunggu hidangan sampai, hanya si ayah dan ibu yang kelihatan berbual-bual. Dalam rancak berbual, mata kedua-duanya sesekali mencuri jengah telefon yang diletak di hadapan mereka.

Tiga lagi anak pasangan itu tekun mentelaah gajet. Barangkali asyik berbalas mesej WhatsApp, melayan Twitter dan mengemas kini Facebook atau Instagram.

Sesekali mereka kelihatan tersenyum dan ketawa kecil sendirian. Pasti ada patah-patah kata dalam mesej yang diterima itu lucu dan mencuit hati.

Dua anak remaja lelaki mereka walaupun sekali-sekala kedengaran berbual-bual, sebenarnya tidak melihat pun antara satu sama lain. Hanya mulut berkata-kata tapi mata dan jari ligat menaip di paparan skrin sesentuh tablet mereka.

Si anak perempuan pula nampak asyik mengambil gambar diri sendiri. Dia memberikan gaya yang pelbagai. Ada gaya lidah tersentil di sudut bibir. Ada juga gaya mulut dimuncungkan atau diherotkan sambil jari telunjuk dan jari tengah dilintangkan di hujung bibir.

Ketika makanan yang dipesan tiba, setiap orang teruja mencari sudut untuk merakamkannya. Gambar tersebut sudah pasti akan dimuatnaikkan ke akaun Facebook atau Instagram.

Inilah antara pemandangan biasa yang boleh dilihat pada hari ini. Sudah amat jarang sekali untuk melihat suasana makan satu keluarga yang riuh rendah dengan gurau senda atau gelak ketawa.

Gambaran di atas hanyalah satu daripada berpuluh contoh yang mudah dilihat. Sebenarnya budaya sedemikian telah bermula seawal di rumah lagi.

Perkara pertama yang biasa dilakukan kebanyakan orang sebaik sahaja bangkit daripada tidur ialah membaca mesej atau memeriksa status laman sosial.

Situasi yang sama dapat dilihat di tempat kerja, ketika bermesyuarat dan berseminar termasuk ketika di masjid atau surau.

Malah ada orang sejurus selepas memberi salam dalam solat, belum pun sempat berdoa, terus mencapai telefon!.

Mendalam sungguh pengaruh peralatan elektronik pintar ini. Mereka melingkari, mengikat dan menguasai kehidupan seharian penggunanya.

Membelek gajet bagai sudah menjadi satu ritual. Kepada sesiapa yang hanya duduk tanpa alat komunikasi itu di tangan, dia dilihat sebagai janggal.

Revolusi dalam penghasilan pelbagai jenis gajet pintar berlaku sangat pantas dan seperti tidak terkejar.
Secara diam dan tanpa sedar, revolusi ini mengikis dan perlahan-lahan melunturkan warna-warna murni yang menjadi nilai dalam peradaban hidup seharian.

Perhatikan di sekeliling, anak-anak remaja semakin mementingkan privasi dan menyendiri’ melayan dunia internet yang menghidangkan macam-macam maklumat.

Mereka bersuara dalam hati dan patah-patah kata diucapkan di hujung jari. Tidak keterlaluan kalau generasi sedemikian sudah boleh digelar sebagai ‘generasi bisu.’

Prinsip-prinsip asas dalam berkomunikasi mula dilupakan. Bercakap secara bersemuka dan saling melihat mimik wajah si penutur. Kata-kata pertuturan juga sepatutnya boleh didengari, dirasai emosinya dan difahami serta disulami lenggok bahasa badan.

Golongan ini juga dilihat tidak berapa minat bermasyarakat. Masyarakat mereka sebaliknya dibina ‘di perkampungan maya. 

Mereka menjalin hubungan sosial secara virtual dalam dunia tanpa sempadan yang sangat luas.

Walaupun saling tidak mengenali antara satu sama lain, komunikasi secara interaktif itu menjadikan mereka seperti akrab.

Peranan awal teknologi maklumat dan komunikasi turut berubah. Daripada satu kemudahan untuk ‘mendekatkan yang jauh’ bertukar menjadi ‘menjauhkan yang dekat.

Budaya baharu ini walaupun tidak begitu sihat tetapi satu realiti. Semua orang terutama golongan ibu bapa perlu berhadapan dengan situasi ini. Cara menanganinya pula terletak kepada kebijaksanaan masing-masing.

http://www.utusan.com.my