Monday, April 8, 2013

Otak Militan

SETIAP negara mentafsirkan makna pengganas atau militan dengan cara tersendiri. Definisi yang paling popular, militan ialah sekumpulan manusia berfikiran sempit yang menggunakan keganasan untuk menjayakan cita-cita politik, agama atau membuat tuntutan tertentu.

Pelbagai kajian dijalankan tentang cara bagaimana militan berfikir. Mereka menyebabkan kematian dan kemusnahan harta benda.

Mereka sanggup bertindak kejam walaupun ada di antara mereka merupakan pengamal ajaran agama yang taat.

Tiada sebarang agama yang menggalakkan keganasan. Jadi, adakah mereka terencat akal atau sebenarnya terlalu fanatik menjayakan cita-cita ketua mereka tanpa memikirkan belas kasihan dan batasan undang-undang.

Apa yang pasti kumpulan militan melakukan keganasan secara terancang. Mereka selalunya membuat permintaan yang tidak masuk akal, sukar diterima dan mencabar maruah sesebuah negara.

Nah, disini baru terdedah yang mereka sebenarnya mempunya niat lebih besar iaitu memusnahkan negara.

Senjata utama mereka ialah serangan psikologi kepada rakyat. Lebih teruk, militan hanya perlu membuat satu kerosakan kecil sahaja tetapi sudah cukup memberi impak yang besar.

Kerana itulah kita dapati mana-mana kerajaan sekali pun di dunia pasti memberi perhatian yang sangat serius dalam memerangi kumpulan ini.

Impak psikologi kepada negaraKeganasan memusnahkan ekonomi negara. Pelabur hilang keyakinan untuk melabur dan pelancong pula pasti akan menjadualkan semula percutian mereka ke tempat lain.

Media luar yang bermusuh juga akan mengambil peluang memburuk-burukkan imej negara di mata dunia.

Televisyen menyiarkan cerita letupan bom, asap, orang berlari bertempiaran dan kehadiran anggota polis yang ramai.

Seterusnya laporan kematian dan kemusnahan harta benda. Ini yang militan mahu. Mereka mahu rakyat menjadi panik dan takut.

Keganasan merampas kebebasan. Rakyat hidup dalam ketidakpastian. Mereka terpisah daripada orang tersayang dan sanak-saudara.

Ini memberi tekanan dan seterusnya mencetuskan kebimbangan yang dahsyat.

Ibu bapa risau jika anak-anak bermain di luar rumah, malahan ada orang mengelak daripada menonton siaran berita kerana fobia serangan tersebut akan berulang.

Jika perintah berkurung dikuatkuasakan, kebebasan menguruskan urusan seharian juga tergugat.

Keganasan berterusan menyebabkan rakyat menjadi putus harap, seperti ayam di dalam sangkar, hanya menunggu masa menjadi mangsa.

Rakyat takut membeli hartanah dan berangan-angan untuk berhijrah keluar negara.

Ada yang menjadi pendatang haram di negara jiran dan ini menimbulkan masalah pula kepada negara tersebut.

Keganasan mencetuskan pelbagai teori konspirasi. Selepas satu serangan pengganas dilancarkan, banyak artikel atau rancangan media diterbitkan mengutuk serangan tersebut.

Tuduh-menuduh berlaku. Ini jika tidak ditangani dengan baik boleh mengeruhkan hubungan antara dua buah negara pula. Tambahan pula jika negara tersebut telah sekian lama bermusuhan.

Ini seterusnya boleh mencetuskan peperangan antara negara atau peperangan konvensional.

Peperangan sebegini lebih dahsyat kerana ia melibatkan penggunaan senjata berat atau senjata nuklear jika ada yang akhirnya bakal memusnahkan keseluruhan planet.

Keganasan juga mengubah persepsi rakyat terhadap isu keselamatan. Polis dan tentera kelihatan sentiasa bersedia dengan senjata api di tangan.

Orang kenamaan pula terpaksa mengupah ramai pengawal peribadi. Pemeriksaan badan akan dilakukan di serata tempat termasuk di rumah-rumah ibadat. Pemandangan sebegini tidak berlaku di negara-negara aman.

Peranan rakyat  
Militan hanyalah sekumpulan minoriti daripada keseluruhan penduduk sesebuah negara. Selain menimbulkan ketakutan mereka juga mahu mendapatkan sokongan rakyat setempat. Kerana itu militan banyak menyerang kepentingan kerajaan berbanding orang awam.

Jika rakyat bersatu-padu menyokong kerajaan, kumpulan militan ini akhirnya akan tumpas juga. Kerajaan akan mengerah aset tempur memusnahkan mereka. Rakyat juga boleh memusnahkan mereka tetapi dengan cara psikologi.

Pengawalan khabar angin atau rumours control sangat penting. Dapatkan maklumat tepat daripada sumber yang diyakini seperti laman web polis atau kerajaan.

Jangan percaya SMS atau maklumat daripada sumber mencurigakan kerana akan ada orang tidak bertanggung-jawab yang cuba mengambil kesempatan.

Jangan beri sebarang bantuan sama ada makanan mahupun sokongan moral kepada mereka.

Salurkan maklumat aktiviti yang mencurigakan kepada pihak polis. Bagi mengelak salah faham, kerajaan juga melalui Kementerian Luar akan terus menjalin hubungan baik dengan negara jiran.

Hargailah keamanan. Bersamalah kita memusnahkan kumpulan militan ini.

Sumber : utusan@Kesihatan

No comments:

Post a Comment