nuffnang

Tuesday, January 31, 2012

Isteri Pura-Pura Orgasma

Setiap hubungan intim yang dilakukan bersama pasangan semestinya diharapkan memberi kepuasan. Tapi hakikatnya tidak semua berakhir dengan kenikmatan kerana seks itu sendiri ada pasang surutnya.

Dalam hal ini tidak dinafikan ada isteri di luar sana yang tidak mencapai kepuasan tapi berpura-pura menikmatinya. Orgasma ataupun pura-pura orgasma, suami selalu tidak dapat membezakannya. Berikut ada punca isteri sanggup melakukannya :

1. Anggap satu kewajipan
Ada anggapan bahawa setiap wanita seharusnya mencapai orgasma setiap kali melakukan hubungan intim. Akibatnya, wanita percaya bahawa bila orgasma tidak berlaku, aktiviti seksual yang dilakukan akan menjadi kurang sempurna. Apabila tidak mampu mendapatkan orgasma mereka mula bertindak untuk memalsukannya.

2. Tidak mahu kecewakan suami
Ini mungkin alasan yang kerap diberikan oleh kaum wanita jika ditanya kepada mereka kenapa sanggup memalsukan orgasma. Wanita memahami bahawa lelaki akan merasa gagah dan bangga jika dia berjaya membuatkan pasangannya mencapai puncak kenikmatan. Oleh itu biasanya, setiap kali selesai melakukan hubungan intim, lelaki akan bertanya adakah pasangannya puas dan mencapai orgasma. Tidak mahu mengecewakan suami, selalunya akan berpura-pura orgasma.

3. Tidak pasti apa itu orgasma
Ada juga wanita yang walaupun sudah bertahun-tahun berumah tangga tapi tidak mengetahui apa sebenarnya orgasma. Dia tidak memahami apa yang dialami wanita ketika mencapai kenikmatan tersebut. Akibatnya dia juga tidak sama ada dia sudah mencapai orgasma ataupun belum dan apakah yang dialami itu orgasma atau bukan.

4. Ingin cepat selesai
Ketika mood tidak berapa baik, keletihan atau mengantuk, wanita biasanya mahu aktiviti seks dengan suami cepat selesai supaya mereka boleh berehat dan tidak diganggu. Hendak menolak pastinya sukar apatah lagi jika suami sedang dalam keadaan terangsang. Akibat keadaan-keadaan tersebut, ada yang melakukannya tidak sepenuh hati dan secepat yang boleh. Oleh itu hubungan intim terasa sakit dan isteri pasti mahu ia lebih cepat berakhir. Daripada berlama-lamaan kesakitan lebih baik pura-pura orgasma!

5. Malu jika tak mampu
Sebagaimana lelaki, wanita juga akan merasa gagal jika tidak mampu mencapai puncak kenikmatan. Walaupun ada sebab kukuh mengapa wanita tidak mampu mencapainya seperti stres, trauma seks masa lalu dan sebagainya. Akan tetapi kerana takut dianggap tak mampu, wanita mula memalsukan orgasma.

Jangan Anggap Sebagai Beban
Sekiranya seseorang wanita itu kerap memalsukan orgasma, seeloknya mereka bertemu dengan kaunselor seksiologi. Tidak ada salahnya jika anda mengamati diri sendiri dan mencari punca mengapa anda memalsukan kenikmatan tersebut. Jika masalahnya lebih kepada aspek psikologi, ada baiknya anda bertemu dengan pakar psikologi terlebih dahulu.

Jika anda sering stres, kepenatan dan tidak segar maka hubungan intim yang berkualiti juga sukar untuk dilakukan. Namun apa yang jelas bagi seseorang wanita adalah, janganlah menganggap bahawa orgasma adalah satu beban berat hingga anda sanggup menipu. Anda akan menjadi lebih stres dan kesannya anda akan tak mampu menikmati aktiviti yang seharusnya mengasyikkan.

Nikmatilah setiap tahap kegiatan seks itu. Orgasma memang penting namun ia akan lebih bermakna jika anda menikmati sepenuh jiwa dan raga setiap tahap seks itu.

Sumber : MalaysiaRia

Monday, January 30, 2012

Pantang Dilakukan Selepas Berhubungan Intim

APA yang anda lakukan selepas berhubungan intim dengan pasangan? Elakkan beberapa perkara ini yang bakal merunyamkan kenikmatan bercinta yang anda rasakan sebelumnya.

Seks merupakan agenda yang sangat menyenangkan. Namun apa jadinya ketika kenikmatan dahsyat itu hanya berakhir begitu saja kerana perilaku yang tidak menyenangkan. Nah, sebelum kenikmatan tersebut membenam, elakkan beberapa perkara berikut selepas bercinta.....

Jangan melayangkan soalan
Selepas bercinta, kekuatan pasangan sedang menurun. Aktiviti orgasme membuat anda dan pasangan lelah. Kerananya, tidur pun menjadi cara terbaik yang banyak dilakukan. Ketika dalam keadaan ini, jangan menjejalinya dengan sederet soalan. Jadi ketika dia termengah-mengah dan berpeluh, dampingi dia dengan pelbagai pujian yang menyenangkan dirinya.

Jangan terus memeluknya
Tentu saja, hal ini merupakan aktiviti wajar yang banyak dilakukan wanita selepas bercinta. Namun, sebaiknya hal ini tak akan dilakukan selepas bercinta selesai. Saat ini, suhu tubuhnya sedang mula menurun dan perlu disejukkan. Dia memerlukan masa untuk mengumpulkan kembali nyawanya, contohnya bergegas ke bilik kecil, memuat minum, dan baru berpelukan.

Jangan mengkritiknya
Ini merupakan peraturan besar bagi wanita mana-mana selepas acara bercinta selesai. Dengan melayangkan kritikan, maka hanya akan menghancurkan kenikmatan dan harga dirinya. Jadi walaupun aktiviti seks yang anda lakukan terdapat agenda yang tak menyenangkan, jangan utarakan ketidak senangan tersebut langsung selepas berhubungan intim in.. Bicarakan hal tersebut ketika anda berkomunikasi dengannya di hari berikutnya.

Anonymous

Sunday, January 29, 2012

Persiapan Laksana Hudud


ISU undang-undang hudud dan pelaksanaannya di Malaysia seringkali menjadi perbahasan di kalangan masyarakat. Kadangkala ia menjadi topik yang begitu kontroversi kerana disulami dengan pelbagai elemen lain seperti emosi politik dan juga realiti sebenar di Malaysia. Kebanyakan umat Islam mahu undang-undang hudud dilaksanakan di Malaysia. Namun pendekatan yang diambil berbeza antara satu sama lain.

Menukar undang-undang yang sedia ada kepada undang-undang hudud bukanlah semudah memetik jari.

Ruangan kali ini bukan bertujuan menongkah arus ataupun menambahkan lagi kontroversi yang sedia ada. Tetapi berbincang tentang pelaksanaan hudud dalam konteks sistem perundangan negara.

Perbincangan di ruangan ini juga hanya berkisar dari sudut perundangan negara dan tidak menyentuh perkara-perkara lain seperti politik pendidikan dan juga aspek dakwah.

Para ulama memberikan definisi hudud sebagai kesalahan yang mana hukumannya telah ditentukan (jumlah bilangan dan kaedah perlaksanaan) di sisi syarak dilaksanakan terhadap sesuatu maksiat yang dilakukan, yang melibatkan hak Allah Kesalahan hudud merangkumi kesalahan berzina, qazaf, meminum arak, mencuri, merompak dan juga murtad.

Perbincangan tentang hudud biasanya hanya berkisar tentang hukuman itu sendiri yang sering digambarkan sebagai zalim dan tidak berperi kemanusiaan. Amat jarang masyarakat membincangkan hudud secara ilmiah yang berkait dengan falsafah hukuman beban dan tahap pembuktian kes-kes hudud.

Friday, January 27, 2012

Mengapa Remaja Melayu Layu?

KEMERDEKAAN yang kita terima dan isi sepatutnya menjadikan remaja lebih bertenaga dan berwibawa. Sebaliknya proses pembangunan dan perubahan sosial tidak dapat dimanfaatkan oleh kebanyakan para remaja. Terdapat sebahagian remaja Melayu dalam jumlah yang agak membimbangkan terjebak dengan ketirisan jati diri dan menjalani hidup dalam keadaan keliru dan celaru. Ini boleh menyebabkan kelangsungan generasi Melayu menjadi 'layu'.

Abad ini adalah abad persaingan yang menuntut remaja yang berilmu dan mempunyai etika yang tinggi. Masalah sosial yang terjadi, penyalahgunaan dadah yang bertambah, kegiatan rempit yang berlaku, kadar penceraian yang tinggi serta amalan zina dan pembuangan bayi yang meningkat bukanlah suatu gambaran menarik kepada generasi muda. Generasi inilah yang bakal mengambil alih tampuk kekeluargaan, kemasyarakatan dan kepimpinan negara. Ia adalah gambaran suram yang menyebabkan Melayu itu bertambah 'layu'.

Ia bermula dalam pendidikan keluarga yang tidak seimbang. Anak-anak tidak dibina dalam suasana yang fitrah. Keciciran banyak terjadi dalam pembinaan keluarga dan ia menyebabkan keciciran berterusan di sekolah dan dalam masyarakat. Remaja Melayu amat terdedah dengan simpang siur, silang budaya yang kehilangan arah. Ia menyebabkan remaja Melayu mengalami sindrom ketagihan terhadap hiburan, gemar menonton filem-filem tahyul, seram dan hantu yang tidak mampu meningkatkan akal budi insani dan mudah cair dengan cabaran nafsu nafsi dan akhirnya menjerumuskan remaja Melayu ke kancah kerosakan.

Terlihat oleh kita sistem perubahan sosial berlaku dalam dua ekstrem. Di satu pihak cuba membentuk pemikiran generasi muda kearah kebaikan dan kemakrufan. Di sisi lain terdapat usaha dan kegiatan menjadikan mereka orang-orang yang lagha, cuai, dan lalai terhadap amanah keremajaan. Ia menyebabkan konflik sikap dan pemikiran terjadi. Akhirnya menyebabkan sebahagian remaja Melayu menjadi 'layu'.

Sindrom 'kelayuan' ini boleh menyebabkan remaja Melayu hilang pedoman dan arah dalam hidup dan akhirnya menjadi mangsa kepada persekitaran. Persekitaran yang tidak baik bakal membentuk pola berfikir dan binaan sikap yang lemah. Ia tidak akan menghasilkan pemikiran kreatif yang berpotensi untuk membawa perubahan dan pemikiran kompetitif untuk berdepan dengan cabaran dan saingan. Minda remaja Melayu akan menjadi lemah, suka bergantung kepada orang lain dan menjadi pengikut kepada agenda orang lain.

Oleh itu, amat penting generasi muda Melayu membina jati diri atas prinsip perubahan ke arah sesuatu. Remaja Melayu patut menginsafi bahawa ianya tidak boleh berlaku tanpa ilmu, kemahiran serta akhlak. Remaja Melayu yang jauh daripada pendidikan Islam dan tidak menjadikan Islam dan etikanya sebagai pedoman bakal terdedah menjadi mangsa zaman. Sifat zaman yang pantas berubah mengingatkan kita dengan kata-kata Saidina Umar r.a yang menyebutkan "Didiklah generasi muda dengan ilmu yang sezamannya".

Ilmu yang sesuai dengan zaman, pada hemat penulis ialah ilmu yang integratif, yang menyepadukan ilmu akal dengan ilmu wahyu (ilmu aqliah dan ilmu naqliah). Tanpa kekuatan ilmu, yang diolah secara wasatiyyah (berimbang), tidak mungkin kita mampu menyaingi terjahan globalisasi yang berlaku dengan hebatnya.

Reflektif terhadap tamadun Islam yang silam boleh membawa kepada proses integrasi dan islamisasi ilmu yang mampu mencetuskan perubahan dan tamadun. Kalau tidak, para remaja dan generasi muda akan kekal sebagai pengguna setia terhadap tamadun Barat yang belum tentu selari dengan tuntutan agama.

Para remaja yang mengikuti pendidikan agama mesti mampu membentuk pemikiran yang terbuka, tidak emosional dan taksub serta berfikir secara simplistik. Melakukan perubahan terhadap sistem menuntut pemikiran yang jelas, rancangan yang bijaksana dan strategi yang berwibawa.

Kalau pendidikan agama menjadikan para remaja gopoh berfikir, bersikap simplistik terhadap sesuatu, tidak bersedia mendengar pandangan orang lain ia bakal menghasilkan kejumudan dan kebekuan. Sikap jumud dan beku tidak boleh menghasilkan perubahan. Remaja bakal berada dalam kepompong berfikir yang lama dan tidak mampu melonjakkan diri dalam arus perubahan yang terarah.
 
Oleh : Nurul Izzah Sidek

Thursday, January 26, 2012

GLC Patut 'Ambil' Kuota Bumi

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Syarikat-syarikat milik kerajaan yang bergiat dalam sektor hartanah dan unit amanah hartanah wajar membeli kediaman kuota Bumiputera untuk mengelak aset berkenaan 'bertukar tangan'.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Hartanah Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shahrom Md. Ariffin berkata, pendekatan itu dilihat sebagai cara terbaik dan lebih praktikal dalam usaha menyelamat hartanah yang diperuntukan kepada Bumiputera.

Beliau berkata, masalah kediaman tidak terjual itu disebabkan pembeli Bumiputera berminat tetapi masih belum membelinya.

Justeru, katanya, sekiranya kediaman-kediaman berkenaan dibeli oleh GLC , sekurang-kurangnya hak yang diperuntukan kepada Bumiputera terjamin.

''Siapa kata Bumiputera tidak berminat untuk memiliki kediaman, banyak yang masih mencari-cari dengan tumpuan terhad kepada kediaman berkos rendah dan sederhana. Jumlah Bumiputera yang mampu memberi rumah sederhana mewah dan mewah begitu kecil.

''Oleh itu, saya syorkan Permodalan Hartanah Bhd., Permodalan Nasional Bhd., Majlis Amanah Rakyat, AmanahRaya Bhd. atau Lembaga Tabung Haji mengambil alih hartanah-hartanah tersebut.

''Kalau Bumiputera secara individu tidak mampu, saya yakin agensi-agensi ini berupaya kerana mereka memiliki dana yang besar,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) supaya status hartanah lot Bumiputera ditukar secara automatik kepada bukan Bumiputera jika gagal dijual dalam tempoh masa tertentu.

Cadangan itu dibuat bagi mengatasi kerugian yang didakwa terpaksa ditanggung oleh pemaju ekoran gagal menjual hartanah berkenaan, selain perlu melunaskan kos tertentu untuk mengubahnya ber dasarkan undang-undang semasa.

Presidennya, Datuk Seri Michael K C Yam berkata, kaji selidik yang dilakukan REHDA mendapati masalah kegagalan menjual hartanah lot Bumiputera merupakan punca paling utama kerugian ditanggung oleh pemaju untuk empat tahun berturut-turut.

Mengulas mengenai tersebut, Shahrom mengakui REHDA tidak boleh dipersalahkan berhubung cadangan yang dilontarkan.

Ini kerana isu berkenaan adalah perkara lapuk yang dibincangkan hampir setiap tahun oleh para pemaju tetapi ia tidak dilihat secara serius oleh mana-mana pihak.

Akibatnya, kata beliau, isu itu bersifat bermusim tanpa tidak diketahui bilakah jalan penyelesaiannya mampu dilaksanakan.

Bagaimanapun, tegas beliau, jalan penyelesaian perlu dilihat secara teliti oleh kerajaan untuk mengelakkan para pemaju hartanah tempatan rugi dan pada waktu yang sama pertahankan hak Bumiputera.

Shahrom menambah, cadangan menukar hak milik hartanah yang diperuntukan itu tidak wajar dipertimbangkan kerana dikhuatiri keistimewaan itu akan hilang secara perlahan-lahan.

''Mekanisme yang betul perlu dibincang, diteliti dan dilaksanakan. Tetapi saya berpendapat kuota kediaman Bumiputera boleh diselamatkan oleh agensi-agensi terbabit,'' katanya.

Beliau berkata, di sebalik tumpuan agensi-agensi berkaitan kepada hartanah komersial, mereka boleh menambah hartanah kediaman sebagai portfolio baharu terutama di kawasan-kawasan utama yang berpotensi besar dan berdaya saing.

''Contohnya di kawasan Mont Kiara dan tengah-tengah kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur kerana kediaman di kawasan ini tidak akan jatuh dan baik untuk pelaburan jangka panjang.

''Dengan pembelian kediaman, entiti-entiti terbabit bukan sahaja membantu menangani masalah pemaju, pada masa sama GLC mampu mempertahan dan menyelamatkan hak milik Bumiputera.

''Mungkin kediaman yang mahal itu tidak mampu dimiliki Bumiputera pada masa sekarang, tetapi mungkin boleh dijual pada tahun-tahun mendatang. Siapa tahu ketika itu banyak Bumiputera yang mampu,'' katanya.
 
Oleh : Ainul AhsaB

Tip Hubungan Lebih Ceria

Memasuki pertengahan bulan Januari masih ada yang bertanya apa agaknya azam sepanjang tahun 2012 ini? Untuk lebih banyak bersenam? Atau lebih produktif?

Tetapi percayalah untuk menjadi lebih jujur dan terbuka dalam perhubungan suami isteri tentunya tidak ada dalam senarai azam tahun baru kebanyakan orang.

Ini kerana manusia cenderung membiarkan sesuatu perhubungan berjalan mengikut arus. Dengan mengharapkan segala halangan yang ditempuhi pulih sendiri. Paling tidak berlaku pertengkaran yang akhirnya membuatkan pasangan saling bermasam muka antara satu sama lain.

Cara terbaik untuk mempunyai hubungan yang gembira dan membahagiakan adalah berusaha ke arah tersebut.

Berikut 12 tip mudah yang mungkin dapat memperbaiki hubungan anda suami isteri menjadi lebih ceria pada tahun 2012 ini.

1. Ucapan ‘tolong’ dan ‘terima kasih’ dapat menunjukkan kepada pasangan yang anda menghargainya dan mengelakkan anda daripada mengambil kesempatan antara satu sama lain.

2. Usik punggung pasangan anda sekurang-kurangnya sekali setiap hari. Ia bukan tujuan seksual sebaliknya hanya untuk mencetuskan kemesraan dan keintiman.

3. Beri ciuman setiap pagi.

4. Ucapkan ‘selamat pagi’ setiap pagi.

5. Berpelukan.

6. Luangkan masa sekurang-kurangnya satu malam yang berkualiti setiap minggu bersama keluarga. Jangan biar ada yang menganggu anda.

7. Sesekali gunakan gelaran manja. Namun, jika digunakan keterlaluan, ia mungkin merosakkan hubungan kerana ia mungkin sudah tidak dianggap manja.

8. Ambil giliran cuci pinggan. Mungkin boleh buat satu sistem giliran bila atau siapa yang patut melakukan.

9. Amalkan mendengar apa yang diluahkan pasangan.

10. Amalkan bersikap jujur walaupun pada perkara perkara yang mungkin anda kurang selesa.

11. Jika isteri atau suami anda tidak dapat membuat keputusan tentang di mana untuk makan luar atau filem apa yang mahu di tonton, cuba main ‘5-3-1’. Caranya seorang buat lima pilihan, pasangannya mengundi keluar dua daripadanya dan orang pertama tadi keluarakan dua lagi, jadi yang tinggal itulah tempat dituju.

12. Walaupun tinggal bersama sebagai suami isteri, pastikan masing-masing masih mempunyai tempat untuk bersendiri di mana anda boleh berehat, membuat kerja kesukaan anda atau sekadar mengelamun.

Intim-Utusan

Wednesday, January 25, 2012

Apa Maksud 'Undang-Undang Yang Memalukan'?

SAYA sebenarnya kurang jelas dengan maksud Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang akan memansuhkan undang-undang yang digunakan untuk memalukan orang lain. Apa maksud 'memalukan orang lain'?

Saban tahun kita melihat laporan televisyen dan akhbar tentang orang yang didakwa atas pelbagai kesalahan jenayah. Ada pembunuhan, pecah amanah, penipuan dan sebagainya. Ramai di kalangan mereka yang didakwa itu menutup muka dengan akhbar atau kain kerana malu gambar mereka diambil oleh wartawan dan disiarkan di media. Adakah undang-undang yang begini juga hendak dimansuhkan?

Setahu saya, manusia normal yang masih mengambil berat soal pandangan masyarakat akan merasa malu apabila tertangkap membuat apa juga kesalahan, walaupun kesalahan paling kecil. Budak sekolah yang tertangkap kerana merempit dan menagih dadah pun tahu berasa malu.

Ada murid saya enggan memberitahu berapa markah mereka dapat dalam peperiksaan, dan pemarkahan dibuat berdasarkan beberapa peraturan yang dibuat untuk menetapkan standard penandaan kertas peperiksaan.

Kutu kampung yang mencuri ayam pun senyap-senyap pergi mencuri waktu malam kerana malu jika tertangkap. Adakah peraturan ini pun pembangkang hendak mansuhkan?

Sebagaimana malunya Anwar Ibrahim apabila didakwa meliwat, anak murid saya pun malu bila gagal peperiksaan. Tetapi, berbeza dengan Anwar, anak murid saya yang malu kerana gagal itu kemudiannya berusaha kuat supaya tidak gagal lagi dan menyelamatkan diri mereka daripada malu.

Jadi saya tidak faham bagaimana hendak membezakan undang-undang yang tidak memalukan dan undang-undang yang memalukan, kerana atas kesalahan apapun, besar atau kecil, kalau sudah namanya tertangkap, memang akan berasa malu.

Ini kerana seseorang hanya akan dianggap bersalah apabila ada bukti dan bukti boleh datang dalam pelbagai bentuk dan rupa. Bukti menunjukkan orang itu benar-benar bersalah. Jadi sekarang, adakah kita hendak melarang semua polis dan peguam mencari bukti kesalahan penjenayah kerana bukti boleh mendatangkan malu?

Bukan semua orang ada pengaruh dan kebolehan memutar alam semesta untuk menegakkan benang basah apabila sudah tertangkap membuat salah.

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan negara ini nanti jika semua undang-undang dan semua bentuk pembuktian dianggap memalukan dan tidak boleh dibawa ke mahkamah.

Jika keadaan ini berlaku, polis dan peguam tidak boleh bekerja dan semua penjenayah boleh terlepas daripada hukuman. Karpal Singh dan anak-anaknya tidak boleh pergi ke mahkamah lagi.

Kita bercakap tentang keadaan disiplin murid sekolah yang teruk kerana sekarang undang-undang sekolah pun boleh diperkecilkan oleh pelajar. Bayangkan apa berlaku jika undang-undang negara pula dipermain-mainkan. Bagi saya, jika tidak mahu malu, jagalah kelakuan dan akhlak.

Saya tidak punya pengaruh besar seantero dunia seperti Anwar. Jadi barangkali saya gagal memikirkan undang-undang apakah yang tidak akan memalukan orang yang tertangkap membuat salah. Mungkin Anwar boleh menjelaskan undang-undang mana yang boleh memalukan dan undang-undang mana yang tidak?

Sabda Rasulullah: "Malu itu sifat orang beriman. Jika tidak ada rasa malu, buatlah sesuka hatimu". Saya fikir, Anwar yang pernah mengimamkan solat, menjadi pemimpin anugerah Tuhan dan menonjolkan diri sebagai pemimpin Islam yang progresif tentu pernah mendengar kata-kata Rasulullah SAW ini.
 
Oleh : Habibul Amani
          Kulaijaya, Johor

Tuesday, January 24, 2012

Bank Islam Tersasar?

KUALA LUMPUR - Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) melahirkan kebimbangan terhadap trend bank-bank Islam tempatan pada waktu ini yang semakin mengejar keuntungan berbanding menepati 'maqasid' (matlamat) syariah.

Bank-bank Islam tempatan sepatutnya memakmurkan umat berbanding mengutamakan keuntungan.

Keadaan ini berlaku kerana kebanyakan bank-bank Islam ini diterajui oleh -pemimpin muda yang mempunyai aliran pemikiran lebih moden, walaupun tidak dinafikan kealimannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Adnan Alias berkata, berbanding generasi perintis bank-bank Islam di negara ini yang lebih tulen, peneraju-peneraju muda pada waktu ini didapati lebih cenderung mencipta keuntungan untuk bank masing-masing.

Beliau menegaskan, mencari keuntungan tidak salah, tetapi pengagihan perkongsian keuntungan dengan bank sekular perlu lebih diteliti supaya tidak bercampur dengan unsur yang tidak dibenarkan dalam Islam.

Katanya, peneraju muda juga perlu lebih peka terhadap tuntutan syariah dan tegas dalam membezakan apa yang boleh dan tidak boleh.

"Peneraju-peneraju muda perlu lebih berhati-hati dari segi pengasingan keuntungan dengan sistem yang diperoleh oleh bank sekular.

"Saya tidak nafikan bahawa tekanan daripada lembaga pengarah atau pihak pengurusan atasan mungkin menjadi penyebab peneraju-peneraju muda dalam bank-bank Islam berbuat demikian dan mereka semakin larut dengan perkembangan semasa,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Adnan menambah, secara peribadi beliau berbangga dengan pencapaian bank-bank Islam tempatan pada waktu ini dan sama sekali tidak meragui dan mempertikaikan ketulenan Islam dalam bank-bank Islam tempatan.

Malah, katanya, Malaysia merupakan negara yang mempunyai bank-bank Islam yang tulen produknya.

"Bank-bank Islam tempatan juga menjadi pelopor kepada sistem kewangan Islam dunia dengan memperkenalkan sukuk yang juga kini dituruti oleh bank-bank Islam di negara-negara Arab,'' ujarnya.

Oleh : Azman Ibrahim

Pakai Tudung Cantik, Tetapi Gagal Penuhi Tuntutan Syariat


Pakaian beri gambaran salah konsep menutup aurat
ORANG Islam mudah menerima? Persoalan itu wajar kita tanyakan apabila hakikatnya nampak begitu kerana apa juga yang terbaru dan terkini, pastinya kita tidak mahu ketinggalan. Mungkin perasaan perlu mengikut aliran dan tidak mahu ketinggalan mendorong kita mengikut arus.

Sebenarnya tidak salah mengikut arus, tetapi dalam kecenderungan kita menjadi sebahagian daripada perubahan, ada batas serta peraturan yang perlu dipatuhi khususnya sebagai umat Islam, tuntutan agama sentiasa menjadi penanda aras terhadap apa juga tindakan yang ingin kita lakukan.

Justeru, amat menyedihkan apabila ada yang mempertikaikan keputusan pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama kerana yang diputuskan itu tidak memenuhi kehendak pihak tertentu atau secara jelas menentang kemahuan mereka.

Namun, saya bukan hendak membangkitkan beberapa insiden besar yang berlaku dalam masyarakat apabila ada pihak menentang atau mempersoalkan keputusan mereka yang arif dalam hukum agama dengan pandangan serta perbahasan mengikut pemikiran mereka.

Apa yang ingin saya ketengahkan ialah pemandangan biasa dilihat dalam kalangan remaja, belia dan orang muda, malah ada juga golongan dewasa yang menjadikan pemakaian tudung ibarat pertunjukan fesyen, siapa lebih terkini gayanya atau bijak menggayakan fesyen bertudung.

Sekali lagi, tidak salah bergaya untuk kelihatan cantik kerana Allah sukakan yang cantik, tetapi biarlah kecantikan itu yang benar-benar cantik. Dalam erti kata lain, kecantikan pemakaian tudung biarlah mengikut syariat serta matlamat utama kenapa ia diwajibkan terhadap perempuan Islam.

Apa yang terjadi sekarang, pemakaian tudungnya sangat cantik dengan pelbagai gaya, tetapi secara keseluruhan ia gagal memenuhi hikmah disyariatkan bertudung apabila baju dipakai melekat pada badan, berada di atas punggung dan seluar pula mengikut bentuk kaki, tidak kira yang kurus panjang atau tidak kurang yang padat berisi.

Malah, ada yang apabila duduk, ternampak pula sebahagian kulit badan di belakang walaupun rambut yang menjadi sebahagian aurat sudah elok tertutup. Itu yang menimbulkan persoalan, inikah cara berpakaian yang dianjurkan Islam kerana rasanya semua tahu akan jawapannya.

Perkembangan ini antara sedar atau tidak turut memberi gambaran salah terhadap konsep menutup aurat yang disarankan agama Islam. Oleh itu, marilah bersama kita menilai, memikirkan semula serta mengambil tindakan sebaiknya supaya niat memenuhi tuntutan agama benar-benar memberi manfaat serta ganjaran pahala, bukan sebaliknya, menjadi usaha sia-sia.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Menyedari perlunya menjaga batasan antara lelaki dan perempuan, kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah menggalakkan wanita yang datang untuk mendapatkan rawatan memakai telekung supaya batas aurat itu terjaga sebaiknya. Sebahagian besar yang datang memang menutup aurat dan bertudung, tetapi bagi kami, lebih baik mengambil langkah boleh mencegah daripada timbulnya fitnah.

Ini hanyalah pandangan peribadi kerana saya akur naluri manusia yang berbeza serta pandangan terhadap sesuatu itu pelbagai mengikut tahap kefahaman atau cara mereka ingin memahami sesuatu peraturan dan syariat agama. Tetapi sebagai insan kerdil yang melihat berlaku kelemahan dalam masyarakat, rasanya tidak salah saya membangkitkan isu ini.

Tambahan dengan pembaharuan yang berlaku begitu pantas, industri pakaian serta fesyen turut menerima tempiasnya maka kita dapat lihat macam-macam rekaan terkini memenuhi pasaran. Ada yang sesuai untuk wanita Islam dan ada jelas tidak mematuhi kehendak syarak.

Dalam membicarakan soal pakaian wanita, Islam tidak menetapkan pakaian tertentu, tetapi wanita Islam perlu mengikuti garis panduan syarak dengan memastikan pakaian itu hendaklah menutup aurat mereka, menutup dengan sebenar-benarnya.

Antara tujuan berpakaian itu ialah untuk menutupi atau melindungi bahagian yang tertentu. Jika mereka memilih pakaian nipis atau jarang hingga boleh dikesan atau dilihat auratnya, maka ini bererti pakaian yang dipakai sudah tidak berfungsi lagi.

Semoga ibadah kita dan kesungguhan memenuhi tuntutan syariat menjadikan kita termasuk dalam golongan yang sentiasa mendapat keredaan serta rahmat Allah.
 
Oleh : Ashraf Muslim

Monday, January 23, 2012

Biar Keintiman Lebih Panas, Elakkan Kesalahan Ini

ANDA mahukan hubungan intim anda bersama pasangan selalu "panas". Tapi di satu sisi, pernahkah anda berfikir tentang peranan anda dalam menghidupkan suasana bercinta seperti yang anda inginkan? Atau anda terbiasa menunggu pasangan "memulakan" dengan sendirinya? Boleh jadi, anda telah membuat kesalahan yang tak disedari.

Pakar terapi seks ada mengungkapkan bahawa wanita secara tidak sedar sering membuat tiga kesalahan ketika berada di bilik tidur bersama pasangan.

Mengenakan pakaian tidur yang selesa
Seperti kebanyakan orang, anda tentunya ingin memakai pakaian yang selesa untuk tidur. Tapi tahukah anda, salah satu faktor yang membuat "mood" bercinta pasangan turun adalah kerana pakaian tidur yang selesa. Jika anda ingin memberikan sesuatu dalam kehidupan percintaan anda, lupakan sejenak menggunakan pakaian yang selesa dan beralihlah pada bra dengan potongan menggoda, atau pakaian tidur yang bagus, yang membuat anda kelihatan seksi namun tetap selesa dipakai.

Enggan memulakan
Kebanyakan wanita lebih memilih menunggu pasangan untuk terlebih dahulu mengajak bercinta. Setop untuk ini. Anda sesekali harus mengawalinya. Naiklah lebih dulu ke tempat tidur dan rayulah pasangan agar mau menemani anda. Anda akan mempunyai pengalaman bercinta yang lebih menyenangkan.

Mengkritik
Dari semua hal, ini adalah kesalahan yang paling fatal. Tidak ada hal yang paling cepat mematikan "mood" bercinta pasangan, selain apabila anda mengatakan apa yang anda tidak inginkan di tempat tidur. Berbanding mengkritik, anda lebih disyorkan untuk mendedahkan apa yang anda ingin dapatkan dari pasangan untuk menyenangkan dan merangsang anda.

Anonymous

Sunday, January 22, 2012

Facebook, Twitter Antara Punca Cerai

KADAR perceraian di Malaysia mengikut statistik Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) pada 2009 ialah satu kes pada setiap 15 minit. Kes perceraian membabitkan pasangan semua peringkat taraf pendidikan, kekayaan, status dan usia perkahwinan. Golongan kaya dan selebriti yang dianggap menikmati kehidupan ‘sempurna’ di mata masyarakat turut tidak terlepas mengalami keruntuhan rumah tangga.

Soal nikah dan cerai tidak boleh dipandang mudah kerana memberi kesan yang besar kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Perceraian ialah perkara halal paling dibenci dalam Islam, yakni perkara perlu dielak daripada berlaku melainkan untuk mencari keadilan dan menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam rumah tangga.

Hidup berumah tangga banyak cabarannya, umpama melayari bahtera di lautan gelora dan luas tanpa tepian. Justeru, setiap pasangan suami isteri perlu menggunakan pendekatan berhemah dan berlapang dada dalam mendepani rencah kehidupan berumah tangga.

Allah SWT menjanjikan kebahagiaan hidup suami isteri melalui perasaan kasih sayang. Semua makhluk berhak mendapat kehebatan erti kasih sayang jika mereka benar-benar memahami anugerah yang Allah SWT berikan ini.

Firman Allah SWT bermaksud: “Antara tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah Dia telah mencipta untuk kamu pasangan daripada golongan kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram. Dan dijadikan antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Tanpa perasaan kasih sayang, kekayaan tidak dapat menjamin kebahagiaan rumah tangga. Banyak pasangan bertaraf jutawan mengakhiri perkahwinan dengan perceraian. Selepas perceraian, harta pula menjadi rebutan sehingga dibawa kes tuntutan ke mahkamah.

Hal ini berlaku akibat terlalu terpengaruh dengan budaya masyarakat Barat yang mana apabila berlaku perceraian, soal pembahagian harta menjadi agenda utama.

Satu fenomena baru melanda masyarakat sekarang hingga menyebabkan perceraian ialah suami atau isteri mempunyai hubungan ‘pasangan maya’ di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Ledakan rakan maya menyebabkan banyak individu teruja dan ’lupa diri.’ Golongan ini asyik berhubung melalui alam siber khususnya berborak di laman sembang berjam-jam setiap hari.

Bermula dari alam siber lalu bertemu di dunia nyata. Bagi individu belum berkahwin, ada yang bertemu jodoh dengan rakan maya dan kekal bahagia. Masalahnya bagi mereka yang telah berkahwin menjalin cinta gelap dengan rakan maya menjadi punca keretakan rumah tangga.

Rakan maya mudah mesra, kononnya tidak ada sekatan perasaan malu kerana tidak perlu melafazkan kata-kata. Malah reaksi wajah atau gerak badan tidak diperlukan. Medium menjadi penghubung adalah bait kata yang tertera di skrin komputer atau telefon.

Dalam hubungan itulah, ada yang mengambil kesempatan atau terperangkap dengan cinta maya. Perkara ini lazimnya mudah berlaku membabitkan bekas kekasih, rakan lama dan tidak kurang dengan mereka yang sememangnya menjadikan ruang siber untuk berlagak Romeo mahupun Juliet.

Hubungan maya ini dikesan menjadi punca perceraian apabila suami atau isteri mengetahui pasangan mereka mempunyai hubungan cinta lain.

Tidak kurang juga mereka sanggup meminta cerai daripada pasangan apabila terlalu yakin dan sayang kepada pasangan maya yang dirasakan lebih sesuai dan mencintainya.

Untuk mencegah perkara ini, persahabatan maya perlu ada batasannya. Bagi mereka yang telah bergelar suami atau isteri, perlu bijak menilai tahap hubungan dengan rakan maya berlainan jantina.

Haram bagi isteri menjalin ‘hubungan mesra’ dengan lelaki lain biarpun hanya dalam alam maya. Suami perlu tegas melarang isteri jika perkara itu terjadi. Dayus jika suami mengetahui perkara itu tetapi tidak melakukan apa-apa tindakan untuk mencegahnya.

Riwayat Tabrani, dari Ammar Yasir berkata: “Dia mendengar dari Rasulullah bersabda: Tiga golongan yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.”

Lalu sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus?”

Lalu Rasulullah bersabda lagi: “Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”

Setia kepada pasangan dan sentiasa menyimpan hasrat untuk kekal hidup bersama sehingga ke akhir hayat amat penting dalam rumah tangga.

Jangan biarkan rumah tangga dilanda badai sehingga menggagalkan impian yang diikat ketika akad nikah dilakukan.

Sesungguhnya pahala amat besar bagi isteri yang mentaati suaminya. Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila seseorang isteri solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, memelihara kehormatan serta menutup aurat dan taat kepada suami, lebih berhak baginya masuk ke syurga daripada sebarang pintu yang dia kehendaki.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Suami dan isteri boleh mencegah hubungan jika masing-masing memberi perhatian dan mengambil berat.

Hubungan maya biasa terjadi disebabkan terasa diabaikan oleh pasangan. Bermula suka-suka dan mengisi masa lapang, akhirnya mereka terjebak dengan cinta maya yang mengundang masalah dalam rumah tangga.

Sebab itu amat penting cinta dan kasih sayang suami isteri sentiasa dipupuk dan dijaga agar tidak terdorong melakukan perkara yang dilarang agama.

Langkah JAKIM ingin menganjurkan kursus pasca perkahwinan adalah satu langkah proaktif untuk membendung gejala perceraian termasuk dalam kalangan mereka yang telah lama berumah tangga.

Tentunya satu perkara amat malang jika perkahwinan yang telah berlangsung puluhan tahun berakhir dengan perceraian berpunca perkara kecil yang sebenarnya boleh dielak.

Oleh : Lokman Ismail

Saturday, January 21, 2012

Di Mana Maruah Pas?

SATU perkara yang tidak mahu diakui oleh Pas adalah parti itu hanyalah kuda tunggangan dan pak turut dalam pakatan pembangkang. Bagi Pas, semua itu hanya fitnah, tohmahan dan agenda politik Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Pas terlalu sukar untuk mengakui hakikat bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP hanya ingin memperalatkan kemampuan serta kekuatan Pas bagi meraih sokongan undi terutama di kalangan sesetengah orang Melayu yang terlalu percayakan kepada perjuangan Islam Pas.

Tetapi Datuk Abdul Hadi Awang sendiri begitu mempertahankan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, malahan dalam satu perhimpunan Presiden Pas itu berkata, ‘‘Tidak apa DAP memperkudakan Pas, Pas memperkudakan DAP yang penting jangan diperlembukan oleh UMNO.’

Dan terbaru beliau berkata, tiada sesiapa pun yang menjadi tunggangan dalam pakatan pembangkang, sebaliknya pakatan itu bersatu demi menumbangkan BN.

Namun apa yang berlaku di Selangor sudah menjadi bukti bahawa Pas hakikatnya hanya dipandang sebelah mata oleh PKR dan DAP. Mereka tidak pernah mahu menganggap Pas adalah sebuah parti yang memperjuangkan Islam sebab itu portfolio Hal Ehwal Agama tidak diberikan kepada wakil rakyat.

Pas dan pakatan pembangkang boleh berhujah apa sahaja berhubung perkembangan terbaru ini tetapi apa yang pasti orang Melayu semakin yakin bahawa maruah Pas seperti kata Datuk Dr. Hasan Ali sudah dipijak.

Apakah Pas masih bermaruah apabila tunduk kepada PKR apabila memecat Dr. Hasan kerana mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim, membatalkan arahan penjualan arak di kedai 24 jam dan membatalkan arahan melarang pusat hiburan beroperasi di bulan Ramadan.

Malahan sebelum ini Pas juga terpaksa mengorbankan perjuangan negara Islamnya semata-mata desakan DAP, oleh itu apakah Pas masih menganggap ia sebuah parti yang bermaruah jika sentiasa tunduk kepada kehendak PKR dan DAP?

Malang sekali nasib Pas, parti itu bukanlah sebuah parti yang digeruni pada era 70-an, 80-an mahupun 90-an, sebaliknya parti itu kini tidak ubah melukut di tepi gantang dalam pakatan, terpaksa ‘mengemis’ kepada persetujuan PKR dan DAP untuk melakukan sesuatu dan pada masa yang sama menyokong sahaja apa yang diputuskan oleh kedua-dua parti tersebut.

Oleh itu sudah pasti orang akan bertanya di manakah maruah Pas, apabila satu demi satu tindakannya dilihat sekadar memenuhi agenda politik PKR dan DAP. Kenapakah Pas begitu lemah untuk bersuara? Di manakah suara asal Pas dahulu yang dianggap suara pembangkang paling berbisa dalam arena politik negara?

Semua itu sudah tinggal kenangan, Pas kini lebih ghairah untuk memburu kuasa bersama-sama PKR dan DAP.

Pas tidak akan bantah dan Pas tidak akan protes demi memastikan kedua-dua parti berkenaan tidak menyingkirkan mereka daripada misi menawan Putrajaya.

Apa pun, perkembangan terbaru di Selangor ini seharusnya menyedarkan kepimpinan Pas dan penyokong mereka. Jika PKR dan DAP jujur sudah pasti mereka akan mencari jalan agar portfolio hal ehwal agama diberikan kepada Pas.

Tetapi mereka tidak berbuat demikian kerana mereka tidak perlu menjaga hati Pas dan lagi pun Pas tidak akan melawan, Pas akan akur sahaja!

Mungkin juga dari satu segi, kedua-dua parti itu merasakan tidak perlu lagi mempertimbangkan portfolio berkenaan diberikan kepada Pas kerana parti itu tidak lagi memperjuangkan negara Islam sebaliknya negara berkebajikan.

Sebab itulah sejak awal lagi, ramai memperkatakan bahawa Pas hanya alat dalam pakatan, mereka tidak akan diberi apa-apa kuasa yang boleh menonjolkan kemampuan dan kewibawaan mereka.

Justeru tidak payahlah Pas bermimpi hendak menjadi parti utama dan mungkin parti itu menyedari hakikat tersebut sebab itulah awal-awal lagi Pas bersetuju dengan pandangan DAP bahawa Anwar tetap jadi Perdana Menteri.

Bagi Pas, kalau DAP sudah setuju dan PKR telah sepakat maka mereka perlu akur sahaja, bak kata dialog dalam filem P.Ramlee, ‘‘tidak boleh marah, kalau marah akan dijual keseluruhannya.’.

Begitulah juga nasib politik Pas, mereka sudah terlanjur mencapai kesepakatan dengan kedua-dua parti berkenaan, jadi mahu tidak mahu ikut sahaja kalau tidak mahu disingkirkan daripada pakatan pembangkang.

Demikianlah nasib Pas di alaf baru ini, tiada suara biar pun ada kekuatan, Pas bagaikan pak kadok ‘suruh ke hulu dia ke hulu, suruh ke hilir’, akhirnya yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Bagaimanapun bagi sebahagian orang Melayu mereka masih menaruh harapan agar Pas segera sedar mengenai permainan politik licik PKR dan DAP.

Kita tidak pasti sejauh manakah Pas akan sedar mengenai agenda PKR dan DAP, ia kerana Pas bagaikan ditutup mata dan hati mereka untuk menilai keikhlasan kedua-dua parti itu.

Jika Pas dilihat terlalu menjaga hati rakan sekutunya tetapi percayalah PKR dan DAP tidak mempunyai perasaan sedemikian. Sebab itulah apa pun tindakan, mereka tidak akan mengambil kira pandangan Pas.

Namun Pas tidak sedar sebaliknya terus dibuai mimpi dengan kerjasama dengan kedua-dua parti itu telah menggerunkan BN, maka tohmahan pun dilemparkan mengatakan Pas hanya pak turut.

Lebih malang, di kalangan pemimpin fanatik Pas, oleh kerana sudah diserap politik kebencian, maka mereka ini hanya akan mengangguk apa sahaja kata pemimpin mereka, PKR dan DAP.

Mereka tidak akan membantah kerana percaya pemimpin mereka semuanya pandai-pandai belaka dan tahu bagaimana hendak berpolitik.

Tetapi mereka tidak sedar, kepandaian Pas berpolitik tidak akan mampu menandingi politik putar belit PKR dan ketegasan DAP dalam memperjuangkan satu isu. Sebab itulah, Pas menjadi parti paling rugi dalam kerjasama berkenaan.

Namun percayalah apa pun teguran atau kritikan kita, ia tidak akan mengubah pendirian Pas yang semakin teruja untuk ke Putrajaya bersama-sama PKR dan DAP.

Apatah lagi di dalam Pas seperti mana kata Dr. Hasan sudah dikuasai oleh ‘parasit’, golongan ini lebih kuat dan memegang jawatan strategik dalam parti tersebut.

Dengan kekuatan berkenaan ia bermakna tiada siapa pun boleh menyedarkan Pas mengenai ancaman politik yang sedang mereka hadapi kerana agenda ‘parasit’ bukannya untuk memperkukuhkan Pas tetapi menguasai Pas demi kepentingan politik mereka.

Semoga golongan atas pagar terutamanya orang Melayu akan menjadi apa yang berlaku di Selangor sebagai petunjuk siapakah yang akan menjadi tuan dan siapakah yang akan menjadi pak turut jika pembangkang memerintah!

Oleh : Zulkiplee Bakar

Thursday, January 19, 2012

Memulihkan Vagina Kembali Anjal

Sejak zaman nenek moyang kita lagi, perihal penjagaan vagina amat dititik-beratkan lantaran hubungkaitnya dengan keharmonian rumahtangga.

Apatah lagi di kalangan masyarakat rantau Asia. Orang Melayu misalnya amat terkenal dengan ramuan akar kayu untuk penjagaan vagina, baik untuk mengetatkan mahupun dari sudut penjagaan kebersihan. Ambil sahaja contoh mudah - bersihkan vagina dengan air daun sirih dan amalkan air akar kayu serta pengambilan jamu selepas bersalin untuk mengetatkan vagina.

Manakala herba tertentu dikatakan mampu mengetatkan vagina. Begitu juga teknik urutan yang dikatakan mampu memudakan vagina.

Perubatan Moden
Trend wanita alaf baru mahukan kesempurnaan dari hujung rambut ke hujung kaki. Apatah lagi dalam dunia moden yang memungkinkan segala-galanya termasuk dalam hal menganjalkan semula vagina atau memudakan vagina yang dalam dunia perubatan estetik popular dengan nama vaginal rejuvenation atau vaginal reshaping.
Prosedur itu kini menjadi kegilaan wanita yang sanggup berbelanja beribu-ribu ringgit termasuk ke negara jiran untuk memulihkan vagina demi kepuasan diri biarpun ia tiada kaitan dengan penampilan luaran.

Prosedur menganjal dan memudakan vagina ini telah lama melanda dunia Hollywood dan salah seorang pakar terkenal yang menjadi rujukan dalam bidang tersebut adalah Profesor Nicola Zibernati.

Teknologi V2LR
Teknologi V2LR (Vulvo-Vaginal Laser Reshaping) digunakan dalam prosedur untuk menganjalkan vagina. Biarpun kedengaran agak baru di negara ini, namun secara diam-diam semakin banyak pakar menawarkan perkhidmatan tersebut.

Vulvo bermaksud bahagian luar organ wanita manakala vagina pula merujuk bahagian dalaman. Oleh itu prosedur V2LR bermaksud rejuvenasi bahagian luar dan dalam organ wanita.

Sehebat mana keanjalan yang boleh dicapai bergantung kepada jenis laser dan teknik yang digunakan.

Teknik laser berkuasa rendah langsung tidak menyakitkan namun mampu memberi kesan yang sama dengan cara kuasa tinggi yang kuat dan sering mengundang kesakitan. Dengan kuasa rendah pesakit akan berasa sangat selesa. Aktiviti harian dapat dilakukan serta merta dan hanya perlu mengelak hubungan seks selama 3 hari sahaja selepas rawatan. Selepas 3 hari kita akan pulih sepenuhnya.

Vagina Lebih Cerah dan Kuat
Teknik V2LR memerlukan 3 kali rawatan yang diulang sebulan sekali untuk mendapatkan kesan maksimum. Ia bukan saja meningkatkan keanjalan pada vagina tetapi membuatkan warna kulit sekitarnya menjadi kemerahan dan tidak gelap lagi. Dengan kata lain warna sekitar vagina tampak cantik dan menarik.

Apabila usia meningkat dan setelah melahirkan anak, kesan regangan terhadap dinding vagina menyebabkan keanjalan tisu-tisunya hilang. Vagina menjadi kendur, kurang elastik dan warnanya sekitarnya menjadi gelap. Pengaruh hormon juga mejadikan keadaan lebih teruk dengan pengumpulan pigmen di situ.

Apabila laser dipancarkan, warna sekitar vagina berubah menjadi cerah semula.

Selain kecantikan, otot dinding vagina juga akan menjadi lebih kuat dan tidak mudah mengalami masalah kelonggaran. Nikmat hubungan seks juga meningkat selepas rawatan seumpama itu.

Popular di Eropah
Penggunaan laser dalam bidang kecantikan dan perubatan semakin mendapat tempat di Malaysia. Namun masyarakat di China, Korea, negara-negara Eropah dan Amerika sudah terdedah dan menerima bahawa rawatan laser adalah sebahagian daripada kaedah terkini yang berkesan dan selamat.

Kaedah V2LR yang sangat popular di Eropah disebabkan dua faktor iaitu berkesan dan proses penyembuhan yang cepat.

Menjahit Semula Selaput Dara
Cara lain untuk meremajakan semula vagina ialah dengan prosedur menjahit semula selaput dara yang dikatakan mampu mengembalikan kegadisan seseorang wanita.

Selaput baru itu dibina dari kulit tipis pada vagina namun kaedahnya rumit dan tidak semudah teknik laser. Mungkin pada suatu masa nanti kaedah ini akan menjadi pilihan wanita yang inginkan kesejahteraan rumahtangga.

Sumber : MalaysiaRia

Wednesday, January 18, 2012

Peluk Lebih Nikmat

PERKAHWINAN dan kasih sayang antara suami isteri boleh dikekalkan apabila pasangan selalu mempraktikkan ungkapan-ungkapan kasih kepada pasangan masing-masing seperti ucapan sayangf sekurang-kurangnya tujuh kali sehari.

Bukan itu sahaja, berkomunikasi dengan baik, bergurau senda dan memanggil pasangan dengan panggilan hebat seperti 'sayang', 'abang', 'manja' dan sebagainya juga dapat mengeratkan lagi perhubungan suami isteri.

Masing-masing perlu memainkan peranan untuk memupuk perasaan sayang agar ia sentiasa mekar dalam jiwa dan membuahkan keserasian dan kemesraan.

Selain itu, tahukah anda bahawa pelukan juga boleh membuatkan pasangan merasa lebih dekat dan intim?

Bagi isteri, pelukan merupakan bentuk komitmen cinta dan kesetiaan pasangan. Kajian mendapati pelukan bukan sesuatu yang bersifat seksual. Ia satu daripada kaedah untuk mendapatkan keselesaan.

Begitupun, biasanya suami menganggap pelukan bermakna isteri dahagakan hubungan seksual. Sebenarnya para isteri lebih menikmati pelukan dari hubungan seksual.

Menurut Doktor Perubatan Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Johor Bahru, Dr. Zubaidi Ahmad, para suami tidak perlu rasa 'kelam kabut' sekiranya tidak bersedia bila isteri minta dipeluk.

Ini kerana jelas beliau, bagi suami, pelukan hanyalah pertautan fizikal dan ada kalanya merimaskan selain tidak memahami mengapa isteri sangat suka apabila dipeluk.

Mencadangkan 'rawatan pelukan'
"Sebenarnya suami isteri saling memerlukan antara satu sama lain untuk mengurangkan tekanan perasaan.

"Ramai pakar psikologi yang mencadangkan 'rawatan pelukan' di mana suami dan isteri digalakkan berpeluk sebelum tidur selama 10 minit. Pelukan ini harus dinikmati tanpa diteruskan dengan hubungan seks.

"Tujuannya agar segala perasaan negatif yang tersimpan dalam hati sepanjang hari dapat dilepaskan dengan memeluk suami atau isteri. Jadi, pelukan sangat diperlukan dalam hubungan suami isteri. Ia akan merapatkan lagi hubungan suami isteri," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Katanya, pelukan bukan bermakna mukadimah pada hubungan seks antara suami dan isteri.

Ia juga harus dilihat sebagai hubungan perasaan dan perkongsian emosi antara suami dan isteri.

Mengulas lanjut, Dr. Zubaidi berkata, pelukan adalah satu sentuhan fizikal yang erat dilakukan di leher, belakang badan atau pinggang.

Pelukan juga kadang kala melibatkan kucupan, pandangan mata, sentuhan mesra dan beberapa gerakan tubuh lain.

Oleh itu, mereka yang berpelukan menandakan hubungan mereka amat rapat dan mempunyai pertalian kasih sayang yang mesra.

Kata Dr. Zubaidi, ramai ahli psikologi kini bimbang dengan pasangan suami isteri yang jarang berpelukan.

Mereka bimbang perkahwinan pasangan seperti itu hanya diikat oleh 'lafaz nikah' dan hubungan fizikal dan seks saja dan bukan hubungan emosi serta perkongsian perasan.

"Islam juga menggalakkan hubungan emosi dan dalam satu hadis Rasulullah SAW memberitahu, barang siapa yang tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi. (riwayat Bukhari dan Muslim).

"Oleh yang demikian, perbanyakanlah luahan kasih sayang dengan ucapan dan sentuhan fizikal (pelukan).

"Secara tidak langsung, bagi pasangan yang agak berat untuk meluahkan perkataan 'Saya sayang awak', pelukan adalah cara alternatif terbaik untuk melafazkannya," ujarnya.

Pelukan juga akan menyebabkan kelenjar di otak mengeluarkan hormon serotonin dan dopamine yang memberikan rasa tenang dan tenteram.

Perbuatan itu juga akan menyebabkan gelombang di otak menjadi lebih tenang, lalu mengurangkan stres dan kerisauan.

Oleh itu bagi pesakit yang mengalami masalah kerisauan (anxiety) dan mempunyai emosi yang tertekan, memeluk binatang peliharaan adalah rawatan kejiwaan yang baik.

Namun apa yang lebih baik lagi bagi suami atau isteri selain memeluk pasangan masing-masing ketika mereka mengalami tekanan jiwa dan dalam keadaan kerisauan.
 
Oleh : Mariatul Qatiah Zakaria

Monday, January 16, 2012

Mudarat Mandi Malam

ADAKAH ia satu mitos tentang mandi pada waktu malam boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan? Ramai kalangan masyarakat Malaysia mengatakan amalan sebegini boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan.

Adakah benar persepsi tentang tabiat mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit kronik? Apa kata pakar dalam penjagaan kesihatan tentang isu ini?

Dr. Anies Tan, seorang doktor perubatan di hospital swasta menjelaskan kajian menunjukkan yang mandi bukan sahaja boleh membersihkan badan daripada kotoran tetapi juga boleh menghilangkan stres.

Katanya, mandi memainkan peranan penting dalam mempertingkat sistem imun badan selain mengelak berlakunya penyakit kulit seperti ekzema dan masalah kesihatan lain.

"Kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetes, hipertensi, kegagalan buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup kita. Tiada bukti yang mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit-penyakit ini," kata beliau.

Menurut Dr. Tan, air mandian suam boleh membuka liang-liang roma badan dan membantu menghilangkan toksin.

"Mandi dengan air hangat boleh mengurangkan sakit otot dan membantu usus berfungsi dengan baik. Tapi kalau anda sedang mengalami stres, mandi dengan air sejuk boleh membantu.

Tetapi bagaimana dengan isu mandi pada waktu malam?

Kata Dr. Tan, negara ini mempunyai iklim tropika di mana cuacanya adalah panas dan lembab dan oleh itu mandi malam tidak mendatangkan kemudaratan.

"Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia dan tinggal di negara yang mempunyai iklim musim sejuk. Mandi malam adalah baik kerana ia membersihkan badan daripada bakteria dan virus.

"Amalan mandi adalah penting bagi gaya hidup sihat. Di hospital juga, pesakit yang boleh berjalan dan boleh mandi, memang kami galakkan mandi". Kata beliau, kegagalan mandi yang secukupnya boleh mendatangkan penyakit kulit dan juga bau badan.

"Bakteria boleh bertindak pada peluh dan ini membangkitkan bau badan," katanya sambil menambah bahawa kesegaran mandi membuatkan badan lebih sihat, selain membersihkan bakteria daripada permukaan kulit.

"Pembersihan kulit berlaku bila kita mandi. Lebih baik lagi jika kita menggunakan sabun antibakteria," katanya dan menerangkan prinsip yang sama pada amalan membasuh tangan.

"Ia satu amalan kebersihan yang baik bila kita kerap basuh tangan terutama sebelum makan, sama juga bila kita mandi walaupun pada waktu malam," kata beliau.

Ekzema
Ekzema adalah penyakit kulit kronik yang menyebabkan kulit menjadi kering, senang mengalami iritasi dan kegatalan. Tiada ubat bagi masalah ini tetapi penjagaan kulit yang baik membantu mengawalnya.

"Bila kulit anda kering, ia bukannya kurang minyak tetapi kurang mengandungi air. Untuk itu, penjagaan kulit harian yang baik serta fokus pada mandi dan penggunaan pelembab diperlukan," terang Dr. Tan.

Katanya, rawatan bagi kulit yang kering adalah dengan membuatkan kulit mengandungi air dan cara yang terbaik dengan berendam ketika mandi dan menggunakan losyen pelembab selepas itu.

"Tujuan mandi dan memakai pelembab adalah untuk memulihkan kulit kering.

Bagi tujuan ini, kita perlu kurangkan kehilangan air daripada kulit.

"Pakar dermatologi (kulit) mengesyorkan mereka yang ada masalah ini supaya mandi dan menggunakan pelembab pada waktu malam. Kulit anda tidak mungkin kering semasa anda tidur, jadi air lebih senang meresap ke dalam kulit," terangnya.

Jadual kerja ketat
Ada juga ramai yang tidak punya masa untuk mandi secukupnya kerana jadual kerja yang agak ketat. Ada juga yang bermasalah bila berjauhan dari rumah dan tidak sesuai dengan tempat di mana mereka berada.

Pengamal perubatan, Hassan Saidin menerangkan jadual kerja yang ketat menyebabkan ramai ahli perniagaan serta peniaga enggan mandi secukupnya.

Ramai peniaga perlu keluar berniaga pada awal-awal pagi lagi dan hanya pulang ke rumah pada lewat malam. Ini menyebabkan mereka malas mandi kerana menyimpan tenaga untuk aktiviti perniagaan pada esoknya.

"Gagal mandi adalah tidak baik bagi kesihatan dan ini boleh mengundang pelbagai penyakit yang mengganggu kehidupan kita. Ia juga boleh mengganggu keyakinan dan produktiviti kita," kata beliau.

Tetapi kenapa orang tua-tua mengatakan mandi malam tidak baik?

"Nasihat sebegitu mungkin tidak berapa boleh dipakai lagi pada masa kini.

Mungkin pada dekad-dekad yang lampau masyarakat masih belum maju dan kebanyakan rumah tidak punya saluran bekalan air paip.

"Satu masa dulu, ramai yang tinggal di luar bandar serta menggunakan perigi dan sungai untuk mandi. Untuk pergi ke perigi dan sungai pada waktu malam tanpa cahaya lampu dan suasana gelap gelita mungkin mengundang pelbagai bahaya seperti binatang berbisa dan juga bahaya di sungai, sebab itulah mungkin orang tua melarang kita daripada mandi waktu malam.

"Kini kita semakin maju dan mempunyai kemudahan yang jauh lebih baik. Bagi mereka yang pulang malam, eloklah bersihkan badan terlebih dahulu sebelum ke tempat tidur," kata beliau.

Pemulihan badan
Menurut Hassan, mandi adalah kaedah baik bagi merehatkan otot badan.

"Setelah bekerja sehari suntuk, otak dan badan anda perlukan rehat. Mandi pada malam hari (sebelum tidur) boleh membantu mengembalikan ketahanan fizikal dan emosi.

"Terdapat banyak salah faham tentang isu mandi di waktu malam kerana ramai orang berpendapat ia lebih banyak mudarat daripada kebaikan termasuk mendatangkan penyakit," katanya.

Jadi, adakah mandi malam sememangnya satu amalan tidak sihat?

Kata Hassan: "Sudah tentu tidak. Ia bukan memudaratkan bagi orang yang sihat". Menurut Hassan, mandi menggunakan air hangat akan membuka liang roma dan membersihkan badan dengan mengeluarkan toksin dan memberikan kesan yang segar kepada seseorang itu.

"Mandi juga membuatkan anda dapat tidur dengan lena dan membantu mengurangkan insomnia (susah untuk tidur)," tambah beliau.

Menurut pengamal homeopati itu lagi, mandi adalah satu amalan semula jadi bagi memberi regangan kepada minda dan badan.

Seseorang itu bukan hanya dapat tidur lena tetapi juga tidur dengan lebih lama jika beliau mandi sebelum tidur.
 
Oleh : Zulkiple Ibrahim

Apakah 'Ukuran' Pengaruhi Kepuasan Seksual?

BANYAK pasangan yang hendak berkahwin merasa cemas soal "ukuran", baik yang berada di atas pinggang mahupun di bawahnya. Kebimbangan ini bertumpu pada ukuran kepuasan pasangan di ranjang nantinya. Kunci untuk seks yang baik bukan pada ukuran atau inci.

Mitos tentang kaitan seks dengan "ukuran" memang banyak berkembang didalam masyarakat. Bahawa kepuasan seks berkaitan dengan "ukuran" yang besar, benarkah? Salah faham ini dapat menghancurkan kehidupan seks dan harga diri seseorang.

Dr Jane Greer, pakar hubungan dan seks seperti ditulis dalam Galtime berpesan,kunci seks hebat adalah perasaan, bukan ukuran atau inci. Besar kecil ukuran, tinggi-pendek tubuh, pada faktanya, perbezaan-lah yang menyatukan anda berdua, untuk saling menguatkan satu sama lain, dan bercakap atas dasar perasaan. Ini akan menjadi pelincir semulajadi yang memudahkan seks yang menyenangkan.

Perbezaan akan membuat seseorang berusaha lebih baik untuk membuat pasangan merasa selesa, sebagai pampasan atas perasaan kekurangan yang dimiliki. Saat bercinta, ini yang dapat dilakukan, jika soal "ukuran" masih mengganggu fikiran:

Gunakan lisan seboleh mungkin
Tanyakan pada pasangan apa yang dia suka, apa yang dia rasa selesa, atau sebaliknya. Anda juga harus memberi petunjuk kepadanya tentang apa yang anda sukai.

Jadi kreatif
Berfikirlah di luar kotak. Eksplorasi kedudukan dan tempat bercinta yang tidak itu-itu sahaja, sehingga aktiviti seksual anda bersama pasangan terasa membara.Adaptasikan diri anda dengan persekitaran sekeliling. Cari kerusi, meja, dinding, bantal atau apa sahaja yang boleh membuat anda berdua merasa selesa dan melupakan soal "ukuran".

Anonymous

Sunday, January 15, 2012

Adult Toy Di Subang Jaya, Shah Alam, KL dan JB...

Bandar Johor Bahru pula lagi berserabut. Sebagai pintu masuk dari Singapura ia terlalu berbeza....


SEMASA saya berhenti di persimpangan lampu isyarat di Subang Jaya sejak beberapa minggu ini, mata saya terpandang sepanduk yang tertera tulisan Adult Toy (dalam bahasa Melayu bermaksud Boneka Orang Dewasa) berselang-seli dengan tulisan Cina yang besar (tidak faham) serta tulisan Melayu berbunyi Ubat Kuat Lelaki.

Oleh kerana kerap berulang-alik di jalan itu, di hadapan Subang Parade untuk menghantar anak ke sekolah, pada satu hari anak saya bertanya kepada saya, sambil jari menuding ke arah sepanduk di tiang lampu isyarat itu: ''Dia jual toy apa tu abah?''

Terasa muka saya merah padam.

Saya tidak menjawab soalan anak berusia 12 tahun itu dengan segera. Dengan selamba apabila lampu bertukar hijau saya berkata ''jual ubat…'' Dia pun tak bertanya lebih, mungkin dia faham.

Saya tidak pasti apakah anak-anak sekolah orang lain pun bertanya soalan yang sama - termasuklah mungkin anak Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Subang Jaya sendiri?

Sepanduk-sepanduk itu ada di merata Subang Jaya, tempat lain saya tidak pasti. Setiap tiang lampu isyarat ada sepanduk kecil itu. Saya hairan bagaimana YDP MPSJ boleh memberi permit untuk iklan seumpama itu dipamerkan? Apakah MPSJ sudah tiada duit sangat sehingga iklan seperti itu pun dibenarkan digantung?

Terus terang saya katakan, saya amat-amat malu dengan iklan-iklan berunsur lucah seperti itu. Saya hampir terfikir mungkin YDP MPSJ tidak mempunyai perasaan seperti saya, jika tidak masakan ia sudah tergantung sejak berminggu-minggu?

Itu tidak kira lagi iklan-iklan haram tulisan tangan oleh ejen-ejen harta tanah yang diletakkan dan diikat di tiang-tiang lampu. Itu juga tidak kira lagi papan-papan tanda jalan, seperti no entry atau jalan sehala atau apa-apa papan tanda majlis perbandaran, yang didirikan dengan wang cukai rakyat, dibiarkan dilekat dengan pelbagai nombor-nombor telefon ah long?

Kalau tidak percaya pergilah ke USJ Taipan (dekat bangunan MPSJ) atau di mana-mana dalam bandar raya Shah Alam atau di mana-mana sekali pun.

Pelekat-pelekat itu dibiarkan menutupi papan-papan tanda itu. Tiada orang yang mahu mencucinya, sehingga mahu masuk ke lorong pun tidak tahu lagi kerana ditutupi dengan pelekat-pelekat itu. Saya tidak salahkan ah long, tapi majlis perbandaran yang tutup mata atau mata buta.

Kesimpulan saya, isteri saya, rakan-rakan saya dan mungkin rakyat jelata: Apakah ah long-ah long ini sudah menguasai majlis-majlis perbandaran? Apakah kongsi gelap sudah menguasai perbandaran-perbandaran itu?
Atau pun PBT-PBT kita sudah malas berfikir. Itu pasallah jalan-jalan kita kini pun sudah terlalu kotor, tidak kemas dan memalukan. Kalau mahu diambil gambar, tidak termuat dalam kertas akhbar betapa kotornya perbandaran kita sekarang.

Merujuk kepada soal itu, semalam saya membaca kolum Off The Cuff dalam The Sun ditulis oleh sahabat saya Datuk Seri Azman Ujang. Di perenggan-perenggan terakhir dia menulis: "Kakitangan awam kita, terutamanya mereka yang mengendalikan pihak-pihak berkuasa tempatan, perlu selalu berkunjung ke Singapura dan melihat bagaimana negara bandar itu diuruskan, terutama sistem pengangkutannya, perumahan awam dan kebersihan. Cara ini lebih baik dan menjimatkan daripada menganjurkan lawatan ke negara-negara yang jauh-jauh."

Dalam tulisan itu, Azman memetik satu SMS yang saya hantar kepada beliau, dua minggu lalu selepas bercuti ke republik itu. "…perkhidmatan yang baik, bersih, orangnya, keseluruhan sistemnya, ia seperti berada di mana-mana negara Eropah."

Azman menulis lagi: Dalam perjalanan pulang dari Singapura, Zaini singgah untuk makan di Melaka dan ini beliau tulis: ''Melaka lebih kurang sama seperti Singapura, cuma 10 tahun terkebelakang. Tapi Johor Bahru ialah 25 tahun terkebelakang dan Kuala Lumpur 20 tahun. Tahniah Melaka."

Sesungguhnya Lembah Klang kini sudah terlalu kotor. Cuba lalu di Chow Kit, tidak berubah-ubah. Shah Alam pula yang satu ketika dulu terlalu ceria, bersih, kini sudah tidak terbela. Lepas hujan air bertakung sana-sini.

Di Singapura, bangunan-bangunan rumah kedai zaman praperang seperti yang banyak terdapat di Chow Kit telah dibangunkan semula melalui Lembaga Pembangunan Semula Singapura. Singapura kini terlalu bersih, teratur. Bangunan-bangunan dicat bersih.

Di KL, sekitar Lebuh Pasar, Lebuh Ampang, Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Petaling bangunan-bangunan seperti itu masih dalam keadaan uzur.

Diharapkan Datuk-datuk Bandar turunlah ke bawah, bawa buku kecil dan catatlah mana-mana yang boleh diperbaiki. Percayalah jika ia dilakukan, anak-anak buah anda akan cepat bertindak.

Bandar Johor Bahru pula lagi berserabut. Sebagai pintu masuk dari Singapura ia terlalu berbeza. Sebelah sana negara dunia pertama dan apabila menyeberang masuk di sebelahnya, terasa sangat kita berada dalam suasana negara Dunia Ketiga - kelam-kabut, kotor, tak terurus, besi-besi hilang dicuri, banjir kilat.

Jika Menteri Besarnya atau Datuk Bandarnya juga memegang buku kecil ala Dr. Mahathir dulu - sekurang-kurangnya JB tidaklah teruk sangat!

Saya berharap kritikan ini membina.- Oleh : Zaini Hassan

Saturday, January 14, 2012

Perutusan Teja Buat Hang Tuah

KE pangkuan kekanda kesumaku Laksamana Hang Tuah, satria bumi Melaka yang bertuah. Maafkan adinda, sekiranya kehadiran perutusan ini sedikit mengganggu jeda senggang kekanda. Barangkali juga perutusan ini mengganggu tugas kanda yang sibuk dengan tanggungjawab menjaga kemakmuran negeri Melaka.

Kekanda,
Perutusan ini adalah perutusan rahsia adinda. Perutusan yang tercoret padanya tinta kasih dan rindu kepada kekanda yang sentiasa bertakhta di hati adinda pada setiap jeda waktu yang ada. Perutusan ini telah adinda coretkan ketika Paduka Baginda Sultan menghadiri satu sidang musyawarah bersama-sama pedagang Benggali Putih di teratak Datuk Seri Bendahara Di Raja. Maka, jeda waktu yang begitu berharga buat adinda seperti ini telah adinda manfaatkan untuk mencoretkan perutusan buat kekanda sementelah dayang-dayang adinda ripuh menyiapkan air bilasan untuk adinda bersiram yang diperbuat daripada 99 kuntum mawar sulung yang mekar di taman larangan istana dan 99 kelopak tulip yang dihadiahkan oleh pedagang Belanda dari Majapahit kepada Baginda Sultan.Duhai Kekanda,

Bilakah serasanya kekanda mahu kembali bersua dengan adinda? Memadu kasih setelah teracun rasa rindu nan jerih. Wahai kesuma jiwaku, usahlah kekanda gusar untuk bersua dengan adinda. Barangkali muslihat yang sama ketika kita bertemu secara sembunyi di rumah inang pengasuh adinda ketika di Pahang dahulu boleh kita amalkan buat kesekian kalinya. Barangkali kebijaksanaan Dang Ratna, inang pengasuh adinda di sini melebihi kepintaran Dayangku Sita yang membenarkan adinda menyusup keluar dari istana Bendahara Pahang dahulu, akan tetapi, sebagai srikandi Melaka yang kini memegang sebahagian tampuk kuasa di istana yang agam ini, adinda yakin segala-galanya akan menjadi lebih mudah lalu dapatlah adinda melepaskan dendam rindu adinda terhadap kekanda.

Friday, January 13, 2012

Di Manakah Silap Guru?

Lepasan sekolah masih ada gagal membaca, menulis dan mengira.


MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan lapan peratus daripada 6,667 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) didapati tidak boleh membaca dan menulis.

Ini menyedarkan kita bahawa masalah kegagalan pelajar sekolah menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi masih lagi menghantui dunia pendidikan negara. Pelbagai kaedah dan program khas telah dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini. Dulu dikenali sebagai KIA 2M (Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis) dan terbaru ialah LINUS (program Saringan Literasi dan Numerasi) yang dilancarkan pada tahun 2010, tetapi masalah ini masih terus berlaku.

Dari aspek psikologi perkembangan, manusia normal, berkeupayaan menguasai kemahiran asas membaca menulis dan mengira ini di peringkat kanak-kanak lagi, iaitu seawal usia 6 tahun.

Setelah menamatkan pengajian di peringkat pra sekolah, semua pelajar sepatutnya boleh membaca dan menulis perkataan-perkataan dan membuat ayat-ayat mudah dengan baik.

Adalah terlalu malang buat pelajar setelah menamatkan pelajaran di tingkatan lima dan berumur 17 tahun tapi masih belum boleh membaca dan menulis dengan baik.

Isu ini perlu mendapat perhatian serius kepada guru-guru di sekolah. Guru-guru yang telah mendapat latihan secukupnya dalam bidang psikologi pendidikan, pedagogi dan profesionalisme keguruan (Diploma 3 tahun dan Ijazah 5 setengah tahun - merujuk kepada jangkamasa latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia) apakah tidak mampu menyelesaikan isu ini?

Adalah sangat memalukan, dengan ijazah/kepakaran dalam bidang psikologi, pedagogi dan profesionalismeyang dimiliki, dengan skim perkhidmatan yang menarik, umur yang masih muda, masalah buta huruf tidak menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira) masih lagi berlaku di kalangan pelajar sekolah menengah di negara ini.

Pertengahan bulan Januari ini, generasi kedua guru-guru lulusan IPGM (Institut Pendidikan Guru Malaysia) akan ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Syabas kepada semua guru ini kerana telah berjaya menjadi seorang guru.

Di samping kegembiraan kerana menamatkan pengajian dan latihan dengan jayanya dan telah ditempatkan di sekolah-sekolah untuk bertugas, sehinggalah kepada pengumuman skim perkhidmatan yang sentiasa ditambah baik oleh kerajaan, anda pada hakikatnya telah diberi satu tanggungjawab besar.

Tanggungjawab itu ialah memastikan semua pelajar sekurang-kurangnya dapat menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi sebelum mereka meninggalkan sekolah rendah.
Tiada apa-apa alasan lagi di pihak guru untuk gagal melaksanakan tanggungjawab ini.

Anggaplah dengan penempatan anda di sekolah sebagai guru permulaan, merupakan langkah permulaan memikul tanggungjawab besar ini.

Justeru para guru perlu mengambil serius terhadap fenomena ini dan berusaha mengatasinya sehingga berjaya supaya profesyen perguruan akan dihormati disanjung sebagai arkitek pembangunan akal budi manusia dan pencorak kemajuan rakyat dalam sesebuah negara.

Oleh : Hassan Salleh
          Kuala Terengganu

Thursday, January 12, 2012

Ereksi Petunjuk Kesihatan

SALURAN darah atau arteri pada zakar mempunyai kaitan rapat dengan tahap ereksi. Perunding Urologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ong Teng Aik memberitahu, ereksi atau ketegangan pada zakar berlaku jika darah memasuki ruang zakar dengan mencukupi.

“Darah akan memenuhi ruang zakar tanpa gangguan serta memberi kekuatan ereksi andainya saluran darah tidak terganggu atau tersumbat,” kata Teng Aik.

Zakar akan membesar dan menegang apabila sepasang tisu korpus kavernosum pada alat kelamin itu terisi dengan darah.

Jelas Teng Aik, pembentukan plak dan lemak akibat pertambahan kolesterol di dalam badan mampu menyekat saluran darah.

Oleh kerana saluran darah zakar lebih kecil berbanding pada bahagian lain tubuh, tanda awal kepada masalah kesihatan kardiovaskular ditunjukkan oleh tahap ereksi.

“Penyakit kardiovaskular menyebabkan sekatan kepada aliran darah ke bahagian zakar dan menyebabkan masalah mati pucuk.

“Sebenarnya dalam tempoh tiga tahun selepas masalah mati pucuk dikesan, pesakit berisiko mendapat penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung selain diabetes dan obesiti.

“Merokok dan amalan sedentari atau gaya hidup tidak aktif turut memberi kesan kepada kemerosotan kekuatan ereksi zakar.

“Apa yang ramai orang tidak sedar adalah kualiti ereksi rendah merupakan petanda awal kepada penyakit jantung,” kata Teng Aik.

Terdapat empat tahap ereksi iaitu mati pucuk teruk, mati pucuk sederhana, ereksi separa optima dan ereksi optima.
             ZAKAR akan menegang jika kedua-dua tisu korpus kavernosum dipenuhi darah.

Bagaimanapun, tahap tiga dan empat iaitu ereksi separa optima dan ereksi optima sahaja yang mampu untuk melakukan penetrasi dan menjayakan hubungan seksual.

Menurut Teng Aik, biarpun kedua-dua tahap itu mampu menyumbang kepada kejayaan aktiviti seksual, namun kesannya menunjukkan perbezaan yang ketara.

“Jelas sekali bahawa ereksi separa optimum boleh membawa kekecewaan dalam kepuasan seksual buat seorang lelaki. Zakar tidak menegang sepenuhnya walaupun ia berkeupayaan untuk melakukan penetrasi.

“Risiko untuk mendapat penyakit jantung iskemik bagi mereka yang menghadapi masalah ereksi tahap tiga adalah lebih tinggi berbanding mereka di tahap empat kerana faktor ketidakpuasan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pensyarah Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Low Wah Yun berkata, tahap ereksi yang rendah mampu menjejaskan emosi dan psikologi kedua-dua pasangan.

Seorang lelaki akan berasa lebih yakin kerana keperluan emosi dan psikologinya dicapai melalui hubungan seksual.

“Sekiranya memenuhi keperluan seksual, pasangan mereka akan rasa lebih disayangi. Sebanyak 93 peratus lelaki dan 83 peratus wanita memilih kekuatan dan ketegangan zakar sebagai faktor yang memberi kepuasan seksual,” ujar Wah Yun.

Wah Yun menjelaskan, usia tidak mempunyai kaitan dengan tahap ereksi zakar.

Gangguan kepada keupayaan tersebut yang dialami oleh mereka yang berusia emas adalah dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular yang dihidapi.

“Tidak kisah tua atau muda, kesemua mereka masih boleh berereksi sekiranya tiada gangguan pada zakar,” kata Wah Yun.

Oleh : Syalmizi Hamid